Pembaca Setia

Monday, November 19, 2012

Teka – Teki Nasib Libya Pasca Gaddafi


Teka – Teki Nasib Libya Pasca Gaddafi
Muhammad Nuruddin bin Bashah

Manusia hanya tahu merancang, Allah jua yang Maha Tahu. Begitulah yang mungkin kita boleh nyatakan apabila ditanya berkenaan nasib yang bakal menimpa Libya selepas matinya Gaddafi, seorang diktator selama 42 tahun di negara supra minyak itu. Sejak Majlis Kebangsaan Peralihan (NTC) menguasai Tripoli sejurus selepas 6 bulan berperang dengan regim Gaddafi, peristiwa tersebut sempat menjadi headline pelbagai media massa di dunia yang menyebutnya sebagai akhir dari kepemimpinan regim yang telah berkuasa selama 42 tahun. Yuriko Koike, mantan Menteri Pertahanan dan Penasihat Keamanan Nasional Jepun, mengibaratkannya sebagai The Last Days of Gaddafi.

Kini telah 8 bulan  Gaddafi meninggalkan rakyat Libya yang cuba diintepretasi sebagai bebas dan merdeka selepas beliau dibunuh secara sadis pada 20 Oktober 2011 yang lalu.
NTC berdepan cabaran untuk mengurus keperluan 6 juta penduduk Libya yang kini bebas daripada ketakutan sepanjang pemerintahan Gaddafi. Kemerdekaan Libya yang disambut pada 23 Oktober 2011 telah menyaksikan pengorbanan  30,000 rakyat Libya. 

Kini telah wujud banyak jangkaan. Jika sebelum ini, NTC boleh dikecualikan kerana memberi fokus kepada peperangan tetapi kini tidak lagi. Mereka ada tugas yang berat. Menurut pakar mengenai Libya di Pusat Maklumat Merentasi Sempadan, John Hamilton, waktu 'berbulan madu' semasa meraikan kejatuhan Tripoli sudah berakhir dan NTC perlu memberikan sesuatu kepada rakyat dan bukan hanya beretorik.
Menurut IPS NEWS melalui webnya http://ipsnews.net, Libya kini telah menetapkan matlamat mereka untuk membina sebuah negara demokrasi yang berdaya maju, menggubal perlembagaan baru dan menganjurkan pilihan raya parlimen serta presiden.

Kerencaman sukuisme di Libya;cabaran besar untuk NTC

Masalah yang semestinya semua maklumi, sejak menggulingkan rejim Gaddafi, pemimpin NTC telah bergelut untuk mencari suara konsensus dan kesatuan fikiran yang baik.

Realiti ini diakui oleh pimpinan NTC, Mahmoud Jibril, perpaduan rakyat pasca Gaddafi kekal sebagai cabaran utama bagi Libya masa hadapan.

"Mengeluarkan senjata dari jalan-jalan, mewujudkan undang-undang dan peraturan dan menyatukan kumpulan-kumpulan berbeza NTC adalah keutamaan utama berikutan kematian Gaddafi," kata Jibril dalam mesyuarat tahunan serantau Forum Ekonomi Dunia di Jordan baru-baru ini.
Dengan lebih daripada 140 suku-suku dan puak-puak, Libya dianggap salah satu daripada negara-negara yang teruk berpecah-belah di dunia Arab. Walaupun tidak sunyi dari arus kemajuan, fahaman puak kekal di Libya.

Sistem kesukuan sangat fundamental di Libya melebihi negara lain di kawasan Afrika Utara. Kebanyakan keluarga di Libya membawa nama suku kerana dengan mudah mengesan suku seseorang hanya dengan mengetahui nama keluarganya.

Para pengkaji sosiologi Libya yang cuba meramal masa depan perpaduan rakyat perlu mengetahui dahulu isu kepuakan yang cukup mengakar di Libya.

Sejak Revolusi 1969, majoriti suku mendukung pemerintahan Gaddafi, namun pasca pecahnya konflik suku-suku di Libya, tiap suku mempunyai pandangan politiknya sendiri dalam menyingkapi krisis politik yang terjadi. Suku Al-Qadzdzafah, misalnya, yang majoriti penduduknya bermukim di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi, mendukung penuh terhadap pemerintahan regim dan menolak bergabung dengan pemberontak. Suku ini sangat berpengaruh dan berkuasa di Libya sejak Gaddafi memimpin.

