Pembaca Setia

Sunday, February 22, 2026

CIRI UMAT SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH : BAGAIMANA CARA KITA HIDUP DALAMNYA

 



CIRI UMAT SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH : BAGAIMANA CARA KITA HIDUP DALAMNYA

Muhammad Nuruddin Bin Bashah[1]

Antara sifat umat terkemudian yang disebut oleh Nabi SAW

Daripada Imran bin Husain RA,

إِنَّ خَيْرَكُمْ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ - قَالَ عِمْرَانُ: فَلَا أَدْرِي أَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ قَرْنِهِ، مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً -ثُمَّ يَكُونُ بَعْدَهُمْ قَوْمٌ يَشْهَدُونَ وَلَا يُسْتَشْهَدُونَ، وَيَخُونُونَ وَلَا يُؤْتَمَنُونَ، وَيَنْذِرُونَ وَلَا يُوفُونَ، وَيَظْهَرُ فِيهِمُ السِّمَنُ

Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas mereka, kemudian mereka yang datang selepas mereka.” Imran berkata: “Aku tidak tahu adakah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan selepas kurunnya itu dua atau tiga kali.” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya selepas mereka itu akan ada golongan yang bersaksi sedangkan mereka tidak diminta untuk bersaksi[2], mereka berkhianat dan tidak boleh dipercayai, mereka bernazar namun tidak menunaikannya[3] dan terzahir pada diri mereka itu kegemukan[4].”

(Muttafaqun aliah, Sahih Bukhari hadis 3650, )

Kita akan recycle sifat lama

Daripada Abu Hurairah RA,

سمَعِتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah; Terlalu banyak bersukaria, Terlalu bermewah, Asyik mengumpul harta, Tipu menipu dalam merebut harta dunia, Saling memarahi, Hasut menghasut sehingga zalim menzalimi”.

Sikap Mazmumah di alam komunikasi moden

1. Al-Fuhsh wa al-Baza’ah  الفُحْشُ وَالْبَذَاءَةُ  (Pertuturan Kasar dan Hina/lucah)

Pertuturan kasar, sindiran menghina, dan ucapan mencela orang lain melalui lisan atau media sosial adalah antara mazmumah yang semakin biasa pada akhir zaman. Rasulullah bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ، وَلَا اللَّعَّانِ، وَلَا الْفَاحِشِ، وَلَا الْبَذِيءِ

Maksudnya: “Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, berkata keji atau berkata kotor.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1977)

Malaysia berada pada tangga keenam dunia sebagai antara negara yang paling kerap menggunakan bahasa kesat dalam komen di alam maya, sebanyak 0.019 peratus. Kajian tersebut dijalankan oleh Universiti Queensland, Brisbane, Australia, melibatkan 20 buah negara berbahasa Inggeris. Dapatan kajian menunjukkan bahawa rakyat Amerika Syarikat mencatat kadar tertinggi penggunaan bahasa kasar dalam komunikasi dalam talian[5].

2. Hubb al-Shuhrah حبُّ الشُّهْرَةِ (Cinta Populariti dan Pencarian Reputasi)

Sikap ingin dikenali, dipuji, atau menjadi tumpuan dalam komunikasi — sama ada melalui media sosial, mesyuarat, atau wacana awam — ialah bentuk riya’ al-lisān, iaitu menonjolkan diri melalui ucapan. Nabi memberi amaran:

مَن لَبِسَ ثوبَ شُهرَةٍ في الدُّنيا، أَلْبَسَهُ اللهُ ثَوبَ مَذَلَّةٍ يومَ القيامةِ

Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah SWT akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” (Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)

مَنْ طَلَبَ العِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ العُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ

Maksudnya: Sesiapa yang menuntut ilmu agama untuk menyaingi ulama, berbahas dengan orang jahil atau agar wajah orang ramai tertumpu kepadanya disebabkan ilmu tersebut, maka Allah SWT akan memasukkan dirinya ke dalam api neraka. (Riwayat al-Tirmizi)

Fenomena humblebragging — iaitu promosi diri yang diselindungi sebagai sikap rendah diri atau aduan[6].

