Pembaca Setia

Saturday, June 6, 2015

ARMADA LAUT TURKI BANTU ROHINGYA MENGEMBALI EPISOD KEHEBATAN UTHMANIYAH


ARMADA LAUT TURKI BANTU ROHINGYA MENGEMBALI EPISOD KEHEBATAN UTHMANIYAH

Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM

Pengamat politik dunia Islam ramai berwacana betapa kehadiran bayang-bayang Uthmaniyah kembali menjelma di saat Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu mengumumkan pada Selasa (19/5/2015) bahawa sebuah kapal Angkatan Laut Turki telah dikirim ke pantai Thailand dan Malaysia, dimana lokasi terkandasnya ribuan Muslim Rohingya.

Makalah ini bukanlah untuk terlalu mendewakan kerajaan Turki sebaliknya cuba membawa suatu wacana sihat bagaimana umat Islam boleh berkolaborasi sesama negara Islam untuk menangani permasalahan ummah tanpa perlu bergantung harap dengan badan antarabangsa sekular Barat.

Perdana Menteri Turki Davutoglu yang merupakan wakil kerajaan AKP Turki juga mengatakan bahawa Turki telah mengerahkan upaya untuk menjangkau orang-orang di atas kapal dengan kapal Angkatan Laut dan berkoordinasi dengan Organisasi Antarabangsa untuk Pelarian

Semasa Davutoglu mengeluarkan pernyataan di Ankara dalam pertemuannya dengan anak-anak dari 81 provinsi negara tersebut pada Hari Pemuda dan Olahraga 19 Mei, lalu, masyarakat dunia Islam masih dilema untuk menyalurkan jenis bantuan kepada enam ribu nyawa Islam di atas perahu yang sedang menuju ke Thailand dan Malaysia dari Myanmar1.

Selepas beberapa hari pelarian Rohingya terkapai-kapai di lambung ombak umpama tin sardin di atas bot, Malaysia dan Indonesia mencapai kesepakatan dan mengatakan mereka tidak lagi mengambil mudah terhadap isu para manusia bot tersebut, sebuah kejayaan dalam menangani krisis pendatang di kawasan itu yang dilakukan hanya beberapa jam selepas ratusan orang yang kelaparan diselamatkan di laut.

Menurut Menteri Luar Negeri Malaysia Anifah Aman bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsude, Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada 7,000 pendatang gelap yang masih berada di laut.


Namun dunia memuji tindakan pantas kerajaan AKP Turki yang melancarkan kapal perangnya sendiri daripada benua Eropah untuk membantu secara langsung umat Islam Rohingya berkenaan. Kehadiran Davutoglu Perdana Menteri Turki sendiri menyantuni para pelarian amat memilukan pemerhati dunia. Isteri Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan termasuk salah satu delegasi tersebut. Melihat kondisi penduduk Rohingya yang menggambarkan betapa menderitanya para muslimah dan anak-anak itu, Emine Erdogan tidak dapat menahan air mata. Emine menangis ketika memeluk wanita muslimah dan anak-anak Rohingya.

Semasa Dovutuglu berucap di hadapan Himpunan anak-anak muda di Cankaya Palace 19 Mei lalu beliau berkata Turki telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan Rohingya di laut dengan kerjasama antara Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), dengan bantuan kapal dari Angkatan Tentera Turki. Turki turut memuji Acheh yang menyediakan aset bantuan yang amat sempurna untuk para pelarian mengimbau kembali hubungan Uthmaniyah dengan kerajaan Acheh silam yang bekerja sama menentang penjajah Portugis di Nusantara sekitara abad ke-16 lalu.

Sememangnya tindakan regim Myanmar yang masih membuta mata dan memekak telinga atas genodis kaum Islam di Arakan dikutuk masyarakat dunia. Menurut Chris Lewa, Pengarah Projek Arakan, serangan ke atas minoriti agama Buddha oleh perusuh dalam tempoh tiga tahun lalu telah mencetuskan satu daripada exoduses terbesar pelarian sejak Perang Vietnam, seramai 100,000 orang yang melarikan diri. Projek Arakan telah memantau pergerakan Rohingya untuk lebih daripada satu dekad lalu2.

