SIRAH NABAWIYYAH DAN AKHLAK
Muhammad Nuruddin Bashah
MUQADDIMAH
Sifat Rasulullah adalah sangat unik. Baginda
dianugerahkan dengan akhlak dan sifat tatatertib yang sangat mulia dan sempurna.
Lantaran itu baginda digelar sebagai insan kamil.
Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa
rahmat untuk sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah:
"Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai
Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah
al-Anbiya:107).
Misi baginda adalah untuk membina masyarakat
yang dinaungi dengan cahaya ketuhanan.
Baginda juga diutus ke alam ini untuk
menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda
adalah manifestasi daripada nilai-nilai al-Quran.
Saidatina Aisyah r.a. menyatakan bahawa akhlak
Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Kita umatnya
adalah amat dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
Untuk menilai ‘kekamilan’ atau kesempurnaan
Nabi Muhammad mari kita perhatikan maksud ayat Al Anbiya 107.
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Nabi Muhammad Saw diutus tidak lain untuk
membawa amanat persaudaraan dalam kehidupan” (al-Anbiya:107)
Menurut ahli tafsir perkataan Rahmah itu
menunjukkan kesempurnaan Rasulullah serta agama Islam yang diseru Baginda.
Secara umum para mufassirin menyatakan bahawa:
Muhammad diutus sebagai penghulu Nabi dan
Rasul sebagai bukti rahmat daripada Allah.
Ajaran Islam adalah penyempurna agama-agama
terdahulu dan diredhoiNya.
Kehadiran Rasulullah bukan untuk umat arab
atau umat Islam sahaja tetapi juga untuk sekalian manusia yang ada di muka bumi
ini.
Kamaal ar Rahmah hanya diperolehi bagi insan
yang ebriman kepada ajaran Nabi Muhammad.
Kaum-kaum yang terikat perjanjian dengan Nabi
kesemuanya menerima rahmat dan kesempurnaan Islam serta kebijaksanaan Nabi
sebagai imbalan kepada ksetiaan mereka kepada kerajaan Madinah.
Kehadiran Rasulullah merancakkan nilai
keilmuan walaupun Baginda buta huruf namun Baginda menggalakkan umatnya
mempelajari bahasa asing, teknologi asing, Baginda mengiktiraf idea idea perang
kaum asing dan sebagainya.
Bukan sekadar akhlak malah Rasuullah sebagai
‘basyar’ makluk manusia biasa juga bersifat hebat dalam pelbagai aspek
kehidupan iaitu sebagai seorang pemimpin, pemimpin perang, peniaga, pengurus,
pakar diplomasi, pencetus keilmuan keilmuan lain melalui galakan baginda, suami
yang baik, penternak binatang yang baik, serta guru dan kaunselor yang efektif.
Rasulullah sebagai
ketua perang
Islam bukan hadir untuk membawa agenda
keganasan melalui peperangan sebagaimana yang dimomokkan oleh pihak media
Barat. Sebaliknya peperangan berlaku sebagai satu medium komunikasi, diplomasi,
pertukaran dan transaksi idea dan nilai inter tamadun yang berlaku pada setiap
bangsa, ketamadunan, peradaban dan negara. Hal ini biasa berlaku bagi mana-mana
tamadun seperti Tamadun China, Indus, Rom, Greek dan Tamadun kecil umpama
melayu, jawa dan Maya.
Jadi jelas Rasulullah hanya meneruskan kaedah
biasa bagi sosial zamannya seumpama Islam mengiktiraf sistem perhambaan tetapi
dalam masa yang sama Islam berusaha mengurangkan bilangan hamba dalam
pensyariatan Dam Haji dan sebagainya.
Disebabkan peperangan tidak dapat dielakkan
dalam interaksi negara Mekah Quraisy dengan negara Islam Madinah menyebabkan
Rasulullah selaku ketua negara bertindak melaksanakan agenda perang yang penuh
tatatertib, akhlak, batas-batas tertentu walaupun misi asalnya untuk menjulang
syariat Islam.
