Pembaca Setia

Sunday, February 22, 2026

PUASA BAIK UNTUK JIWA DAN TUBUH BADAN

 

PUASA BAIK UNTUK JIWA  DAN TUBUH BADAN

Muhammad Nuruddin Bin Bashah[1]

Tazkirah Ramadhan 1447 Hijrah, 2026 Masihi

Sedikit hukum hakam puasa

Berdasarkan Mukhtasar Ihya Ulumiddin[2]:

اعْلَمْ أَنَّهُ يَثْبُتُ هِلَالُ شَهْرِ رَمَضَانَ بِقَوْلِ عَدْلٍ وَاحِدٍ، وَلَا يَثْبُتُ هِلَالُ شَوَّالٍ إِلَّا بِقَوْلِ عَدْلَيْنِ، وَسَوَاءٌ قَضَى بِهِ الْقَاضِي أَوْ لَمْ يَقْضِ، فَكُلٌّ يَعْمَلُ بِغَلَبَةِ ظَنِّهِ. وَيَجِبُ التَّبْيِيتُ، وَهُوَ أَنْ يَنْوِيَ بِاللَّيْلِ. وَيَجِبُ أَنْ يَنْوِيَ فَرِيضَةَ صَوْمِ شَهْرِ رَمَضَانَ، وَلَوْ نَوَى لَيْلَةَ الشَّكِّ أَنْ أَصُومَ إِنْ كَانَ مِنْ رَمَضَانَ لَمْ يُجْزِهِ.

Penentuan Bulan & Niat

  • Permulaan Ramadan: Bulan Ramadan sabit (dikira bermula) dengan penyaksian seorang lelaki yang adil. Permulaan Syawal (Raya): Bulan Syawal pula hanya sabit dengan penyaksian dua orang lelaki yang adil. Keputusan Hakim: Sama ada hakim (pemerintah) telah menetapkannya atau belum, setiap individu perlu beramal berdasarkan sangkaan yang kuat (ghalabatuz zanni) dalam dirinya.
  • Wajib Tabyit: Wajib berniat pada waktu malam (sebelum fajar).
  • Ketetapan Niat: Niat mestilah khusus untuk fardu puasa Ramadan. Niat Bersyarat: Jika seseorang berniat pada "malam syak" (hari yang diragui) dengan berkata "Aku berpuasa esok jika ia adalah Ramadan", maka niat tersebut tidak sah (tidak memadai).

 

وَالصَّوْمُ هُوَ الْإِمْسَاكُ عَنْ إِيصَالِ شَيْءٍ إِلَى الْجَوْفِ. فَيَفْسُدُ بِالْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَالسَّعُوطِ وَالْحُقْنَةِ، وَلَا يَفْسُدُ بِالْفَصْدِ وَالْحِجَامَةِ وَالِاكْتِحَالِ وَإِدْخَالِ مِيْلٍ فِي الْإِحْلِيلِ وَالْأُذُنِ، إِلَّا أَنْ يَقْطُرَ فِيهِ مَا يَبْلُغُ إِلَى الْمَثَانَةِ. وَمَا يَكُونُ مِنْ غَيْرِ قَصْدٍ كَغُبَارِ الطَّرِيقِ وَسَبْقِ ذُبَابَةٍ إِلَى جَوْفِهِ وَفِي الْمَضْمَضَةِ وَالِاسْتِنْشَاقِ لَا يُفْطِرُ مَا لَمْ يُبَالِغْ.

Definisi & Perkara Membatalkan Puasa

  • Definisi Puasa: Menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka (al-jouf).
  • Perkara Membatalkan:
    • Makan dan minum.
    • Memasukkan ubat melalui hidung (sa’ut) atau melalui dubur (huqnah).
  • Perkara TIDAK Membatalkan:
    • Berbekam atau melukakan urat untuk mengeluarkan darah (fasdu).
    • Memakai celak mata.
    • Memasukkan alat pengorek (mil) ke dalam saluran kencing (ihlail) atau telinga, melainkan jika cecair dititiskan sehingga sampai ke pundi kencing[3].
  • Perkara Tidak Sengaja: Perkara yang masuk ke rongga tanpa sengaja seperti debu jalanan atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong tidak membatalkan puasa.

