MASIH WUJUDKAH IJMA’ PADA ZAMAN HARI INI MENURUT TAKRIFAN ULAMA MU’TABAR
KLASIK?
Muhammad Nuruddin Bashah
Apabila kerajaan, atau media massa mahupun cendiakawan Islam menggunakan
kalimah ijma’ dalam sesuatu keputusan bermakna kesannya besar kepada pematuhan
keputusan tersebut. Ijma’ membawa natijah wajib dipatuhi secara syarak dan
ianya berstatus qat’i. Kedudukan ijma’ dalam usul
fiqh adalah salah satu sumber dalil syara’ yang disepakati oleh para ulama. Ijma’
merupakan dalil yang qat’i dan berada pada tahap ke tiga dalam pengambilan
hukum syara’. Walaupun dianggap sebagai sumber ke tiga tetapi terdapat golongan
yang menolak kehujahan ijma’ seperti golongan Nizamiah, Syiah, Imamiyyah dan
khawarij.
Selepas meneliti bahan edaran Fiqh Covid-19 yang dikeluar
oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri penulis dapati pematuhan lock down, pelitup muka dan cara saf solat
tidak dinyatakan sebagai ijma’ sebaliknya seolah-oleh ‘seperti ijma’. Ini
menunjukkan ketelitian YB Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu iaitu YB Datuk Dr
Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam hal hukum. Penulis bersetuju rakyat wajib
mematuhi arahan ulil amri terutama melibatkan hal nyawa dan sebagainya. Penulis
juga berpandangan rakyat mesti percaya dan akur dengan keputusan fatwa
kebangsaan namun bukanlah keputusan itu setaraf ijma’ ulama’ sepertimana yang
dinyatakan dalam kitab-kitab usul fiqh muktabar. Ia boleh dianggap ijtihad jama’iy
yang berperanan menggantikan ketidakmampuan kita melaksanakan ijma’ pada zaman
moden hari ini.
Sebelum pergi lanjut kepada persoalan wujudkah
ijma’ di zaman sekarang mari kita perhatikan takrifan klasik berkenaan istila
ijma’ ulama’.
Menurut pengarang kitab Mabadi Awwaliyyah : kalima ijma’ الاجماع menurut etimologi (bahasa) ialah menyepakati الاتفاق .
Menurut terminologi pula:
: اتفاق امة محمد صلى الله عليه وسلم بعد وفاته فى عصر من الاعصار
على امر من الامور
“Kesepakatan para umat nabi Saw setelah wafat
beliau pada suatu masa dalam menentukan suatu masalah”
Ijma’ menurut ulama adalah Hujjah (dalil) sesuai
dengan Hadits nabi Saw yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :
عن ابن عمر عن النبى صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِي - أَوْ قَالَ أُمَّةَ
مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم - عَلَى ضَلاَلَةٍ وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ
وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ
“Dari Ibnu „Umar ra. dari nabi Saw sesungguhnya
beliau berkata : “'Sesungguhnya Allah tidak akan
mengumpulkan umatku " - atau dia berkata: "Umat [Muhammad] di atas
kesesatan, dan yad Allah (kuasa) di atas
Jama'ah, dan sesiapa yang menyimpang, dia menyeleweng ke Neraka."
Ijma’ dianggap sah secara hukum dengan ucapan dan
perbuatan para ulama, bahkan walaupun (pengakuan) hanya dilakukan oleh sebahagian
para ulama, dan juga atas persetujuan (diamnya) para ulama yang masih ada, hal
itu disebut ijma’ sukuti.
Menurut kitab a Luma’
Ijma’ merupakan hujah dalam semua hukum hukum syari‟at seperti ibadah, muamalah, pada
hukum-hukum jenayah dan pernikahan dan
sebagainya meliputi hal halal, haram, fatwa dan pelbagai jenis hukum. (Al Syairazi, 2013)
Menurut Imam Al Syairazi pengarang Al Luma’, Ijma’
tidak dapat menjadi hujah dari beberapa urusan dunia seperti menyiapkan tentara
perang, strategi perang, pembangunan, pertanian dan lain-lain dari setiap
kemaslahatan dunia kerana ijma’ dalam
permasalahan tersebut bukan sumber dari majoriti
sabda nabi Muhammad SAW.