Kedegilan Myanmar mencabar kesabaran umat Islam dunia. Memetik laporan portal Irrawaddy, Kerajaan Myanmar dengan angkuh telah menentang persidangan pertubuhan negara-negara Islam (OIC) kerana menurut mereka mesyuarat itu mempertaruhkan "ketidakstabilan" Myanmar. Gelombang nasionalisme Buddha Myanmar telah dipersalahkan kerana menyebabakan keganasan di mana mereka mensasarkan umat Islam Myanmar. Mereka menghalau, membunuh dan membakar rumah-rumah etnik Rohingya ini di negeri Rakhine yang terletak sepanjang Teluk Bengal. Rekod pengenalan kewarganegaraan kaum Rohingya dihilangkan sejak kerajaan Myanmar menyalahkan kaum ini menyebabkan kebanjiran kaum Bangladesh ke Myanmar.


Disebalik ASEAN yang masih berdrama....
Umat Islam bertambah kesal apabila di negara yang sedang menyembelih anak-anak Rohingya berkenaan terdapat tokoh demokrasi dan peraih anugerah Nobel Kedamaian yang hingga kini tidak berbuat apa-apa sebaliknya diam tanpa bersuara atas apa yang dilakukan .
Aung San Suu Kyi sendiri hanya umpama regim Israel lain yang menerima anugerah Nobel atas air mata dan darah insan lain, tidak berfungsi seperti yang sewajarnya3.

Di saat Tentara Nasional Indonesia (TNI) diperintahkan untuk menghalang kapal-kapal pelarian Rohingya agar tidak masuk ke wilayah Indonesia, Turki melakukan sebaliknya dan ia mampu memalukan negara umat Islam dalam Asean.

Arab Saudi dengan raja barunya King Salman Bin Abdul Aziz pula dari jauh telah menyiapkan tempat tinggal 170 Ribu pelarian Rohingya. Selain Turki dan Saudi, Aceh yang juga wilayah autonomi dalam Indonesia telah memberikan sumbangan tenaga, tempat tinggal dan perubatan yang banyak kepada pelarian.

Benarlah laporan Karl Vick, Wartawan Akhbar Washington Post pada Sabtu, Januari 14, 2006 semasa beliau menemubual Ertugul Orel,pemilik kedai pakaian di luar Masjid Aya Sofia, Istanbul berkata “Saya harap Khilafah akan muncul sekali lagi kerana jika ada Khilafah semua Muslim akan bersatu.” Hal ini boleh direalisasi walaupun dunia menggunakan sistem demokrasi atau apa sahaja wahana politik. Jika dahulu Khalifah memerintah berasaskan sistem al muluk kerajaan warisan, kini Turki kembali bersama umat Islam melalui sistem negara bangsa demokrasi pilihanraya.

Uthmaniyah dan armada lautnya menjadi polis dunia Islam
Uthmaniah memang terkenal denga kehebatan armada lautnya. Sejarah tidak melupakan bagaimana Sultan MUhammad Al fateh memerintah tentera menarik kapal perang merentasi bukit selepas jalan ke selat Turki dirintangi deng rantai besi yang kukuh.

Wartawan Republika, Afriza Hanifa, semasa mewawancarai Muhammad Ibrahim Hamdani, peneliti dan Penolong Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah dan Islam Universitas Indonesia (PKTTI UI) mendapat makluman daripada beliau bahawa di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-fatih, Konstantinopel ditaklukkan dengan 100 ribu pasukan dan meriam canggih ketika itu. Dengan armada laut juga, penyebaran Islam di Asia Tenggara dibantu juga oleh Turki Uthmaniyah kerana hubungan Aceh dan Turki di abad 16 cukup erat. Bahkan secara diplomatik, Aceh mengaku sebagai wilayah yang dikuasai Turki ketika itu. Abad 16 menyaksikan Acheh berjaya mengalahkan Portugis yang ingin menguasai Acheh. Namun, ketika giliran Belanda yang ingin menguasai Aceh, Turki Uthmaniyah sedang lemah menghadapi pemberontakan wilayah Balkan dan konflik di Eropah sehingga gagal melindungi Aceh lagi4.

