Pembaca Setia

Thursday, August 15, 2024

TEGAHAN SUKA BERDEBAT MENURUT KITAB AYYUHAL WALAD DAN BIDAYATUL HIDAYAH

 



TEGAHAN SUKA BERDEBAT MENURUT KITAB AYYUHAL WALAD DAN BIDAYATUL HIDAYAH

Muhammad Nuruddin Bashah

Muqaddimah

Berdebat asal hukumnya harus berdasarkan keperluan dakwah surah al Nahl ayat 125. Namun ia mudah bertukar makruh dan haram apabila debat bertukar menjadi bertengkar pada bukan tempatnya. Selain dilarang dalam agama, bertengkar juga memberi kesan kepada emosi dan kesihatan mental. Kesan bertengkar  terhadap kesihatan mental boleh dikaitkan dengan peningkatan tekanan, kebimbangan (anxiety), kemurungan (depressi), dan kehilangan harga diri (termalu). Pergaduhan berterusan boleh meningkatkan hormon tekanan seperti kortisol dan adrenalin, menyebabkan gejala sakit fizikal seperti sakit kepala dan masalah tidur. Selain itu, pergaduhan kerap juga boleh mencetuskan gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan, serta merosakkan hubungan dengan orang lain. Hujah yang tidak dapat diselesaikan boleh menyebabkan perasaan tidak berharga dan hilang keyakinan diri. Selain itu,  masalah kesihatan mental pun dapat bertambah teruk akibat pergaduhan yang kerap. Oleh itu, penting untuk mengelakkan pertengkaran berlebihan dan belajar menyelesaikan konflik dengan cara yang sihat, seperti komunikasi terbuka dan mencari persefahaman bersama. (Bernama, 2023)

Bahan rujukan awal marilah kita teliti makna hadis berikut.Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ

 “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. [Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47)]

Isunya adakah Islam menghalang berdebat? Bukankah Imam al Syafie, Imam Hanafi, para mutakallimin, ulama’ hadis juga berjidal (berdebat) serta berhujah untuk menyebarkan ilmu mereka?  Debat bagaimana yang dicela Islam melalui nas-nas yang agak banyak boleh diperolehi? Kita tahu mereka berdebat, yang kita tak tahu ialah akhlak mereka. Kita seolah-olah tidak terkesan atai sincronizedengan akhlak mereka semasa berdebat.

Hadith di atas menyatakan bahawa mereka yang mendapat hidayah tidak akan tersesat selagi mereka tidak gemar berdebat. Perdebatan sepatutnya untuk menegakkan kebenaran dan memberi ilmu kepada orang lain. Penting untuk sentiasa mengikut jalan hidayah dan menghindari perdebatan kosong yang boleh menjauhkan seseorang dari kebenaran. Sifat ta'assub dan perdebatan tanpa adab adalah tidak disokong dalam agama.

Dalam bahasa arab berdebat ada beberapa kalimah yang hampir sama.

Bertengkar : المِرَاء

Berdebat dan membantah: الجِدال

Pertengkaran, perkelahian lisan, permusuhan lisan: الخُصُومة

Ciri-ciri debat menjadikan kita sesat:

  • Debat dalam bentuk bukan dengan ihsan

وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Surah an-Nahl (125). Jika tiada ciri ayat ini bermakna debat itu bukan lagi ihsan sebaliknya membuahkan pertengkaran.

  • Debat dengan unsur bertengkar

وعن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏ …..وإذا خاصمَ فجرَ ‏"‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Nabi sebut 4 tanda munafik ....dan apabila dia bertengkar (debat), dia berkelakuan jahat (tidak berhemah, biadab, menghina)."

  • Debat yang keras sehingga mengeraskan hati walupun debat ilmu.

Imam Malik rahimahullah berkata,

الْمِرَاءُ فِي الْعِلْمِ يُقَسِّي الْقُلُوبَ وَيُوَرِّثُ الضَّغَائِنَ

“Berdebat dalam ilmu akan membuat keras hati dan mewariskan dendam.” (Mukhtashar Tarikh Dimasqa Hal)

  • Debat yang mengakibatkan banyaknya musuh bertambah hari ke hari.

Nabi Sulaiman ‘A.S  berkata kepada anaknya,

يَا بُنَيَّ، إِيَّاكَ وَالْمِرَاءَ، فَإِنَّ نَفْعَهُ قَلِيلٌ، وَهُوَ يُهِيجُ الْعَدَاوَةَ بَيْنَ الْإِخْوَانِ

“Wahai anakku, tinggalkanlah mira’ (jidal, mendebat karena ragu-ragu dan menentang) itu, karena manfaatnya sedikit. Dan ia membangkitkan permusuhan di antara orang-orang yang bersaudara.” (Syu’abul Iman: 8076 Al-Baihaqi)

  • Debat yang menghasilkan taasub.

قُلْ يٰٓاَهْلَ الْكِتٰبِ لَا تَغْلُوْا فِيْ دِيْنِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوْٓا اَهْوَاۤءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوْا مِنْ قَبْلُ وَاَضَلُّوْا كَثِيْرًا وَّضَلُّوْا عَنْ سَوَاۤءِ السَّبِيْلِ

“Katakanlah (Muhammad), “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti keinginan orang-orang yang telah tersesat dahulu dan (telah) menyesatkan banyak (manusia), dan mereka sendiri tersesat dari jalan yang lurus.” (Al Maidah 77)

Salah laku debat banyak berlaku hingga debat dan berhujah bertukar menjadi majlis:

  • Mengaibkan
  • Memperleceh peribadi (falasi berleluasa)
  • Menganjing dan mengejek

Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, terdapat 3 konsep perdebatan dalam Islam: Al-Munazarah untuk mencapai kebenaran, Al-Jadal untuk menekan lawan dan menentukan keputusan, dan Al-Mukabarah untuk mengalih topik atau mencapai tujuan yang tidak membantu kepada kebenaran.

Al-Mukabarah merujuk kepada perdebatan yang tidak bertujuan mencapai kebenaran, tetapi untuk mengalihkan topik atau mendapatkan populariti. Ini bertentangan dengan perdebatan Islam yang seharusnya mencari kebenaran melalui dialog yang beradab. Al-Mukabarah sering kali berfokus pada persaingan daripada penemuan ilmu, menjadikannya lebih sebagai pertunjukan daripada pencarian kebenaran. Inilah metod yang paling banyak dalam politik dan diamal juga oleh para asastizah atas nama menegakkan kebenaran.

