Pembaca Setia

Tuesday, November 28, 2023

Enam Madarik Ilmu menurut Al Ghazali dalam kitab Al Iqtisad fi Al ‘itiqad

 


Enam Madarik  Ilmu menurut Al Ghazali dalam kitab Al Iqtisad fi Al ‘itiqad

Muhammad Nuruddin Bin Bashah[1]

  1. Muqaddimah

Sebahagian ulama berpendapat bahawa mempelajari  mantik adalah dilarang oleh syarak termasuk menggunakan kaedah al-qiyas al-mantiqi, kerana mereka percaya bahawa mantik mampu membawa kepada kesesatan dan keraguan.  Namun pandangan ini ditolak oleh jumhur ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah yang menganggap ilmu Mantik berguna kepada umat Islam.  Dalam hal ini, al-Ghazali melihat perlunya mempelajari ilmu mantik, memandangkan ulama akidah dan fiqh menggunakan ilmu mantik untuk mempertahankan akidah Islam daripada serangan ahli bid’ah dan sesat.  Al-Ghazali malah berpendapat bahawa sesiapa yang tidak mengetahui atau mempelajari ilmu mantik tidak boleh mempercayai ilmunya.  Oleh itu, untuk mendapatkan natijah (hasil gabungan dua premis hujah) yang betul dalam al-qiyas al-mantiqi,  al-Ghazali sekali lagi mengisytiharkan bahawa terdapat enam sumber ilmu kepastian atau madarik al-yaqin dalam merumuskan menjadi muqadimah (premis hujah). (Wahab et al., 2018)

  1. Bagaimana membuktikan akidah melalui qiyas mantiqi dan dua muqaddimah?

Pendalilan akal berasaskan ilmu mantik merupakan salah satu sumber penting dalam membahaskan persoalan akidah, selain daripada sumber utama al-Qur’an dan Hadith. Salah satu bentuk pendalilan akal dalam perbahasan akidah ialah al-qiyas yang meliputi al-qiyas al-usuli dan al-qiyas al-mantiqi. Ramai yang  menyangka bahawa al-qiyas al-usuli hanya untuk fiqh, manakala al-qiyas al-mantiqi pula untuk akidah sahaja. (Wahab et al., 2018)

Sedikit berkenaan Al-qiyas al-usuli, ia adalah menyatukan suatu perkara dengan satu perkara lain kerana kedua-duanya berkongsi ‘illah yang sama. ‘Illah dari hukum asl (asal) bersumber nas dilihat persamaannya dengan ‘illat pada hukum far’u (cabang). Al-Buti merupakan salah seorang ulama Ahlu al-Sunnah wa al-Jama‘ah kontemporari yang mencoba mengetengahkan semula al-qiyas al-usuli dalam pendalilan ‘aqli akidah. (Irawan, 2020)

Contoh penggunaan al-qiyas al-usuli dalam akidah adalah berkaitan kewujudan Allah SWT dibuktikan dengan mengkaji punca kejadian alam semesta. Kejadian alam semesta iaitu ma‘lul memerlukan sesuatu sebab atau ‘illah untuk menciptakan segala kejadian di alam semesta ini. Setelah diselidiki secara  al-istiqra’ (induksi), natijahnya ialah semua ciptaan ma’lul memerlukan pencipta  iaitu Allah SWT.  Kesimpulan ini menunjukkan bahawa semua kejadian alam semesta adalah ma‘lul, manakala  Allah SWT dinisbahkan sebagai ‘illah bagi setiap ma‘lul tersebut. (Wahab et al., 2018)

Contoh penggunaan al-qiyas al-mantiqi pula adalah seperti berikut:

Muqadimah al-sughra: Alam ini baharu

Muqadimah al-kubra: Setiap yang baharu mesti ada pencipta

Al-Natijah: Alam ini mesti ada pencipta

Mari bezakan dua qiyas ini.