Semasa kegemilangan Abbasiyyah, dunia Islam bersatu. Namun, ketika munculnya Empayar Turki terdapat tiga kekuatan besar di Timur Tengah dan Eropah, iaitu Dinasti Moghul di India, dan juga Dinasti Syiah Safawi di Iran.

Kerajaan Sekular Kamal At Tarturk yang menggantikan khilafah Uthmaniyah menubuhkan telah Republik Turki pada 1923 dengan dasar pandang ke barat sepenuhnya, sekali gus menafikan identiti Turki sama ada kepunyaan Arab atau Asia. Pada 1963, Turki menandatangani Perjanjian Ankara yang mengikat hubungan ekonomi Turki-Eropah diikuti pada 1987 menyaksikan Turki memohon secara rasmi sebagai anggota penuh Kesatuan Eropah (EU). Untuk kembali gah di mata dunia Mustapha Kamal dan penggantinya berjuang meletakkan Turki sama inggi dengan negara Eropah dengan ingin menyertai EU. Namun ia gagal dilakukan oleh regim sekular berkenaan. Dengan keadaan ekonomi yang masih ketinggalan serta hak asasi yang masih mundur menyebabkan EU belum mahu mengiktiraf Turki walaupun berbaju sekular.

Turki diiktiraf dengan status calon pada 1999 dalam Sidang kemuncak Helsinski, 12 tahun selepas permohonan rasmi. Mutakhir, perkembangan paling signifikan dalam proses integrasi Turki-EU adalah pada 2005 apabila EU membuka rundingan kemasukan (accession negotiation) kepada Turki yang mensyaratkan kriteria ketat dalam acquis communautaire (himpunan peraturan dan syarat kemasukan ke dalam komuniti Eropah) sebelum diluluskan sebagai anggota penuh.

Antara syarat kemasukan tersebut adalah pengislahan dalam bidang politik domestik (domestic reform), layanan terhadap minoriti, hak asasi manusia, nilai politik, ekonomi, kedaulatan undang-undang (rule of law), kebebasan bersuara, kebebasan media dan sebagainya.

Berdasarkan laporan EU 2014 yang diterbitkan Suruhanjaya Eropah, Turki di bawah pimpinan AKP lah mencatatkan beberapa perkembangan sebagai memenuhi tuntutan acquis communautaire tersebut antaranya dalam proses pendemokrasian dan politik domestik, transformasi ekonomi serta peranan proaktif dalam arena politik antarabangsa.

Komitmen untuk menuruti kemahuan dalam acquis communautaire tersebut, dibuktikan melalui penubuhan Kementerian Hal Ehwal EU pada tahun 2011 dan pengisytiharan 2014 sebagai Tahun Kesatuan Eropah lantas Erdogan mengadakan kunjungan ke Brussels untuk bertemu Presiden Majlis Kesatuan, Suruhanjaya EU dan Parlimen EU.

Dalam aspek politik dan hak asasi, parlimen Turki meluluskan usaha menyelesaikan isu puak Kurdish melalui meningkatkan perpaduan sosial, membanteras keganasan, mengintegrasi mereka yang meninggalkan Parti Buruh Kurdistan dan menjamin tiada hukuman yang akan dikenakan terhadap pihak dalam proses penyelesaian tersebut.

Dalam pengislahan perlembagaan (constitutional reform), satu jawatankuasa yang dibentuk kerajaan Turki bagi mewujudkan perlembagaan baru Turki, namun terpaksa dibatalkan kerana tidak cukup konsensus. Keputusan membatalkan tersebut mengundang reaksi dari masyarakat umum dan golongan usahawan agar meneruskan usaha membentuk perlembagaan baru5.
Ini antara persedian besar Turki untuk menawan persada politik Eropah melalui pentas sama tinggi dan sama rendah dengan negara ERopah lain.

