Pembaca Setia

Tuesday, February 3, 2015

UNSUR MODERNISME DAN LIBERALISME DALAM PERJUANGAN KAUM MUDA TANAH MELAYU



UNSUR MODERNISME DAN LIBERALISME DALAM PERJUANGAN KAUM MUDA TANAH MELAYU
Muhammad Nuruddin Bin Bashah


Pelajaran sejarah sekolah menengah dan tinggi kebanyakannya cukup mengangkat martabat perjuangan Kaum Muda di tanah Melayu. Mereka dikaitkan dengan pemikiran Islamik yang moderat, yang pragmatik dengan perkembangan sosial dunia yang berada dalam alam penjajahan serta dikaitkan dengan idea prgresif, produktif dan terkehadapan.

Kaum Muda ini juga dikaitkan dengan kejayaan meningkatkan keintelektualan orang Islam di negeri Selat khususnya dan negeri Semenanjung amnya. Kaum Muda yang rata-rata berketurunan arab dan india campuran ini juga cukup dijulang sebagai pencetus gelombang awal semangat nasionalis dan keinginan melepaskan negara daripada penjajahan British.

Kaum Muda ini juga dikatakan sebagai kaum yang berjuang mendekatkan orang melayu dengan kempen-kempen Pan-Islamisme yang dianjurkan oleh kerajaan Empayar Uthamniyyah.

  1. Benarkah mereka yang berhubungan erat dengan Khalifah Turki dan mengembangkan Pan Islamime di Nusantara?
  2. Benarkah mereka yang paling awal membawa kesedaran keintelektualan di Nusantara?
  3. Apakah beza mereka daripada salafi yang lain?
  4. Tahukah kita ada unsur modenisme dan westofil (kasihkan Barat) yang ada dalam kempen-kempen Kaum Muda?

Makalah ini cuba membawa satu perbahasan di luar kotak dalam menghidangkan hujah-hujah yang mungkin tersembunyi serta sepi dalam perbahasan intelektual hari ini.

Pan-Islamisme. Usaha menguatkan kesatuan Islam sampai ke Nusantara.
Pan- Islamisme atau Pan-Turki adalah suatu kempen luar negara yang dilancarkan oleh kerajaan Empayar Uthamniyah semasa penhujung abad ke 19 hingga kejatuhannya. Ia suatu kempen untuk emnyatukan umat islam untuk mendokong empayar Islam terakhir itu memandangkan terlalu banyak propaganda Barat terutama blok British, Amerika dan Yahudi antarabangsa yang berhasrat memecah belah negara-negara yang bernaung di bawah Uthmaniyyah.

Sheikh Ahmad Al fatani sebenarnya antara individu pertama yang menyahut seruan pan Turki ini serta menjadikan Mekah sebagai pusat penyebaran propaganda dan dakwah berkenaan.

Sheikh Ahmad yang merupakan rakyat Turki berketurunan Melayu pertama juga merupakan anak kelahiran Patani Darussalam serta menjadi kepercayaan kepada Sultan Turki keika itu.

Umat islam yang menunaikan Haji selalunya akan membawa risalah, bahan tulisan, pemikiran dan idea untuk disebarkan ke rumpun Melayu apabila pulang kelak. Tempoh perjalanan Haji yang panjang menajdikan para hujjaj berkesempatan untuk mewacana selumat-lumatnya idea bersatu menentang penjajahan Barat.


Apa itu Modenisme dan liberalisme?

Sebelum penulis mengaitkan gerakan Kaum Muda dengan pemikiran modenisme dan liberalisme ada baiknya kita teliti dahulu definasi dan pengertian dua istilah ini.

Aliran modenisme sebagai satu kerangka berfikir muncul dari latar sejarah yang kompleks dan tersendiri yang dialami oleh masyarakat Barat sekitar abad ke 16 hingga 18 masihi. Ia adalah natijah dari reaksi penentangan sekelompok manusia di Barat terhadap sistem budaya dan struktur berfikir masyarakat Kristian yang dianggap mengongkong1

Secara khusus, aliran modenisme ialah gerakan protes yang berasa kecewa dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi kelompok agama terhadap kebebasan dan hak-hak asasi individu dan masyarakat.