Bentuk al-qiyas al-mantiqi melibatkan pelbagai kata mukadimah, di mana jika semua mukadimah itu benar, ia membayangkan kebenaran kesimpulan. Sebaliknya, al-qiyas al-usuli kadangkala boleh terdiri daripada hanya satu kata pengantar misalnya menentukan ‘illat pengharaman arak kerana mabuk ia tidak memerlukan muqaddimah lain untuk setuju dadah boleh diharamkan juga. Tujuan al-qiyas al-mantiqi adalah untuk menerangkan hukum-hukum akal, manakala al-qiyas al-usuli digunakan untuk mendapatkan hukum daripada al-Quran dan Hadis. Ulama Usul al-Fiqh tidak menganggap al-qiyas al-mantiqi sebagai hujah yang sahih dalam hukum syarak.



Metodologi pendalilan ilmu akidah Imam al Ghazali berasaskan konsep qiyas

Penulis merujuk Al Ghazali (2018) dan rakaman video Nurul Izzati  (Zulpika Ali, 2019), kuliah kitab Iqtisod di UTM (2014) dan kuliah Maulana Ihsan (Abu Bakar, 2020a, 2020b).

  • Kaedah pertama (manhaj al awwal): kaedah yang disebut sebagai al-Sabr wa al-Taqsim السبر والتقسيم .

Sebenarnya ia adalah al qiyas al mantiqi dalam bentuk Qiyas al-Istithna`i[2] yang terdiri dari dua muqaddimah iaitu al-Shartiyyah al-Munfasilah (Kubra) dan Istithna’iyyah (Sughra).

Kenyataan ilmu pertama (muqaddimah syartiyyah al munfasilah)

Alam adalah samada qadim atau baharu (syarat pilih mesti salah satu sahaja)

Kenyataan ilmu kedua ( istisna’iyyah )

Tetapi mustahil alam adalah qadim.

Kenyataan ketiga (ilmu yang baru muncul)

Alam adalah baharu.

Kata Imam al Ghazali kenyataan ketiga itu jika kita berdebat maka ianya adalah dakwaan manakala jika tidak berdebat ia dipanggilmatlub (perkara yang dituntuk pengetahuannya)

 

 

  • Kaedah Kedua (Manhaj at thani): Menyusun dua usul dalam bentu yang lain أن نرتب أصلين على وجه آخر مثل  , kaedah yang kedua ini sebenarnya adalah  Qiyas Iqtirani Hamli (Shakl al-rabi’)[3].

Kenyataan ilmu pertama: Setiap perkara yang tidak sunyi dari perkara baharu maka ia baharu.

Kenyataan ilmu kedua: Alam ini tidak sunyi daripada perkara baharu

Kenyataan ketiga: Alam adalah baharu.

 

Kedua-dua kaedah diatas ini bertujuan membukti dan mengithbatkan aqidah yang didokong dengan hujah yang mencabar pihak lawan.

  • Kaedah ketiga (manhaj at thalis) : Bahawa kita tidak  membuktikan dakwaan kita, sebaliknya menuntut kemustahilan dakwaan pihak lawan dengan menunjukkan bahawa ia membawa kepada yang mustahil, dan apa yang membawa kepada yang mustahil pasti mustahil. (أن لا نتعرض لثبوت دعوانا، بل ندعي إستحالة دعوى الخصم بأن نبين أنه مفض إلى المحال وما يفضي إلى المحال فهو محال لا محالة)

Ini adalah bentuk qiyas kholaf[4].

Kenyataan ilmu pertama dan kedua serentak :

Lawan kita (الخصم ) kata jika benar pandangan lawan kita putaran alam semesta (al falak) tiada penghujungnya (infiniti/tiada nihayah), maka lazimlah (sewajarnya dia juga) menerima pernyataan bahawa sesuatu yang tidak penghujung itu  telah terhenti akhirnya (ada nihayah).

Diketahui lazim itu adalah mustahil sebab dua kenyataan  di atas adalah bertembung dan mustahil.