Telah ditetapkan bahawa Hadis Rasulullah hanya boleh
menjadi hujah dalam ijma‟ syari‟at bukan
terhadap kemaslahatan dunia (Al Syairazi, 2013)
Menurut waraqat
Menurut Imam Al Mahalli dalam syarah kitab al Waraqat:
وأما الإجماع فهو اتفاق علماء أهل العصر على حكم
الحادثة، ونعني بالعلماء الفقهاء، ونعني بالحادثة الحادثة الشرعية
Adapun ijma’ adalah kesepakatan ulama’ suatu masa
atas hukum dari suatu masalah baru yang terjadi. Yang kami maksud dengan ulama’
adalah ahli-ahli fiqh, dan yang kami maksud dengan masalah baru yang terjadi
adalah masalah syar’iyyah (cabang agama). (Al Mahalli, 2011)
Ini di sokong melalui kitab al Mustasfa telah dinyatakan takrifan Imam Al Ghazali: Kesepakatan umat Nabi
Muhammad Saw. secara khusus mengenai suatu permasalahan agama.
Takrif Imam al-Zarkasyi
Al-Zarkasyi membuat kesimpulan tentang ijma’ sebagai “Persetujuan para imam mujtahid umat Nabi
Muhammad Saw sesudah wafat Baginda,
mengenai suatu perkara hukum yang berlaku pada suatu masa”. Terminologi ini
menggambarkan bahawa ijma’ mesti melibatkan kesepakatan para imam mujtahid secara total,
tidak termasuk kesepakatan orang biasa dan sebahagian mujtahid. Ijma’ mesti terdapat
kesepakatan baik dalam perkara hukum syara’ (asy-syar’iyyat), hukum rasional
(al-’aqliyyat), analisis linguistik (al-lugawiyyat), dan termasuk tradisi atau
adat yang berkembang dalam masyarakat
(al-'urfiyyat), dan tidak hanya berlaku pada masa tertentu tetapi berlaku
sepanjang zaman sehingga kiamat. (Dinata,2021).
Berdasarkan definisi yang disebutkan oleh Imam
al-Zarkasyi di atas, terdapat beberapa perkara penting yang boleh dikeluarkan seperti
berikut: (Rusli, 2017)
- Kesepakatan orang awam di
dalam sesuatu isu tidak dianggap sebagai ijma’ kerana mereka bukan
mujtahid fiqh.
- Demikian juga kesepakatan
sebahagian sahaja para mujtahid
tidak dikira sebagai ijma’.
- Kesepakatan umat sebelum
Nabi Muhammad S.A.W tidak termasuk dalam ijma’ kerana ia berlaku sebelum
baginda wafat.
- Ijma’ berlaku meliputi
perkara-perkara syarak, ‘aqliyyat, ‘uruf, dan juga bahasa.
- Kesepakatan para mujtahid
itu berlaku di dalam satu zaman yang sama.
- Yang dimaksudkan dengan ‘zaman’
adalah sesiapa yang ada kelayakan berijtihad di dalam masa berlakunya
sesuatu kejadian, maka dia merupakan ahli pada zaman tersebut.
Majoriti sahaja bukanlah satu Ijma.
Ramai menyangka jika majoriti ulama’ berkata sesuatu
pandangan maka ia pandangan qat’i yang tidak boleh digugat seperti ijma’. Menurut
Abd al-Wahab Khalaf dalam kitab ‘Ilm Ushȗl al-Fiqh jika majoriti mujtahid bersetuju, maka
majoriti yang bersetuju itu belum menjadi ijmâ', walaupun hanya sedikit
mujtahid yang menentangnya dan banyaknya mujtahid yang bersetuju. Hal ini kerana selagi ada perbezaan pendapat, maka
masih ada kemungkinan betul atau salah satu pihak dan kekeliruan di pihak yang
lain. Oleh itu, bilangan yang menyokong tertinggi tidak menjadi bukti syar'iyyah yang qat’i
dan mengikat umat Islam. (Putra, 2021)
Ijma sukuti mungkin zhonni
Jika kita mampu menghimpun seluruh mujtahid serata
dunia dalam satu perbincangan isu hukum dan ada yang mendiamkan diri (sukuti)
dalam himpunan berkenaan, adakah sukuti
itu dianggap menyokong? Para ulama berselisih pendapat tentang kesahihan ijmak
Sukuti (Diam). Sebahagian ulama’ menganggapnya sebagai hujah yang qat’ie dan sebahagian daripada mereka tidak
menganggapnya sebagai hujah sama sekali, malah ada yang menjadikannya hujah zhonniyah
(tidak putus). Hal ini kerana, adalah kemungkinan ulama’ yang sukut (diam) itu
redho (setuju) atau boleh jadi juga mereka tidak redho. (Khumaini, 2018)
Adakah masih wujud ijma’ isu agama hari ini?