·         Berkumur-kumur (Al-Madhmadhoh): Perbuatan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa. Syarat Tidak Berlebihan

·          

·         Memasukkan Air ke Hidung (Al-Istinsyaq): Perbuatan memasukkan air ke dalam hidung juga tidak membatalkan puasa. Syarat Tidak Berlebihan

 

 وَإِنْ أَكَلَ فِي طَرَفِ النَّهَارِ عَلَى ظَنِّ أَنَّهُ لَيْلٌ فَتَبَيَّنَ أَنَّهُ نَهَارٌ فَسَدَ صَوْمُهُ، فَإِنْ أَكَلَ أَوْ شَرِبَ أَوْ جَامَعَ نَاسِيًا لَمْ يُفْطِرْ.

·         Tersilap Waktu Siang: Jika seseorang makan pada hujung waktu siang (seperti waktu berbuka) atas sangkaan bahawa ia telah  malam, kemudian jelas terbukti bahawa waktu itu sebenarnya adalah siang, maka puasanya adalah batal.

·         Keadaan Lupa: Jika seseorang makan, minum, atau bersetubuh dalam keadaan lupa bahawa dia sedang berpuasa, maka perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

 

وَالِاسْتِقَاءُ يُفْسِدُ الصَّوْمَ، وَإِنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ لَمْ يَفْسُدْ صَوْمُهُ، وَإِنِ اقْتَلَعَ نُخَامَةً مِنْ صَدْرِهِ أَوْ حَلْقِهِ لَا يَفْسُدُ صَوْمُهُ رُخْصَةً لِعُمُومِ الْبَلْوَى.

·         Sengaja Muntah: Perbuatan sengaja mengeluarkan muntah (al-istiqa') membatalkan puasa.

·         Muntah Tidak Sengaja: Sekiranya seseorang itu terdesak oleh muntah (muntah keluar dengan sendiri tanpa sengaja), maka puasanya tidak batal.

·         Mengeluarkan Kahak: Jika seseorang mengeluarkan kahak (nukhamah) dari dada atau kerongkongnya, ia tidak membatalkan puasa.

·         Sebab Keringanan: Perkara berkaitan kahak ini tidak membatalkan puasa sebagai satu keringanan (rukhsah) kerana ia adalah perkara yang sukar dielakkan oleh umum (umum al-balwa).

وَلَا تَجِبُ الْكَفَّارَةُ إِلَّا بِالْجِمَاعِ، وَلَا تَجِبُ بِالِاسْتِمْنَاءِ وَالْأَكْلِ وَالشُّرْبِ. وَالْكَفَّارَةُ عِتْقُ رَقَبَةٍ، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَصَوْمُ شَهْرَيْنِ، فَإِنْ عَجَزَ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا مُدًّا مُدًّا.

·         Sebab Wajib Kifarah: Denda kifarah tidak diwajibkan melainkan bagi perbuatan bersetubuh (jimak) di siang hari Ramadan.

·         Perkara Tidak Wajib Kifarah: Kifarah tidak diwajibkan bagi perbuatan mengeluarkan mani secara sengaja (istimna'), makan, atau minum (walaupun perbuatan tersebut membatalkan puasa).

·         Urutan Kifarah:

1.      Memerdekakan seorang hamba.

2.      Jika tidak mendapati hamba (atau tidak mampu), maka wajib berpuasa selama dua bulan berturut-turut.

3.      Jika tidak mampu berpuasa, maka wajib memberi makan kepada 60 orang miskin, dengan kadar satu mud (secupak) bagi setiap orang.

 

Puasa ubat penyakit

Imam al Ghazali berkata :

وَاعْلَمْ: أَنَّ طِبَّ القُلُوبِ قَرِيبٌ مِنْ طِبِّ الأَبْدَانِ،

"Dan ketahuilah: Sesungguhnya perubatan hati itu (puasa) dekat daripada perubatan jasad (tubuh badan).[4]"

Dengan syarat jangan overdos[5].