Lawan kita boleh terima atau tidak

Sebenarnya kaedah Manhaj yang ketiga ini kaedah yang bertujuan bukan untuk mengithbatkan akidah tertentu kepada pihak lawan secara langsung. Ia sebaliknya digunakan untuk menjelaskan kepada pihak lawan bahawa akidah yang mereka dokong itu adalah salah.

 


  1. Enam jenis madarik al-yaqin atau epistemologi dalam akidah

Dari sedikit tulisan di atas boleh dikatakan kita memahami qiyas mantiqi adalah kaedah kita menetapkan konsep akidah yang menundukkan hujah lawan (kaedah ilmu kalam adalah menetapkan hujah yang menundukkan lawan yang engkar akidah Islam). Kita tahu untuk berhujah kita mesti tahu menyediakan muqaddimat-muqaddimat atau usul-usul untuk diqiyas untuk mencari natijah (ilmu yang dipersetujui kita dan lawan kita). (Abu Bakar, 2020b) Cara untuk mendapat muqddimat/usul itu adalah dengan 6 sumber berikut.  Imam al-Ghazali (2022), dalam al-Iqtisad menyenaraikan enam asas untuk menilai kebenaran sesuatu kenyataan dan fakta.  Asas-asas kebenaran ini adalah seperti berikut:

فاعلم أن لها مدارك شتى ولكن الذي نستعمله في هذا الكتاب نجتهد أن لا يعد ستة:

 الأول منها: ‌الحسيات، أعني المدرك بالمشاهدة الظاهرة والباطنة، مثاله أنا إذا قلنا مثلاً كل حادث فله سبب، وفي العالم حوادث فلا بد لها من سبب. فقولنا: في العالم حوادث، أصل واحد يجب الإقرار به، فإنه يدرك بالمشاهدة الظاهرة حدوث أشخاص الحيوانات والنباتات والغيوم والامطار ومن الأعراض والأصوات الألوان. وان تخيل أنها منتقلة، فالانتقال حادث ونحن لم ندع إلا حادثاً ولم نعين أن ذلك الحادث جوهر أو عرض أو انتقال أو غيره. وكذلك يعلم بالمشاهدة الباطنة حدوث الآلام والافراح والغموم في قلبه فلا يمكنه انكاره.

Ketahuilah bahawa ia mempunyai pelbagai madarik (sumber pengetahuan), tetapi yang kami gunakan dalam buku ini ialah enam:

Yang pertama: pancaindera, maksud saya adalah pencerap melalui pengamatan zahir dan batin.Contohnya ialah jika kita katakan, sebagai contoh, setiap kejadian ada sebab, dan di dunia ada kejadian yang pasti ada sebabnya. Maka kami berkata: Ada peristiwa di dunia, ada satu prinsip yang mesti diakui, Melalui pemerhatian yang jelas, dia menyedari kejadian manusia, haiwan, tumbuhan, awan, hujan, dan warna, sifat (‘aradh), bunyi. Jika kita membayangkan bahawa ia dipindahkan, maka pemindahan itu adalah peristiwa (hadith), dan kita hanya memanggil peristiwa dan kita tidak menyatakan bahawa peristiwa ini adalah zat (jauhar), sifat (aradh), pemindahan, atau selainnya. Begitu juga, dia mengetahui melalui pengamatan dalaman (perkara batin tidak nampak) seperti berlakunya kesakitan, kegembiraan, dan kesusahan dalam hatinya, maka dia tidak dapat menafikannya.

الثاني: العقل المحض، فإنا إذا قلنا: العالم أما قديم مؤخر، وإما حادث مقدم، وليس وراء القسمين قسم ثالث، وجب الاعتراف به على كل عاقل. مثاله أن

تقول: كل ما لا يسبق الحوادث فهو حادث، والعالم لا يسبق الحوادث فهو حادث، فأحد الأصلين قولنا أن ما لا يسبق الحوادث فهو حادث.