Menurut Prof Dr. Amin Butush persidangan ulama
sedunia yang diadakan di Jeddah setiap tahun boleh dianggap mencapai tahap ijma' ulama’. Misalnya
perbincangan resolusi yang dihasilkan
oleh ulama yang bersidang seperti pengharaman rokok dan pengharaman insuran
konvensional. (Ishak, 2008)
Namun, bagi majoriti ulama’ lain, mereka tidak menganggapnya sebagai ijma' kerana bukan
semua ulama bertaraf mujtahid yang terlibat dalam fatwa di Jeddah. Ijma’
bermaksud himpunan semua mujtahid selepas zaman kewafatan Rasulullah dalam
membincangkan hukum-hakam agama. Untuk menghimpunkan semua muajtahid seluruh
dunia adalah tugas yang agak mustahil.
Menurut pandangan ulama terkemudian seperti
Muhammad Abu Zahrah, Muhammad Hudri Bek dan Fath ad Duraini (profesor fiqh dan
Usul Fiqh dari Universiti Syria, Damsyik, dan Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili,
mereka semua berpendapat adalah mustahil berlakunya ijma' seperti semasa zaman
Sahabat Rasulullah SAW. (Dinata,2021).
Menurut Prof. Dr. Wahbah az Zuhaili, syarat-syarat
ijma' ialah orang yang berijma' mestilah
orang yang memenuhi syarat ijtihad, mujtahid
yang adil (tegas pendapat agamanya). Mujtahid yang terlibat juga mestilah mereka yang cuba mengelak daripada bercakap seperti
ajaran bidaah. Ketiga-tiga syarat ini telah disepakati oleh semua ulama. Manakala dalam pada masa kini amat sukar menemui
sejumlah mujtahid. (Dinata,2021)
Manakala menurut pendapat Abdul Wahab Khallaf, ijma’
akan mungkin boleh terjadi apabila urusan ijma’ diserahkan kepada pemerintah, kerana
para pemerintah sebagai ulil Amri dapat
mengetahui bilangan mujtahid-mujtahidnya, dan membawa pandangan untuk disepakati
juga oleh mujtahid seluruh dunia Islam”. (Dinata,2021)
Ijtihad Jama’i sebagai alternatif ijma’.
Menurut Khalid Husein al-Khalid, Ijtihad Jama’i (Ijtihad Jama’i) adalah usaha
pengerahan ijtihad sekumpulan ulama
dalam pembahasan dan musyawarah untuk
menistinbathkan (mengeluar) hukum syari’at di dalam permasalahan dzonni atau usaha
pengerahan ijtihad sekumpulan dari para Fuqaha’ yang ‘adil dalam pembahasan dan pandangan
mereka sesuai dengan metod ilmu Ushul fiqh. Kemudian mereka bermusyawarah di
dalam satu majlis khusus untuk istinbath atau mengambil kesimpulan hukum
syari’at dalam permasalahan syari’at yang dzonni (al Munawar, 2020).
Bagi Prof Dr. Wahbah Zuhaili, Ijtihad Jama’i berbeza dengan ijma' ulama kerana:-
1. Bukan semua mujtahid serata dunia yang terlibat dalam Ijtihad Jama’i.
2. Keputusan ijma adalah bersifat Qat’iyah dari sudut hujjah namun ijtihad
Jama’i bersifat zhonniyah
sahaja.
