Pembaca Setia

Sunday, April 26, 2015

MALAYSIA DAN AGENDA PENJAJAHAN BUDAYA DAN AGAMA OLEH BARAT


Kertas Kerja Tamrin Siasiy
MALAYSIA DAN AGENDA PENJAJAHAN BUDAYA DAN AGAMA OLEH BARAT1
Muhammad Nuruddin Bin Bashah2
Meneliti tulisan Maryam Jameela dalam Digest Dian tahun 1979 bilangan 125 yang bertajuak Perhambaan Budaya cukup mengasyikkan. Pada penulis tulisan beliau bagaikan tulisan ahli nujum yang bijaksana walaupun tidak popular seperti nama peramal kontroversi Nostradamus kerana semua ulasan beliau telah terjadi di zamannya dan sedang memuncak di zaman kita tahun 2015 ini. Beliau memetik beberapa bukti di zamannya dan sebelumnya misalnya pandangan arketek penjajahan Sinai terkenal Lord Cromer.


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (be rita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang. Padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu karena kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalanKu dan mencari keridhaanKu (janganlah kamu berbuat demikian) ( al-Mumtahanah 60:1)
Penjajahan budaya suatu bentuk perhambaan berpanjangan
Penjajahan atau perhambaan budaya adalah suatu fenomena yang lebih dahsyat berbanding dengan penjajahan politik dan geografi kerana penjajahan budaya mencerminkan kejayaan sesuatu kolonialisasi.
Ibnu Khaldun dalam Al Muqaddimah ada menyatakan bahawa orang yang dijajah sentiasa ingin meniru penjajahnya dari aspek pakaian, lambang-lambang kebesaran, kepercayaan dan lain-lain adat kebiasaan.
Ibn Khaldun telah membahaskan masalah ini dalam karya agungnya: Mukaddimah. Betapa sebuah bangsa yang dijajah akan cepat lenyap dan sirna. Tinggal hanyalah puing-puing yang menjadi kenang-kenangang muzium untuk umat akan datang. Renunglah butir bicara beliau: “Suatu bangsa yang telah dikalahkan dan berada di bawah kekuasaan bangsa lain, akan cepat lenyap”.
Kerana bangsa yang terjajah selalunya akan mengalami kemunduran jiwa dan ketandusan ilmu. Mereka terjajah mindanya dan kosong jiwanya. Golongan yang dijajah secara normalnya akan cuba mengaitkan sifat kesempurnaan dengan pihak tuannya (penjajah).
Lebih malang apabila nasionalis Malaysia gemar memotivasikan servival politik dan legasi ketuanan dengan kata-kata yang dinaqal daripada Hang Tuah. “Tak kan Melayu hilang di dunia”. Adakah kata-kata ini merupakan khitob/nas daripada Allah atau Hadis? Allah tidak pernah berjanji untuk mengekalkan umat yang berkulit coklat dan hidung peset ini hingga akhir zaman. Sebaliknya telah banyak umat yang dilenyapkan seperti Aad dan Thamud3.
Lord Cromer yang menjadi arkitek penjajahn British di Mesir selama 25 tahun ada menulis pada akhir bukunya Modern Egypt 1908 bahawa polisi pemerintahnnya di Mesir adalah menadang penjajahan budaya adalah jauh lebih penting berbanding politik campur tangan secara langsung.
Kata Lord Cromer lagi, “walaupun orang Mesir itu jahil dan dituduh sebagai orang tidak mengenang budi, saya masih mengharapkan bahawa generasi Mesir sekarang dan akan datang akan mengenang dan terhutang budi bahawa bangsa Anglo-Saxon itulah yang mula-mula menyelamatkan Mesir dari perhambaan penindas mereka dan bangsa Anglo-Saxonlah yang mengajar hak asasi manusia, membuka epada kemajuan akhlak dan kebajikan ( mukasurat 196-197)”
Persatuan Pengguna Puau Pinang ada menyenaraikan senarai budaya tempatan Malaysia yang kian rosak akibat penjajahan budaya globalisasi dalam buku Haram Dalam Budaya Hidup.