ويجب على الخصم الإقرار به، لأن ما لا يسبق الحادث إما أن يكون مع الحادث أو بعده ولا يمكن قسم ثالث، فإن ادعى قسماً ثالثاً كان منكراً لما هو بديهي في العقل، وإن انكر أن ما هو مع الحادث أو بعده ليس بحادث فهو أيضاً منكر للبديهة.

Kedua: Akal yang sejahtera. Jika kita katakan: Dunia ini sama ada qadim , atau baharu, dan tidak ada bahagian ketiga di sebalik dua ini, ia wajib diiktiraf oleh setiap orang yang berakal. Contoh Dikatakan: Segala sesuatu yang tidak mendahului (tidak qadim) perkara baharu  adalah baharu, dan alam yang tidak mendahului (tidak qadim) baharu adalah baharu. Salah satu daripada dua usul  ialah kata-kata kita bahawa apa yang tidak mendahului baharu adalah baharu (jika mendahului baharu ia mestilah qadim).

Pihak lawan mesti mengakuinya, kerana apa yang tidak mendahului baharu itu boleh sama ada dengan baharu itu atau selepas baharu, dan kategori ketiga tidak mungkin. Jika dia mendakwa ada kategori yang ketiga, dia menafikan apa yang jelas بَدِيهِي dalam fikiran (tanpa perlu iktisab untuk tahu perkara itu), dan jika dia menafikan bahawa apa yang ada dengan atau selepas baharu itu bukan baharu, maka dia juga menafikan gerak hati (nya sendiri).

الثالث: التواتر، مثاله أنا نقول محمد صلوات الله وسلامه عليه صادقٌ لأن كلَ مَن جاء بالمعجزةِ فهو صادقٌ، وقد جاء هو بالمعجزة فهو إذاً صادق، فإن قيل أنا لا نسلم أنه جاء بالمعجزة فنقول: قد جاءنا بالقرآن والقرآن معجزة، فإذاً قد جاء بالمعجزة. فإن سلم الخصمُ أحدَ الأصلين وهو أن القرآنَ معجزةٌ، أما بالطَوعِ أو بالدليل، وأراد إنكار الأصل الثاني وهو أنه قد جاء بالقرآن، وقال لا أسلم أن القرآن مما جاء به محمد صلى الله عليه وسلم تسليماً، لم يمكنه ذلك لأن التَوَاتُرَ يحصل العلمَ به كما حصل لنا العلم بوجوده وبدعواه النبوة وبوجود مكة ووجود موسى وعيسى وسائر الأنبياء صلوات الله عليهم أجمعين.

Ketiga: Mutawatir umpamanya kita katakan bahawa Muhammad saw adalah benar kerana setiap orang yang datang membawa mukjizat adalah benar, dan jika dia datang dengan mukjizat, maka dia benar, jika dikatakan. , "bahawa kami tidak menerima bahawa dia datang dengan mukjizat," kemudian kami berkata: Dia datang kepada kami dengan Al-Quran dan Al-Quran adalah mukjizat, maka dia datang dengan mukjizat. Jika pihak lawan menerima salah satu daripada dua prinsip iaitu al-Quran itu mukjizat, sama ada secara sukarela atau dengan dalil, dan ingin menafikan prinsip yang kedua, iaitu ia datang bersama-sama al-Quran, Dia berkata, "Saya tidak menerima bahawa Al-Quran adalah sesuatu yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. dengan selamat. Dia tidak dapat melakukannya (tidak dapat menolaknya) kerana mutawatir, telah  memperoleh pengetahuan dengannya (al Quran), sebagaimana terhasil kepada kita pengetahuan tentang kewujudannya (al Quran) dan tuntutan kenabian dan kewujudan Mekah dan kewujudan Musa, Isa, dan para nabi yang lain, semoga doa Allah ke atas mereka semua.

الرابع: أن يكون الأصل مثبتاً بقياس آخر يستَنِدٌ بدرجة واحدةٌ أو درجاتُ كثيرة إما إلى الحسيات أو العقليات أو المتواترات، فإن ما هو فرع الأصلين يمكن أن يجعل أصلاً في قياس آخر. مثاله أنا بعد أن نفرغ من الدليل على حدوث العالم يمكننا أن نجعل حدوث العالم أصلاً في نظم قياس، مثلاً أن نقول كل حادث فله سبب والعالم حادث فإذا له سبب، فلا يمكنهم انكار كون العالم حادثاً بعد أن اثبتنا بالدليل حدوثه.

