Pembaca Setia

Wednesday, May 24, 2023

ILMU YANG BERFAEDAH MENURUT AL ZARNUJI; PESANAN UNTUK MASYARAKAT AKHIR ZAMAN



ILMU YANG BERFAEDAH MENURUT AL ZARNUJI; PESANAN UNTUK MASYARAKAT AKHIR ZAMAN

Muhammad Nuruddin Bashah

Akhir zaman baik di Malaysia atau luar negara sana simptom zaman fitnah semakin memuncak.

Pasca wabak seluruh dunia, kini Malaysia menerima banjir yang teruk di kebanyakan negeri termasuk pantai barat, ribut, krisis harga barang yang tiada kesudahan dan gejala manipulasi komoditi barangan yang belum selesai. Selain itu perkara di bawah semakin menjadi-jadi  iaitu:

Kini banyak anak-anak yang terangan derhaka orang tua.

Orang jahat bermaharajalela dan jenayah semakin kreatif dilakukan.

Banyak orang yang memutuskan tali silaturahim malah FB mengadu domba dengan status seperti ‘jangan percaya sangat orang keliling anda kerana apa anda beri belum tentu anda dihargai’

Banyak orang munafik dan berpura-pura bercakap hal agama.

Orang lebih percaya kepada pengkhianat untuk mernjadi pemimpin, jadi penjaga harta.

Banyaknya homoseksual dan lesbianisme berlaku tanpa sekatan.

Masjid-masjid megah dan indah namun hati manusia semakin rosak.

Setiap manusia akan memiliki harta yang banyak walaupun mengeluh harga barang naik. Mereka jauh berharta berbanding nenek moyang mereka. (Sitoresmi, 2023)

Individu Islam mesti tahu ‘menjaga diri’

Akhir zaman selain masyarakat kekal menjaga kestabilan masyarakat, negara dan tamadun, tanggungjawab di peringkat invidu adalah tanggungjawab yang paling penting. Tanpa individu yang baik pastilah kita gagal untuk mengekalkan tamadun manusia bagi mendepani suana ‘fitnah’ akhir zaman.

Allah berpesan dalam al Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

 

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu. Tiadalah orang yang sesat itu mampu memudaratkan kamu apabila kamu telah beroleh hidayah. Hanya kepada Allah kamu semua akan kembali. Maka Dia akan memberitakan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan.” (al-Maidah: 105)

Individu Islam perlu menjaga diri untuk mengekalkan ‘iffah pada diri dan keluarga mereka. Perkataan ‘iffah  العفة  bererti seseorang yang  menjauhkan diri dari perbuatan yang tidak baik, atau menjaga kesucian diri, maruah mereka daripada   hal-hal yang tidak baik.

Untuk mencapai ‘iffah inilah umat Islam perlu memiliki keutamaan tertentu dalam memilih ilmu yang membentuk jiwa, fikrah dan  paradigma mereka untuk bersedia menghadapi fitnah akhir zaman.

Dalam tulisan ini penulis memilih mutiara ilmu,  petua atau tips berguna daripada Kitab Ta’alim al-Muta’alim Tariq al Ta’alum (Instruction of the Student: The Method of Learning) hasil karya  Syeikh Burhanuddin Al-Zarnuji yang terkenal di alam pelajar pondok dan masyarakat yang kerap hadiri kuliah maghrib. Kitab ini  merupakan sebuah kitab turath Islam yang amat popular  dipelajari malah diulang baca kepada para pelajar pondok, madrasah malah di masjid-masjid. Bagi para penuntut yang baru masuk ke maahad, madrasah dan pondok, kitab ini danggap wajib untuk ditelaah. Kitab ini juga dialih tulisan ke tulisan jawi berbahasa melayu serta memiliki banyak tambahan isi yang menurut suasana negeri Tanah Melayu.   Kitab ini adalah sebuah kitab yang menjelaskan keutamaan pemilihan ilmu, cara kita memilih ilmu, adab-adab guru dan pelajar yang membawa kejayaan bagi orang yang menuntut ilmu. Pada pandangan  penulis pelajar SBP atau Sekolah sains juga wajar didedah dan dibedah buku ini kerana tipsnya relevan untuk generasi akhir zaman ini.