  1. Budaya ranggi dan membazir - budaya kepenggunaan ala kapitalis.
  2. Ramadhan dikomersialkan- bazar Ramadhan, membeli belah Hari raya walaupun baru sehari berpuasa, membazir juadah berbuka, majlis berbuka sehingga tinggal solat maghrib
  3. Percutian - menyenarai lokasi perlancongan mewah serata dunia hanya kerana ingin sama tinggi dan sama rendah dengan orang lain.
  4. Kenduri kendara membazir - kenduri dengan adat yang melampau, adat membazir tidak lagi syar’i walaupun asalnya al adah al muhakkamah.
  5. Budaya fesyen, tabarruj - majalah semasa, rancangan TV yang menampilkan budaya anggun, solek dan kosmetik melampau.

Minda dijajah
Captive mind atau otak kaptif adalah istilah yang popular diwacana secara iomiah untuk meneliti simptom pihak, individu, pemimpin yang terpana dengan kehebatan Barat dan legasi penjajah. Namun penulis tidak bersetju apabila Felo Pelawat, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee menerangkan beberapa bentuk otak kaptif dengan mengaitkan keterlibatan dengan gerakan Islam menentang penjajahan sebagai salah satu simptom otak kaptif. Kata beliau;
Bentuk pertama ialah terpegun kepada kesarjanaan, pemikiran dan budaya dari Barat dengan sebahagian besar intelektual termasuk kepimpinan negara, senang bermegah dengan apa yang datang dari luar, khasnya Barat.
Bentuk kedua pula, fenomena minda dan watak tertawan dapat kita kesan dalam keterpegunan melulu pada zaman dakwah bersemarak sejak 1970-an sehingga mudah terpegun pada ideologi gerakan dakwah seperti al Maududi, Syed Qutb, Ismail Faruqi dan Mariam Jameelah” (Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein al-Attas)
Dielektik dengan serangan pemikiran penjajah yang menjadikan jiwa anak watan jiwa inferior dan keterhakisan nilai budaya dan agama adalah dengan munculnya mujaddid, para alim ulama’ yang menyusun strategi lebih komprehensif dan berencana dan menyertai pasukan ini tidak boleh dikatakan otak kaptif. Mungkin sedikit gejala dogmatik atau gejala ikut sahaja pandangan pemimpin berlaku dalam gerakan Islam tetapi selagi atas asas kebenaran, dalil yang sahih dengan sandaran yang kukuh, budaya keterikutan itu absah malah meluruskan saf untuk berhadapan dengan legasi penjajah.
Freemason adalah antara gerakan yang menyediakan pentas selesa untuk meneruskan legasi penjajahan budaya, agama dan minda di Tanah Melayu. Sumber wikipedia mendedahkan bahawa Tun Mahathir pernah dilatih oleh CIA selama beberapa bulan di Harvard, Amerika Syarikat dalam seminar anjuran Asia Foundation oleh Dr. Henry Kissinger, Setiausaha Negara Amerika dan pakar strategi Yahudi. Cara Tun menaiki kerusi PM dalam keadaan beliau pernah tersingkir daripada UMNO dan sebagainya cukup licik dan ia disedari oleh Tun Razak dan Tun Hussein Onn.
Pada 10 September 1982: Mahathir bercakap panjang lebar menafikan beliau dan Setiausaha Politiknya adalah ahli dan penyokong gerakan sulit Yahudi iaitu Freemason. Ini juga merupakan ucapan dasar sulung Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO ke-33 selaku Presiden. Dikatakan bahawa ahli Freemason telah menjadi pekerja sukarela pilihanraya UMNO sejak 1974 lagi. Pertubuhan Freemason di Malaysia adalah didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. 1977 : Pada tahun 1977 ia (freemason) mempunyai 55 perkumpulan (lodges) dan 2,984 ahli. Rakyat Malaysia amat cetek kesedarannya terhadap kebejatan Freemason!