C.C Adams dalam bukunya Islam and Modernism in Egypt telah membincangkan modernisme Islam dengan mendefinisikan terma ini kepada beberapa karakteristik iaitu reformisme agama yang didominasi oleh pertimbangan-pertimbangan teologi yang bertujuan untuk membebaskan Islam dan menunjukkan Islam sebagai agama yang dapat diselaraskan dengan tuntutan kehidupan moden2.

Di dalam sejarah, telah terbukti bahawa proses modenisasi di negeri-negeri / negara-negara Islam telah bermula apabila jatuhnya pemerintahan Khilafah Uthmaniah di Turki pada tahun 1923 M. Sejak itu proses modenisasi menular dan merebak dimulai dengan pembaharuan dan permodenan yang dilakukan oleh pemerintah pertama bagi Turki moden iaitu Mustafa Kamal Attartuk dan beliau dianggap sebagai reformis modenis yang telah ternyata hasil usahanya bukan sahaja memisahkan agama daripada negara, bahkan lebih jauh daripada itu. Modenisme tidak dapat dipisahkan daripada sekularisme kerana asas idea moden adalah menghakis pengaruh agama dalam epistimologi, kehidupan dan pengamalan.

Liberalisme pula adalah berakar umbi dari Zaman Kesedaran (enligtment) Barat dan kini mengandungi pemikiran politik yang luas dan kaya dari segi sumber. Liberalisme menolak kebanyakan tanggapan asas dalam hampir semua teori pembentukan kerajaan awal seperti seperti hak-hak raja yang diberikan oleh tuhan menentang feudalisme), status yang berasaskan keturunan dan institusi-institusi agama. Liberal beranggapan sistem ekonomi pasaran bebas lebih cekap dan menjana lebih banyak kemakmuran3. Ramai tokoh pembaharuan agama sekitar era penjajahan memasukkan unsur liberalisme kerana ia adalah isi asas kepada dielektik pertembungan antara penjajah dan pihak yang terjajah. Ia merpuakan elemen asas bagi ketidakpuashatian masyaraat Islam terhadap kongkongan yang melanda anak bangsa mereka. Golongan kaum Muda yang kurang erat dengan istana serta berketurunan bukan elayu tulen juga mudah menyerap intipati liberalisme yang kurang menerima istana asebagai peindung masyarakat melayu yang terjajah. Pada pandang posiif, golongan ini merupakan pihak yang menyuntik andangan ‘di luar kotak’ kepada kaum Melayu yang hanya faham konsep feudal, taat dan patuh kepada Raja sehingga ketaatan itu menjalar kepada tuan mereka yang lain misalnya penjajah.

Kaum Tua mengasuh Kaum Muda4

Siapa sebenarnya yang menyokong Pan Islamisme Turki? Kaum Muda atau Kaum Tua? Sub-topik ini sebenarnya cuba menjawab persoalan tersebut. Dalam teks-teks sejarah teralu kerap mengaitkan Kaum Muda sebagai pengasas idea Pan Islamisme Turki sehingga menenggelamkan peranan ulama’ sejati seperti Sheikh Ahmad Al Fathani.

Dari sudut sejarah, pertumbuhan aliran Kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18 Masehi, iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787). Namun sebenarnya aliran reformasi ini sudahpun bermula jauh sebelumnya, iaitu ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai "the first and greatest Muslim reformer".

Perkembangan aliran salafi-islah di peringkat dunia dipecahkan pula kepada aliran yang giat menuntut kemajuan umat Islam iaitu aliran salafi-modenisme seeperti yang diperjuan oleh Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M) dan Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M). Namun begitu Rasyid Redha (1865M-1935M) yang merupakan murid Muhammad Abduh tidak pula membawa agenda modenisme sebaliknya kekal memperjuang salafiy yang lebih menjurus kepada haraki (gerakan islam)..

Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai Kaum Muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za'ba sendiri pun merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran Kaum Muda ini.

Penulis lebih berminat meletak nama-nama seperti Sheikh Syed Al Hadi, Haji Abbas dan lain-lain sebagai pemikir Islam dan bukannya ulama’ atas beberapa sebab unsur liberalisme yang diperjuangkan oleh mereka. Tidak dapat dinafikan sebenarnya memang wujud ulama’ salafi tulen dalam Tanah Melayu yang memperjuang agenda islah -salafi tanpa dipengaruhi modenisme dan liberalisme.

Sheikh Ahmad adaah individu yang mendekatkan Kaum Muda Tanah Melayu dengan Pan-Turki kerana pengaruh dan kepercayaan kHalifah Turki terhadap beliau.

Beliau telah mengubah penyebaran dakwah daripada Mekah ke Mesir kerana Sharif Mekah sudah tidak berminat memperkembang kitab pengajian melayu. Di antara murid-murid aliran Kaum Muda yang dihantar ke Mesir antaranya adalah Sheikh tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh al Hadi. Manakala murid aliran Kaum Tua yang cenderung bermazhab syafie yang dihantar ke Mesir adalah Sheikh Abd Ghani Acheh dan Tok Kenali.

Sheikh Ahmad adalah individu pertama memberi respon kepada gagasan kemajuan Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al Afghani bukannya Kaum Muda seperti yang kita maklumi. Kerana terpengaruh dengan gerakan Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al Afghani Sheikh Ahmad telah tubuhkan Jamiyatul Khairiyah 1923. Anggota Jamiyatul Khairiyah antaraya Ustaz Othman Abdullah telah menjadi pengarang Seruan Azhar, dan pengasas KMM 1937. Manakala Sheikh Abu Bakar Al- Asyaari mewakiliJamiyatu Khairiyah ke Muktamar Sedunia di Palestin 1932.

Murid Sheikh Ahmad aliran Kaum Muda Syed Sheikh Al Hadi muncul dengan Al Imam5. Sebenarnya Sheikh Ahmad yang perkenalkan Kaum Muda dengan fikrah reformisme. Jika tiada isu Kaum Tua tiada idea revolusioner berkumandang di dada Akhbar Al Imam.

Perbezaan pemikiran Rashid Redha dengan Gurunya Muhammad Abduh serta persamaan gaya fikir mereka.
Walaupun Sheikh Rasyid Redha juga merupakan murid Muhammad Abduh, namun kelihatannya Kaum Muda Tanah Melayu tidak cemderung mengambil pemikiran beliau berbanding Muhammad Abduh dan jamaluddin Al Afghani kerana Rasyid Redha tegas daam hal-hal liberalisme beragama. Beliau merupakan uama’ aliran salafi yang tegas.

Rasyid Redha lebih membawa dakwahnya ke arah salafiyyah tulen . Malah beliau antara tokoh yang cukup giat mengembangkan fikrah neo-hanbaliyah yang dikenal ramai sebagai gerakan wahabiyyah walaupun sebenarnya pembawaan salafiyyah majoritnya memegang qaul Hanbali. Itulah antara teras utama dakwah dan pemikiran rasuid Redha dalam tafsir Al Manarnya6.

Westomania di kalangan reformis dan pemikir Tanah Melayu

Zaman tiada media sosial, media elektronik dan rakaman segala bentuk pemikiran tidak didokumentasikan eainka dalam bentuk majalah, akhbar dan poster serta novel. Kaum Muda yang suka menulis dan percayakan kebangkitan mampu meningkat melalui sebaran bahan tulisan menjadikan pemikiran mereka boeh dibedah melalui bahan-bahan cetak mereka.