Sheikh al-Zarnuji ialah seorang ulama Islam yang tinggal di Parsi (kini Iran). Beliau merupakan pakar undang-undang dan fiqh (ahli fiqh)   dari mazhab Imam Hanafi di Khurasan dan Transoxiana. Al-Zarnuji dikenali dengan nama Burhan al-Din. Berkaitan dengan ini, beberapa pengkaji berpendapat jika dilihat dari nisbah nama al-Zarnuji yang diambil berdasarkan kawasan asalnya iaitu Zarand.  Zarand merupakan salah satu kawasan di wilayah Parsi yang pernah menjadi ibu kota negara Sidjistan yang terletak di selatan Herat. (Mushlihin, S, 2012)



Sheikh Al Zarnuji bermazhab Hanafi malah mahir fiqh mazhab Hanafi, dan boleh dianggap sebagai mahir ilmu falsafah. Hal ini terbukti di samping kitab ini mempunyai isi berkenaan  etika, ia juga mengandungi nilai-nilai falsafah dan pemikiran falsafahnya lebih dekat dengan pemikiran Imam  al-Ghazali (Baharuddin, A. M., & Tussaripah, M, 2012)

Suasana penulisan Sheikh Al Zarnuji adalah pada zaman kerajaan Abbasiyyah yang terkenal zaman kemuncak keilmuan Islam. Pada zaman ini berlakunya perkembangan keilmuan  Greek, Falsafah, perubatan, sains dan sebagainya selain perkembangan ilmu agama. Zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun, dikatakan kota Baghdad pernah menjadi pusat ilmu pengetahuan yang masyhur dunia. Di saat inilah Sheikh Al Zarnuji mengeluar satu buah tangan yang mengisi kekosongan adab, etika, akhlak dan keutamaan memilih ilmu agar umat Islam tidak mengabaikan ilmu yang membawa mereka  ke akhirat.(Baharuddin, A. M., & Tussaripah, M, 2012)


Menurut Al Zarnuji ilmu adalah suatu sifat yang pengertian suatu hal  menjadi jelas  dengannya. Sedangkan fiqh pula bererti memahami kelembutan-kelembutan suatu ilmu  pengetahuan. Ada ulama’  yang menyatakan  bahawa ilmu bererti “idrāk al-majhūl”, yang bermaksud menemukan sesuatu yang  belum diketahui. Sementara definisi fiqh adalah “fahmu al-amr”, iaitu   memahami suatu perkara iaitu  ilmu pengetahuan.

Imam Zarnuji menyatakan bahawa seorang pelajar harus mengetahui keutamaan ilmu pengetahuan. Sebab dengan ilmu pengetahuan Allah  swt memberikan keunggulan kepada Nabi Adam as. atas para malaikat. Dengan kelebihan ilmulah Allah  swt memerintah malaikat agar sujud kepada Nabi Adam as. (Shofwan, A. M. ,2017)

Di zaman fitnah hari ini, coleh kita  bayangkan kenyataan mufti di media sosial juga di’anjing’kan, diperli tanpa segan silu. Misalnya apabila mufti menyebut hal perlunya membayar zakat bagi penerima pengeluaran i-sinar KWSP, ramai yang memaki hamun dengan mengatakan mufti hanya tahu mengambil kesempatan duit rakyat sahaja bukannya menyelesai masalah ekonomi rakyat. Masyarakat kelihatan tidak rasional, kelihatan jahil tanpa tahu langsung peranan mufti yang cuba mengekalkan hukum hakam dalam apa jua situasi. Semasa banjir besar Selangor tahun lalu,  ada mangsa banjir  yang mencuri barangan Mydin, maka agamawan dicela bertalu-lau apabila para agamawan mengatakan hukum mencuri tetap haram jika tuan barang tidak halalkannya. Demikian krisis ilmu dan iman masyarakat kita mutakhir ini.

Inilah perlunya ilmu sahih disebar luas kepada masyarakat. Ilmu  adalah suatu sifat yang dengannya dapat menjadi jelas pengertian  sesuatu yang disebut. Imam Zarnuji menyatakan bahwa setiap pelajar atau masyarakat  hendaknya memilih ilmu  yang terbaik baginya dan ilmu yang diperlukan  dalam urusan agama di masa  sekarang (fī al-hāl). Maknanya ilmu agama yang mampu menyelesai masalah kontemporari mereka ketika itu.  (Shofwan, 2017).

Pembahagian ilmu

Perhatikan pembahagian ilmu menurut Al Zarnuji. Beliau  membahagi ilmu pengetahuan kepada empat kategori. Pertama,  ilmu fardhu `ain, iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap  muslim secara individual. Konteks fardu a’in ialah setiap muslim secara individual  wajib mempelajarinya ilmu-ilmu agama  seperti ilmu fiqh dan ilmu usul (dasar dasar agama). Sedangkan dalam konteks  fardu kifayah adalah ilmu seperti ilmu perubatan, ilmu astronomi dan lain sebagainya yang membawa kebaikan untuk masyarakat. (Hidayat, 2019)

Ilmu fardhu kifayah dalam aspek agama adalah , ilmu yang keperluannya hanya dalam saat-saat tertentu saja seperti ilmu shalat jenazah. Dengan demikian, seandainya ada sebagian penduduk kampung telah melaksanakan fardhu kifayah tersebut, maka gugurlah kewajiban bagi yang lainnya. (Tholabi, I, 2010).