Kaedah ada menyebutkan bahawa:

الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَةَ.

 Tujuan (yang baik) tidak menghalalkan cara (salah) yang digunakan seseorang.

Akibat ghairah mahu menegak kebenaran kita bertengkar dengan kasar sesama Islam ia amat merosakkan agama kita.

Cukuplah pihak ahli politik melakukan debat di Parlimen dan ia kekal berpahala selagi mana debat itu tida disebar luas sebagai bahan mengapikan perpecahan umat Islam. Kita sebagai rakyat biasa sedaya upaya elakkan berdebat dan bertengkar.

 

Berbeza pandangan dalam agama sejauh mana perlu berdebat?

Al-Qur’an menyebut berhubung dengan perbezaan pendapat ini melalui Surah Hud 118-119,

وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ١١٨  إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

 Jikalau Tuhanmumu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berikhtilaf (berselisih pendapat). Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka … .” 

Realiti yang berlaku hari ini jelas menunjukkan perbezaan pendapat juga wujud di kalangan umat Islam dan jika Allah SWT mahu, Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan umat Islam mempunyai satu pandangan saja.

Kita perhatikan bentuk debat yang paling banyak berlaku dalam masyarakat kita.

  1. Debat isu bidaah, isu aqidah 1000 tahun silam.

Menurut Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Saadan Man, isu bidaah yang dilihat tidak ada noktahnya,dan isu  bidaah sudah dibahaskan ulama silam sejak ribuan tahun dahulu dan isu ini  dianggap sebagai isu kitar semula atau ulang tayang itu tidak akan ada kesudahan selagi ia diperdebatkan oleh pihak yang menyokong dengan yang menentang. (Hasliza, 2016).

Sekiranya ia dijalankan atas matlamat mencari kebenaran, maka ia merupakan satu jalan yang harus, malah ada ketikanya boleh menjadi sesuatu yang dituntut. Dalam konteks tradisi keilmuwan, perdebatan berlaku dalam kalangan ilmuwan mengenai mauduk-mauduk besar yang menyangkut hal-ehwal agama dan peradaban. perdebatan penting antara Abu Sa’id al-Sirafi dengan Abu Bishr Matta bin Yunus tentang keutamaan antara dan nahu bahasa dan logik di hadapan Wazir di Baghdad pada tahun 932M. (Mohd. Farid, 2020). Alangkah baiknya debat ilmu yang tiada nokhtah, ilmu khilafiyah, ilmu tinggi-tinggi tidak dibuka kepada awam. Asatizah sekarang semakin tidak boleh mengawal nafsu berdebat dan berhujah sehingga orang awam menganjing agama sendiri akibat terukut ikut sikap para agamawan sendiri.

 

  1. Debat hal rumahtangga sehingga ke media sosial.

Tidak cukup berdebat di pejabat, bertengkar di media sosial, balik ke rumah  perdebatan berlaku antara suami dan isteri mengenai pelbagai perkara yang berkait kehidupan berkeluarga pula. Bertengkar lidah dalam keluarga boleh memberi kesan besar kepada kehidupan keluarga, menjejaskan hubungan antara ahli keluarga dan kesejahteraan emosi mereka. Pertengkaran ini boleh menyebabkan tekanan emosi dan psikologi kepada semua ahli keluarga terutamanya kanak-kanak yang boleh memberi kesan kepada perkembangan mental dan emosi mereka. Ia juga boleh menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara suami dan isteri atau antara ibu bapa dan anak-anak, mengubah cara mereka berinteraksi dan mewujudkan jarak emosi. Kanak-kanak yang menyaksikan pertengkaran mungkin meniru tingkah laku dalam hubungan masa depan mereka, yang membawa kepada kesukaran dalam memupuk hubungan yang sihat. Adalah penting untuk menyelesaikan konflik dengan cara yang membina untuk mengelakkan kesan jangka panjang terhadap hubungan keluarga dan kesejahteraan anak-anak.

 

  1. Debat hal politik sehingga semua hal menjadi isu perpecahan

Debat asalnya isu yang benar dan ada asasnya bertukar menjadi maki hamun, mengejek-ngejek dan mengeraskan hati para penyokong masing-masing. Langsung tidak bertepatan kata-kata hikmah daripada Imam al-Syafie RA:

مَا جَادَلْتُ أَحَدًا إِلَّا تَمَنَّيْتُ أَنْ يُظْهِرَ اللهُ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِهِ دُوْنِيْ

 “Aku tidak akan berdebat dengan seseorang melainkan aku  engharapkan Allah SWT mengzahir kebenaran di atas lidahnya berbanding diriku”. (Noor, 2017)

مَا نَاظَرْتُ أَحَدًا قَطُّ عَلَى الْغَلَبَةِ

Maksudnya: “Aku tidak pernah berdebat untuk mencari kemenangan”. (Noor, 2017)

Politik selalunya mengadakan debat untuk menang isu. Berjaga-jaga wahai ahli politik Islam agar kita tidak melampau dalam aktiviti debat  dan berhujah.

Kenapa ikut Imam Ghazali

Imam Al-Ghazali menekankan kepentingan mengawal pertuturan bagi mengelakkan kerosakan akhlak dan perpecahan sosial. Beliau mengenal pasti banyak  bahaya yang berkaitan dengan bercakap berlebihan, perdebatan, dan gosip. Al-Ghazali mengesyorkan "berdiam diri secara aktif," hanya bercakap yang baik dan bermanfaat, sebagai cara untuk mengelakkan bahaya ucapan. Berdiam diri bukanlah untuk menjadi seorang yang pasif tetapi sebagai  cara untuk menumpukan perhatian kepada mengingati Allah dan mengelak daripada bercakap kosong. (Mansur, D.,2018).