Armada Turki membantu kerajaan Islam Nusantara

Memetik laporan Karl Vick, Wartawan Akhbar Washington Post pada Januari 14, 2006 lagi menurut beliau, “Khilafah amat dihormati oleh ramai Muslim. Menurut temuramah yang saya lakukan, Muslim lihat Khalifah sebagai ketua umat Islam yang dikenang sebagai ingatan dan sebagai prinsip yang perlu dicapai”
Begitu lah halnya dengan Kesultanan Melayu dan mana-mana kerajaan Islam kecil suatu ketika dahulu. Mereka amat mengasihi dan bersedia dinaungi kerajaan Uthmaniyah.

Menurut Dr. Michael Francis Laffan, Universiti Leiden, Holland pmmerintah Melayu suatu ketika dahulu memberi baiat kepada Khalifah Turki.
Kerajaan Majapahit Hindu terakhir di Jawa merosot antara tahun 1513 dan 1528 akibat tentangan beberapa buah wilayah Islam dan perkembangan perlabuhan Islam dengan bantuan Tentera laut Turki dan Mesir.

Kejatuhan empayar Hindu Majapahit tidak akan tercapai tanpa peranan Khilafah Uthmaniyah yang menyekat penjajah Portugis dan kiriman bantuan seperti pendakwah, askar, dan senjata ke nusantara.

Pada tahun 1471 lagi, Sultan Mahmud ke II (Khilafah Uthmaniyah) telah mengikat perjanjian dengan Sultan Mansur Shah Sultan Melaka. Malah Hikayat Hang Tuah memaktubkan perjalanan Hang Tuah ke Turki (Rom) dan Mesir pada abad ke 15.

Pada tahun bersejarah 1511 Portugis berjaya jajah Melaka selepas bertahun lamanya perancangan rapi dibuat. Namun pada 1519, Portugis di Melaka cemas dengar ura-ura tentang kiriman armada Khilafah Uhtmaniyah bantu Muslim di Melaka sehinggakan Portugis terpaksa menghancurkan kapal Turki di pantai di Yemen yang disyaki akan ke Melaka6.

Pada tahun 1537 Sultan Sulaimen 1 yang terkenal dengan polisi armada laut hebat baginda telah mengarahkan Gabenor Uthmaniyah di Mesir untuk menyediakan armada laut yang kuat demi menghapuskan aktviti Portugis di Lautan Hindi. Sultan hebat ini dikenali sebagai Suleiman the Magnificent (Sulaiman Yang Hebat) dan di Timur, beliau dikenali sebagai Pembuat Undang-Undang Al Qanuni7.

Pada 1538 Sultan Al-Qahhar (Acheh) berjaya mendapat bantuan Khilafah Uthmaniyah melalui Hadim Sulaiman Pasha Gabenor Mesir ketika itu.
Seramai 160 orang Turki, askar Habsyah, askar Gujarat (India/Pakistan) yang jumlahnya tak terhitung, dan 200 askar Malabar (India) tiba di Acheh untuk menolong orang Islam Nusantara.
Pada 1564 pula Khilafah Uthmaniyah memberi Acheh 500 pucuk meriam moden teknologi Eropah ketika itu. Teknologi meriam Khilafah adalah yang tercanggih di dunia.

Walaupun gagal membantu di saat Melaka berada dihujung tanduk pada 1511, Sultan Turki dan Gabenor Mesir masih tetap membantu menghapuskan Portugis melalui negara sekutu mereka kerajaan Islam Acheh. Pada 1537 Acheh membawa 100 000 anak kapal bersama 70 buah kapal bersama 500 orang tentera Mesir yang berpengalaman namun gagal menembusi A Famosa yang terkenal itu8.

Pengepungan Melaka juga berlaku pada tahun 1568, apabila Sultan Aceh Alauddin menyerang kota Melaka yang diduduki oleh Portugis ekoran pakatan Islam yang diatur oleh Empayar Uthmaniyyah yang cuba mengusir Portugis keluar dari Melaka dan pantai-pantai di India9. Pihak Uthmaniyyah telah menghantar jurumeriam ke Aceh tetapi dalam jumlah yang sedikit di sebabkan serangan yang sedang berlangsung pada masa yang sama ke atas Cyprus dan rusuhan yang meletus diAden. Tentera Sultan Aceh terdiri dari sebuah armada besar kapal dayung panjang jenis ghali, 15,000 tentera dan askar upahan Uthmaniyyah10.