Masalah mental Narcissistic Personality Traits, Menurut data penyelidikan, dianggarkan antara 0.5% hingga 5% individu di Amerika Syarikat mungkin menghidapinya. Antara 50% hingga 75% daripada kes yang dikenal pasti berlaku dalam kalangan lelaki[7].

Gejala Teori Pengurusan Impresi oleh Erving Goffman menjelaskan bahawa pengurusan impresi merujuk kepada usaha yang bersifat berorientasikan matlamat, sama ada secara sedar atau tidak sedar, untuk mempengaruhi persepsi orang lain terhadap seseorang, sesuatu objek, atau sesuatu peristiwa melalui proses mengawal serta mengatur maklumat dalam interaksi sosial[8].

3. Al-Mujāharah bi al-Ma‘ṣiyah  المُجَاهَرَةُ بِالْمَعْصِيَةِ  (Bangga Mendedahkan Dosa)

Antara ciri akhir zaman ialah manusia berbangga dengan dosa secara terbuka, termasuk dalam komunikasi lisan atau media sosial. Rasulullah bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافَاةٌ إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنَ الإِجْهَارِ أَنْ يَعْمَلَ الْعَبْدُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحُ قَدْ سَتَرَهُ رَبُّهُ فَيَقُولُ يَا فُلاَنُ قَدْ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ فَيَبِيتُ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ ‏‏

Maksudnya: ““Setiap umatku diberikan keampunan (atau berada dalam lindungan) kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Dan termasuk dalam perbuatan menzahirkan dosa itu ialah seseorang hamba melakukan suatu perbuatan (dosa) pada waktu malam, lalu Allah telah menutup (aib dan dosanya) pada waktu tersebut. Namun pada keesokan paginya, dia berkata kepada orang lain: ‘Wahai fulan, semalam aku telah melakukan begitu dan begini,’ sedangkan dia telah bermalam dalam keadaan Tuhan menutup aibnya. Maka dia bermalam dalam lindungan Allah, tetapi pada pagi harinya dia membuka sendiri penutup (aib) Allah ke atas dirinya.” ( Sahih Muslim 2990)

Fenomena ini ketara di media sosial apabila individu berbangga menceritakan perbuatan mungkar seperti minum arak, pergaulan bebas, atau mengumpat. Ia menunjukkan hilangnya rasa malu (hayā’).

Negative self‑disclosure: Pendedahan melalui media kepada orang lain atau dalam talian tentang sesuatu yang negatif dalam diri sendiri — contohnya kesalahan, tingkah laku tidak etika, atau perasaan bersalah[9].

4. Al-Ghībah wa al-Namīmah  الْغِيبَةُ وَالنَّمِيمَةُ  (Mengumpat dan Menyebar Fitnah Komunikatif)

Mengumpat, menyebar gosip, atau memanipulasi maklumat untuk menjatuhkan maruah orang lain menjadi antara mazmumah yang merosakkan ukhuwwah. Firman Allah:

وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Ḥujurāt :12)

Kajian oleh LiveCareer di US, sebanyak 47% responden melaporkan bahawa khabar angin memberi kesan negatif terhadap moral tempat kerja, menyebabkan ketegangan serta menimbulkan ketidakamanan dalam kepercayaan antara rakan sekerja, 20% mengakui telah menyebarkan khabar angin yang kemudiannya terbukti salah, menimbulkan rasa kesal di kalangan mereka[10].