Menurut Andri Dauni daripada Institut Biologi Molekul Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia[6].

1.      Pemulihan Kesihatan dan Berat Badan: Puasa merupakan proses terapeutik berkesan yang membantu penurunan berat badan serta mencegah penyakit kencing manis dan masalah kardiovaskular.

2.      Kesihatan Sel dan Awet Muda: Amalan ini meningkatkan kesihatan mitokondria, pembaikan DNA, merangsang proses autofagi (pembersihan sel)[7], serta terbukti secara konsisten memanjangkan jangka hayat.

3.      Melawan Penyakit Kronik dan Kanser: Puasa membantu mengurangkan keradangan, meningkatkan tindak balas imun, serta mewujudkan persekitaran yang menyukarkan sel kanser untuk bertahan sekaligus meningkatkan keberkesanan terapi kanser.

4.      Kesihatan Mental dan Emosi: Puasa mampu meningkatkan mood, kewaspadaan, rasa tenang, serta membantu mengurangkan gejala kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan emosi.

5.      Perlindungan Sistem Saraf (Neuroprotektif): Puasa bertindak sebagai agen pelindung saraf yang melambatkan proses neurodegenerasi, mengurangkan kerosakan otak selepas strok, serta membantu penghidap Multiple Sclerosis dan epilepsi (sawan).

6.      Sistem Pencernaan dan Metabolisme: Puasa meningkatkan produk penapaian mikrobiota usus (asetat dan laktat) yang mengurangkan kegemukan serta membantu penyembuhan hati berlemak (Non-Alcoholic Fatty Liver Disease).

Petua Imam Al Ghazali untuk mengurangkan makan

Kaedah Pengurangan Mestilah Bertahap (Tadrij)[8]

1) Kurang sehari sedikit-sedikit

لَعَلَّكَ تَقُولُ: قَدْ صَارَ الشَّبَعُ وَالْإِكْثَارُ مِنَ الْأَكْلِ لِي عَادَةً، فَكَيْفَ أَتْرُكُهَا؟ فَاعْلَمْ: أَنَّ ذَلِكَ يَسْهُلُ عَلَى مَنْ أَرَادَهُ بِالتَّدْرِيجِ، وَهُوَ أَنْ يَنْقُصَ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ طَعَامِهِ لُقْمَةً، حَتَّى يَنْقُصَ رَغِيفًا فِي مِقْدَارِ شَهْرٍ، فَلَا يَظْهَرُ أَثَرُهُ، وَيَصِيرُ التَّقْلِيلُ عَادَةً.

Mungkin anda akan berkata: "Kenyang dan banyak makan sudah menjadi tabiat bagiku, maka bagaimana cara untuk aku meninggalkannya?" Maka ketahuilah: Sesungguhnya perkara itu menjadi mudah bagi sesiapa yang menginginkannya secara bertahap (tadrij). Iaitu dengan mengurangkan satu suapan daripada makanannya setiap hari, sehingga dalam tempoh sebulan dia telah mengurangkan kadar sebuku roti. Dengan cara ini, kesannya tidak akan terasa (secara mendadak) dan pengurangan makan itu akan menjadi tabiat yang baharu.

2) Tangan hanya pegang makanan bila betul lapar

مَدُّ الْيَدِ إِذَا صَدَقَ جُوْعُهُ، وَيَكُفُّ وَهُوَ بَعْدُ صَادِقُ الِاشْتِهَاءِ

menghulurkan tangan (mula makan) apabila benar-benar lapar, dan berhenti makan ketika keinginan (selera) itu masih ada.

3) Jika rasa makanan semua sedap itu tanda kita lapar dan perlu makan.