Hari ini boleh dilihat ada anak yang lari keluar masjid tidak mahu ikuti solat jenazah ibu bapa sendiri kerana takut diminta menjadi imam solat jenazah.   

Agamawan, ulama’ dan penghulu sesebuah komuniti perlu memastikan masyarakat mereka memiliki ilmu yang diperlukan untuk menghadapi isu setempat. Misalnya bagaimana memahamkan masyarakat berkenaan kaedah-kaedah fiqh yang digunakan untuk menangguh solat Jumaat semasa wabah berlaku teruk. Isu raya ‘tergempar’ misalnya menyaksikan betapa rendahnya pengetahuan masyarakat tentang ilmu mathla’ anak bulan, ilmu hisab kalander dan rukyah anak bulan secara asas. Lantaran itu  Al-Zarnuji menegaskan  wajib mempelajari ilmu yang relevan diperlukan  saat dan waktu masyarakat itu. (Musthafa, I., & Meliani, F, 2021)




Az-Zarnuji menegaskan juga  ilmu itu memuliakan pemiliknya, karena masyarakat berilmu akan diangkat  darjat di sisi Allah serta  membantu manusia  mengetahui sifat-sifat takabbur, tawadhu, lemah lembut, ‘iffah, isrof (berlebih-lebihan), bakhil , jubnu (pengecut), serta memilih memiliki pendapat yang benar dalam sesuatu hal atau isu.  (Rahman, A, 2016).

Mari kita lihat pula apakah ilmu yang paling diutamakan oleh Sheikh Al Zarnuji. Ilmu apakah yang dianggap terlebih berfaedah untuk dipelajari. Pada penulis nasihat beliau adalah umum bukannya khusus untuk pelajar madrasah atau ilmu agama sahaja.

 

Tauhid asas segala-galanya

Masyarakat kita wajib mengutamakan Tauhid. Adapun ilmu yang didahulukan untuk dipelajari adalah ilmu Tauhid, agar mengetahui sifat-sifat Allah berdasarkan dalil yang sahih. Selanjutnya mempelajari ilmu Fiqih untuk memahami syariat Islam.

Tertulis dalam matan:

ويقدم علم التوحيد والمعرفة ويعرف الله تعالى بالدليل، فإن إيمان المقلد ـ وإن كان صحيحا عندنا ـ لكن يكون آثما بترك الإستدلال.

Hendaknya lebih dahulu mempelajari ilmu tauhid, mengenali Allah lengkap dengan dalilnya. Kerana orang yang imannya hanya taqlid walaupun menurut pendapat ulama’ imannya sah, tetapi  ia masih berdosa kerana  tidak mahu beristidlal (mencari dalil) dalam masalah (akidah)  ini. (Az Zarnuji, B. 2021, h. 40)


Elak taksub berdebat dan ilmu yang membawa perdebatan sahaja

Az Zarnuji juga menekankan keutamaan ilmu lama (turath) bukan mengutamakan  ilmu baru muncul, serta elakkan perdebatan sia-sia.

ويختار العتيق دون المحدثات، قالوا: عليكم بالعتيق وإياكم بالمحدثات، وإياك أن تشتغل بهذا الجدال الذى ظهر بعد انقراض الأكابر من العلماء، فإنه يبعد عن الفقه ويضيع العمر ويورث الوحشة والعداوة، وهو من أشراط الساعة وارتفاع العلم والفقه،كذا ورد فى الحديث

Hendaknya pula memilih ilmu-ilmu yang terdahulu, bukan yang baru lahir. Banyak ulama berkata: “Tekunilah ilmu terdahulu, bukan (jangan utamakan) yang baru muncul (ilmu yang hasil pertembungan Barat/Tamadun luar).”

Dan berhati-hatilah daripada disibukkan dengan kontroversi (perdebatan) yang muncul selepas kepupusan ulama besar. Kini pertembungan debat sesama ulama’ kerap berlaku hingga mengelirukan orang awam. Hal ini menunjukkan para agamawan juga perlu memerhatikan tindak tanduk mereka yang boleh menjejaskan keharmonian beragama di kalangan rakyat awam.