Imam Al-Ghazali mengenal pasti  banyak bahaya yang berkaitan dengan penggunaan lisan, yang jika tidak dikawal boleh memberi kesan negatif baik dari segi moral dan sosial. Berikut adalah senarai tersebut:

  1. Bercakap berlebihan: Bercakap tanpa tujuan yang jelas.
  2. Menfitnah.
  3. Perbincangan panjang tentang perkara palsu: Membincangkan isu yang tidak berguna.
  4. Hujah sia-sia: Terlibat dalam hujah yang tidak produktif.
  5. Pertengkaran: Menangani konflik lisan yang merosakkan.
  6. Mengeluarkan suara dari kerongkong anda dengan mengada-adakan menjadi fasih: Cuba untuk berbunyi pintar tanpa bahan.
  7. Menyebut perkara yang keji: Menggunakan kata-kata kasar atau makian.
  8. Melaknat.
  9. Hiburan atau puisi sia-sia): Menghabiskan masa dengan hiburan yang sia-sia.
  10. Bergurau: Bercakap dengan cara yang tidak serius, yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
  11. Mengejek: Menghina orang lain melalui jenaka.
  12. Menyebarkan rahsia: Mendedahkan maklumat yang sepatutnya dirahsiakan.
  13. Janji palsu: Berjanji tetapi tidak menepatinya.
  14. Mengumpat: Bercakap buruk tentang orang lain di belakang mereka.
  15. Bergaduh satu sama lain: Mencipta perpecahan antara orang lain.
  16. Bahaya memuji: Memberi pujian yang tidak ikhlas atau berlebihan.
  17. Mengatakan sesuatu yang tidak penting: Menghabiskan masa bercakap tentang perkara remeh.

Larangan suka berbantah-bantah dan bertengkar dalam Bidayatul Hidayah

Bidayatul Hidayah sebuah kitab arab sering dijadikan rujukan dalam pendidikan di pondok khususnya dalam konteks pengajaran akhlak dan tasawuf. Buku ini bukan sahaja berfungsi sebagai panduan beribadat, tetapi juga sebagai alat untuk membentuk akhlak dan akhlak pelajar. Dalam banyak masyarakat, buku ini dipelajari sebagai sebahagian daripada proses pengukuhan iman dan amal soleh.  Bidayatul Hidayah merupakan karya yang sangat berpengaruh dalam tradisi Islam di Malaysia dan Indonesia dan dalamnya, Imam al-Ghazali berharap setiap individu dapat mencapai permulaan hidayah dan menjadi insan yang lebih baik.

Matan Bidayatul Hidayah menyatakan:

الرابع: المِراءُ والجدالُ ومناقشةُ الناسِ في الكلام؛ فذلك فيه إيذاءٌ للمخاطَبِ وتجهيلٌ له وطعنٌ فيه، وفيه ثناءٌ على النفسِ وتزكيةٌ لها بمزيد الفِطَنَةِ والعلمِ. ثم هو مشوشٌ للعَيش، فإنك لا تُماري سفَيها إلا ويُؤذيكَ، ولا تُماري حليمًا إلا ويَقليكَ ويحقُدُ عليك، فقد قال صلى اللّه عليه وسلم: "من تَرَكَ المراءَ وهو مُبطلٌ بُنِى اللّه له بيتا في رَبَضِ الجنّة، ومن تَرك المراء، وهو مٌحِقٌّ بُنِى اللّه له بيتا في أعلى الجنّة"

Keempat: Berbalah, berdebat, dan berbincang dengan orang dalam pertuturan, di dalamnya terdapat kemudaratan kepada yang dituju, memperbodohkan  terhadapnya dan terdapat fitnah dalamnya, dan di dalamnya terdapat pujian untuk diri sendiri dan meensucikan dirinya dan menambah-nambah dirinya pandai dan berilmu. Kemudian bertengkar mengeruhkan hidup, kerana bila bertengkar  dengan orang bodoh dia akan menyakitimu dan jika bertengkar dengan orang sabar suatu hari nanti dia pun akan hilag sabar dan dendam denganmu. Kerana itu Rasulullah bersabda dalam hadis:

 من ترك المراء وهو مبطل بنى اللّه له بيتا في ربض الجنّة، ومن ترك المراء، وهو محقّ بنى اللّه له بيتا في أعلى الجنّة

“Sesiapa yang meninggalkan pertengkaran sedang dia salah, Allah akan membina untuknya sebuah rumah di pinggir syurga, dan sesiapa yang meninggalkan pertengkaran sedang dia benar, Allah akan membina untuknya sebuah rumah di bahagian yang paling tinggi dari syurga”. (Al Ghazali, 2016)

Namun penulis ada menyemak hadis yang lebih tepat bagi matan di atas adalah daripada Sunan al-Tirmizi. Penulis tidak katakan Imam Ghazali salah menulis matan hadith,  cuma setakat kemampuan penulis menyemaknya, matan di bawah yang boleh ditakhrij hadis yang semakna dengan matan Imam al Ghazali..

حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ الْبَصْرِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي فُدَيْكٍ، قَالَ حَدَّثَنِي سَلَمَةُ بْنُ وَرْدَانَ اللَّيْثِيُّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ مَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَهُوَ بَاطِلٌ بُنِيَ لَهُ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ وَمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بُنِيَ لَهُ فِي وَسَطِهَا وَمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ بُنِيَ لَهُ فِي أَعْلاَهَا ‏"‏ ‏.‏ وَهَذَا الْحَدِيثُ حَدِيثٌ حَسَنٌ لاَ نَعْرِفُهُ إِلاَّ مِنْ حَدِيثِ سَلَمَةَ بْنِ وَرْدَانَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ‏.‏

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Barangsiapa menjauhi dusta sedang dia memang bersalah, maka dibangunkan untuknya sebuah rumah di tepi syurga. Barangsiapa menjauhi pertengkaran sedang dia berada di pihak yang benar, maka dibangunkan untuknya sebuah rumah di tengah-tengahnya. Dan barangsiapa yang berakhlak mulia. , sebuah rumah akan dibina untuknya di ketinggiannya.”

Sambung Bidayatul Hidayah lagi:

و لا يَنبغي أن يَخدعك الشيطانُ ويقول لكَ أظهِرِ الحقَ ولا تُداهِن فيهِ، فإن الشيطانَ أبدا يستجِرُّ الحُمقِىَ إلى الشَرِ في مَعرَضِ الخيرِ، فلا تكُن ضُحكَةً للشيطان فيسخَرُ منك؛ فإظهارُ الحقِ حَسَنٌ مع من يَقبلَه منك، وذلك بطريق النصيحة في الخفية لا بطريق المضمَارَاةِ؛ وللنصيحةِ صفةٌ وهيئةٌ ويحتاج فيها إلى تلَطُفٍ، وإلا صارَت فضيحةً، وكان فسادها أكثَرَ من صلاحِها.