Dasar pendidikan westofil yang merosakan
Maryam Jameelah juga memetik tulisan Dr William Hunter pada tahun 1871 bertajuk Our Indian Musalman: Are They Bound in Conscience to Rebel Against The Queen? , Kata Dr Hunter “ untuk menghancurkan semangat penentangan umat Muslim dan membuat mereka bersedia untuk menerima penjajahan tanpa batas maka penawarnya adalah pelajaran Inggeris....dengan langkah tidak mencampuri agama mereka”.
Jelas sistem pendidikan adalah sistem yang pertama diserang oleh penjajah Barat. Lihat sahaja takrifan buta huruf oleh UNESSCO. Golongan yang buta huruf rumi dianggap buta huruf sedangkan bangsa itu juga memiliki sistem tulisan sendiri umpama tulisan jawi di dunia Melayu. Dengan hanya mahir jawi UNESSCO anggap individu itu sebagai buta huruf. Tidak hairan apabila menteri Malaysia gamak meleburkan tulisna jawi daripada pelajar sekolah Melayu sekitar rahun 1960an dahulu.
Diletakkan Falsafah pendidikan barat melebihi konsep pengajain ta’dib (beradab) peninggalan ulama’ dahulu. Tidak dinafikan pelajaran moden itu efektif dan penting, tetapi sistem pendidikan itu juga mengimport budaya tidak menutup aurat, budaya buli, tidak menitik berat solat dan banyak lagi unsur sekular diselitkan dalam bahan bacaan.
Malah jika diteliti Falsafah pendidikan Islam hanya relevan di dalam kelas pendidikan Islam sahaja kerana falsafah itu akan terburai apabila pelajar memasuki kelas muzik mahupun pendidikan jasmani walaupun secara fitrahnya pendidikan tersebut boleh disepadukan atas nilai Islam.
Jika diteliti buku Pedagogy Of The Oppressed karya Paulo Freire4, beliau menyatakan tujuan pendidikan adalah untuk memanusiakan (humanize) manusia. Sebarang bentuk pendidikan yang menyah-manusiakan (dehumanize) manusia bukanlah pendidikan sebenar. Pendidikan yang diterap sepanjang kolonialisasi Barat adalah pendidikan mengejar markah, ingin buru kelas dan darjah yang tinggi, ingin mengejar kursusu di universiti yang mana silibus kampus kini ditetukan oleh majika industri, korperat dan milionare sesebuah negara.
Pandangan Paulo kelihatan ada nilai sepunya dengan maqasid syariat Islam diturunkan. Islam hadir adalah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan. Hakikat pendidikan dari perspektif Paulo Freire adalah pendidikan yang bertujuan untuk “membebaskan” dan “memanusiakan”. Membebaskan dari penindasan dan memanusiakan manusia yang kemanusiaannya telah di rampas oleh si penindas (dehumanisasi).
Menurut Paulo juga masyarakat tertindas sering mendapati wujudnya dua identiti dalam diri mereka: mereka bencikan penindasan yang berlaku ke atas diri mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka mengagumi penindas tersebut. Fenomena berlaku dalam senyap.
Justeru apabila berlakunya revolusi, golongan yang tertindas ini bangkit hanya untuk kembali menjadi penindas. Di saat ini, apa yang dicapai oleh golongan tertindas (kini penindas) ini bukanlah lagi ‘revolution’ tetapi ‘domination’5. Lihat sahaja sikap Lenin, Stalin, Mao Tze Tung, Pol Pot bagi aliran sosialis/komunis. Manakala sikap ramai pemimpin aliran kapitalis yang memuja demokrasi Amerika juga menjadi domination selepas diberi kuasa bukannya berjuang untuk mengembalikan keamanan.
Maka Paulo individu yang beraliran kiri merasakan perlunya memiliki sistem pedagogi pendidikan yang mengajar rakyat menentang kezaliman dalam masa yang sama mengekalkan keadilan dan jangan sesekali lupa diri dan kembali menjadi penzalim. Bukankah ini juga konsep Islam6? Pendidikan sebeginilah yang dibenci penjajah Barat yang menganut fahaman kapitalis dan komunisme.