Keempat: Bahawa usul usul itu dibuktikan dengan qiyas (analogi) lain yang berdasarkan satu darjat atau banyak darjat, sama ada pada sumber pancaindera, rasional (akal), atau mutawatir. Apakah furu’/cabang daripada dua usul itu boleh dijadikan usul dalam qiyas yang lain. Sebagai contoh, selepas kita menyelesaikan bukti kejadian dunia, kita boleh menjadikan kejadian dunia secara asasnya menjadi sistem qiyas, contohnya, untuk kita mengatakan bahawa setiap baharu/hadis mempunyai sebab (‘illat/pencipta) dan dunia adalah baharu/hadis, jadi ia mempunyai sebab (pencipta). Mereka tidak boleh menafikan bahawa dunia adalah satu yang baharu setelah kita membuktikan dengan bukti kebaharuannya.

الخامس: السمعيات، مثاله انا ندعي مثلاً ان المعاصي بمشيئة الله تعالى، ونقول كل كائن فهو بمشيئة الله تعالى والمعاصي كائنة فهي إذاً بمشيئة الله تعالى؛ فأما قولنا هي كائنة فمعلوم وجودها بالحِسِ، وكونها معصيةً بالشرعِ، وأما قولنا كل كائن بمشيئةِ الله تعالى فإذا أنكَرَ الخصمٌ ذلك مَنعَهُ الشرعُ مهما كان مقراً بالشرع أو كان قد أثبت عليه بالدليل فإنا نثبت هذا الأصل بإجماع الأمة على صدق قول القائل ما شاء الله كان وما لم يشأ لم يكن, فيكون السمعُ مانعاً من الانكار.

Kelima: Sam’iyyat, Sebagai contoh, kita mendakwa, sebagai contoh, bahawa perbuatan dosa/maksiat adalah dengan kehendak Allah  بمشيئة الله, dan kita mengatakan bahawa segala sesuatu yang wujud adalah dengan kehendak Allah, dan dosa yang ada adalah dengan kehendak Allah.  Adapun kata-kata kita ‘ia wujud/terjadi’ كَائِنٌ, maka diketahui ia (dosa itu) wujud dengan akal (amrun ‘itibari), dan ia derhaka menurut syariat. Adapun ucapan kita, “Semuanya terjadi كَائِنٌ wujud dengan kehendak Allah Taala”, jika lawan mengingkari bahawa, Syariah melarang  dosa, samada diakui oleh  Syariah atau telah membuktikannya dengan dalil, maka kita buktikan usul ini dengan ijmak ummah tentang kebenaran kata-kata orang yang berkata: “Apa yang dikehendaki Allah, terjadilah, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya, tidak terjadi, ” jadi sam’iyyat adalah penghalang daripada penafian.

السادس: أن يكون الأصل مأخوذاً من مُعتَقَدات الخَصمِ ومُسلماتِه. فإنه وإن لم يقم لنا عليه دليل أو لم يكن حسياً ولا عقلياً، انتفعنا باتخاذه إياه أصلاً في قياسنا وامتنع عليه الإنكار الهادم لمذهبه. وأمثلة هذا مما تكثر فلا حاجة إلى تعيينه.

 فإن قلت: فهل من فرق بين هذه المدارك في الانتفاع بها في المقاييس النظرية؟ فاعلم أنها متفاوتة في عموم الفائدة، فإن المدارك العقلية والحسية عامة مع كافة الخلق إلا من لا عقل له ولا حس له, وكان الأصل معلوماً فالحس الذي فقده, كالأصل المعلوم بحاسة البصر إذا استعمل مع الأكمه فإنه لا ينفع، والأكمه إذا كان هو الناظر لم يمكنه أن يتخذ ذلك أصلاً، وكذلك المسموع في حق الأصم.