Syaitan tidak seharusnya memperdayakan kamu dan menyuruh kamu kononnya menunjukkan kebenaran dan jangan berlemah lembut padanya (musuh debat kamu), Sesungguhnya Syaitan selamanya akan  menarik orang-orang bodoh kepada kejahatan dengan buat kerja  kebaikan, maka janganlah kamu ditertawakan oleh  Syaitan lalu dia mengejek kamu; Menegak kebenaran itu adalah baik (jika) dengan mereka yang menerimanya daripada anda, iaitu dengan cara nasihat secara rahsia, bukan dengan cara bertengkar. Nasihat itu mempunyai caranya tersendiri dan perlukan kelembutan, jika tidak ia menjadi pendedahan aib orang, dan kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya.

 

Bidayatul Hidayah menegur keras sikap ulama’ dan ahli ilmu akhir zaman yang suka bertengkar:

ومَن خَالطَ متفقِهةَ العَصر غَلَبَ على طَبعِه المِرَاءُ والجِدالُ، وعَسُرَ عليه الصَمتُ، إذ أُلقِىَ إليه علماءُ السوءِ أن ذَلك هو الفضلُ، والقُدرةُ على المُحَاجةِ والمناقشةِ هو الذي يَتمدِحُ به. فَفِرَّ منهم فِراركَ من الأسدِ، واِعلم أن المراءَ سببٌ المَقتِ عند اللّه وعند الخلقِ.

 Dan sesiapa yang bergaul dengan ulama kontemporari pada zaman itu, sifatnya dikuasai oleh berdebat dan berhujah, dan diam adalah sukar baginya, kerana bagi  ulama yang buruk bertengkar dan berhujah adalah perbuatan terpuji , dan keupayaan untuk berhujah dan mengeluar hujah  adalah terpuji. Maka larilah kamu daripada mereka sebagaimana kamu lari daripada singa, dan ketahuilah bahawa perbalahan (bertengkar itu) adalah punca kebencian di sisi Allah dan di sisi manusia ciptaan. (Al Ghazali, 2016)

Larangan suka berbantah-bantah dan bertengkar dalam Ya Ayyuhal Walad

Kitab Ayyuhal Walad merupakan karya terkenal Imam Abu Hamid al-Ghazali yang mengandungi nasihat akhlak untuk generasi muda. Ditulis atas permintaan murid-muridnya, buku ini mengandungi 24 nasihat penting merangkumi kehidupan rohani dan moral. Al-Ghazali menulis buku ini sebagai panduan praktikal untuk membimbing pembaca khususnya generasi muda untuk menjalani kehidupan mereka mengikut prinsip Islam yang betul. Nasihat dalam buku ini merangkumi kepentingan mengamalkan ilmu dengan niat yang ikhlas, menjauhi godaan dunia, menumpukan perhatian kepada kehidupan akhirat, dan menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Imam al-Ghazali menekankan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) sebagai langkah pertama untuk mencapai kehidupan yang diredhai Allah.

أَيُّهَا الْوَلَدُ، إِنِّيْ أَنْصَحُكَ بِثَمَانِيَةِ أَشْيَاءَ، إِقْبَلْهَا مِنِّيْ لِئَلَّا يَكُوْنَ عِلْمُكَ خَصْمًا عَلَيْكَ يَوْمَ القِيَامَةِ، تَعْمَلُ مِنْهَا أَرْبَعَةً وَتَدَعُ مِنْهَا أَرْبَعَةً، أَمَّا اللَّوَاتِيْ تَدَعُ

Wahai anakku, sesungguhnya aku memberi nasihat padamu dengan 8 perkara, terimalah itu dariku agar ilmumu tidak menjadi musuh bagimu pada hari kiamat, lakukanlah 4 perkara dari 8 perkara itu dan tinggalkan 4 perkara dari 8 perkara itu. Adapun perkara-perkara yang harus kamu tinggalkan :

فَأَحَدُهَا - أَلَّا تُنَاظِرَ أَحَدًا فِي مَسْأَلَةٍ مَا اسْتَطَعْتَ لِأَنَّ فِيْهَا آفَاتٍ كَثِيْرَةً فَإِثْمُهَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهَا إِذْ هِيَ مَنْبَعُ كُلِّ خُلُقٍ ذَمِيْمٍ كَالرِّيَاءِ وَالْحَسَدِ وَالْكِبْرِ وَالْحِقْدِ وَالْعَدَاوَةِ وَالْمُبَاهَاةِ وَغَيْرِهَا، نَعَمْ لَوْ وَقَعَ مَسْأَلَةٌ بَيْنَكَ وَبَيْنَ شَخْصٍ أَوْ قَوْمٍ وَكَانَتْ إِرَادَتُكَ فِيْهَا أَنْ يَظْهَرَ الْحَقُّ وَلَا يَضِيْعَ جَازَ الْبَحْثُ لَكِنْ لِتِلْكَ الْإِرَادَةِ عَلَامَتَانِ

[Pertama] janganlah kamu berdebat dengan seseorang dalam sesuatu masalah semampu kamu, kerana di dalamnya terdapat banyak bahaya, dosanya lebih besar daripada manfaatnya, kerana ia merupakan punca setiap akhlak yang tercela seperti riya', hasad (iri hati). ), kesombongan, dendam, permusuhan, kesombongan, dan lain-lain. Ya, jika ada masalah antara kamu dan antara seseorang atau kumpulan, dan keinginan kamu di dalamnya adalah untuk perkara hak untuk menjadi jelas dan menghapuskannya, maka tidak mengapa untuk membincangkannya, tetapi keinginan seperti itu mempunyai tanda-tanda:                                    
 إِحْدَاهُمَا أَلَّا تُفَرِّقَ بَيْنَ أَنْ يَنْكَشِفَ الْحَقُّ عَلٰى لِسَانِكَ أَوْ عَلٰى لِسَانِ غَيْرِكَ،

Salah satunya ialah kamu tidak boleh membeza-bezakan kebenaran yang terungkap pada lidah kamu atau pada lidah orang lain.