Di Lautan Hindi, Sulaiman I telah mengetuai beberapa angkatan laut untuk mengusir orang Portugis dan mengadakan semula perhubungan perdagangan dengan India. Kerajaan Uthmaniyah telah menakluki Aden di Yaman pada tahun 1538 untuk dijadikan pangkalan laut untuk menghapuskan pengaruh Portugis di semenanjung barat India.

Tentera laut Uthmaniyah gagal menewaskan Portugis di dalam Perang Diu pada bulan September 1538, tetapi mereka kembali ke Aden di mana mereka mempertahankan bandar itu dengan 100 buah meriam.

Dari pangkalan ini, Sultan Suleiman I membuat keputusan untuk mengambil alih seluruh negara Yaman dan ibu kotanya Sa'na. Penduduk Aden menentang penaklukan kerajaan Uthmaniyah dan mempelawa Portugis supaya Portugis dapat mentadbir bandar ini sehingga ianya dirampas Piri Reis di di dalamPenaklukan Aden (1548)11. Pengkhianatan sebegini biasa berlaku termasuk di kalangan bangsawan islam Nusantara ketika itu.

Lihatlah tanggungjawab Turki ketika itu walaupun sibuk menghadapi serangan Barat Sultan atau Khalifah masih tetap berusaha membantu kerajaan kecil Islam di Nusantara.

Eratnya Acheh dengan Turki sehingga disiar dalam Akhbar The New York Times, 5 Julai 1873 mencatat Belanda telah mendesak Acheh memutuskan semua hubungan Acheh dengan Khilafah Uthmaniyah yang amat digeruni Barat.

Sultan Muizuddin pemerintah Sulu, Filipina (abad ke 18) juga pernah hubungi Khilafah Uthmaniyyah untuk minta bantuan Armada Laut untuk memerangi Sepanyol. Sembahyang dan khutbah diadakan di Zamboanga untuk mendoakan kesejahteraan Khalifah di Istanbul.

Turki Moden yang berbendera Uthmaniyah pasti kembali gemilang

Mutakhir ini seiring dengan Arab Spring di Timur Tengah, Turki ingin menjadi pemimpin dunia Islam. Ada pakatan dilakukan dengan Mesir semasa pentadbiran Dr Mursi, juga dengan Palestin di bawah Hamas, dan sedikit diplomatik dengan Qatar.

Turki smemang berusaha untuk kembali menjadi pemimpin dunia Islam walaupun rata-rata pengamat politik mengatakan AKP menggunakan pendekatan pasca Islamisme sebagai resepi menangani karat sekular di Turki.

Sejak tragedi Mavi Marmara yang diserang Israel, Turki yang sebelumnya dikenali sebagai tangan Amerika melalui NATO, sekarang lebih seimbang. Untuk mengimbangi pengaruh Arab Saudi yang pro Amerika ketika itu, Turki membuka sedikit diplomasi dengan Iran12.

Di bawah pemerintahan AKP juga, ekonomi Turki berkembang di mana hutang Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dilangsaikan, kekayaan negara diagih kepada rakyat, setiap bandar mempunyai universiti dan 206 empangan dibina.Perubahan itu dirasai ketika sebelum AKP menguasai Turki apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita hanya AS$3,500 (RM11,000) pada 2002 dan kini mencecah AS$10,000 (RM31,000).
Eksport meningkat AS$36 bilion (RM113 bilion) pada 2002 kepada AS$114 bilion (RM357 bilion) dan dijangka melebihi AS$ 500 bilion (RM1,600 bilion) dalam 2023.
Setelah AKP memerintah Turki pada 2002, dasar sekular Ataturk masih dikekalkan. Erdogan bertindak bijak dengan tidak mahu ideologi itu diubah secara drastik kerana ia sudah sebati dengan rakyat Turki.