Perdebatan yang melampau sebenarnya menjauhkan seseorang daripada fiqh (kefahaman), mensia-siakan kehidupan (buang masa), dan mewarisi kesepian dan permusuhan, dan ia adalah salah satu syarat berlakunya kiamat dan terangkatnya  ilmu dan fiqh (ke langit), seperti yang dinyatakan dalam hadis. (Az Zarnuji, B. 2021, h. 41)

Ilmu-ilmu lama atau ma’thur adalah ilmu yang diajarkan oleh nabi Muhammad Saw, sahabat, tabiin dan ulama mujtahid. Sedang ilmu baru adalah ilmu-ilmu yang lahir setelah zaman tersebut, seperti  ilmu perdebatan dan seumpamanya. Dalam belajar ilmu agama kita ditekankan keaslian ilmu maka keaslian ini mampu diperolehi daripada sumber asalnya  (Nabi) dan generasi terdekat setelahnya (Sahabat dan Tabi‘in). (Muztaba, 2014).

Pada penulis, kenyataan Al Zarnuji  ini bukan satu seruan memundurkan umat atau menolak sebarang ilmu mantik, ilmu kalam atau ilmu psikologi misalnya. Ia hanya menekankan keutamaan belajar. Bermakna ilmu baru juga perlu dipelajari selepas kukuh ilmu berasaskan al -Quran, Hadis seterusnya kitab turath.

Fiqh itu ilmu yang bagus

Az Zarnuji juga memuji ilmu fiqh dan memuji ahli fiqh yang warak dan zuhud. Beliau memetik kalam Syekh Muhammad bin Al-Hasan bin Abdullah dalam syairnya:

تـفـقـه فإن الـفــقـه أفــضـل قائـد # الى الــبر والتـقـوى وأعـدل قـاصـد

هو العلم الهادى الى سنن الهدى # هو الحصن ينجى من جميع الشدائد

فـإن فـقيــهـا واحــدا مــتـورعــا# أشـد عـلى الشـيطـان من ألـف عابد

“Belajarlah ilmu fiqh, karena ia adalah ilmu yang paling unggul.  Ilmu yang dapat membimbing menuju kebaikan dan taqwa, ilmu paling lurus untuk di pelajari. Ia ilmu yang menunjukkan kepada jalan yang lurus, yakni jalan petunjuk  Tuhan yang dapat menyelamatkan manusia dari segala keresahan. Oleh karena itu orang yang faqih  dan bersifat wara’ lebih berat bagi syaitan daripada menggoda seribu ahli ibadah tapi bodoh." (Az Zarnuji, B, 2021, h.19)

Hal ini menolak pandangan sesetengah pihak yang menganggap ilmu fiqh atau memiliki kemahiran fiqh ini sebagai hanya memiliki ilmu syariat yang rendah martabatnya. Sebaliknya mahir  fiqh inilah yang memandu masyarakat menuruti sunnha Rasulullah dan para ulama’ muktabar.

Az Zarnuji menegaskan pengharaman belajar ilmu tilik bintang kerana  ia diibaratkan penyakit (masalah sosial)  yang sangat membahayakan. Dan mempelajari ilmu nujum itu hanyalah sia-sia belaka, karena ia tidak mampu pun  menyelamatkan seseorang dari taqdir Tuhan. Tetapi beliau tidak menolak semua ilmu berkaitan bintang. Kini di FB juga ada banyak teka teki dan aplikasi teka nasib dan peramalan walaupun konsepnya untuk bersuka suka sahaja.

اذا تعلم من النجوم قدرما يعرف به القبلة، وأوقات الصلاة

Boleh mempelajari ilmu nujum (ilmu falak) untuk mengetahui arah kiblat dan waktu-waktu solat. (Az Zarnuji, B, 2021, h.25)

Jelas belajr ilmu yang batil adalah dilarang. Hari ini  misalnya marketing yang memalukan maruah, ilmu perniagaan yang memanipulasikan kebenaran dan hak tertentu adalah haram dan tidak berguna. Namun ia kian popular atas nama perniagaan  melalui media sosial.

Penutup

Professor Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan bahawa belia adalah mutiara yang amat berharga kepada sesebuah negara. Kekayaan Mesir bukan pada minyaknya, bukan pada kapasnya; tetapi kekayaan Mesir terletak pada belianya iaitu salah satu komponen penting masyarakat. Masyarakat yang terpimpin dengan ilmu (irsyad) adalah aset negara.  