 وأما المتواتر فإنه نافع ولكن في حق من تواتر إليه، فأما من لم يتواتر إليه ممن وصل إلينا في الحال من مان بعيد لم تبلغه الدعوة فأردنا أن نبين له بالتواتر أن نبينا وسيدنا محمداً صلى الله عليه وسلم تسليماً وعلى آله وصحبه تحدى بالقرآن، لم يقدر عليه ما لم يمهله مدة من يتواتر عنده، ورب شيء يتواتر عند قوم دون قوم،

 فقول الشافعي رحمه الله تعالى في مسألة قتل المسلم بالذمي متواتر عند الفقهاء من أصحابه دون العوام من المقلدين وكم من مذهب له في أحاد المسائل لم يتواتر عند أكثر الفقهاء وأما الأصل المستفاد من قياس آخر فلا ينفع إلا مع من قدر معه ذلك القياس.

وأما مسلمات المذاهب فلا تنفع الناظر وإنما تنفع المناظر مع من يعتقد ذلك المذهب. وأما السمعيات فلا تنفع إلا من يثبت السمع عنه، فهذه مدارك علوم هذه الأصول المفيدة بترتيبها ونظمها العلم بالأمور المجهولة المطلوبة وقد فرغنا من التمهيدات فلنشتغل بالأقطاب التي هي مقاصد الكتاب.

Keenam: Bahawa asalnya diambil daripada kepercayaan dan andaian pihak lawan. Walaupun kita tidak anggap ia dalil bagi kita, atau ia tidak dicapai deria (hissiyah) mahupun akal, kita mendapat manfaat daripadanya dengan  mengambilnya sebagai asas untuk qiyas. Kita dan menegah  mereka  menafikan (mazhab mereka) dengan cara merosakkan doktrinnya (apabila hujah mereka makan diri mereka). Contoh ini banyak, jadi tidak perlu menyatakannya.

 Jika anda berkata: Adakah terdapat perbezaan antara konsep-konsep ini (madarik) dalam menggunakannya dalam qiyas nazariy المقاييس النظرية? Ketahuilah bahawa mereka berbeza dalam keumuman manfaatnya. Madarik akal  dan pancaindera (hissiyah) adalah umum bagi semua makhluk, kecuali bagi mereka yang tidak mempunyai akal dan pancaindera, dan diketahui akan terhalang menanggapi sesuatu usul tanpa pancandera.

Contohnya usul yang ditanggapi oleh penglihatan tidak  akan bermanfaat bagi yang buta. Jika orang buta الأكمه, meneliti (membuat nazar), mereka  tidak boleh berbuat sama sekali, dan perkara yang sama berlaku kepada perkra yang didengari bagi orang yang pekak الأصم .

Adapun yang mutawatir bermanfaat, tetapi hanya bagi orang yang terima khabar itu , adapun yang seruan dakwah  tidak sampai kepadanya, dan kita ingin menjelaskan kepadanya melalui penyampaian mutawatir  bahawa Nabi  kami Muhammad, semoga selawat dan salam ke atasnya dan keluarga dan para sahabatnya, memberi petunjuk dengan  Al-Quran, tetapi dia tidak dapat melakukannya. Melainkan diberikan jangka waktu tertentu hingga khabar itu menjadi mutawatir disisinya.

Barangkali sesuatu khabar mutawatir disisi satu kaum tetapi tidak mutawatir bagi sesuatu kaum lain.

Kata Al-Syafi'i rahimahullah, mengenai hukuman mati bagi pembunuh ahli zimmah adalah mutawatir di sisi  ahli fiqh mazhabnya, tetapi tidak mutawatir di sisi orang awam di kalangan orang yang taklid, dan berapa banyak mazhab yang  ada permasalahan terpencil (أحاد المسائل )dalam masalah tertentu yang tidak mutawatir pun  di kalangan kebanyakan fuqaha. Adapun usul  yang dimanfaat dari qiyas yang lain (natijah qiyas lain) hanya berguna untuk orang yang terima qiyas tersebut.