Mohamed Hatta Abu bakar dalam artikelnya bertajuk Sistem Persekolahan Al Barat yang dsiar dalam Daiges Dian November 1978 menyatakan bahawa penjajah menerapkan pendidikan ala Barat yang merendahkan pendidikan Islam. Tingatan 6 misalnya hanya dikekalkan sejarah sahaja manakala pendidikan Islam dimansukhkan. Pelajaran sejarah pula hanya menghadam tarikh dan tahun sahaja tanpa membuat perkaitan rabbani dalam setiap kejadian sejarah yang berlaku. Pakaian pelajar diterapkan pakaian ala Barat yang bercanggah dengan nilai syariat Islam. Menutup aurat menjadi canggung, pelik dan memalukan.
Plan pendidikan ditentu oleh Barat-penjajahan bentuk baru.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membelanjakan RM270 juta untuk menggunakan khidmat tiga juru perunding Barat bagi merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 terutama bagi meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris.
Persoalannya ialah bukan sahaja peruntukan yang sangat tinggi dibayar untuk menghasilkan dokumen PPM dibayar kepada syarikat perunding luar , akan tetapi apakah setelah 56 tahun negara ini merdeka kita maseh memerlukan konsultasi orang luar untuk menghasilkan sistem pendidikan kita sendiri? Bukankah itu bentuk penjajahan baru? Jiwa inferior yang menyebabkan pemimpin Malaysia masih mahu bergayut dengan kerangka Barat yang sudah sendat diisi oleh penjajah suatu ketika dahulu.
Sastera Melayu Asli Dibunuh Penjajah
Sastera tradisional Melayu yang bersifat membina jati diri telah pupus akibat agenda tersembunyi kuasa penjajah7, demikian kenyataan jujur pakar sastera Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Noriah Taslim tahun lalu.
Prof Noriah, Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mendedahkan bagaimana penjajah telah menghapuskan sastera tradisional Melayu kerana ia merupakan perhubungan bangsa itu dengan kekuatannya iaitu Islam. Sastera melayu sinonim dengan Islam. Mujur ada ulama’ yang dianggap konservetif kaum Tua) yang mewariskan karya sejarah-sastera dalam tulisan jawi melaui kedah bertalaqqi seperti Kitab Hadiqatul Azhar, Tuhfat An Nafis, Bustanus Salatin dan lain-lain. Lantaran itu orientalis, sekularis dan Freemason amat memushi sistem pondok, konservetif dan bertalaqqi kerana ia punca kekalnya sesuatu ilmu sebegaimana para tabiin menggenggam erat ilmu hadis sehingga diperintahkan dibukan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.
Ini dilakukan oleh tali barut kuasa Barat pada suatu masa dahulu yang kini terus diagungkan sedangkan secara sedar atau tidak mereka inilah yang turut bertanggungjawab membunuh sastera Melayu.
Pihak SHTI British menyisihkan manuskrip Melayu traditional dalam abad ke-18 dan 19 hasil dari penyelidikannya. Usaha itu dilakukan semata-mata untuk melahirkan generasi yang memuja Barat dan Eropah di samping memadamkan identiti Melayu sebenar yang mempunyai budaya sejarah yang kaya.
Akibatnya Eropah diagungkan kerana dapat mendominasi separuh dunia dan Timur merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan kerana telah dijajah. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam Al Muqaddimah.
Pihak Eropah berjaya merendahkan kebolehan dan tamadun Melayu melalui cerdik pandai mereka yang mempersenda dan mencemuhkan sastera Melayu lama sebagai bahan yang tidak mempunyai seni dan bersifat dongeng.