3. Ijma disertai oleh semua mujtahid mutlak, manakala ijtihad Jama’i disertai oleh
mujtahid dari sudut pengkhususan sesuatu bidang sahaja. Kadang-kadang ia turut melibatkan pakar-pakar dalam bidang professional
misalnya dalam bidang kimia dan sebagainya.
Walaupun tidak mampu untuk mencapai taraf ijma’
namun usaha menghimpunkan para ulama
seluruh dunia dapat menyelesaikan banyak masalah kontemporari seperti
fatwa-fatwa sepanjang Covid-19 melanda. (Ishak, 2008)
Menurut Taufiq al-Syawi, Ijtihad Jama’i adalah proses
pembahasan dan istinbath hukum oleh sekumpulan ulama, para pakar, baik dengan
jalan perundingan jarak jauh (talian) atau dalam satu majlis di mana mereka bermuzakarah
dan saling tukar fikiran hingga mencapai
pendapat yang mereka sepakati, atau majoriti dari kalangan mereka memilihnya. Keputusan
mereka dihasilkan selepas selesai
muzakarah dan dipersembahkan kepada awam
dalam bentuk fatwa (al Munawwar, 2020).
Ijtihad Jama'i ini ialah alternatif kontemporari dalam usaha
untuk menjawab cabaran semasa selain sukar untuk mencari seseorang mujtahid
mutlak dan menghimpun ulama secara ijma’ pada masa kini. Sekali lagi diingatkan,
bahawa Ijtihad Jama’i dapat menggantikan Ijma’ sahaja (walaupun taraf lebih rendah)
kerana melalui Ijtihad Jama’i hanya ada kesepakatan majoriti ulama,
sedangkan Ijma’ merupakan kesepakatan
seluruh ulama mujtahid. (al Munawwar, 2020).
Bagaimana pula dengan Malaysia? Malaysia juga sebenarnya
mempraktikkan amalan ijtihad jama’i.
1- Ijtihad jama’i di peringkat daerah atau wilayah seperti institusi
penyelidikan negeri, atau institusi fatwa bagi setiap negeri)
2- Ijtihad jama’i di peringkat negara seperti mana dalam Dar al-Ifta’
di Mesir dan Dairah al-Ifta’ di Jordan
atau di malaysia Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.
3- Ijtihad jama’i di tingkat dunia Islam seperti al-Majma’ al-Fiqh Rabitah al-‘Alam
al-Islami di Makkah.
Sebenarnya bentuk
pertama dan kedua bagi ijtihad jama’i ini didapati telah lama wujud di Malaysia.
Kewujudan unit penyelidikan fatwa di universiti dan peringkat
negeri-negeri jelas membawa semangat
ijtihad jama’i di Malaysia, selain muzakarah yang dijalankan di peringkat
kebangsaan. Antara kelebihan ijtihad jama’i berbanding ijtihad individu adalah:
1- Ijtihad jama’i diyakini lebih teliti dengan tingkat
kesahihan yang tinggi.
2- Ijtihad jama’i lebih efektif untuk memberikan ketenangan
dan keyakinan kepada masyarakat akan kesahihan hukum dan bebas daripada
kepentingan peribadi dan sentiment kelompok, kelas, politik dan sebagainya.
3- Kualiti hukum ijtihad jama’i melebihi hasil ijtihad
individu, dan boleh mendekati ijma’.
4- Wujudnya ijtihad jama’i boleh menjadi kawalan dan dasar
metodologi pembinaan hukum, sehingga ijithad tidak menjadi suatu perkara
murahan di mana semua orang kononnya dianggap
boleh melakukan ijtihad.
5- Ijtihad jama’i boleh menjadi suatu wadah penyatuan umat
Islam.