وَعَلَامَةُ صِدْقِ الْجُوْعِ: أَنْ تَشْتَهِيَ أَيَّ خُبْزٍ كَانَ مِنْ غَيْرِ أُدْمٍ ، فَإِذَا اسْتُثْقِلَ بِغَيْرِ أُدْمٍ .. فَهُوَ عَلَامَةُ الشَّبَعِ

Dan tanda benarnya rasa lapar itu ialah: engkau berselera untuk memakan apa jua jenis roti sekalipun tanpa lauk pauk. Maka sekiranya (roti itu) dirasakan berat  tanpa lauk, maka itu adalah tanda kenyang.

 



[1] Muhammad Nuruddin bin Bashah, calon PhD Usuluddin di Unishams bermula Ogos 2025 dan membuat kajian berkaitan kitab tasawwuf jawi dan ilmu kerohanian. Boleh dihubungi melalui 0176291368

[2] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, Mukhtasar Ihya’ ‘Ulum al-Din (Indonesia: Dar al-Kutub al-Ismaliyyah, 2004), 46–47.

[3] 5 Rongga Terbuka yang Membatalkan Puasa

1.        Mulut Rongga ini paling utama. Puasa batal jika menelan sesuatu melewati had makhraj huruf Ha (ح) atau pangkal tekak, sama ada makanan, minuman, atau benda lain secara sengaja.

2.        Hidung Puasa batal jika memasukkan sesuatu (seperti air atau ubat selesema) sehingga sampai ke pangkal hidung yang sejajar dengan mata (pangkal otak/khaysyum).

3.        Telinga Puasa batal jika memasukkan sesuatu ke dalam lubang telinga sehingga sampai ke bahagian dalam yang tidak dapat dilihat oleh mata (melewati had yang boleh dicapai oleh jari kelingking semasa membersihkannya).

4.        Dubur Memasukkan sesuatu ke dalam lubang dubur (seperti ubat buasir atau memasukkan jari semasa istinja' yang berlebihan).

5.        Faraj Bagi wanita, memasukkan sesuatu ke dalam lubang kemaluan sehingga melewati had yang terlindung ketika mencangkung.

 

[4] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, Kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din (Kaherah: Dar Ghad al-Jadid, 2024), 57

[5] Imam al Ghazali memetik hadis Riwayat Muslim no 2729 berkenaan Abdullah bin Amru yang ingin berpuasa dahri.

 صُمْ يَوْمًا وَأَفْطِرْ يَوْمًا وَذَلِكَ صِيَامُ دَاوُدَ - عَلَيْهِ السَّلاَمُ - وَهُوَ أَعْدَلُ الصِّيَامِ ». قَالَ قُلْتُ فَإِنِّى أُطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ

"Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari (selang-seli). Itulah puasa Nabi Daud 'Alaihissalam, dan ia adalah puasa yang paling adil (paling utama/sederhana)." Aku (Abdullah bin 'Amru) berkata: "Sesungguhnya aku mampu melakukan yang lebih baik (lebih banyak) daripada itu." Rasulullah bersabda: "Tidak ada yang lebih baik daripada itu." 

[6] Andri Dauni, “Amalan Puasa Sebagai Terapi Tambahan Dalam Perubatan. Mulakan Puasa Hari Ini Untuk Kesihatan Yang Lebih Baik?”, UKM Medical Molecular Biology Institute, tarikh 15 Julai 2022, Institut Biologi Molekul Perubatan UKM, https://www.ukm.my/umbi/news/amalan-puasa-sebagai-terapi-tambahan-dalam-perubatan-mulakan-puasa-hari-ini-untuk-kesihatan-yang-lebih-baik

[7] Autofagi ialah proses semula jadi dalam tubuh yang membolehkan sel mengitar semula komponen yang rosak untuk menghasilkan tenaga dan mengekalkan kesihatan sel, dan mekanisme ini telah dihuraikan secara saintifik oleh Yoshinori Ohsumi, yang menunjukkan bahawa autofagi dirangsang apabila tubuh berada dalam keadaan kekurangan nutrien seperti ketika berpuasa, seterusnya membantu menyingkirkan bahan rosak dan menyokong pembentukan sel yang lebih sihat.

[8] al-Ghazali, Kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din, 132.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...