وَالثَّانِيَةُ أَنْ يَكُوْنَ الْبَحْثُ فِى الْخَلَاءِ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ أَنْ يَكُوْنَ فِى الْمَلَاءِ

Kedua, hendaknya pembahasan itu diadakan di tempat sepi lebih kamu sukai daripada di tempat ramai (terbuka yang boleh mengaibkan). . (Ghazzālī & Nadwi,, 1998)

 

Tambah Imam al Ghazali lagi berkenaan sikap sengaja menimbulkan soalan untuk menimbulkan permusuhan.

ثُمَّ اعْلَمْ أَنَّ مَرَضَ الْجَهْلِ عَلٰى أَرْبَعَةِ أَنْوَاعٍ : أَحَدُهَا يَقْبَلُ الْعِلَاجَ وَالْبَاقِى لَا يَقْبَلُ، أَمَّا الَّذِيْ لَا يَقْبَلُ الْعِلَاجَ فَأَحَدُهَا مَنْ كَانَ سُؤَالُهُ وَاعْتِرَاضُهُ عَنْ حَسَدِهِ وَبُغْضِهِ، فَكُلَّمَا تُجِيْبُهُ بِأَحْسَنِ الْجَوَابِ وَأَفْصَحِهِ وَأَوْضَحِهِ فَلَا يَزِيْدُ لَهُ ذٰلِكَ إِلَّا بُغْضًا وَعَدَاوَةً وَحَسَدًا، فَالطَّرِيْقُ أَلَّا تَشْتَغِلَ بِجَوَابِهِ،

Kemudian, ketahuilah bahawa penyakit kebodohan tergolong atas 4 jenis, salah satunya tidak boleh  menerima ubat dan selebihnya boleh menerima ubat. Adapun orang yang tidak dapat menerima ubat : Pertama, orang yang pertanyaannya dan pertentangannya kerana sifat hasad (dengki) dan amarahnya (emosinya). Setiap kali kamu menjawabnya dengan jawaban yang paling baik, paling fasih, dan paling jelas, maka demikian itu tidak akan bertambah kecuali amarah, permusuhan, dan dengki. Maha jalan keluarnya adalah kamu hendaknya tidak sibuk untuk menjawabnya. (Ghazzālī & Nadwi,, 1998)

Ada kaedah menyokong matan Imam al Ghazali di atas.

 تَرْكُ الْجَوَابِ عَلَى الْجَاهِلِ جَوَابٌ

Meninggalkan jawapan kepada pertanyaan  si  jahil adalah jawapan juga kepadanya.

Jika kita teruja menjawab semua orang awam atau yang bernada jelek makan persoalan itu menyebabkan kita:

  • Naik Ammarah.
  • Meluap-luap ingin bercakap atau menaip jawapan di media sosial.
  • Marah apabila jawapan kita tidak diendahkan.
  • Akhirnya menjatuhkan martabat ilmu yang sedang kita bahas itu pula.

Kehebatan orang yang diam

Lalu Imam Syafi'i berkata :

ﻭَﺍﻟﻜَﻠﺐُ ﻳُﺨْﺴَﻰ ﻟَﻌَﻤْﺮِﻯْ ﻭَﻫُﻮَ ﻧَﺒَّﺎﺡُ

"Apakah kamu tidak melihat bahawa seekor singa itu ditakuti lantaran ia pendiam? Sedangkan seekor anjing dibuat permainan karena ia suka menggonggong (bising) ?" (Diwan As-Syafi’i karya Yusuf Asy-Syekh Muhammad Al-Baqa’i) (Rozi, 2018)

 

Rasulullah saw pernah ditanya tentang siapakah sebaik-sebaik seorang Muslim itu, maka jawab baginda Nabi:

مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“(Mereka) yang memberikan rasa aman kepada saudara Muslim-nya daripada gangguan lisan dan tangannya.” (riwayat Bukhari)

Mulut orang beriman semestinya tidak merosakkan masyarakat walaupun konon dia seorang berilmu.

Nabi s.a.w telah memberikan amaran tujuan guna ilmu untuk berdebat orang jahil:

عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ  سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ طَلَبَ العِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ العُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ.

(maksudnya): Daripada Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku mendengar RasululLah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orangramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka”. (Riwayat al-Tirmizi)

Istilah لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ untuk bertengkar dengan orang jahilialah  berhujah dan bertengkar dengan mereka (orang jahil)  secara sombong dan membanggakan diri (konon dia paling tahu)”.

Dari Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda;

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ،

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam. (riwayat Bukhari).

Kita rasa kita sahaja mampu ubah orang lain

Bertengkar ini wujud kerana kita merasakan tanggungjawab untuk memahamkan SEMUA manusia keliling kita secepat mungkin. Sebenarnya kita hanyalah perlu menasihati sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 272:

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk siapa yang dikehendaki-Nya” (Amenudden, 2019)

Dalam rangka menasihati, kita disuruh menasihati dengan hikmah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, ayat 125:

اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (Amenudden, 2019)

Kerana itu golongan Baba, guru pondok mereka mengelak dari majlis debat dan berpidato balas, mereka istiqamah mengajar sesuatu topik dari asas hingga lumat sahaja dan kebenaran pasti terangkat keana bilangan murid yang faham itu akan meningkat dan akan menimbulkan lebih banyak majlis seumpama itu juga kelak. Mereka tidak galak berPodcast, berforum, berbalas hujah di facebook. Mereka konsisten kaedah talaqqi musyafahah.

Petua menyebarkan kebenaran berdasarkan ayat 199 al A’raf

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman :

خُذِ العَفْوَ وَأْمُرْ بِالعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الجَاهِلِيْنَ

"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang jahil" (QS. Al-A’raf: 199). (Rozi, 2018)

  1. Maafkan musuh hujah kita sebelum kita berhujah
  2. Ceritakan kebenaran kita (ajak maruf) kerana kita yakin ajakan kita itu benar.
  3. Jika mereka mendesak dan melampau batas adab jangan berhujah lagi sebaliknya diamkan diri sahaja.

Penutup: Teruskan dakwah secara beradab.

Imam Al-Ghazali menekankan keutamaan berdiam diri sebagai aspek penting terapi spiritual dalam tasawuf. Terdapat beberapa keutamaan berdiam diri menurut Al-Ghazali. (Mansur, D.,2018).