Alternatif lain mencipta ijma’
Dr `Abd al-Karim Zaydan berpendapat
bahawa Akademi Fiqh pusat perlu ditubuhkan untuk menjalankan ijma` pada zaman
kontemporari. Semua ulama fuqaha yang mampu berijtihad hendaklah menjadi ahli
dalam akademi berkenaan. Manakala Sheikh
`Abd al-Wahhab Khallaf berpendapat
bahawa persatuan perundangan pusat atau jam`iyyah
tashri`iyyah perlu ditubuhkan untuk menjalankan ijma`. Semua mujtahid mesti menjadi
ahli persatuan berkenan. Kesimpulan dua pandangan ini adalah kaedah yang sesuai untuk
melakukan ini ijma` ialah menubuhkan sebuah akademi atau persatuan fiqh pusat yang
neutral serta berkecuali, di mana semua para
mujtahid semua negara Islam dunia tanpa pengecualian harus digabungkan sebagai
ahlinya. Mereka akan berkumpul bersama dalam ibu pejabat dan membincangkan
secara menyeluruh dan bebas keputusan isu-isu yang memerlukan keputusan kolektif, dan mereka akan mencapai
pandangan tuntas dalam membuat ketetapan. Ketetapan mesti dianggap sebagai
ijma` (konsensus) yang sah, yang mesti diikuti dan dilaksanakan oleh semua
individu Muslim dan kerajaan mereka di seluruh dunia. (Amanullah, 2010)
Apabila Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United
Kingdom, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berkata ulama seluruh dunia Islam termasuk
ulama Al-Azhar, Jeddah (Arab Saudi) boleh dikatakan sudah sepakat, malah telah ijma’
mengenai keharusan hukum mengambil vaksin, penulis menganggap ungkapan ijma’ itu
lebih sesuai ditakrif sebagai ijma’ ulama’ setempat sahaja bukanlah ijma’ dalam
erti kata qat’i yang dibahaskan di atas. Jika ia ijma’ ulama’ sedunia maka
haram bagi mana- mana insan menolak ijma’ berkenaan vaksin berkenaan. (Zulsyamini,
2021)
Rujukan:
Hakim, Abdul
H. (n.d.). Mabadi’ Awaliyah fi Ushul al Fiqh wa Al Qawaid Al Fiqhiyah
(Vol. 1). Maktabah Saudiyah Jakarta.
Al Mahalli (2011). Terjemahan Syarah
Al-Waraqāt . Libroyo Press .
Al Syairazi, A. I. (2013). Terjemahan Al Luma’ fi Ushuli
Fiqh . Pondok Pasantren Langitan
Rusli, M. F. (2017, November 3). Irsyad Usul
al-fiqh siri Ke-13: Apakah Itu Ijma’ ? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/1390-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-13-apakah-itu-ijma
Ishak, M. S. I. (2008, October 6). Ijma’ ulama
di zaman moden? Bayu Timur. http://muhammadshahrulifwat.blogspot.com/2008/10/ijma-ulama-di-zaman-moden.html
Al Munawar, F. A., & Mirwan, M. (2020).
Ijtihad jama’i (ijtihad jama’i) perspektif ulama kontemporer. Istidlal:
Jurnal Ekonomi Dan Hukum Islam, 4(2), 127-137.
Dinata, M. F. (2021). Konsep Ijma’Dalam Ushul
Fikih Di Era Modern. Al-Ilmu, 6(1), 37-52.
Putra, P. A. A. (2021). Konsep Ijmâ’Dan
Aplikasinya Dalam Mu’âmalah Mâliyyah (Hukum Ekonomi Syariah). Islamic
Banking: Jurnal Pemikiran Dan Pengembangan Perbankan Syariah, 7(1),
149-178.
Khumaini, S. (2018). Ijma’Dalam Persepsi Ulama
Ushul Fiqh. Rausyan Fikr: Jurnal Pemikiran dan Pencerahan, 14(02).
Amanullah, M. (2010). POSSIBILITY OF CONDUCTING IJMAIN THE
CONTEMPORARY WORLD.
Kohari, K. (2021). Ijma'about Prayer Wearing Mask During the
Covid-19 Pandemic. Spektra: Jurnal ilmu-ilmu sosial, 3(1), 11-22.
Zulsyamini , M. (2021, May 6). Pengambilan Vaksin capai
ijmak Ulama, Fardu Kifayah - Berita Harian. Pengambilan vaksin capai ijmak
ulama, fardu kifayah. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/814445/pengambilan-vaksin-capai-ijmak-ulama-fardu-kifayah
Goodreads. (n.d.). Soal Jawab Fiqh COVID-19: Edisi Kemas
Kini. Goodreads.
https://www.goodreads.com/book/show/56212066-soal-jawab-fiqh-covid-19
No comments:
Post a Comment