Pemikir, ahli sejarah dan pelayar Melayu misalnya Abdullah Munsyi menampilkan personaliti yang kerap memperomosi nilai-nilai kebudayaan Barat dan sekaligus memperlekeh kebudayaan Melayu7. Terlalu banyak unsur kekaguman kepada Barat dan memperlekeh kaum Melayu diselitkan dalam buku-buku beliau. Menurut Dr Siddiq Fadzil, suara Abdullah ini bukan suara umat Melayu. Ia adalah suara asing dan ganjil. Memang Abdullah tiada umat atau ertikata lain tidak berpengikut. Abdullah hanya memiliki penaja iaitu British dan suaranya adalah pesanan penajanya sahaja8.

Dalam upaya pengkristianan alam Melayu inilah muncul nama Abdullah bin Abdul Kadir atau dikenali sebagai Munsyi Abdullah yang mashyur digelari Bapak Kesusastraan Melayu Moden. Hidup sezaman dengan Raja Ali Haji, Abdullah berusia 12 tahun lebih tua dari beliau dan bermastautin tidak jauh pula dari Raja Ali Haji, iaitu di Melaka dan kemudian Singapura. Penglibatan Abdullah dalam aktiviti misionaris kristian dimulakan setelah beliau menjadi juru tulis kepada Raffles mulai tahun 1810. Abdullah mulai bergaul rapat dengan penyebar agama kristian Paderi William Milne, apabila beliau mendarat di Melaka pada 1815 sebagai perwakilan sebuah lembaga misionari iaitu London Missionary Society (LMS)9.
Abdullah Munshi sebenarnya telah menyertai LMS (London Missionary School) telah belajar bahasa Inggeris dan membantu menterjemah bahan cetak Kristian ke dalam bahasa Melayu.
Pendakwah Kristian Thomsen dan Beighton yang terbit risalah Kristian bahasa melayu telah berguru dengan Abdullah. Mereka dengan bantuan Abdullah telah menerbitkan majalah Kristian bertulisan jawi bernama Bustan Al Arifin.

Benjamin Peach Keasberry, paderi Singapura telah meminta bantuan Abdullah untuk menyiapkan Injil Melayu bernama Injil Al Qudus.

Karya tulis Abdullah sendiri iaitu Hikajat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, menunjukkan pengaruh asing yang sangat kuat. Dalam Hikayat Abdullah, dengan sengaja Abdullah menghinakan dan menyinggung perasaan anak keturunan Raja Haji fisabilillah --Yang Dipertuan Muda IV Riau, Datuk kepada Raja Ali Haji-- yang syahid apabila melawan Belanda di Teluk Ketapang pada 1784, dengan menyebut jenazah beliau dikuburkan di ladang bekas kandang babi. Sambil mengkritik kelemahan dan kekurangan bangsa Melayu, dalam karyanya, secara terang beliau menyatakan lebih baik diperintah Inggeris daripada diperintah Melayu sehingganya ramai cendekiawan Nusantara yang memandang bahawa Abdullah ini adalah antara pemikir Melayu paling cepat menyerap (ajaran) Barat.

Walaupun Abdullah bukan eraoran salafi atau membawa agenda Muhammad Abduh atau reformis dari aspek politik, namun isu beliau diselitkan juga kerana pemikiran modenisme dan liberalisme beliau ini antara yang mencorak wacana kemandirian bangsa selepas itu yang kemudian dikembangkan oleh Kaum Muda yang ada berpendidikan Islam tetapi terterik dengan kempen-kempen liberalisme.

Awal Abad ke-20 masyarakat melayu digerakan dengan gerakan pembaharuan (reformis) yang diilhamkan oleh gerakan islah Muhammad Abduh iaitu pengkagum Jamaluddin Al Afghani. Gerakan ini membawa tunjang salafi dalam beragama tetapi pragmatik, reformissme dalam soal-soal siasah dan diplomasi.