Rakyat Libya mahukan peralihan kerajaan tidak mengenepikan aspek pemulihan pembangunan pasca perang. Malah rakyat mendesak agar NTC mempercepatkan proses tersebut. Tawergha sebagai contoh  yang terletak kira-kira 40 batu selatan Misurata sepanjang pantai barat Teluk Sirte adalah kampung aman kepada penduduk dianggarkan lebih 20,000 orang tetapi kini ia menjadi sebuah bandar hantu.
NTC, yang ditubuhkan di bandar timur Benghazi untuk memimpin pemberontakan secara beransur-ansur menjadi dominan di ibu negara, Tripoli.
Sesetengah pemerhati pesimis telah membuat spekulasi bahawa masa depan Libya dibayangi oleh keganasan huru-hara yang menimpa Somalia selepas penggulingan Mohamed Siad Barre, pemimpin diktator mereka pada tahun 1991.

Rombak sistem pendidikan
Laman sesawang http://www.theworld.org /, melalui artikel bertajuk Education in Libya after Gaddafi menyatakan slogan perubahan dan pembangunan kerap dilaungkan sejak kematian Gaddafi. Malah sistem pendidikan adalah sasaran besar dan penting yang perlu dibubar untuk membina Libya dengan pandang sarwa yang baharu.

Perdana Menteri baru telah dinamakan, peralihan kerajaan baru tidak dapat dielakkan, dan gambar baru akan menggantikan gambar Gaddafi di ruang awam.
Tetapi mungkin perubahan besar bakal berlaku di lokasi yang lebih penting iaitu di sekolah-sekolah, di seluruh negara.
Sebenarnya empat dekad pemerintahan ala diktator, Muammar Gaddafi menggunakan  sekolah di Libya untuk menanam ideologi sosialis dan ketaatan kepadanya  ke dalam minda rakyat.

Dari sekolah rendah ke peringkat universiti,  kurikulum kebangsaan Libya kini kelihatan cuba  menghakis pengaruh meluas Gaddafi.
Mohammed Sawi, Pengarah Pejabat Pembaharuan Kurikulum Kebangsaan di Tripoli berpendapat bahawa kerajaan baru tidak mahu apa-apa yang menandakan - tiada nama keluarga Gaddafi, tiada simbol dan tandatangan warna hijau.

Muhammad Sawi yang juga mengetuai pasukan yang baru terdiri daripada 160 pakar dikehendaki menulis semula kurikulum  keseluruhan sistem sekolah awam Libya.

Sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh Zionis dan sekutu-sekutu AS adalah meleburkan kekebalan sistem pendidikan Libya. AS sudah lama mengimpikan rombakan pendidikan yang mahu dilakukan melalui agensi seperti UNESCO. Walaupun pada awal rombakan NTC ini dikatakan tiada pakar asing dijemput hadir untuk pindakan bersifat sementara, namun selepas setahun kemudian pakar-pakar akan dibawa masuk dari luar negara dan kerajaan baru Libya akan melakukan satu persidangan antarabangsa untuk perubahan yang lebih luas kepada kurikulum.
Jika dahulu pendidikan Libya penuh dengan dogma patuh kepada diktator, kini ia menjadi sistem terbuka tanpa tapisan daripada dakyah Barat pula.

Menghukum petualang Gaddafi
Pasca era Gaddafi juga menyaksikan segala penyokong dan individu ‘apparatus’ Gaddafi dihukum dan diadili.
Terkini, Dr Abuzeid Omar Dorda, 68, bekas ketua perisikan luar Kerajaan Libya Gaddafi,  didakwa di mahkamah kerana dituduh memihak kepada bekas rejim. Abuzeid juga didakwa membekalkan senjata kepada kumpulan etnik, dan mengarah menembak penunjuk perasaan tahun lepas (2011).
Berita beliau dimuatkan dalam http://www.tripolipost.com. Ketika didakwa, beliau yang tiba di mahkamah dengan memakai pakaian seragam penjara biru, kelihatan letih dan menggunakan tongkat untuk berjalan. Namun begitu Abuzeid menafikan kesemua enam pertuduhan.
Abuzeid juga adalah bekas Setiausaha Agung Jawatankuasa Rakyat Libya (bersamaan kepada Perdana Menteri) dalam rejim Gaddafi. Beliau telah berkhidmat selama empat tahun, dari 1990 hingga 1994. Selama enam tahun, antara 1997 dan 2003, beliau juga wakil tetap rejim Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau mengambil alih sebagai ketua perisikan luar pada tahun 2009 daripada Moussa Koussa, Menteri Luar yang berpaling tadah.

Ekonomi yang perlu diurus
Dalam aspek terpenting Libya iaitu masa depan ekonomi, sejak meletusnya konflik, ekonomi Libya mengalami penurunan secara drastik, inflasi meningkat, angka pengangguran bertambah, dan kemiskinan merebak hampir ke seluruh penjuru negara akibat terhentinya pusingan modal.
Bahkan, krisis politik  Libya ini mengakibatkan kestabilan ekonomi global terganggu dengan naiknya harga minyak dunia. Disebabkan itu, masa depan Libya sangat ditentukan oleh langkah-langkah bijak Majlis Peralihan Nasional atau pemerintahan baru pasca-Gaddafi dalam memulihkan kestabilan  ekonomi dalam negara.
Hal tersebut masih boleh diurus  jika NTC mampu mengoptimakan sumber  alam Libya yang melimpah, terutama dari sektor minyak bumi dan gas alam serta meningkatkan peranan masyarakat dalam perekonomian (economic society) yang selama ini diabaikan oleh rezim Gaddafi yang lebih cenderung kepada pemusatan kerajaan atas sistem sosialisme.