Belia mestilah berilmu dan menggunakan ilmu untuk mendepani masyarakat. Misalnya setiap komen di media sosial diselit dengan ilmu dan teras agama. Imam Abu Hassan ‘Ali al-Nadawi mengatakan dunia intelek Islam telah hilang sejak zaman Ibnu Khaldun iaitu tiada lagi karya setanding dengan al-Muqaddimah selepas itu. Malik bin Nabi dan Syeikh Muhammad al-Ghazali al-Saqqa menjelaskan faktornya ialah kerana dunia Islam dihinggapi wabak lemah dan malas berfikir. Namun ia bukan alasan untuk kita terus mundur. Kenyataan ulama berkenaan kita tetap satu kenyataan. Namun kita bukanlah golongan  ‘jabariah’ untuk duduk sahaja tanpa usaha mencelikkan sekeliling kita dengan ilmu yang berguna sebagaimana pesanan Al Zarnuji.

 

Penulis : Muhammad Nuruddin Bashah

0176291368

820102-02-5203

585 Jalan Bandar Puteri Jaya 2/1

Bandar Puteri Jaya 08000 Sungai Petani Kedah

skuadpenyelamataqidah@gmail.com

Akaun CIMB Muhammad Nuruddin Bin Bashah

7019667296

Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan Universiti Malaya

Diploma Pengajian Islam dan Bahasa Arab KPTI

Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengurusan) OUM

Sedang Ikuti Sarjana Pengajian Islam OUM.

 

Rujukan:

Sitoresmi, A. R. (2023, February 24). 14 Tanda Kiamat Yang disebut Sudah Muncul Pada 2023, Simak Penjelasan Lengkapnya. liputan6.com. https://www.liputan6.com/hot/read/5216973/14-tanda-kiamat-yang-disebut-sudah-muncul-pada-2023-simak-penjelasan-lengkapnya

 

Az Zarnuji, B. (2021). Ta’lim al Muta’allim Meraih Keutamaan Ilmu dengan Adab dan Akhlak Mulia (1st ed.). Pustaka Arafah .

 

Baharuddin, A. M., & Tussaripah, M. (2012). Peranan kitab Ta’lim Al-Muta’alim Tariq Al-Ta’alum dalam memperkasa sistem pendidikan kontemporari di Malaysia. Dlm. Norarfan Zainal, Abdul Razak Abdul Kadir.

 

Hidayat, R. (2019). KONSEP Pendidikan Karakter Dalam Pengembangan Masyarakat islam (Studi Pemikiran Burhanuddin al-Zarnuji). Alfuad: Jurnal Sosial Keagamaan, 3(2), 1. https://doi.org/10.31958/jsk.v3i2.1692

 

Mushlihin, S. (2012). Biografi Burhanuddin al-Zarnuji. Dimuat turun daripada https://www.referensimakalah.com/2012/11/biografi-burhanuddin-al-zarnuji.html

 

Ma'arif, M. A. (2017). Analisis Konsep Kompetensi Kepribadian Guru PAI Menurut Az-Zarnuji. Istawa: Jurnal Pendidikan Islam, 2(2), 35-60.

 

Musthafa, I., & Meliani, F. (2021). Penerapan Metode Pembelajaran Islam Klasik Al-Zarnuji Di Era Revolusi Industri 4.0. JIIP-Jurnal Ilmiah Ilmu Pendidikan4(7), 664-667.

 

Thohir, M. A., Alfina, C., & Dardiri, A. (2017). A comparative study on Sheikh az-zarnuji thought and idealism in the philosophy of education. Epistemé: Jurnal Pengembangan Ilmu Keislaman12(2), 411-433.

 

Rahman, A. (2016). Pendidikan Akhlak Menurut Az-Zarnuji dalam Kitab Ta’lim al-Muta’allim. At-Ta'dib11(1).

\

Tholabi, I. (2010). Pemikiran Pendidikan Az-Zarnuji Dalam Kitab Ta'limul Mutalim. Tribakti: Jurnal Pemikiran Keislaman21(1).

 

Muztaba. (2014). AKHLAK BELAJAR DAN KARAKTER GURU (STUDI  PEMIKIRAN SYEKH AZ-ZARNUJI DALAM KITAB  TA’LIM MUTA’ALLIM) (dissertation).

 

Setiawan, A. (2014). Prinsip pendidikan karakter dalam islam: studi komparasi pemikiran al-Ghazali dan Burhanuddin al-Zarnuji. Dinamika Ilmu14(1), 1-12.

 

Shofwan, A. M. (2017). Metode belajar menurut Imam Zarnuji: telaah kitab Ta’lim al muta’alim. Briliant: Jurnal Riset Dan Konseptual2(4), 408-423.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...