Menurut Dr Siddiq Fadzil walaupun kelompok ini kelihatan gah dengan kejayaan aspek persuratan, kewartawanan dan dikatakan menggegarkan persana wacana ilmiah tempatan sehingga mencelikkan anak bangsa termasuk kaum wanita, namun gerakan ini sebenarnya tidak berjaya menjadi sebuah gerakan tajdid-islah sepertimana yang dikempen melalui penulisan mereka. Mereka dalam hal siasah lebih cenderung membawa pemikiran liberal dan jinak-penjajah walaupun adajustifikasinya tindakan berkenaan. Mereka juga dalam hal membangkit sikap islah, mereka lebih berjaya mempopularkan perbahasan fiqh khilafiyah sehingga menimbulkan perdebaan hangat yang mengukirr senuman di bibir penjajah.

Syed Sheikh Al Hadi yang artikulatif dalam berpendirian dalamtulisan-tulisan beliau sebenarnya seorang pengkagum British sehingga menggelar penjajah sebagai tentera tuhan yang didatangkan untuk misi pembebasan.

Kata beliau “ Hanya bangsa Inggeris ini tentera tuhan Rabbul alamin yang disuruhNya ke mari supaya mengeluarkan kita daripada gelap gelita penjara kebodohan, kezaliman, kejahatan dan kebengisan pemerintah-pemerintah bangsa kita yang asal. Kerana bangsa Inggeris ini kaum yang pandai dan menghormati peraturan pemerintah dan peraturan keamanan dan memakmurkan dunia. Bermula dunia ini dipusakai akan dia oleh sekelian hamabaNya yang mengerti membetulkannya10

Selain mempamerkan imej salafi dan ketegasan untuk kembali kepada Al Quran dan Sunnah, pendokong gerakan ini juga membawa nafas modernisme serta giat meperomosi kehebatan penjajah. Walaupun dalam buku-buku teks sejarah sekolah menyatakan bahawa gerakan Kaum Muda berkempen agar umat islam melayu meniru kejayaan barat dan menjadikan kejayaan Barat sebagai pemangkin untuk bangkit, tetapi di sebalik gagasan berkenaan ada terselit propaganda westomania yang ketara.

Antara pendirian kontroversi dimuatkan dalam majalah Mingguan Saudara yang terang-terangan menyokong perjuangan Mustafa Kamal Ataturk dan kempen modenisasi Atarturk.
...maka semenjak itu makinlah kuat Kaum Muda akan tetapi sedikit masa dahulu daripada peperangan besar itu Kaum Tua telah naik balik kekuatannya dan kerajaan Turki pun habislah rosak dan negerinya pun telah jatuh ke tangan segala bangsa-bangsa Eropah. Maka dalam masa kesusahan itu sekoyong-koyongnya telah dibangkitkan oleh Allah SWT seorang ‘mahdi’ iaitulah Al Ghazi Mustafa Kamal alaihisalam maka hiduplah segala kekuatan Kaum Muda itu sehinggalah dapat dirampaskann kan watannya itu balik daripada segala musuhnya...maka mula-mula pekerjaan ‘mahdi’ ini adalah memacahkan Tok Kong (Khaifah).11

Unsur modenisme dan genderisme dalam gagasan Kaum Muda

Pertumbuhan liberalisem dan emansipasi wanita di tanah Melayu telah bertapak sejak awal abad ke 20 lagi. Ia bermula dengan serua modenisme Majalah Al Imam (1906-1908) di Singapura.

Memnag seruan ini asalnya amat baik kerana menggalakkan wanita mencari rezeki sendiri, meningkatkan taraf dengan pendidikan serta mengambil tahu hal-hal politik dan isu semasa dunia.

Namun unsur-unsur emansipasi ala Barat yang diimpot turut sama menyelitkan gagasan liberalisme yang bercanggah dengan nilai Islam.

Syed Sheikh Al Hadi pengarang Al Imam sebenarnya terpengaruh dengan Qasim Amin (1865-1908) tokoh modenisme dan gerakan emansipasi wanita terkenal di Mesir. Beliau cukup terpengaruh dengan buku Qasim bertajuk Tahrir Al Maraah dan Al Maraah Al Jadidah sehingga menulis secara tetp kolum Alam Wanita dalam Al Imam12.