Suatu ketika dahulu sekitar puluhan ribu tahun yang lalu, Gurun Sahara, yang kini meliputi kira-kira 90% daripada Libya, subur dengan tumbuh-tumbuhan hijau. Ia adalah ekosistem yang sesuai untuk hidupan  tasik, hutan, hidupan liar yang pelbagai dan iklim Mediterranean beriklim sederhana. Bukti arkeologi menunjukkan bahawa dataran pantai Libya purba telah didiami oleh orang Neolitik dari seawal 8000 BC. Inilah keindahan smber alam dan kekayaan semulajadi bumi Libya yang ingin dijadikan objek jarahan Barat.
NTC mesti berusaha menghilangkan bayang-bayang AS dan NATO sepanjang usaha menuju demokrasi di Libya. Seperti yang kita tahu AS dan negara-negara Barat mempunyai kepentingan, baik politik mahupun ekonomi, sehingga sanggup berhabis wang menjarah Libya.
Pendedahan Menteri Pertahanan AS Robert Gates  bahawa dana yang akan dikeluarkan oleh AS sebesar 750 juta dolar untuk perang Libya dalam tempoh setahun, bererti AS mahupun NATO  tidak akan meninggalkan Libya begitu sahaja. Di Iraq, AS telah berbelanja 310 bilion dolar untuk tempoh masa sehingga 7 -8 tahun (http://nationalpriorities.org/en/analysis/). Tidak hairan jika perbelanjaan di Libya juga bakal  dipertingkat kelak.
Dasar AS memang mendokong regim zalim walaupun pada luarannya cuba menampilkan imej mulia menentang kediktatoran. Misalnya untuk mendukung Hosni Mubarak, setiap tahun AS memberi bantuan kepada ketenteraan Mesir sebesar 1.3 juta dolar. Bahkan hingga saat akhir kekuasaan Mubarak pun, Obama masih menolak Mubarak sebagai diktator.

Libya selamat dari mulut Barat?
Suatu ketika dahulu keeratan hubungan Barat dengan Libya seperti hubungan antara CIA AS dan Barat, termasuk M16 Britain, dengan agen perisikan Gaddafi terbongkar juga.
Hal ini  dirakam dalam sejumlah dokumen rahsia yang ditemukan di Tripoli seperti dilaporkan AFP sebelum ini.  
Isi kandungan dokumen, antara lain, meliputi agenda kegiatan perisikan bersama, penghantaran proposal dan jadual kegiatan, serta senarai soalan untuk menyoal para suspek pengganas. Ada pula satu ucapan yang kelihatan ditulis oleh agen CIA untuk Gaddafi. Beliau juga menyeru terciptanya zon bebas senjata pemusnah massa di Timur Tengah.
Jika itu kisah lama bagaimana dengan kisah terbaharu? Mahmud Jibril, orang kedua NTC yang sekaligus  sebagai Perdana Menteri sementara setelah belajar dan kemudian mengajar ilmu politik dan perancangan strategik di University of Pittsburgh di Pennsylvania, Jibril meninggalkan AS pada tahun 1984 dan bekerja di Kaherah sebagai sebagai perunding dan pelatih kepemimpinan selama bertahun-tahun. Dari 2007 hingga awal 2011, ia bertugas di rejim Gaddafi sebagai ketua Badan Pembangun ekonomi Nasional (NEDB). Tugasnya adalah mempromosikan polisi penswastaan ​​dan liberalisasi ekonomi Libya.
Hubungannya dengan Barat terserlah ketika Jibril memimpin pertemuan dan rundingan dengan Presiden Perancis Nicola Sarkozy yang kemudian secara rasmi mengakui NTC sebagai satu-satunya wakil rakyat Libya. Jibril juga bertemu dengan Menteri luar Britain William Hague dan Duta Besar Amerika di Libya Gene Cretz demikanlah laporan yang disiar oleh CBC News pada 29 March 2011 dalam tajuk Mahmoud Jibril: the international face of Libya's rebels.
Jika Ikhwanul Muslimin berjaya menguasai persada politik Mesir selepas Peristiwa Dataran Tahrir gagal dibuktikan ada bersekongkol dengan mana-mana kuasa barat atau pro Zionis, tidak pula dengan NTC. Beberapa pimpinannya memang jelas memiliki hubungan erat dengan Barat dan keberangkalian untuk mengikut telunjuk Barat adalah besar.