5. Al-Tajrīh wa Su’ al-Zann  التَّجْرِيحُ وَسُوءُ الظَّنِّ (Mengecam dan Berprasangka Buruk)

Sikap cepat menilai niat orang lain, memperlekeh pandangan, atau mengecam tanpa ilmu adalah mazmumah lisan yang semakin menular. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat, 12)

Hasil tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 20 peratus kakitangannya mempunyai perasaan negatif terhadap tempat kerja[11]. (statistik ini mungkin tidak mewakili keseluruhan penyangka buruk tetapi termasuk mangsa masalah stress dll)

Sikap Mazmumah di alam pekerjaan

1. Khianat dan Penipuan dalam Amanah Pekerjaan

Khianat atau penipuan (ghulūl) dalam tugas — seperti mengubah data laporan, menyalahgunakan kuasa, atau menipu pelanggan — adalah antara mazmumah utama dalam konteks profesional. Al-Qur’an menegaskan larangan pengkhianatan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan jangan pula kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Anfāl :27)

2. Penyalahgunaan Harta Syarikat untuk Kepentingan Diri

Menggunakan aset, masa, atau dana syarikat untuk tujuan peribadi — contohnya menggunakan kenderaan rasmi untuk urusan keluarga atau mengambil barangan pejabat — tergolong dalam ghulūl (penggelapan harta amanah). Rasulullah bersabda:

مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ، فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا، فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang kami lantik untuk sesuatu kerja lalu diberikan upah, maka apa-apa yang diambilnya selepas itu adalah penggelapan.” (Riwayat Abū Dāwūd, no. 2943)

 

3. Hasad terhadap Kejayaan Rakan Sekerja

Al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menjelaskan bahawa hasad ialah “keinginan seseorang agar kebaikan yang dimiliki oleh orang lain hilang atau dikurangkan, sama ada harta, pangkat, kelebihan akhlak, atau kedudukan.. Rasulullah bersabda:

لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Janganlah kamu saling cemburu dan saling membenci, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat al-Bukhārī & Muslim)

4. Gangguan terhadap Rumah Tangga Rakan Sekerja

Antara mazmumah kontemporari yang semakin meningkat ialah kecenderungan mencampuri atau menggugat keharmonian rumah tangga rakan sekerja — sama ada melalui hubungan sulit, manipulasi emosi, atau penyebaran gosip peribadi. Islam melarang keras pencerobohan terhadap kehormatan dan maruah keluarga. Firman Allah:

مَنْ خَبَّبَ زَوْجَةَ امْرِئٍ أَوْ مَمْلُوكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami. Hadis riwayat Abu Daud (5170)

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan bahawa hampir satu daripada empat pekerja pernah menjadi mangsa keganasan atau gangguan di tempat kerja — fizikal, psikologi atau seksual. Lebih membimbangkan, sekitar 60 hingga 75 peratus kes tidak pernah dilaporkan kerana kebimbangan terhadap tindakan balas atau kurang keyakinan terhadap sistem dalaman organisasi[12].

5. Takabbur, Ujub dengan pangkat atau kemahiran sendiri.

Kesombongan dan penyalahgunaan kuasa dalam hierarki kerja mencipta budaya ketakutan dan membunuh kreativiti. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”  (Surah Luqmān, :18)

6. Zulm dan Eksploitasi terhadap Pekerja

Kezaliman majikan atau penyelia dalam bentuk diskriminasi, pemotongan gaji, dan tekanan kerja berlebihan adalah mazmumah yang nyata. Rasulullah bersabda:

أَعْطُوا الْأَجِيرَ أَجْرَهُ قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

"Berikanlah upah pekerja sebelum kering keringatnya." (Riwayat Ibn Mājah, no. 2443)

 

7. Kecuaian, Malas dan Ghaflah terhadap Amanah Tugas

Kecuaian dalam tugas adalah bentuk khianat halus terhadap amanah organisasi. Firman Allah:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ

"Dan katakanlah: ‘Beramallah kamu, nescaya Allah akan melihat perbuatanmu.’"  (Surah al-Tawbah, 9:105)

 

Penyelesaian cara mudah dan praktikal

1. Membina Kesedaran Rohani (Murāqabah ilallah)

أَلَمْ يَعْلَمْ بِأَنَّ اللَّهَ يَرَى

 "Tidakkah dia mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat?" (Surah al-‘Alaq, 96:14)

Aplikasi praktikal: pekerja disaran memulakan hari dengan doa niat bekerja kerana Allah, serta melazimi zikir pendek (seperti Hasbiyallāh wa ni‘mal wakīl) sebelum mesyuarat atau tugasan besar bagi menstabilkan emosi dan niat.