Al Hadi meneruskan kempennya dengan menulis novel Hikayat Faridah Hanom berkisar kisah percintaan Shafik Affandi dengan Faridah Hanom yang mendapat pendidikan di Perancis. Faridah dikatakan cuba menguji iman kekasihnya dengan memakai pakaian getah ketat yang menampilkan bentuk tubuhnya. Unsur pergaulan bebas dan gaya percintaa ala Erpah dimasukkan. Dalam Hikayat yang boleh dikatakan novel cinta ini, bapa Shafik dikatakan mengajar anaknya bahawa itulah gaya hidup yang diajar oleh Rasululah SAW.



Al Hadi juga telah membuat onar apabila berkempen bahawa bertudung dan berhijab adalah perkara yang memundurkan.

Dr Abdul Rahman Abdullah telah memetik daripada akhbar Ikhwan bahawa Al Hadi menulis “ Bahawa kelumbung yang telah biasa kita pakai ini satu daripada sekatan yang sangat-sangat menegah sekalian perempuan itu kemajuannya. ( Al Ikhwan 16 April 1928)13.

Ada seorang pemikir Islam yang menurut jejak Sheikh Syed Al Hadi iaitu Ahmad Rashid Talu ( 1889-1939) yang pernah menulis novel “Iakah Salmah?”. Novel itu berkempen gaya hidup gadis lulusan Junior Cambridge yang tidak mahu bertudung serta berbangga dengan gaya hidup Barat.

Melihat gejala sekitar awal abad ke 20, tidak hairan sangat jika hari ini kita menerima novel-novel atau buku yang membawa agenda liberal, menghina sistem syariah, membawa idea emansipasi dan sebagainya seperti Irshad Manji, Sal Man Rushdie dan sebagainya.

Tindakan membawa kempen liberal ini ditentang kuat oleh Ibu Zain atau nama sebenarnya Zainun Binti Munsyi Sulaiman (1903-1989). Beliau yang memimpin Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu Johor pada 1930 hingga 1949 telah menerbit majalah Bulan Melayu yang membawa idea wanita Islam yang mementingkan akhlak, moral serta berkelumbung.

Anak Al Hadi turut menentang idea bapanya. Sepertimana tidak sebulunya Sheikh Rasyid Redha dengan ajaran melampau liberal Sheikh Muhammad Abduh, begitu juga anak Al Hadi sendiri iaitu Syed Alwi yang menulis banyak makalah menentang ajaran yang meliberalkan gaya hidup wanita hanya kerana ingin mengejar modernisme.

Menurut Dr Fadhullah Jamil, sebenarnya Sheikh Syed Al Hadi tidak boleh dikatakan mewakili aliran saafi kerana terkeluar daripada lunas Al Quran dan Hadis dalam beberaa siri kempen liberalisme dan genderismenya. Walaupun begitu beliau cukup kritis dalam hal kelayuan khutbah Jumaat yang tidak membangkitkan minda Melayu, isu pendidikan yang terbatas, soal korupsi feudal dan istana zaman itu sert pengabaikan hal ekonomi umat Islam dan pemikiran ini ada baiknya untuk kemakmuran umat Islam.

Keterbatasan dakwah Kaum Muda

Semua sejarahwan mengakui bahawa Kaum Muda adalah gerakan artikulatif dan aktif berkempen dan menyatakan pendirian. Namun artikulatif mereka terbatas dalam konteks penulisan akhbar, majalah dan jurnal. Mereka gagal menguasai waqi masyarakat melayu yang sebenarnya tidak gemar membaca, rata-rata buta huruf serta lebih percayakan Kaum Tua yang rapat dengan mereka di madrash, pondok dan masjid. Inilah kelebihan dakwah kaum Tua.