Ini membuatkan orang Melayu menjadi malu dan menjauhkan diri dari sastera mereka hingga membantutkan perkembangan sastera itu. Sastera Melayu yang berkembang selepas kedatangan Islam ditohmah tidak mempunyai nilai kesusteraan dan seni
Tokoh Barat itu kemudian berdamping dengan penulis-penulis Melayu, yang kagum dengan penjajah misalnya
  1. Thomson North, Keasberry dan Stanford Raffles dengan Abdullah Munsyi,
  2. Robert Scott dengan Ahmad Rijaludin
  3. Butter Hunnings dengan Lau’din.
Mereka berjaya apabila tulisan jawi dikuburkan dengan skrip itu diubah kepada tulisan rumi. Hujah mereka ialah tulisan Jawi cacat kerana kekurangan vokal.
Agenda tersembunyinya adalah untuk melemahkan identiti Islam dengan orang Melayu yang menjadi tunggak kekuatan mereka. Ia juga tidak terkecuali melemahkan hubungan di antara orang Melayu dengan orang Arab. Tulisan yang menghasut orang Melayu agar jangan mendengar dan mendekati orang Arab seperti Hikayat Hikamat dan Hikayat Kapal Asap pula diagungkan.
Ironinya, manuskrip tradisional sastera Melayu yang telah diejek oleh mereka, dipunggut dari serata pelosok negara dan di angkut berkapal-kapal ke England untuk dikaji, diselidik dan difahamkan agar legasi penjajahan berterusan selama-lamanya.
Sehinggakan sekarang jika seseorang mahu mengkaji sastera Melayu tradisional dia perlu pergi ke Pejabat Rekod Awam di Kew Gardens London. Bukankah licik dan teliti rancangan penjajahan budaya dan ilmu yang dilakukan leh bangsa Anglo Saxon tersebut di bumi kita?
Tulisan mesra Al Quran dihakis
Kata Maryam Jameela lagi dalam makalah tersebut “ kita mesti menolak dengan keras sebarang cadangan untuk menulis bahasa Urdu dan bahasa Benggali dengan huruf Rumi atau lain-lain bahasa yang menjadi peruturan di negara kita..”
Lihat penjelasan oleh Shaikh Andullah Basmih dalam kertas kerja bertajuk Bahasa Melayu dan Tulisan Kebangsaan, Kongres Bahasa Melayu III,
"Tetapi walau bagaimapa pun di-tutup dan di-selimuti, di-da'ayah dan dipropagandakan, kedua2 tulisan ini mempunyai hakikat dan chorak yang tersendiri; tulisan Melayu yang berhurufkan Quran ia-lah lambang kebudayaan Islam, dan sa-balek-nya tulisan Rumi ia-lah lambang kebudayaan Barat, atau lebeh tegas lambang kebudayaan Kristian. Kerana hakikat yang terang-benderang ini-lah "UNESCO" menghantarkan pakar2-nya ka-seluroh dunia, untok mengembangkan tulisan Rumi di-bawah lindongan nama; Membasmi buta huruf".
Prof Noriah Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) berkata penghapusan tulisan jawi telah menghilangkan ikatan yang kukuh di antara identiti Melayu dengan Islam dan hubungan mereka dengan dunia Islam. Prof Syed Naquib Al Atas mengatakan bahasa Melayu yang diwarisi daripada Empayar Srivijaya adalah bahasa Islam kerana korpus bahasanya banyak menyimpan istilah bahasa Al Quran. Bahasa ini perlu dijalin semula dengan tulisannya yang menjelmakan atma dan nurani Islam dalam budaya Melayu.
Pengkalan tentera kuasa Barat hanya menjahanamkan tamadun Islam
Kata Maryam Jameela juga “ Kita harus menolak secara mutlak hak mana-mana kuasa luar untuk mengadakan pengkalan tentera di bumi kita”.
Namun Malaysia mengalu-alukan tentera Amerika mutakhir ini. Masyarakat Malaysia yang prihatin amat terkejut dan terkilan dengan kehadiran kira-kira 300 anggota tentera Amerika tiba di Terengganu bagi menjalani latihan tentera bersama-sama dengan Angkatan Tentera Darat Malaysia. Tentera Amerika tiba dengan sebuah pesawat boeing 777 yang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu malam Khamis , 11 September 2014.