Imam Al-Ghazali juga menyatakan bahawa dalam percakapan terdapat banyak bencana, manakala dalam diam ada keselamatan. Melalui diam, seseorang dapat mengelakkan pelbagai bahaya yang ditimbulkan oleh ucapan, seperti gosip, fitnah, dan perkataan yang tidak berfaedah. Diam dianggap sebagai satu bentuk zikir. Dengan mengawal lidah dan memilih untuk berdiam diri, seseorang itu boleh lebih fokus kepada ibadah dan zikir kepada Allah. Ini membantu untuk menjaga hati daripada terjerumus ke dalam dosa dan meningkatkan kedekatan kepada Allah. Berdiam diri secara aktif, bercakap hanya perkara yang baik dan berfaedah, boleh mengeratkan hubungan sosial. Dengan mengawal pertuturan, seseorang menjadi lebih disenangi oleh orang lain, seterusnya dapat membina persahabatan dan mengeratkan ikatan persaudaraan.

Dengan mengelakkan perbualan yang tidak perlu, individu boleh mencapai ketenangan dalaman. Berdiam diri membantu menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan, terutamanya dalam dunia yang penuh tekanan.

Berdiam diri membantu seseorang untuk lebih fokus kepada nilai kerohanian dan akhlak mulia. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai keredhaan Allah dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Justeru, menurut Al-Ghazali, diam bukanlah perbuatan pasif, tetapi amalan aktif yang mendatangkan banyak faedah rohani dan sosial.

Jumaat Bandar Puteri Jaya 16 Ogos 2024

Rujukan

Berbeza Pendapat Tanpa Perlu Bertelagah. RADIO IKIM INSPIRASI INFORIA ISLAMI. (n.d.). https://radio.ikim.my/berbeza-pendapat-tanpa-perlu-bertelagah/

Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran              24/07/2020, & Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran. (n.d.). Perdebatan Yang Baik Membawa Kemajuan. Official Website: Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). https://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2020/07/24/perdebatan-yang-baik-membawa-kemajuan/

Hasliza. (2016). Urus perbezaan Pendapat Secara Baik tidak bawa perpecahan. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2016/02/121330/urus-perbezaan-pendapat-secara-baik-tidak-bawa-perpecahan

Noor, U.M.M. (2017) Irsyad al-Hadith siri ke-112: Sikap Suka Berdebat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.  https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1104-irsyad-al-hadith-siri-ke-112-sikap-suka-berdebat

Rozi. (2018, September 2). Jangan berdebat dengan orang-orang bodoh. Jangan Berdebat dengan Orang-orang Bodoh | Hikmah ’. https://www.laduni.id/post/read/44686/jangan-berdebat-dengan-orang-orang-bodoh

Rahman, A., & Halim, A. (2019). Kajian Tasawuf Di Pesantren (Kajian Terhadap Pemikiran Tasawuf Al-Ghazali). Jurnal Pemikiran Dan Ilmu Keislaman, 2(1), 43-58.

Amenudden, A. A. A. (2019, January 27). Bab: Sampaikan Nasihat Dan Tinggalkan perdebatan. amenudden’s Blog. https://amenudden.wordpress.com/2019/01/27/bab-sampaikan-nasihat-dan-tinggalkan-perdebatan/

Ghazali , .. (January 01, 2017). Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam Menurut Taha Jabir Al-Alwani (1935 - 2016). Journal of Fatwa Management and Research, 2017 Vol.9, pp.39-59, 2017 Vol.9, pp.39-59, 1.

Ghazzālī, & Nadwi, A. A. A. B. A. (1998). Ayyuhal walad = Wahai Anakku Yang tercinta. Khazanah Banjariah.

Al Ghazali, A. H. M. (2016). Bidayatul Hidayah. Jabal Maraqy Sdn. Bhd.

 

solihin solihin, & Deden Mansur. (2018). Terapi Diam Dalam Tasawuf Al-Ghazali. Syifa Al-Qulub, 2, 12–20.

Hasanah, U. (2019). Terapi dalam Mengatasi Afaatul Lisan menurut Konsep Imam Al-Ghazali (Doctoral dissertation, UIN Ar-Raniry Banda Aceh).

TAMAM, B. Pemikiran pendidikan Al-Ghazali dalam kitab ayyuha al-walad.

Zulfunun, M. (2019). Jidal (Debat) Sebagai Salah Satu Metode Dakwah: Menimbang Dalam Perspektif Hukum Islam. Komunika: Journal of Communication Science and Islamic Dakwah, 3(2), 108-115.

Syah, A. D. M., Sholikhudin, M. A., & Yusuf, A. (2023). Konsep Pendidikan Karakter Al-Ghazali Dalam Kitab Ihya’Ulumuddin dan Relevansinya Terhadap Projek Penguatan Profil Pelajar Pancasila. Mudir: Jurnal Manajemen Pendidikan, 5(1), 118-135.

 

Maqfirah, M. (2014). MUJADALAH MENURUT AL-QUR’ AN (Kajian Metodologi Dakwah). Jurnal Al-Bayan: Media Kajian dan Pengembangan Ilmu Dakwah, 20(1).

Mansur, D. (2018). Terapi Diam dalam Tasawuf Al-Ghazali. Syifa al-Qulub: Jurnal Studi Psikoterapi Sufistik2(2), 68-74.

Saunri, J., Idris, M. R. M., & Bakar, S. S. A. Teori Kesopanan dalam Debat Politik Politeness Theory in Political Debate. Satu Kajian Kes BAB 5: Manifestasi Kepengarangan Harkat Maya dalam Menyantuni Seni Bahasa 33 melalui Tiga Tahap Akal Budi BAB 6: Nilai Positif dan Negatif dalam Bulan Islam sebagai Identiti Peradaban 44 Melayu, 83.