Dakwah Kaum Tua yang menjadikan prasarana pondok sebagai pusat, ibadat Haji sebagai punca kekuatan serta berpegang dengan ajaran Islam secara usulnya telah berjaya mengembang pengaruh di kalangan Melayu termasuk membantuk asas perjuangan kaum Muda. Sebenarnya semangat beragama Kaum Tua dan kaum Muda jika digabungkan mampu menumbangkan penjajah lebih awal lagi dengan syarat Kaum Muda menolak unsur modenisme dan liberal yang bercanggah dengan syarak. Isu modenisme dan liberalisme inilah yang menjadikan hubungan antara dua polar ulama’ tidak serasi dan menjadi asbab kepada penolakan Kaum Tua terhadap Kaum Muda walaupun pada awalnya hanya berikhtilaf dalam hal-hal fiqh ibadah semata-mata.

Dakwah Kaum Muda kelihatan hebat dan tersusun hanya kerana ia dimaktubkan dalam bentul tulisan. Karya mereka dibongkar mudah oleh para pengkaji yang rata-rata menjadikan rujukan bertulisa sebagai sumber tesis dan kajian mereka. Lantaran itu kaum Muda dianggap gerakan paling berjaya mencetus semangat menentang penjajah, semangat pembaruan dan dikatakan menyuntik semangat bersaing dengan Barat.


Bandar Puteri Jaya Sg Petani
28 Disember 2014
1 Muhamad Razak Idris. 2006. Aliran Islam Liberal: Cabaran Baru Umat Islam. www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/index.php?storytopic=6)
2 (Jaffary Awang, 2007 : 74
3 5 Britannica Concise Encyclopedia: Liberalism
4 Riduan Mohammad Nor dan Mohd Fadli Ghani, Ulama’ Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan, Jundi Resources, 2011 (halaman 100-101)

5 Walaupun Al Imam dan Syed Sheikh Al Hadi dianggap sebagai mewakili aliran Kaum Muda mengupayakan kaum Melayu Islam serta memacu kepada kebangkitan intelektual-ulama’ Melayu, namun banyak kontroversi menyeliputi pemikiran sesetengah penggerak Kaum Muda. Ia bukan isu ijthadiyyah, ikhtilaf atau salafiyyah VS Mazhabiy, tetapi isu liberalisme, westomania, emansipasi gender dan isu kekaguman terhadap barat yang melampau. Hal ini akan dijelaskan oleh penulis dalam siri tulisan yang lain.
7 Abdullah Abdul Kadir Munshi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munshi (1796-1854) dianggap sebagai 'Bapa Sastera Melayu Moden'. Abdullah Munsyi dilahirkan di Melaka pada Ogos 1796 dan meninggal dunia di Mekah pada 1854. Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir dianggap sebagai bapa sastera moden. Beliau telah bertugas sebagai penyalin dokumen kepada Sir Stamford Raffles. Pada masa yang sama beliau telah menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu untuk pergerakan-pergerakan mubaligh Kristian (Christian missionary) di Singapura dan Melaka.

Di dalam riwayat beliau, Hikayat Abdullah, beliau berjaya memberi gambaran yang jelas mengenai pandangan orang Melayu terhadap kedatangan British ke tanah Melayu. Beliau adalah pengkarya pertama yang telah lari dari corak penulisan tradisional. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdullah_Abdul_Kadir_Munshi )
8 Siddiq Fadzil, islam dan Melayu Martabat Umat dan Daulat Rakyat, Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al-Hikmah, 2012. (halaman 113-114)
9 Ai Wardah Mardiah , Raja Ali Haji dan Pertembungan Pemikiran di Alam Melayu: Suatu Kajian Eksploratori , Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) V: Ulama dan Cabaran Idealisme Semasa

10 Abdullah Hussain dan Khalid Hussain, Pednita Zaaba dalam Kenangan, Kuala Lumpur 1974, DBP.
11 Saudara Bil 15 tahun 1.
12 Dr. Abdul rahman Abdullah, Pemikiran Islam di Malaysia, USM, 1998 (halaman 222)

13 Ibid (halaman 223)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...