Keselamatan negara berhadapan risiko bila tentera Amerika berada di bumi Malaysia kerana bukan sahaja Amerika berhajat berkongsi pengelamannya , akan tetapi segala maklumat yang diperlukan oleh Amerika terhadap keseluruhan aspek pertahanan Malaysia akan lebih mudah diperolehi dan boleh diakses secara langsung .
Amerika terbukti sebagai negara yang tidak mampu melindungi negara yang rapat dengannya. Buktinya dalam serangan Zinos elama 50 hari ke bumi Gaza, White House gagal memberi bantuan yang diminta oleh Israel malah belanjawan yang dilulud oleh Parlimen Israel sendiri telah tenat.


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
(A-li'Imraan 3:118)
Bantuan Asing
Tambah Maryam Jameela juga “ perlu kita menjauhkan bantuan negara-negara asing sama seperti kita menjauhkan taun”.
Misalnya pada 1998 sewaktu IMF bersetuju untuk menghulurkan pinjaman berjumlah AS$57 bilion kepada Korea, IMF telah meletakkan beberapa syarat termasuklah meningkatkan tahap penguasaan syarikat asing dalam syarikat yang disenaraikan daripada 26 peratus kepada 50 peratus8. Ini antara kes-kes kecil sikap menangguk di air keruh yang dilakukan oleh badan dana dunia berkenaan yang dikuasi Barat-Yahudi.
Isu 1MDB yang terkini adalah isu mencari bala apabila pemimpin negara kita meletak situasi ekonomi negara di korperat individu kapitalis tertentu dan bukan hak Parlimen lagi.
Individu yang berminda penjajah ini manipulator wang, hamba sistem ekonomi penjajah. Tan Sri Abdul Kadir Shiekh Fadzir dalam wawancara Harakah pernah menyatakan 1MDB gagal dari awal kepada kerajaan harapkan golongan ‘wheeler dealer’ dan bukannya usahawan sejati. Beliau pelik bagaiana bejt berbilion dipohon diluar Parlimen dan mudah pula Kabinet meluluskan tanpa bahas di Parlimen. IMF mengintai-intai adakah masih ada peluang untuk mereka menghulur tangan membantu negara yang berskandal teruk daripada Kepulauan Cayman hingga ke Bank Singapura. Bantuan bermakna bermulalah penjajah baru.
Pemimpin kerajaan mahupun Pakatan Rakyat perlu tahu dan sedar isu ini, jangan sesekali mengandu domba denga dunia Barat, Amerika dan sekutunya kerana segala pertikaian politik dalamana negara kita biarlah hanya kita yang berperanan. Jangan mudah mengadu itu dan ini dengan Presiden Amerika contohnya yang menanti peluang menjajah budaya negara kita dengan mendalam lagi.
Lihat bagaimana penjajah mulai masuk ke Tanah melayu hanya melalui isu ‘pertolongan’. Pada awalnya, Syarikat Hindia Timur Inggeris, SHTI (Syarikat British) yang ditaja Freemason Yahudi enggan campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Ini kerana SHTI adalah sebuah badan perniagaan yang hanya meletakkan penekanan kepada mengaut keuntungan melalui perdagangan secara aman damai. Dengan cara ini, SHTI berpendapat kemakmuran dapat dikecapi bersama oleh syarikat dan negeri-negeri Melayu. Menang dasar Freemason adalah mengaut keuntungan tas nama perdagangan, hak asasi dan kesamarataan dalam masa yang sama keuntungan mutlak ditangan mereka. SHTI juga menjadi dalang mengimport dan menyeludup hamba serata dunia, menculik anak watan dijadikan hamba, mengedar candu dan dadah ke tanah anak jajahan sekaligus menguasai ekonomi tempatan.
Pemimpin tanah melayu terlalu bijak sehingga terpaksa menggadai tanah, pulau dan wilayah sendiri hanya untuk melayan perang saudara sesama bangsa dan agama.
