Pembaca Setia

Sunday, October 10, 2021

Takdir seorang pemimpin; Virtu atau Fortuna

 


Takdir seorang pemimpin;  Virtu atau Fortuna

Muhammad Nuruddin Bashah

Dalam banyak banyak gagasan Machiavelli, ciri utama kepimpinan adalah perkara yang utama diulang oleh Machiavelli. Ciri utama bagi beliau adalah ciri yang membawa individu itu memiliki kuasa iaitu bakatnya (virtu) atau nasib dan tuahnya (fortuna).

Jika diteliti ciri ini banyak berlaku zaman ini dan kita boleh menilai kekuatan seseorang pemimpin politik moden berdasarkan dua ciri ini.

Machiavelli tidak mendefiniskan makna virtue secara pasti. Ia tidak menggunakan istilah tersebut secara sistematik.

Virtu selalu diterjemah kepada kebaikan dan sifat murni tetapi takrifan Machiavelli bermaksud kejantanan dan keberanian.

Machiavelli mengiktiraf Nabi Musa AS, Cyrus (pengasas Achaemenid), Romulus (pengasas Rom) dan Theseus (pengasas Athens) sebagai contoh individu Virtu yang sejati. Bagi Machiavelli Nabi Musa adalah pemimpin yang memiliki ketenteraan tersendiri dan mampu menghukum Firaun atau Bani Israel yang engkar.

Machiavelli menggunakan istilah virtu sebagai analisis kompleks yang menggambarkan pada kualiti utama seorang pemimpin dalam mencapai kegemilangan, meraih kemuliaan dan kehormatan, menahan serangan, melepaskan ketergantungan pada pihak lain, keyakinan diri. Dalam konteks tertentu, virtu difahami  sebagai kesediaan untuk melakukan apa saja tindakan untuk mencapai kemuliaan umum, baik itu melalui cara-cara yang baik maupun jahat.

Ini berdasarkan pemerhatian Machiavelli kepada sifat, sikap dan kebenaran masyarakat Eropah zamannya.

Pandangan ini jika dihurai cara negatif kita akan membawa makna membujur lalu melintang patah atau matlamat menghalalkan cara. Namun peribahasa ini bukan saranan Machiavelli sebaliknya beliau hanya menukilkan dalam bukunya realiti bangsa Eropah malah ia realiti mana-mana Kaisar, raja, Firaun atau Sultan yang membelakangkan moral dan etika.

Manakala ‘Fortuna’ satu kepimpinan yang terjadi secara pasif dan bersifat ‘bulan jatuh ke riba’ yang diidam oleh ramai pihak. Rugi bagi mereka yang berbangga memiliki kuasa secara warisan tanpa bakal, ilmu dan kemampuan tersendiri. Hal ini bukan sahaja dilihat konteks kerajaan tetapi konteks syarikat koperat, organisasi, persatuan serta  parti politik. Menurut Machiavelli mana-mana rakyat biasa yang menjadi penguasa kerana tuah, dia tidak memerlukan daya upaya yang banyak.

Tetapi ia akan mengalami kesusahan untuk mengekalkan kekuasaannya.

Orang sebegini bergantung sepenuhnya pada dua perkara yang tidak stabil dan tidak pasti iaitu kemahuannya sendiri dan tuahnya yang memberikannya kekuasaan. Mereka juga tidak tahu dan tidak mampu mengekalkan kekuasaan mereka.

Mereka ini (selalunya) tidak memiliki kecerdikan dan kecekapan yang tinggi.

Mereka ini tidak akan mampu mengekalkan kekuasaan kerana tidak mempunyai bala tentera yang taat dan setia kepadanya.

Francesco Sforza adalah contoh  kepimpinan yang virtu manakala Cesare Borgia merupakan contoh fortuna yang dinukil oleh Machiavelli dalam The Prince.

Apa penting kita tahu ciri ini? Adakah kita ingin aplikasi dua ciri ini? Ilmu ini sekurangnya membenarkan kita memahami senario semasa. Bukankah kita ini rakyat biasa…apa salahnya kita tahu gelagat orang politik atasan kita…

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...