 

2. Melatih Muhāsabah Diri dan Refleksi Harian

Saidina ‘Umar ibn al-Khaṭṭāb r.a. berkata:

وَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: «حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَزِنُوهَا قَبْلَ أَنْ تُوْزَنُوا

"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah ia sebelum ia ditimbang."

Aplikasi praktikal: sediakan jurnal ringkas di akhir hari kerja untuk menilai tiga perkara — (1) tugas yang disempurnakan dengan ikhlas, (2) interaksi yang mungkin melukai orang lain, dan (3) niat yang perlu diperbetul esok hari.

3. Menyemai Budaya Profesionalisme Islam

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنّ اللَّهَ تَعَالى يُحِبّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ (رواه الطبرني والبيهقي)

Dari Aisyah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila bekerja, mengerjakannya secara profesional”. (Riwayat Thabrani, No: 891, Baihaqi, No: 334).
Aplikasi praktikal: Di tempat kerja jangan bawa emosi kawan, keluarga atau kenalan lama, mesti ikut peraturan dan tahu batas sebagai orang bawahan atau atasan untuk sempurnakan kerja.

4. Mempraktikkan Tazkiyat al-Nafs (Penyucian Jiwa) dan Pengurusan Emosi

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

“Sungguh beruntung orang yang mensucikan (tazkiyah) dirinya, dan sungguh merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Al-Shams, 91:9-10)

Aplikasi praktikal: pekerja digalakkan melazimi wirid selepas solat, mengelakkan perdebatan tidak perlu di pejabat, serta mengamalkan zikir pendek ketika kerja. Ini seiring dengan ajaran tasawuf bahawa ketenangan batin ialah benteng terhadap bisikan mazmumah. Pastikan kita rasa diri lebih berguna hari demi hari.

5. Mengukuhkan Ukhuwwah dan Budaya Tazkirah di Tempat Kerja

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

"Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan; bahagian satu menguatkan bahagian yang lain." (Riwayat al-Bukhārī & Muslim)

Aplikasi praktikal: wujudkan sesi tazkirah ringkas 10 minit mingguan, kumpulan doa atau qiyam ringkas bulanan di pejabat, dan ruang komunikasi positif, bersukan mingguan bersama dan elakkan ikhtilat lelaki perempuan. Ini bukan hanya mengukuhkan moral, tetapi juga menurunkan kadar stres dan meningkatkan ikatan.

Belum tentu yang bercakap (pentazkirah) pandai dari yang mendengar (hadirin). Kata Luqman kepada anaknya 

إِذَا كَانَ الْكَلَامُ مِن فِضَّةٍ فَالسُّكُوتُ مِن ذَهَبٍ Jika berkata-kata  itu perak, maka diam itu emas.” Diam bukan beererti lemah, bahkan ia sering menjadi benteng daripada tergelincir lidah, menjauhkan diri daripada dosa, serta melahirkan ketenangan jiwa.

 

6.10 petang 6 November 2025, BPJ SP.



[1] Penulis merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Universiti Malaya, Diploma Pengajian islam KPTI,  Ijazah sarjana Muda Pengajian Islam OUM, Sarjana Pengajian Islam OUM dan kini sedang menyambung peringkat PhD di Unishams.

[2] Kesaksian secara semberono. Perbuatan itu dilakukan bukan kerana keinginan menegakkan keadilan, tetapi kerana sikap sambil lewa dan tidak amanah.