Kualiti kemanusiaan adakah ia kekal?
Apabila berbahas isu Gaddafi, terdapat dua sudut pandang yang perlu diberi perhatian. Pertama adalah sudut kezaliman Gaddafi dan monopoli melampau regim beliau. Dalam pandang sisi yang lain, Libya juga menikmati kemewahan dan kemakmuran hasil pemerintahan beliau.
Indeks Pembangunan Manusia Libya  adalah tertinggi di Afrika dan lebih besar daripada Arab Saudi. Ia dicapai tanpa meminjam sebarang pinjaman asing dan penyimpanan Libya bebas hutang.
Peluang pekerjaan telah dibuka untuk pekerja asing, dan sistem kebajikan telah diperkenalkan seperti pendidikan percuma, kesihatan percuma, dan bantuan kewangan untuk perumahan. Bantuan kewangan juga  telah disediakan untuk universiti biasiswa dan program pekerjaan.
Gaddafi juga membuka ruang luas untuk pelarian perang mendapat keselamatan dan perlindungan di bumi Libya. Menurut Penyiasatan Pelarian Sedunia 2008, yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Amerika Syarikat (AS) bagi Pelarian dan Pendatang (U.S. Committee for Refugees and Immigrants), Libya menjadi tuan rumah penduduk pelarian dan pemohon suaka  berjumlah kira-kira 16.000 pada tahun 2007. Kumpulan ini, kira-kira 9000 orang dari Palestin, 3200 dari Sudan, 2500 dari Somalia dan 1,100 dari Iraq.
Selepas campur tangan Barat terutama NATO yang menjadi punca adanya pelarian serata dunia, adakah Libya akan kekal menjadi penaung kepada sejumlah besar pelarian seperti sebelum ini? Ia masih menjadi tanda tanya.

Unjuran ideologi politik masa depan Libya
Walaupun secara rahsia, AS dan dunia barat kapitalis seperti Perancis pernah memiliki hubungan dengan Gaddafi dan menyokong kezalimannya. Secara luarannya pastilah AS dan blok kapitalis menentang dan membelasah Gaddafi yang mengambil fikrah sosialisme sebagai pasport pemerintahan. Malah Russia dan China secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap regim Libya.
Jelas bagi kita AS mengambil kesempatan terhadap Libya kini bukan atas dasar premis kapitalis mengalahkan sosialis, sebaliknya memang tabiat AS menjarah tanah dan kekayaan negara lain.
Abdeljalil Mayouf, jurucakap industri minyak  NTC, memberitahu Agensi Berita Reuters, 'Kami tidak mempunyai masalah dengan negara-negara Barat seperti Itali, Perancis dan syarikat-syarikat UK. Tetapi kita mungkin mempunyai beberapa isu-isu politik dengan Rusia, China dan Brazil. ' Kenyataan ini mengambarkan bahawa akan ada tekanan dan kesulitan akan datang akibat Libya baru yang menentang blok sosialisme secara terang-terangan.
Komitmen China di  Libya semasa rejim Gaddafi amat tinggi sehinggakan Libya menjadi rakan kongsi ketiga bagi China yang paling penting di Afrika selepas Angola dan Zambia. Kira-kira 75 syarikat China yang terlibat dalam projek-projek Libya pada tahun 2010, mempunyai lebih daripada 35,000 kakitangan. Tidak hairanlah Beijing enggan untuk memberi sokongan kepada penglibatan NATO, berdiri bersama Rusia dan Kesatuan Afrika menentang NATO.
Tetapi ini tidak membayangkan bahawa China menyokong penuh Gaddafi. Beijing lebih berhati-hati untuk mengiktiraf kerajaan baru di Tripoli dan mengumumkan bahawa China akan 'menghormati pilihan rakyat Libya' dan bersedia untuk membantu dalam pembinaan semula negara ini. China masih tetap sebuah negara yang mementingkan diri sendiri dan kadang kala terpaksa membakul sampahkan ideologi sosialisme jika mengancam kedudukan sendiri.