Di dalam salah satu kertas kerja dalam
International Conference on Da’wah And Islamic Management (IC-DAIM 2010)
menyatakan tujuan utama strategi peperangan
Rasulullah S.A.W. adalah melindungi aqidah serta menghapuskan
rintangan yang mendatang supaya manusia
berkeyakinan terhadap kebenaran, dapat menerima dan mengamalkannya dengan bebas tanpa rasa takut atau tertekan.
Matlamat Rasulullah S.A.W. ini bukanlah
untuk membunuh musuh-musuhnya, atau
bermatlamatkan darah semata-mata, sebaliknya untuk menghentikan gangguan
terhadap Baginda S.A.W. dan umat Islam yang mahu mengamalkan kepercayaan
masing-masing secara bebas.
Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 39
“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada
fitnah dan supaya kepatuhan semata-mata
untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari kekafiran) , maka sesungguhnya Allah
Maha Melihat apa yang mereka kerjakan”.
Oleh itu, seluruh strategi peperangan Baginda
S.A.W. dirancangkan sebegitu rupa untuk mempertahankan risalah dakwah dengan
penglibatan operasi ketenteraan yang minima dan kehilangan jiwa yang paling
sedikit. Baginda S.A.W. cuba sedaya upaya berusaha untuk memenangi hati orang
Quraisy, Yahudi dan para kabilah lain sama ada
melalui hujah, alasan, diplomasi agar
dapat berdamai. Bagi Baginda
S.A.W. tidak ada keperluan untuk
berperang. Apabila segala usaha damai Baginda S.A.W. gagal dan musuh-musuh memulakan operasi tentera
untuk menentang, maka Rasulullah S.A.W. terpaksa melaksanakan pre emtif dan defensif
melalui gerakan seluruh tenaga manusia
serta harta benda yang ada di Madinah
untuk mempraktikkan strategi peperangan
bagi mencapai objektif
menamatkan serangan pihak
musuh dengan jumlah kematian yang disasarkan minima di kedua-dua belah
pihak. Strategi peperangan Baginda
S.A.W. yang berasaskan kepada kajian yang realistik terhadap kekuatan pihak
musuh dari segi tenaga tentera, harta benda, rancangan dan strategi peperangan,
faktor-faktor geografi, keadaan tanah di persekitaran medan
pertempuran dan yang
paling penting ialah
moral angkatan tentera
itu sendiri.
Antara akhlak akhlak peperangan dalam Islam
yang diditunjukkan oleh Rasulullah adalah:
l Melindungi nyawa musuh yang menyerah atau
memohon perlindungan. Baginda tidak akan memburu musuh yang melarikan diri atau
membunuh musuh yang berlindung di rumah ibadat mereka. TIada isu membakar kuil,
tokong, gereja di zaman Rasulullah melainkan dilakukan oleh eksrimis zaman
selepas baginda sahaja.
{وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ
فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ
قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ (6) }
Dan jika seorang di antara orang-orang musyrik
itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat
mendengar firman Allah, kemudian antarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian
itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui. (Surah Taubah ayat 6)
l Cenderung untuk berdamai. Rasulullah cenderung
untuk menghabiskan konflik secara aman di mana musuh diminta mengakui ketuanan
negara Islam Madinah serta menghormati hak-hak rakyat Madinah. Rasulullah juga
pernah melepaskan ketua Kabilah Yamamah yang ditawan beberapa hari selepas ketua berkenaan terus
enggan menerima kepimpinan Nabi. Namun ketua berkenaan akhirnya menganut Islam
pula akibat akhlak Nabi sepanjang belau dalam tawanan Nabi.
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian,
maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah
Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. “ (Surah Al Anfal : 61)
l Asas Islam bukan untuk menumpahkan darah.
Inilah maqasid awal syariah iaitu mearang pertumbahan darah dan menjaga hak
nyawa dan akal. Syariat Islam yang asasnya menjaga nyawa menyebabkan peperangan
zaman Nabi dilarang melakukan kerosakan melebihi keperuan dalam sesuatu perang.
“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia,
bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat
kerusakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya”
(Surah Al Maidah: 32)
l Islam menyebar naungan kepada negara bukan
Islam bukannya memaksa menganut Islam. Saidina Umar selaku anak didik
Rasulullah pernah membuka dan menakluk Baitul Maqdis tanpa perlu memaksa
penghuni Baitul Maqdis yang beragama Kristian untuk menganut Islam.