Bernama. (2023, June 4). Masalah kesihatan mental bertambah teruk kerana media sosial. Astro Awani. https://www.astroawani.com/gaya-hidup/masalah-kesihatan-mental-bertambah-teruk-kerana-media-sosial-422364

 

Wednesday, August 14, 2024

PENGGUNAAN ISTILAH FEUDALISME MELAYU OLEH SYED HUSSEIN ALATAS

 


 

PENGGUNAAN ISTILAH  FEUDALISME MELAYU OLEH SYED HUSSEIN ALATAS

ULASAN JURNAL : Syed Hussein Alatas: Pemikiran Kolonial dan Gagasan 'Feudalisme Melayu'

Terbitan :Jurnal  Akademika, Universiti Kebangsaan Malaysia

Penulis : Dr Azmi Arifin

Tahun: 2012

Pengulas : Muhammad Nuruddin Bashah

Kenali sumber pemikiran yang dibahas dalam artikel ini:

Mari kita kenali sumber pemikiran yang dikaji dalam artikel ini iaitu Syed Hussein Alatas. Beliau  adalah seorang intelektual terkemuka di Malaysia yang terkenal sebagai pengkritik sosial dan ahli politik yang berani. Beliau telah membuat sumbangan yang penting dalam bidang penulisan, dengan karya-karyanya yang menjadi rujukan penting seperti "Thomas Stamford Raffles – Schemer or Reformer?", "The Myth of Lazy Native", dan "Mitos Peribumi Malas". Beliau telah mempelopori kajian yang menarik tentang masalah dunia membangun, isu rasuah, watak tertawan, dan mitos peribumi malas. Syed Hussein mengkritik keras ideologi kolonial yang mencipta imej-imej buruk tentang masyarakat yang dijajah, terutama stereotaip peribumi malas. Beliau menegaskan bahawa watak peribumi malas hanyalah mitos yang berasaskan kepentingan kolonial. Meskipun begitu, beliau menerima penggunaan istilah 'feudalisme Melayu' dengan keraguan, kerana sukar untuk mencari konsep yang lebih sesuai untuk menjelaskan perlakuan tertentu terhadap watak peribumi Melayu.

Apa lagi sikap beliau? Alatas bukanlah seorang penulis yang terikat kepada pandangan kebangsaan yang sempit. Beliau tidak menafikan bahawa terdapat sifat-sifat negatif dalam masyarakat peribumi, tetapi beliau juga tidak menerima pandangan tersebut secara membuta tuli yang berasal dari prasangka zaman kolonial. Pendekatan beliau lebih bersifat kritis dan analitis, berusaha untuk memahami dan mentafsirkan realiti sosial tanpa terpengaruh oleh stereotaip yang telah diwarisi dari era penjajahan.

 

Tujuan artikel ditulis:

Artikel ini mengetengahkan sumbangan Syed Hussein Alatas terhadap kajian 'feudalisme Melayu', memberikan analisis tentang kesan penjajahan terhadap pemikiran orang Melayu dan asal-usul mitos peribumi malas untuk membenarkan penjajahan. Syed Hussein Alatas mengkaji konsep ini secara mendalam dalam tulisannya yang berjudul "Feudalism in Malaysia Society: A Study in Historical Continuity" pada tahun 1968. Pembaca dibantu memahami sejarah dan masyarakat di sebalik istilah 'feudalisme Melayu' serta pendekatan interdisiplin Syed Hussein dalam bidang sejarah, budaya dan politik. Walau bagaimanapun, terdapat kekeliruan konsep dalam definisi 'feudalisme Melayu' yang mungkin tidak mencerminkan realiti sosial Asia Tenggara secara keseluruhan.

 

Kritikan Dr Azmi terhadap gagasan Alatas:

Artikel ini juga mengkritik penerimaan konsep feudalisme oleh Syed Hussein dan menegaskan bahawa istilah tersebut mungkin merupakan satu lagi mitos kolonial yang digunakan untuk membenarkan penjajahan. Dr Azmi berusaha untuk memberikan perspektif yang lebih jelas tentang bagaimana ideologi kolonial telah membentuk pemikiran tentang masyarakat Melayu, serta mengajak pembaca untuk merenungkan kembali konsep-konsep yang diterima dalam kajian sejarah. Syed Hussein dianggap sebagai pelopor dalam kajian 'feudalisme Melayu' dan menjelaskan bagaimana pandangannya telah dipengaruhi oleh konteks kolonial.

Dr. Azmi berpendapat bahawa Alatas telah terlepas pandang atau bloeh dikatakan bermudah-mudah (tasahhul) dengan penggunaan istilah 'feudal' dan 'feudalisme Melayu' kerana dalam usaha menolak dakyah kolonial, Alatas kelihatan menjulang konsep itu  yang dicipta pada zaman kolonial, yang digunakan untuk membenarkan penjajahan British di negeri-negeri Melayu.

Pada pandangan DrAzmi, Alatas kelihatan seakan-akan mengakui tentang kesukaran untuk menemui satu konsep alternatif selain feudalisme melayu untuk  menggambarkan dengan jelas tentang perlakuan tertentu watak peribumi Melayu.

Wujudkah feudal di Tanah Melayu? Itulah persoalan awal sebelum berbahas legasinya iaitu psikologi feudal (taat melulu, takut pemerintah, jiwa hamba ynag masih kekal dalam kelakuan anak tempatan Malaysia kini)

 

Pihak yang semberono menggunakan istilah feudal untuk menyelar kepimpinan dan bangsawan Melayu:

Beberapa orang penulis seperti Chandra Muzaffar, Syed Husin Ali, dan Shaharuddin Maaruf menunjukkan sikap yang terlalu merendahkan nilai dan budaya bangsa Melayu serta terlalu mengagungkan kemajuan Barat yang dianggap penjajah. Mereka mengkritik pemimpin Melayu, bangsawan dan kerajaan yang dianggap korup dan ketinggalan zaman dengan menggunakan istilah 'feudalisme Melayu'. Pandangan mereka dipengaruhi oleh gambaran kolonial British tentang kelemahan orang Melayu.

Mereka (para penulis dia atas) merujuk catatan ciri-ciri yang dianggap "feudalisme Melayu" oleh askar British yang mana mereka ini mencatat dan memburuk para pembesar Melayu yang sedang diperangi. Ini digunakan sebagai dasar untuk mengkritik kepemimpinan dan sifat politik orang Melayu, meskipun untuk kemajuan mereka.

Pegawai kolonial British seperti John F. McNair dan Hugh Clifford menyebar imej-imej pembesar Melayu yang ganas, sultan-sultan Melayu yang tidak mahir memerintah, dan ekonomi negeri-negeri Melayu yang menurun disebut sebagai bersimpati dengan nasib orang Melayu yang tertindas. Inilah teks-teks utama yang dirujuk politik tertentu kemudiannya untuk menghentam bangsawan dan kepimpinan bangsa Melayu.