Apakah pasca Gaddafi  Libya akan lebih baik?
Apakah pasca Gaddafi  Libya akan lebih baik Ramalan majoriti pengamat politik menyatakan tidak! Rata-rata berpendapat nasib Libya akan sama seperti Iraq pasca era Saddam Husein.
Di Iraq hingga kini rakyat masih larut dalam perang saudara. Pada fasa sekarang ini NATO tidak akan segigih saat "membela" Libya atas nama demokrasi dan hak asasi manusia. NATO hanya bersungguh ketika membunuh Gaddafi yang dianggap cuba melawan taukeh (Barat). Selepas berjaya menyah Gaddafi, mereka akan segera berusaha mententeramkan massa untuk terus menggunakan straw menyedut kekayaan Libya.
Fokus mereka selanjutnya tentu masalah  minyak. Motif pertama dan utama dalam perubahan oleh Barat di Timur Tengah adalah minyak (war for oil). Namun dalam rangka menjimatkan kos, Barat tidak menggunakan pencerobohan besar-besaran, seperti serangan dua kali ke atas Saddam Husein di Iraq dahulu.
Pihak AS  membantah  dan juga menyatakan tidak ada keinginan untuk menguasai kekayaan. Mengapa AS dan sekutunya gilakan minyak Libya? Jika dirujuk laman sesawang http://www.oil-price.net rizab minyak Libya adalah yang terbesar di Afrika dan 9 yang terbesar di dunia. Libya memiliki kira-kira 44 bilion tong minyak bawah tanah.
Telaga minyak Libya adalah kurang maju berbanding dengan negara-negara lain seperti  Saudi. Statistik dari jangkamasa panjang,  Libya memiliki peluang yang lebih untuk mengeluarkan minyak daripada telaga yang baru di Libya, dan bermakna lebih banyak keuntungan ke atas pelaburan yang sama. Libya berjaya menghasilkan 1.6 juta tong sehari di bawah Gaddafi, pengeluaran telah terhenti sejak kebangkitan rakyat Libya.
Berita  kepentingan AS ke Libya pasca kejatuhan Gaddafi sudah banyak digembur dalam media, khususnya Timur Tengah. Hasilnya , kemasukan syarikat  minyak AS seperti Conoco dan ExxonMobil sudah mendapat laba di Libya bersama dengan syarikat besar minyak lain dari negera Barat yang sebelum ini dilarang menjejak kaki di Libya.
Kerajaan Itali yang pernah menjajah Libya kelihatan berminat untuk melakukan apa sahaja yang boleh untuk menyokong pemerintah baru di Tripoli, dan membuka sekatan $ 500 juta aset Libya yang ada di Rom.
Presiden Perancis Sarkozy juga telah dimainkan dalam menyokong NTC dan semestinyalah bertujuan untuk mendapat habuannya juga.
AS tidak akan berjaya menipu masyarakat dunia bahawa mereka tidak inginkan Libya. Libya menyumbang kepada 2% minyak global malah memiliki rezab minyak sebanyak 46.4 bilion tong tidak termasuk jutaan hektar tanah yang belum dicarigali.
Lebih jauh lagi, AS pernah menawarkan khidmat  untuk memberikan latihan  pembentukan tentera Libya. Bijak juga perkara ini  ditolak oleh Majlis  Revolusi Tripoli, Abdullah Nakar yang mengatakan bahawa hal tersebut ibarat penjajahan AS ke atas  Libya dan menjadikan Libya seperti Iraq.
Menurut Ashur bin Khayal Menteri Luar sementara Libya, kini Libya telah menerima sebanyak USD 20 miliar dana Libya yang dibekukan selama terjadi konflik penggulingan Gaddafi. Dana negara yang dibekukan oleh negara-negara barat tersebut berjumlah hampir USD 150 miliar yang kebanyakan disimpan di AS, Perancis dan negara Barat lainnya.

Ketua-ketua Negara dan Ahli Kabinet Libya sementara
Tarikh Maklumat: 6 April 2012
Amerika Syarikat pada 17 Julai 2011 mengiktiraf Majlis Kebangsaan Peralihan (TNC) sebagai pihak berkuasa yang sah yang mengawal bagi Libya sehingga kerajaan sementara dibentuk. TNC pada 8 Ogos 2011 telah menolak ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, yang berfungsi sebagai cabang eksekutif TNC, dan hanya dilantik semula Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif. Walau bagaimanapun, ramai ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif sebelum ini telah terus bertanggungjawab untuk portfolio mereka diberikan dalam kapasiti bertindak.