“Katakanlah: Hai orang-orang kafir. Aku tidak
akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku
sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu
tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu,
dan untukkulah, agamaku.” (Surah Al
Kafiruun)
Antara contoh peperangan yang disertai
Rasulullah adalah:
l Perang Badar
Perang Badar terjadi di Lembah Badar, di 125
km selatan Madinah. Perang Badar merupakan puncak pertikaian antara kaum Muslim
Madinah dan musyrikin Quraisy Mekah. Peperangan ini disebabkan oleh tindakan
pengusiran dan perampasan harta kaum Muslim yang dilakukan oleh musyrikin
Quraisy semasa mereka memlalui negara Madinah. Selanjutnya kaum Quraisy terus
menerus berupaya menghancurkan kaum Muslim agar perniagaan dan berhala mereka kekal. Dalam peperangan ini kaum
Muslim telah menang walaupin 314 Muslim menentang 1000 tentera Quraisy.
Nisbahnya 1 lawan 3.
. Tiga tokoh Quraisy yang terlibat dalam
Perang Badar adalah Utbah bin Rabi'ah, al-Walid dan Syaibah. Ketiganya maut di
tangan tokoh Muslim seperti Ali bin Abi Thalib. Ubaidah bin Haris dan Hamzah
bin Abdul Muthalib. adapun di pihak Muslimin pula Ubaidah bin Haris syahid selepas terluka
parah.
Perang Badar al Kubra terjadi pada tanggal 17
Ramadhan 2 Hijriah. Perang ini bermula dari salah faham kafilah dagang kaum
Musyrikin Makkah yang sedang kembali dari Syam menuju Makkah. Nabi
memerintahkan sejumlah sahabatnya untuk mengamati (iaitu sariyah/gerakan hendap
yang hanya diwakili beberapa sahabt sahaja) kafilah Quraisy yang sedang lewat
di wilayah Madinah itu tanpa berrnaksud untuk berperang di bawah pimpinan Nabi
saw. sendiri. Selepas tercetus perang dan menang peperangan, Nabi menampilkan sikap bijaknya dengan
meminta para tawanan Quraisy mengajar ilmu menulis dan membaca kepada anak-anak
Islam.
l Perang Uhud
Perang Uhud terjadi di Bukit Uhud. Pasukan
Quraisy yang dipimpin Khalid bin Walid mendapat bantuan dari kabilah Saqib,
Tihamah, dan Kinanah. Khalid melaksanakan strategi perang bentuk posisi sayap
kanan dan sayap kiri yang mengelirukan tentera Islam.
Nabi Muhammad SAW segera mengadakan musyawarah
untuk mencari strategi perang yang tepat dalam menghadapi musuh. Selepas perang
Badar, kaum Quraisy bertekad akan
berperang untuk membalaskan dendam mereka kepada Muhammad dan Para sahabatnya terutama
para balu, janda, anak kepada tentera kafir pada Perang Badar yang lalu.
Pada
bulan syawal tahun ketiga hijriyah, kaum Quraisy bersama pasukan, para wanita,
serta sekutu yang bersedia diajak, seperti bani kinanah dan penduduk tihamah
telah bergerak untuk membalas dendam. Mereka berjalan dibawah pimpinan Abu
Sufyan bin harb, pemimpin mereka sepeninggalan Abu Jahal .
Dalam perang ini Rasulullah menunjukkan sikap
terbuka menerima idea idea dari pihak munafik. Dalam peoerangan ini kaum Islam
menerima pukulan teruk dan ramai sahabat yang syahid akibat meninggalkan arahan
Nabi agar bertahan di bukit Uhud. Namun selepas kekalahan itu Rasululah membawa
sekali lagi sahabat membawa pelepah kurma yang dibakar untuk menakutkan Quraisy
dan tentera Khalid bergegas pulang ke Mekah selepas ketakutan memikirkan
tentera bantuan Muhammad telah tiba. Hal ini juga menampikan kebijaksanaan Nabi
Muhammad.
l Perang Khandaq
Kaum Muslimin Madinah
menghadapi ancaman yang lebih besar lagi. Orang-orang Mekah atas hasutan orang-orang Yahudi khaibar
dan dengan bantuan suku-suku badwi yang lain, mengerahkan sepuluh ribu pasukan dengan tujuan menduduki
Madinah . Lokasi Perang Khandaq adalah di sekitar kota Madinah bagian utara.