Adapun doktrin  mazhab (مسلمات المذاهب ), mereka tidak memberi manfaat kepada pemerhati, tetapi lebih berguna untuk berhujah dengan mereka yang percaya kepada mazhab itu. Adapun sam’iyyat ia tidak berguna kecuali bagi orang yang ada pendengarannya. Ini adalah madarik sumber pengetahuan tentang ilmu-ilmu membuat usul (muqaddimat qiyas) yang berguna ini. Dengan susunan tertib dan rapi mampu memperoleh perkara yang tidak dketahui ( الأمور المجهولة المطلوبة ). Kami telah menyelesaikan pengenalan -pengenalan (tamhidat), jadi marilah kita fokus pada isi tujuan buku ini.

 

Di bawah adalah kesimpulan 6 sumber ilmu tersebut menurut Wahab et al., (2018):

1.       Pancaindera (al-hissiyyat) dan ia merujuk kepada kesemua pancaindera yang lima dan juga deria dalaman. Dengan pancaindera manusia mampu memastikan kebenaran perkata-perkara zahir yang dapat dicapai oleh pancaindera manakala dengan deria dalaman pula manusia mampu menanggapi pengalaman seperti kesakitan, duka, gembira dan sebagainya. Sumber daripada al-hissiyyat atau al-fitriyyat, iaitu  pengetahuan yang diketahui melalui pancaindera manusia yang zahir (al-mushahadat) dan batin (al-mahsusat). Contoh pancaindera zahir seperti  penglihatan, pendengaran, sentuhan dan sebagainya lagi. Manakala contoh pancaindera batin seperti lapar, dahaga, sakit dan sebagainya.

1.

2.       Akal tulen (al-`aql al-mahd) yang merujuk kepada apa yang disebut sebagai badihiyyat (mudah diketahui tanpa perlu usaha) dan daruriyyat di mana kebenarannya terserlah dan tidak menuntut sebarang penghujahan ke atas kebenarannya. Ini seumpama kenyataan bahawa satu lebih kecil dari dua atau satu adalah separuh dari dua. Sumber daripada al-‘aql al-mahdah (al-‘aqliyyat) atau al-awwaliyyat, iaitu pengetahuan yang asas dan mudah atau difahami sebagai akal semata-mata. Ia bersifat al-daruri dan diketahui tanpa memerlukan kepada proses berfikir atau bantuan daripada pancaindera. Kebenaran yang terhasil tidak dapat dinafikan oleh akal yang waras.

 

3.       Mutawatir bermaksud suatu kenyataan yang telah dinukilkan oleh sejumlah manusia yang tidak mungkin bagi akal menghukumnya sebagai menipu. Al-Ghazali menyebut bagaimana bukti kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah kerana Baginda diwahyukan dengan al-Qur’an yang penuh mukjizat. Jadi untuk mempercayai kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. seseorang itu hendaklah yakin bahawa al-Qur’an itu mukjizat (1) dan bahawa Nabi Muhammad diwahyukan kepadanya al-Qur’an (2). Keyakinan terhadap perkara (1) adalah secara langsung ataupun berasaskan dalil di mana kemukjizatan al-Qur’an perlu disokong dengan pelbagai hujah berkenaan. Manakala keyakinan terhadap perkara (2) iaitu al-Qur’an diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ia dapat disahkan melalui asas mutawatir. Dalam konteks ini kenyataan bahawa al-Qur’an diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. telah diperakui semua orang dan tiada siapapun yang mendakwa atau menyatakan bahawa al-Qur’an diwahyukan kepada selain dari Nabi Muhammad s.a.w. Imam al-Nawawi  menjelaskan bahawa jumhur umat Islam dalam kalangan para sahabat, tabi’in dan selepas mereka telah bersepakat, antaranya ulama Hadith, ulama fikah dan ulama akidah, tentang ketidakharusan Hadith ahad untuk dijadikan hujah dalam perkara usul akidah, kerana Hadith ahad akan menghasilkan zhon yang tidak membawa kepada keyakinan.