Pengerusi NTC, Ketua Negara
Mustafa Muhammad Abd al-JALIL
Perdana Menteri
Abd al-Rahim al-KEEB
Naib PM
Amur Abdallah ABD AL-KARIM
Naib PM
Haramayn Muhammad al-HARAMAYN
Naib PM
Mustafa BUSHAGUR
Menteri Pertanian
Sulayman Abd al-Hamid BUFRUJA
Menteri Komunikasi
Anwar al-FAYTURI
Menteri Kebudayaan dan Pertubuhan Masyarakat
Abd al-Rahman HABIL
Menteri Pertahanan
Usama JUWAYLI
Menteri Ekonomi
Ahmed al-KOSHLI
Menteri Pendidikan
Sulayman Ali al-SAHILI
Menteri Tenaga dan Pembaharuan Tenaga
Awad al-BARASI
Menteri Urusan Agama
Hamzah BUFARIS
Menteri Kewangan
Hasan ZAGLAM
Menteri Hubungan Antarabangsa
Ashur BIN KHAYAL
Menteri Kesihatan
Fatimah al-HAMRUSH, Dr.
Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik
Naim al-GHARYANI
Menteri Perumahan
Ibrahim al-SAGUTRI
Menteri Industri
Muhammad al-FUTAYSI
Menteri Dalam Negeri
Fawzi ABD AL-AAL
Menteri Pengadilan
Ali Hamidah ASHUR
Menteri Buruh dan Latihan Kerja
Mustafa al-RAJBANI
Menteri Kerajaan Tempatan
Muhammad al-Hadi al-Hashimi al-HARARI
Menteri urusan pelarian kecederaan dan kehilangan
Ashraf BIN ISMAIL
Menteri Minyak dan Gas
Abd al-Rahman BIN YEZAH
Menteri Perancangan
Isa al-TUWAYJIR
Menteri Urusan Sosial
Mabruka Sharif JIBRIL
Menteri Pengangkutan
Yusuf al-WAHISHI
Menteri Belia dan Sukan
Fathi TARBIL
Gabenor bank Negara
Sadiq al-KABIR
Duta ke AS
Ali Suleiman AUJALI
Wakil tetap ke PBB
Abd al-Rahman Muhammad SHALGHAM

Libya telah lama berada dalam framework Barat
Para pengkaji dan pemikir bukan Islam di barat menyedari hakikat ini dan telah membuat telahan mengenai kebangkitan dan kemenangan Islam diakhir zaman :-
·         Afrika adalah satu medan yang adil untuk semua orang tetapi agama yang akan diterima oleh orang Afrika adalah agama yang paling sesuai dengan keperluan mereka; dan pada agama tersebut, setiap orang mempunyai hak untuk bercakap pada tema tersebut berkata, adalah Islam. (The Shape of things to come : H.G. Wells).
·         Jika ada satu agama yang mempunyai kesempatan menaklukan Inggeris, bahkan lebih dari itu, tentu sahaja Eropah, dalam ratusan tahun akan datang, agama tersebut adalah Islam. (George Benard Shaw).
Selagi mana kerangka damai dan kemajuan diambil bukan dari kerangka Islam, percayalah Libya yang pra Gadaffi  atau pasca akan menghadapi masalah dan kekejaman yang sama. Seiring dengan Firman Allah Al Maidah ayat 16,
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa Yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) Yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan Yang lurus.
Libya harus diwangikan dengan tajdid Islam sepertimana yang pernah cuba dibawa oleh Umar Muhktar (digantung oleh Itali pada 1931) dan Gerakan Sanusiyah yang dibawa oleh Muhammad bin Ali as-Sanusi yang bermazhab Maliki suatu ketika dahulu.





SEJAUH MANA UMAT ISLAM SINONIM DENGAN HUTANG?


SEJAUH MANA UMAT ISLAM SINONIM DENGAN HUTANG?
Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Walaupun sensitif, tajuk ini masih relevan untuk diperhalusi dari semasa ke semasa untuk memperkukuh kondisi dan imej umat Islam bukan sahaja di dalam negara malah ummah keseluruhannya.
Walau apapun usaha kita, statitik dan rekod tetap menunjukkan betapa kaum Muslim cukup sinonim dengan permasalahan hutang dan kebejatan akibat hutang. Antara gejala maksima yang menghantui penghutang adalah diisytihar sebagai muflis.

Asasnya, agama Islam tidak melarang berhutang, malah sistem berhutang dinyatakan dalam surah Al Baqarah ayat 282.
Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya Dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang Yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu Dengan jelas). dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. kemudian jika orang Yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya Dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. …

Ayat di atas adalah piawaian Islam yang digunakan sebagai garis panduan untuk berhutang kerana hutang ada syariatnya (jalannya), tetapi tidak bermakna Islam menggalakkan jika ia tidak dianggap keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika dijadikan perkara wewenang.

Aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan merupakan antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah Al-Baqarah, kita akan dapati bahawa kedudukannya disejajarkan Allah dengan ibadah solat sebagai tiang agama sebagaimana firman-Nya: “...mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah: 3).
Hutang telah menjadi budaya sesetengah pihak, demikian ungkapan yang acapkali dikatakan. Apakah maksud istilah budaya dan apa pula maksud budaya hutang?
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, budaya bererti tamadun, peradaban: ~ Islam; 2. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb): ~ kuning; 3. bersifat budaya, yg mengenai kebudayaan, (yg) sudah maju (akal budi).