Perang ini juga dikenal sebagai Perang Ahzab (Perang Gabungan) dan amat menggerunkan sesiapa sahaja di Mekah dan Madinah. Perang Khandaq melibatkan
kabilah Arab dan Yahudi yang tidak senang kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam perang ini Nabi menunjukkan sikap terbuka menerima idea Salman Al
Farisi dalam peperangan cara kaum Parsi. Tentera Quraisy berpecah belah apabila
menerima perang saraf Nabi melalui beberapa sahabat kaum Ansar yang mengenali
kabilah-kabilah yang bersekutu dengan Quraisy Mekah. Malah ramai tentera yang
resah dan jatuh moral kerana terpaksa tergencat perang beberapa hari akibat
parit besar yang dikorek para sahabat Nabi.
Rasulullah
mengasaskan syariat keusahawanan Islam
Rasulullah diasuh berniaga sedari kecil lagi
bersama Abi Talib bapa saudaranya. Usia kepemudaannya juga Rasulullah menjadi peniaga
kepada bahan dagangan bakal isterinya Khadijah
dan Baginda terbukti berjaya mendapat keuntungan besar tanpa
mengenepikan sebarang konsep akhlak dalam muamalat baginda. Sepanjang memimpin
negara Rasulullah kerap diajukan persoalan muamalat dan perdagangan, Baginda
juga kerap hadir ke pasar dan menegur sekiranya ada bentuk transaksi wang atau
barang yang bercanggah dengan syarak.
Ciri ciri usahawan menurut Al Quran, hadis,
dan sirah adalah :
l Tidak hanya mengejar untung
Ciri istimewa konsep perniagaan menurut acuan
Islam berbeza dengan konsep perniagaan ditaja oleh akal fikiran manusia.
Keuntungan dalam perniagaan Islam bukan hanya dinilai dari aspek material
semata-mata tetapi yang menjadi keutamaan adalah mendapat keberkatan dan
keredaan Allah SWT. Peniaga dan usahawan Muslim terdahulu seperti Nabi Muhammad
SAW, Khadijah binti Khuwailid, Saidina Uthman bin Affan, telah memberikan
contoh terbaik untuk menjadi peniaga berjaya. Apa yang penting ialah bersikap
amanah, bercakap benar, pengurusan yang baik dan memberikan perkhidmatan
terbaik. Untung tetap tujuan utama dalam berdagang tetapi bukan syarat untuk
menipu, mengurangkan timbangan dan lain-lain.
l Jujur
Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat
dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat
dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi). Jujur adalah ciri utama dalam perniagaan dan keusahawanan dalam Islam.
Jujur adalah teras utama dalam akhlak perniagaan Islam. Jujur adalah konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara
peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta
dan penipuan. Jujur menjadikan bisnes seseorang kekal lama
dan berdaya saing.
l Tidak Bersumpah Palsu
Rasulullah SAW secara tegas telah mengecam amalan
perdagangan yang dipenuhi tipu daya. Kegiatan bersumpah palsu, berniaga dengan riba atau mengurangkan timbangan atau kualiti produk adalah dilarang keras dalam
Islam.Hal ini kerana dengan menjalankan perniagaan seperti ini selain ianya merugikan orang lain, tapi juga membuat
perniagaan yang dijalankan tidak lancar dan ada pihak yang menanggung risiko.
Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW
dalam sebuah hadis, “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum
berpisah.Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka
akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka bohong dan
menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli mereka.” (HR.
Muslim)
l Mengharamkan riba
Riba adalah salah satu dari dosa besar yang
wajib dielakkan oleh seorang Muslim yang disebutkan secara jelas dalam Al-Quran
dan Sunnah tentang pengharamannya. Riba bermaksud sebarang tambahan dalam
barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan
tempoh. Budaya mengenakan bunga dan faedah pinjaman atau sepanjang penangguhan
bayaran adalah haram.