أَلا أُنَبِّئُكُمْ بأَكْبَرِ الكَبائِرِ قُلْنا: بَلَى يا رَسولَ اللَّهِ، قالَ: الإشْراكُ باللَّهِ، وعُقُوقُ الوالِدَيْنِ، وكانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فقالَ: ألا وقَوْلُ الزُّورِ، وشَهادَةُ الزُّورِ، ألا وقَوْلُ الزُّورِ، وشَهادَةُ الزُّورِ فَما زالَ يقولُها، حتَّى قُلتُ: لا يَسْكُتُ

"Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang dosa-dosa besar yang paling besar?"Kami menjawab: "Ya, wahai Rasulullah."   Baginda bersabda: "Syirik kepada Allah, dan derhaka kepada kedua ibu bapa."

Ketika itu Baginda sedang bersandar, lalu Baginda duduk (tegak) dan bersabda dengan tegas: "Ingatlah, juga perkataan dusta dan kesaksian palsu; ingatlah, perkataan dusta dan kesaksian palsu!"  Baginda terus mengulang-ulang ucapan itu sehingga aku (perawi) berkata dalam hati: “Kalaulah Baginda berhenti (kerana begitu lama Baginda menegaskannya).” Perawi: Abu Bakrah Nufay‘ bin al-Ḥārith Sumber: Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, no. 5976

[3] Nazar bermaksud seseorang mewajibkan sesuatu amalan ke atas dirinya yang sebenarnya tidak diwajibkan oleh syarak, seperti seseorang berkata: “Aku akan menyembelih korban” atau “Aku akan bersedekah dengan sejumlah tertentu sekiranya Allah menyembuhkan penyakitku.” Ini seolah-olah berbentuk syarat terhadap Allah SWT. Namun, apabila hajat mereka tercapai, mereka sering gagal menunaikan nazar tersebut.

[4] Pentingkan kesenangan jasmani dan melupakan akhirat — atau secara kiasan, iaitu mereka bermegah dengan kelebihan yang tidak dimiliki, tamak mengumpulkan harta, serta lalai terhadap urusan agama.

[5] Lihat Utusan Malaysia, 30 Mei 2025

[6] Lihat Hamdan, Nor Aini, Siti Fatimah, dan Ahmad Fadli. “An Analysis on Humblebragging Language in Prince Syed Shahid’s Social Media Posts.” International Journal of Education and Policy Research in Social Sciences (IJEPC), 2025. https://doi.org/10.35631/IJEPC.1059055.

[7] Lihat Cleveland Clinic. “Narcissistic Personality Disorder: Symptoms & Treatment.” MyClevelandClinic. Last reviewed August 3, 2023. Accessed November 6, 2025. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9742-narcissistic-personality-disorder.

[8] Lihat Nickerson, Charlotte. “Impression Management: Erving Goffman Theory.” Simply Psychology. Last modified January 29, 2024. Accessed November 6, 2025. https://www.simplypsychology.org/impression-management.html.

[9] Lihat Levontin, Liora, dan Elad Yom-Tov. “Negative Self‑Disclosure on the Web: The Role of Guilt Relief.” Frontiers in Psychology 8 (2017): 1068. https://www.frontiersin.org/journals/psychology/articles/10.3389/fpsyg.2017.01068/full.

[10] Lihat LiveCareer, “How Gossip at Work Impacts Trust and Careers”, 14 Februari 2025, LiveCareer, diakses 6 November 2025, https://www.livecareer.com/resources/office-gossip-report?utm_source=chatgpt.com.

[11] 20 peratus kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negatif terhadap tempat kerja,” Malaysia Post, 2 November 2023, https://malaysiapost.com.my/2023/11/02/20-peratus-kakitangan-kkm-negatif-terhadap-tempat-kerja/.

[12] Lihat “Musuh Senyap Dunia Profesional,” Majlis Keselamatan Negara (MKN), 27 Julai 2025, https://www.mkn.gov.my/web/ms/2025/07/27/musuh-senyap-dunia-profesional/.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...