Menurut wikipedia pula, budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi"' yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia. Di dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘colore’ yang bermaksud menanam atau mengerjakan.
Andreas Eppink pula berpendapat, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan

Tabiat berhutang bukan perkara semulajadi tetapi ia adalah amalan yang dimulakan oleh manausia dan diamalkan secara konsisten sehingga ia menjadi budaya kepada sesuatu kaum.
Suatu yang serius untuk kita perhatikan apabila kini didapati 37 000 orang anak muda (berumur antara 25 tahun – 35 tahun) diisytihar muflis, bangkrap atau dalam kata yang mudah, telah gulung tikar dalam bisnes.
Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan kaum tertinggi diisytihar muflis ialah Melayu (39.76%) diikuti Cina 33.36%, India 9.53% sementara lain-lain 17.34%. Jabatan Insolvensi Malaysia juga merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74% atau 790 adalah lelaki yang merupakan teras bangsa.

Media juga mendedahkan bahawa 41 orang anak muda menjadi muflis setiap hari di negara ini akibat berbelanja secara tidak terkawal melalui penggunaan kad kredit.

Kad kredit- musuh atau kawan?
Orang Melayu terutama yang berusia muda belia kini kerap terperangkap dalam “sindrom kad kredit”. Sindrom ini sebenarnya berkait rapat dengan budaya konsumerisme atau kepenggunaan.
Istilah konsumerisme bererti “faham atau gaya hidup yang menganggap barang-barang sebagai ukuran kebahagiaan”. Sementara Oxford Paperback Dictionary Thesaurus pula mentakrifkan consumerisme sebagai “keasyikan masyarakat membeli-belah”. Ia suatu tabiat yang terjelma hasil naluri materialistik.
Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban atau nampak ‘kurang matang’ atau ‘rugged’. Keadaan ini lebih ketara sejak kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50% daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit.

Kebanjiran sistem jualan dalam talian juga menyemarakkan penggunaan kad kredit kerana ia lebih fleksibel dan mudah.

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang pinjaman dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diisytiharkan muflis. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun. Pemilik kad kredit daripada kalangan  golongan ini menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah apabila kerap juga mengambil wang tunai menggunakan kad tersebut. Kadar bunga yang dikenakan berkali ganda daripada pinjaman persendirian biasa.
Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Justeru banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan. Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa yang dikenakan status muflis dipandang hina dalam masyarakat dan semestinya menjatuhkan maruah umat Islam dalam aspek ekonomi dan ikhtisas.

Penggunaan kad kredit kelihatan semakin berkali lipat ganda. Misalnya pada 2003, penduduk Malaysia melakukan transaksi kad kredit secara purata sebanyak 5.8 kali, meningkat sekitar 8.7 kali pada 2007.
Nilai purata transaksi jual beli menggunakan kad kredit penduduk Malaysia pada 2003 ialah RM1,159.60 dan jumlah itu meningkat kepada RM2355.32 pada 2007.

Pada tahun 2003, keseluruhan isi rumah di Malaysia terhutang kepada syarikat-syarikat kad kredit sebanyak RM275.176 bilion. Pada 2007, nilai hutang meningkat menjadi RM427.912 bilion
Boros perlu dikikis
Ini suatu krisis! Apakah tiada suatu tindakan untuk menghentikan pemborosan di kalangan rakyat? Ramai kontraktor Melayu yang masih belum kukuh perniagaannya telah mula membeli Mercedes Kompressor. Sanggup membayar hampir RM 3,000 sebulan untuk gaya dan nama sedangkan berhutang untuk menutup kelemahan perniagaan. Ada yang mengambil tender sedangkan modal tetap syarikat adalah negatif. Sanggup berhutang untuk mendapatkan projek sedangkan projek yang sedia ada dan yang dipohon belum tentu berjaya.

Menurut Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, rakyat negara ini seharusnya mengikis tabiat berhutang dan liat membayar hutang agar tidak terus menjadi satu budaya. Berhutang bukan sekadar untuk membesarkan perniagaan tetapi ia kerap dilakukan untuk memenuhi keperluan hidup ranggi di kalangan bumiputera Islam.
Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan.

Jika jumlah hutang melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis!

Merujuk kepada statistik kes muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010, terdapat seramai 80,348 orang disenarai muflis.

Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai adalah akibat hutang cukai pendapatan, hutang kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain.

Statistik daripada jabatan tersebut juga menunjukkan sebab kebankrapan utama adalah
  • Kepelbagaian hutang (29.05%),
  • sewa beli kenderaan (24.12 %),
  • pinjaman perniagaan (10.93 %),
  • pinjaman perumahan (7.49 %)
  • kad kredit (5.50 %).
Perkara yang meruntun hati kita adalah apabila statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan kaum yang paling ramai muflis ialah Melayu 39.76%. Jelas kaum Melayu itu pastilah di kalangan umat Islam!

Menurut Utusan Malaysia pada 19 Januari 2012, kajian awal yang dilakukan oleh FOMCA terhadap 100 individu mendapati golongan tersebut menghabiskan 30% daripada gaji mereka untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak setiap bulan.