Di dalam surah al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan
bahawa Allah dan rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhum nya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwa lah
kamu kepada Allah dan tinggalkan lah (jangan menuntut lagi) saki baki riba
(yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang
yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai
larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan
Rasul Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat,
maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang
demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi
oleh sesiapa.
Rasulullah sebagai kaunselor dan pengasas disiplin kaunseling Islam
Tidak dapat dinafi Rasulullah adalah kaunselor
yang berkesan di zamannya. Kaunselor Islam mestilah
mempunyai ciri-ciri sifat Rasululuh
s.a.w iaitu mempunyai sifat ketokohan
sebagai pemimpin, melayan kanak-kanak seperti anak sendiri, tidak suka
meminta-minta, pakar dalam bidang agama, sentiasa berlemah lembut dan mempunyai
jati diri yang jitu. walau pun baginda di lahir sebagai anak yatim tapi baginda
memiliki akhlak dan sifat-sifat yang sangat mulia. Oleh kerana itu hendaklah
kita mempelajari dan memiliki contoh-contoh sifat-sifat nabi seperti Siddiq,
Amanah, Fatonah dan Tabligh.
l Siddiq: Seorang kaunselor perlu bercakap benar
dalam mendidik klien atau pelajarnya dan tidak mereka-reka konsep dan ilmu jika
tidak diketahuinya.Kaunselor juga perlu berterus terang berkaitan masalah
sebenar klien mereka serta berusaha menyelesaikan masalah berkenaan.
l Amanah: seorang kaunselor perlu amanah dan
tidak menceritakan rahsia peribadi pelajar atau klien kepada audien atau pihak
lain yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah klien dan pelajar mereka.
l Fatonah: kaunselor juga perlu bijak, cerdik
serta pandai dan berilmu tinggi.Adalah mustahil seorang guru kaunseling bersifat
jahil dan cetek ilmu dapat memberi bimbingan yang baik kepada klien atau
pelajar mereka. Mereka perlu mentelaah ilmu agama sebagai asas kaunseling serta
lain lain ilmu epistemologi pengajaran kaunseling yang sewajarnya.
l Tabligh: Seorang kaunseling juga sebaiknya
menjadi penyampai ilmu yang baik serta bersemangat menyampaikan dakwah dalam
bidang kaunseling islam. Misalnya Dr Fadzilah Kamsah yang terkenal berdakwah
melalui ilmu kaunseling Islam.
KESIMPULAN
Melalui penulisan ringkas ini pembaca dapat mengenali
secara umum pekerti Nabi serta kehebatan diri Rasulullah yang tahu serba banyak
hal hal manusiawi dan keduniaan selain akhirat. Jelaslah
bahawa nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang disegani
malah baginda merupakan seorang pemimpin masyarakat, negarawan, perancang
ekonomi, pendidik yang efektif dan
pemimpin tentera yang berjaya. Baginda cuba menonjolkan Islam yang tidak hanya
mementingkan aspek akidah, tetapi juga menitikberatkan hal ehwal kehidupan
seharian. Baginda berjaya membina
tamadun Islam serta diwarisi pula oleh
khulafa’ al-Rasyidin.
RUJUKAN
Roziah Sidik, Genius Muhammad bin Abdullah, PTS
Publication, Kuala Lumpur, 2004.
Nik Aziz Nik Mat, Muhammad Bukan Nasionalis,
Kemilau Publika, Kuala Lumpur, 2012
Al Fazlur Rahman, Muhammad Panglima Perang,
Penerbitan Hizbi, Kuala Lumpur, 1990
Utusan Malaysia 4 Februari 2012 (dimuat turun
pada 15 Mac 2018)di
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
Peperangan Nabi Muhammad S.A.W. : Analisa
Strategi Peperangan Dan Pertahanan (dimuat urun pada 15 Mac 2018). dari: https://www.researchgate.net/publication/215649912_Peperangan_Nabi_Muhammad_SAW_Analisa_Strategi_Peperangan_Dan_Pertahanan
Muat turun pada 15 Mac 2018 dari http://bimbingandankaunseling.blogspot.my/2014/09/nabi-muhammad-saw.html
No comments:
Post a Comment