Umpama menarik rambut dalam tepung, Erdogan melakukan proses Islamisasi secara perlahan selepas mendapat kepercayaan daripada rakyat melalui pilihan raya dan proses itu dilakukan atas nama hak asasi manusia dan demokrasi serta bercita-cita mengembalikan kegemilangan Islam sama seperti pemerintahan pemimpin terulung, Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau mahu rakyat Turki tahu bangsa Turki adalah bangsa paling hebat dan amat digeruni Barat.13

Kembali kepada isu bantuan kapal ke Asia Tenggara, selepas menghantar kapal bantuan, kerajaan Turki bertindak menyalurkan bantuan sebanyak USD 1 juta sebagai bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan pelarian Rohingya.
Agensi berita Turki, Hurriyet Daily melaporkan bahawa Presiden Turki, Recep Tayyip ErdoÄŸan menghubungi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 20 Mei 2015 untuk memaklumkan perkara tersebut. Sama seperti sikap Khalifah Uthmaniyah dahulu, kerap menghubungi ulama’ dan umara di alam melayu bertanya khabar perihal keselamatan dan kebajikan umat islam yang berada naungan jajahan British, Belanda dan Portugis. Cuma bezanya kini Barat tidak mampu menuduh kerajaan Islam nusantara bergabung dengan Turki sebagaimana hasrat Uthmaniyah dahulu untuk bergabung dengan kerajaan umat Islam Melayu dahulu kerana dunia hari ini berjejak atas dunia negara bangsa yang telah dikawal sempadan geografinya. Namun pengaruh dan ideologi ukhuwah Islamiyyah antarabangsa tiada sesiapa pun mampu menahannya.
Mengembalikan kepimpinan Islam adalah seruan yang lebih utama berbanding seruan mengembalikan khalifah. Kehebatan Uthamaniyah membantu umat Islam suatu ketika dahulu bukan kerana sistem politik al muluk atau perwarisan tetapi kerana adanya kepimpinan yang baik memerintah. Lantaran itu pada penulis AKP yakin untuk meletak umat Islam sedarjat dengan bangsa lain serta mendominasi dunia adalah dengan menggunakan sistem politik moden tetapi diwarnai dengan maqasid (objektif) syariah secara tadarruj (berperingkat) dan seimbang (tawazun).
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
Akaun GIRO : 07100 – 29- 00006952-7
IC : 820102-02-5203
017 6291368

6 Portugis telah datang ke Melaka pada 11 September 1509 dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez De Sequeira. Setelah berlabuh di perairan Melaka,Sequeira telah menyuruh seorang pegawainya, Texeira menyampaikan hadiah dari Raja Portugal King Emannual, maka kapten kapal itupun persembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas malah beliau sendiri memasukkan pada leher Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Sebenarnya konflik Portugis dengan Islam di India telah lama. Saudagar Gujerat yang mengetahui perihal Portugis di India telah menghasut bendahara agar menangkap orang-orang Portugis Seramai 18 orang portugis telah di tangkap termasuklah Ruy De Aranjo kecuali Diego Lopez De Sequeira.
7 Sultan Sulaiman sendiri telah memimpin tentera Uthmaniyah untuk menakluki kawasan Kristian di Belgrade, Rhodes, dan kebanyakannya di Hungary sebelum penaklukannya dipatahkan di dalam Perang Vienna pada tahun 1529. Beliau memberi perhatian yang lebih di Timur Tengah di dalam konflik dengan kerajaan Safavid di Parsi dan banyak jalur rumput di jauh barat Algeria yang terletak di Afrika Utara. Semasa pemerintahannya, angkatan tentera laut Uthmaniyah telah menguasai kawasan laut di Mediterranean sehingga ke Laut Merah dan Teluk Parsi.
8 Abu Hanifah Haris dan Mohamad Redzuan Osman, Mesir dan Hubungan awal dengan masyarakat Melayu, UNISEL Journal Of Social Sciences an Huminities 1(1) : 57-72.
9 Charles A. Truxillo, By the sword and the cross (halaman 59)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...