Umat Islam juga dalam senarai muflis
Menurut laporan berita dalam http://www.muslimconsumer.org.my , had minimum jumlah hutang yang gagal dibayar bagi membolehkan petisyen kebankrapan dibuat bakal ditingkatkan daripada RM30,000 menjadi RM50,000.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong telah menyatakan, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi sedang berusaha memperbaharui perundangan berkaitan insolvensi sedia ada termasuk meningkatkan had minimum jumlah hutang gagal dibayar yang membolehkan petisyen kebankrapan dibuat. Walaupun ia kelihatan membantu para penghutang daripada mudah dijadikan muflis, akan tetapi ia hanyalah remedi jangka pendek tanpa menyelesaikan akar utama permasalahan hutang rakyat yang semakin membimbangkan.

Berdasarkan rekod, sebenarnya Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh lima tahun dari 2007 hingga Mac 2012 telah menguruskan 85,175 kes kebankrapan.
Daripada jumlah tersebut,
  • sebanyak 2,374 kes atau 23.9% terdiri daripada pekerja swasta,
  • 10, 203 kes melibatkan peniaga,
  • 7,134 kes pekerja sendiri,
  • 2,482 golongan profesional,
  • 2,345 sektor awam,
  • 2,300 tidak bekerja,
  • 535 pesara kerajaan,
  • 128 hiburan,
  • 139 pelajar dan
  • 36 ahli sukan
  • manakala 39,499 kes pula melibatkan pekerjaan-pekerjaan lain atau tiada maklumat.
Statistik di atas dibongkar oleh Vui Keong  apabila menjawab soalan  Datuk Syed Ibrahim Kader dan Datuk Boon Som Inong yang membangkitkan isu kebankrapan dalam Dewan Negara.
Menurut beliau lagi, antara punca individu diisytihar muflis adalah;
  • Sewa beli kenderaan yang melibatkan 21,796 individu atau 25.59%,
  • pinjaman peribadi sebanyak 12,547 orang atau  14.73%
  • Pinjaman perumahan seramai 12,098 orang 14.20%
  • Pinjaman perniagaan 9,865  atau 11.58%,
  • Penjamin korporat 4,076 kes  atau 4.79 %
  • Penjamin sosial 4,507 atau 5.29 %
  •  hutang kad kredit 3,523 4.14%
  •  hutang cukai pendapatan 775 atau 0.91%
  •  pinjaman pelajaran 161 atau  0.19 %
  • Lain-lain sebanyak 15,827 kes  atau 18.58%.

Jika ditinjau dari tahap kedudukan, punca muflis rakyat Malaysia adalah permasalahan pembelian kenderaan. Kenderaan adalah keperluan asasi manusia hari ini. Suatu plan harga kenderaan mampu milik perlu dirangka oleh kerajaan untuk menangani krisis muflis di kalangan rakyat. Muflis adalah antara cabaran besar sesebuah negara yang bercita-cita untuk menghasilkan suasana ‘knowledge driven economy’ serta negara yang berpendapatan tinggi.
Laman http://mynewshub.my melaporkan  satu kajian oleh Pusat Kajian dan Sumber Pengguna (CRRC) mendapati kira-kira 47 % golongan pekerja muda di Malaysia mengalami masalah hutang yang serius. Impak besar permasalahan ini cukup ketara. Bayangkan pekerja muda yang masih muda dalam alam rumahtangga serta masih belum kukuh dari aspek kewangan telah terjerat dalam lembah hutang. Masalah sosial, krisis rumatangga serta statistik penceraian rumahtangga pasangan belia Islam mungkin berkaitan secara langsung dengan krisis hutang di kalangan belia ini.
CRRC melalui satu kenyataan media sebelum ini juga memberitahu, kajian terhadap perilaku dan sikap pekerja muda itu mendapati 47 % pekerja muda mempunyai beban hutang bulanan 30 % atau lebih daripada pendapatan kasar.

Kira-kira 37% daripada golongan pekerja muda tempatan pula mengakui berbelanja di luar kemampuan dan 15 % pula tidak mempunyai simpanan langsung.
Bagaimana pula dengan golongan veteran? Kini  60 % daripada mereka tidak begitu berpuas hati dengan persediaan masa tua yang dimiliki.

Kajian juga mendapati secara purata, pembelian golongan pekerja muda menggunakan kad kredit ialah RM702 sebulan dan 37% mereka tidak pernah terfikir tentang persediaan untuk persaraan.
Walaupun penyelesaian beberapa permasalahan diperingkat eksekutif amat diperlukan, rakyat terutama di kalangan belia Islam perlu terus memperjuangkan gaya hidup sederhana, berjimat cermat dan menentang sama sekali gaya hidup yang mementingkan kemewahan, pembaziran dan pemborosan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...