  • Lihat sahaja di Perak :
Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British untuk menghantar "seorang yang cukup berwibawa untuk membolehkan kewujudan satu sistem kerajaan yang baik di Negeri Perak". Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor. Surat daripada Raja Abdullah meminta bantuan British untuk membolehkan dia dilantik menjadi Sultan Perak digunakan sebagai pemunca oleh Sir Andrew Clarke untuk mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu. Siapa yang menjemput penjajah ke bumi Melayu?
  • Di Pulau Pinang:
Sultan Kedah pula meminta bantuan kententeraan Francis Light (anggota Freemason) untuk melawan Siam tanpa mengutamakan kesatuan ketenteraan Islam di Nusantara. Pada tahun 1786, Siam telah menakluki Patani dan mengancam Kedah. Oleh kerana membimbang serangan daripada kerajaan Siam, Sultan Abdullah (Kedah) menuntut bantuan ketenteraan daripada SHTI seperti yang terdapat dalam Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 sedangkan masih boleh dijalinkan kolaborasi ketenteraan Islam untuk menentang kaum Sukhotai ketika itu. Akibatnya Pulau Pinang menjadi Negeri Selat tidak bersultan hingga kini.
TPPA antara isu penjajahan budaya baru.
Generasi anak muda telah berhadapan dengan suatu perubahan sosial dan penjajahan budaya selepas proses globalisasi berlaku sejak era awal milenium.
TPPA adalah bentuk baru kehadiran globalisasi yang bejat tetapi secara terhormat, rasmi dan berkuasa kerana ia adalah perjanjian. Perjanjian ini adalah janji setia kita untuk menerima tanpa sekatan sebarang lambakan nilai, budaya dan agenda kapitalis antarabangsa. TPPA adalah bentuk batu globalisasi. J A Scholte (2002) dalam bukunya menyimpulkan globalisasi sebagai internasionalisasi, liberasi, universalisasi, westernisasi atau modernisasi (lebih banyak dalam bentuk Americanised) dan globalisasi sebagai penghapusan batas-batas kewilayahan (atau sebagai persebaran supra-teritotorialitas)9.
Filem tanpa tapisan adalah antara ombak besar yang bakal merosakan generasi muda. Seperti yang dinyatakan diatas, harta intelak dan copyright pengeluar filem dipertahan sehingga sebarang tindakan menapis dan mengurangkan babak yang merosakkan filem asal boleh disaman oleh pengeluar filem berkenaan.
PAS menentang penjajahan budaya
  1. Ketika Persidangan Alim Ulama’ pada 21 dan 22 Februari 1950 di Muar Johor anjuran Bahagian Ehwal Agama Islam dan Pendidikan (Ketua: Abdullah Fahim) terdapat usul - Menubuhkan kolej Islam.
  2. Mesyuarat Agong Tahunan ke-5 PAS pada 23,24 dan 25 Disember 1956 menyatakan;
    1. Kita hendaklah menuntut kemerdekaan negara dalam tempoh tidak sampai 1959.
    2. Bahasa kebangsaan Semenanjung Tanah Melayu adalah Bahasa Melayu dan ianya tunggal.
    3. PAS perlu beri peringatan kepada rombongan ke London agar tidak ketepikan hak Islam.
    4. Agama Islam perlu dijadikan panduan pemerintahan.
  3. Muktamar Kedua pada 25 Ogos 1953 di Madrasah Al Ulum, Batu 20, Bagan Datuk, Perak10.
    1. Mendesak kerajaan meluluskan mengadakan pelajaran agama Islam kepada anak-anak Islam di sekolah Inggeris dan dijadikan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan.