 

Kritikan Dr Azmi terhadap kajian Cheah Boon Kheng (1991):

Dalam kajin ini Cheah membentangkan kajian berdasarkan rujukan komprehensif yang merangkumi tulisan pegawai kolonial British dan Syed Hussein sendiri. Dalam karyanya pada 1991, Cheah berhujah bahawa feudalisme adalah satu konsep yang berguna untuk menjelaskan struktur sosial dan politik orang Melayu semasa era pra-penjajahan. Beliau menekankan bahawa hanya dengan memahami feudalisme kita dapat memahami mengapa kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu menghadapi kemelut, kemerosotan, dan perpecahan pada abad ke-19, akhirnya jatuh ke tangan British. Walau bagaimanapun, pandangan Cheah tidak memberikan pemahaman yang mendalam tentang konsep feudalisme, dan buktinya mengenai perpecahan 'feudal' di kalangan orang Melayu adalah kabur dan nampaknya dibina agar sesuai dengan naratifnya. Kejatuhan kerajaan Melayu Melaka disebabkan oleh penaklukan Portugis dan pengkhianatan penduduk serta pedagang asing. Konflik kepemimpinan dan perpecahan Melayu turut berlaku tetapi perpecahan feudal bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan keruntuhan Melaka. Faktor ini tidak ditangani oleh Cheah yang lebih fokus kepada perpecahan Melayu dan sikap yang dikatakan ‘feudal’.

 

Sebenarnya apa itu feudal?

Istilah ini datang dari Eropah maka sejarah eropahlah yang perlu dibahas. Feudalisme sering kali dikaitkan dengan penindasan, kemunduran, dan perhambaan. Pandangan negatif terhadap sistem feudalisme telah tersebar dalam masyarakat sejak lama. Buku "Feudalisme Eropah Barat Zaman Pertengahan" oleh Azmi Arifin (2015) ada menjelaskan perkembangan sistem feudalisme dari awal hingga keruntuhan politiknya yang mempengaruhi dunia. Feudalisme adalah sistem sosial di Eropa pada Zaman Pertengahan di mana penduduk diberikan tanah dan perlindungan oleh bangsawan sebagai balasan atas kerja dan perjuangan mereka. Sistem ini berkembang sejak abad ke-9 di Perancis setelah keruntuhan Empayar Rom Barat. Feudalisme muncul karena ketidakstabilan pemerintahan pusat yang membuat rakyat memilih perlindungan dari tuan tanah. Selain itu, kebutuhan akan tanah pertanian dan situasi tidak stabil seperti peperangan turut mempengaruhi lahirnya sistem politik feudalisme.

Wujudkah sistem feudal atau falsafah feudalisme di alam Melayu?

Beberapa elemen yang dikaitkan dengan 'feudalisme Melayu' seperti institusi kesultanan, penindasan ekonomi, dan perpecahan tidak semestinya merupakan aspek penting dalam konsep feudalisme. Pertanyaan juga timbul tentang sejauh mana elemen-elemen tersebut benar-benar wujud dalam masyarakat Melayu sebelum penjajahan British. Ini menunjukkan perlunya kajian yang lebih mendalam dalam memahami amalan 'feudalisme Melayu'.

Dalam sejarah Melayu, pegawai tidak pernah bercita-cita untuk merdeka atau mencabar kuasa istana. Mereka juga tidak berminat untuk merampas kuasa sultan atau takhta, kerana perlantikan sultan adalah berdasarkan kesucian keturunan, bukan kuasa politik. Kuasa pembesar bergantung pada restu dan sokongan istana. Gullick (1978) menjelaskan bahawa pembesar-pembesar lebih rela menerima hukuman daripada sultan daripada menentang baginda. Walaupun perselisihan dan perselisihan wujud di kalangan orang kenamaan, ia tidak membawa kepada huru-hara yang tidak terkawal. Tidak pernah ada sebarang percubaan oleh pegawai untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kerajaan yang bebas. Perang saudara hanya untuk mendapatkan kawalan bersatu di bawah sultan. Walaupun berlaku konflik, ia tidak pernah membawa kepada feudalisme atau huru-hara yang meluas dalam masyarakat Melayu.

Dakwaan tentang penindasan pemerintah terhadap rakyat bawahan di Melayu disalahgunakan dengan dibandingkan dengan zaman feudal di Eropah. Ramai mengaitkan perhambaan dan sistem kerah dalam masyarakat Melayu sebagai lambang penindasan, namun pandangan ini tidak tepat. Dalam sejarah kita, rakyat jelata yang berkerah sebenarnya adat bergotong royong dan bukan penindasan, malah dijadikan acara meriah pula. Tidak terdapat bukti jelas yang menunjukkan pembesar memaksa dan menzalimi rakyat jelata melalui sistem perhambaan dan sistem kerah dalam masyarakat Melayu zaman dahulu seperti sejarah Barat iaitu penindasan tuan tanah terhadap golongan serf pada zaman feudal di Eropah.

Apakah alternatif istilah feudalisme jika ingin berbahas perihal bangsawan dan sistem istana kita?

Menurut artikel ini, Alatas mengakui kesukaran untuk menemui konsep baru yang lebih sesuai untuk menggambarkan sifat-sifat masyarakat Melayu berbanding konsep feudalisme yang diambil dari sejarah Barat. Walaupun beliau menyedari bahawa konsep feudalisme tidak dapat diterapkan secara literal terhadap Asia Tenggara, namun beliau tidak menawarkan alternatif perkataan yang lebih tepat untuk menggantikan istilah 'feudalisme Melayu.  Ini mengakibatkan kekurangan dalam pemahaman yang lebih mendalam tentang masyarakat Melayu dan hubungan sosial mereka, disebabkan oleh ketidakjelasan dalam penerapan konsep feudalisme. Malah pengulas pemikiran ini iaitu Dr Azmi sendiri tidak menawarkan alternatif perkataan yang lebih tepat untuk menggantikan istilah 'feudalisme Melayu', tetapi lebih menekankan bahawa konsep tersebut seharusnya dikaji dengan lebih kritis kerana ia mungkin berasal dari ideologi kolonial yang bertujuan untuk menjustifikasikan penjajahan.

 

Saranan

Kajian ini boleh dikembangkan lagi dengan berusaha memperkenalkan istilah baru bagi feudalisme untuk menggambarkan sistem bangsawan dan istana Tanah Melayu.

 

Rujukan:

Arifin, A. (2012). Syed Hussein Alatas: Pemikiran Kolonial dan Gagasan ‘Feudalisme Melayu’. Akademika, 82(1), 21-30.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...