    2. Mendesak larangan menjual arak kepada orang Islam.
  4. Muktamar Ketiga diadakan pada 12 hingga 14 Ogos 1954 di madrasah At tahzib Ad Diniyah, Titi Serong, Parit Buntar, Perak dengan diketuai oleh Dr Abbas Alias11;
    1. Mengesahkan pindaan untuk tekad menubuhkan negara Islam Malaya.
    2. Menekankan keahlian PAS hanya untuk PAS tanpa dualisme seperti sebelumnya.
    3. Mengambil keputusan untuk terlibat dalam pilihanraya.
    4. Berkecuali daripada National Convention tetapi menyokong mana-mana gerakan untuk merdeka.
    5. Mewujud lagu rasmi PAS.
    6. Mendesak kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi.
  5. Sebaik sahaja Dr Burhanuddin Al Helmi memegang jawatan yang Dipertua PAS pada tahun 1956, beliau menegaskan;
    1. Dasar Kebangsaan negara perlulah Melayu.
    2. Mesti diakui bahawa kaum Melayu adalah tuan negeri ini.
    3. Satu sahaja bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu
    4. Islam adalah agama rasmi.
    5. Menentang jus soli. Kerakyatan perlu melalui majlis perundangan.
  6. Selepas merdeka, PAS masih lagi menegur kerajaan dan memberi saranan khusus untuk mempertingkat prestasi sekolah dan sistem pendidikan Islam. Mesyuarat Jawatankuasa Agung ke-3 pada 26 Februari 1959 telah mengambil ketetapan berikut;
    1. Menuntut kerajaan mengeluar dengan segera bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Tanah Melayu seperti yang dijanjikan.
    2. Mendesak kerajaan memperbanyak Sekolah Tinggi Islam di Tanah Melayu.
    3. Mendesak kerajaan mengadakan kelas agama untuk orang dewasa di setiap kampung dengan kos ditanggung kerajaan mulai 1959.
  7. Perjuangan Keranda 152
  8. Perjuangan menentang PPSMI
  9. Menentang APCO dan perunding Pendidikan.
  10. Menentang Hedonisme, K-POp, Hari Belia


Jitra 9.47 malam
18 April 2015


1 Dibentang di Tamrin Siasiy JPRK Sungai Petani di Markaz PAS Pulau Sepom Sungai Petani 24 April 2015
2 Penulis adalah Timbalan Ketua Penerangan DPPN Kedah dan Ketua Penerangan DPPK Sg Petani. Boleh dihubungi melalui : 017-6291368, jihadin82@yahoo.com, FB https://www.facebook.com/muhammad.bashah Memandangkan penulis memiliki core kerja dalam bidang penerangan maka, kertas berunsur penerangan isu semasa dipilih untuk siri tamrin Siasiy selain bahan-bahan tamrin yang bersifat haraki dibahas.
4 Paulo Freire Reglus Neves 19 September, 1921 - 2 Mei, 1997) adalah seorang pendidik Brazil dan ahli falsafah yang merupakan penyokong utama pedagogi kritikal. Beliau paling dikenali dalam bukunya Pedagogi daripada Tertindas, yang dianggap sebagai salah satu daripada teks asas pergerakan pedagogi kritikal. Freire lahir September 19, 1921 kepada keluarga kelas menengah di Recife, Brazil. Freire menjadi biasa dengan kemiskinan dan kelaparan semasa Kemelesetan Besar 1930-an. Pada tahun 1931, keluarganya berpindah ke bandar yang lebih murah daripada Jaboatao dos Guararapes, dan pada 31 Oktober 1934, ayahnya meninggal dunia. Di sekolah, dia akhirnya empat gred di belakang, dan kehidupan sosialnya berkisar bermain mengutip bola sepak dengan kanak-kanak miskin yang lain, yang daripadanya dia banyak belajar. Semua pengalaman ini akan membentuk kebimbangan beliau kepada golongan miskin dan akan membantu untuk membina sudut pendidikan tertentu beliau. Freire menyatakan bahawa kemiskinan dan kelaparan teruk menjejaskan keupayaan untuk belajar.
6 Kata Rub’I ibn ‘Amir daam perang Qadasiyyah “sesungguhnya allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada allah, dari penindasan agama-agama selain Islam kepada keadilan Islam , dari dunia yang sempit kepada dunia yang luas dengan kerahmatan Islam..”
10 Peringatan Mesyuarat Agung tahunan PAS kedua 1953


11 Peringatan Mesyuarat Agung tahunan PAS kedua 1954

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...