4.       Fakta yang disabitkan berasaskan mana-mana asas di atas, sama ada asas inderawi, akal ataupun mutawatir. Sumber daripada al-asl mathbita bi qiyas akhr, iaitu pengetahuan yang diperolehi daripada kesimpulan atau al-natijah yang terdahulu sama ada al-hissiyyat, al-‘aqliyyat atau al-mutawatirat. Kesimpulan daripada al-qiyas ini digunakan untuk membentuk muqadimah bagi al-qiyas yang lain.

5.       Syarak (al-sam`iyyat) iaitu asas nas atau sumber syarak contohnya dalam menentukan kebenaran kenyataan bahawa sesuatu perbuatan itu dikira maksiat ataupun tidak, ia hanya dapat ditentukan oleh syarak dan penentuan ini juga hanya diperakui oleh mereka yang memperakui dan mengiktiraf syarak tersebut.

6.       Fakta yang diterima sebagai benar oleh lawan. Fakta ini boleh digunapakai untuk berhujah dengan lawan kerana mereka tidak akan mampu menolaknya kerana premis yang digunakan adalah premis yang mereka sendiri terima sebagai benar. Sumber daripada al-asl ma’khuzat min mu’taqadat, iaitu pengetahuan yang menjadi pegangan pihak lawan. Metode pendalilan sebegini bertujuan untuk mengikat atau menolak hujah pihak lawan bagi membuktikan kebenaran.

 

Penutup:

Jika diteliti ternyata banyak  perintah-perintah  yang  menyuruh  manusia  menggunakan akal  fikiran  tatkala  melihat  ciptaan  Allah  s.w.t.  contohnya   lebih  daripada 20 kali  diulang  lafaz ta’qilun ( تعقلون)  di  dalam  al-Quran. Contohnya pada surah 2:44, 2:73, 2:76, 2:242, 3: 65, 3:118, 6:32, 6:151, 10:16, 11:51, 12:2, 12:109, 21:10, 21:67, 23: 80, 24:61, 26:28, 28:60, 36:62, 37:138, 40: 67, 43:3 dan 57:17. Daripada  perbahasan  di  atas,  jelas  menunjukkan  bahawa  akal  memainkan  peranan yang  amat  penting  dalam  mengenal  Allah  s.w.t.  Bahkan ia  menjadi  medium  atau  alat yang paling utama dalam proses mentauhidkan Allah s.w.t. (Baharudin, 2019)

Antara cara menggunakan akal adalah seperti dibahas di atas iaitu menyediakan hujah berdasarkan pengamatan kita terhadap alam sekeliling dan menemukan kebenaran melaluinya. Sebenarnya dalam siri dakwah Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik, konsep qiyas digunakan secara kerap tanpa mereka nyatakan jenis dan skop qiyas berkenaan.

 

Rujukan:

Wahab, M. R., Hamat, M. F., & Azmi, M. F. (2018). Konsep al-Qiyas al-Usuli Dan al-Qiyas al-Mantiqi Dalam Pendalilan Akidah. Jurnal Akidah & Pemikiran Islam, 20(2), 53–92. https://doi.org/10.22452/afkar.vol20no2.2

Al-Ghazali, M. bin Muhammad. (2022). Al-Iqtisad fi al-I‘tiqad [Al maktabah Al Syamilah].

Al-Ghazali, M. bin Muhammad. (2018). Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad.  Inisiatif Buku Darul Ehsan.

Al-Iqtisad fi’l-i’tiqad of imam al-ghazali. Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam Science and Civilisation. (2014). https://chancellery.utm.my/casis/i-events-2/al-iqtisad-fil-itiqad-of-imam-al-ghazali/

 

Irawan, M. A. (2020, February 25). Mengenal konsep qiyas Ushuli Dalam Metode Istidlal Akidah. Pecihitam.org. https://pecihitam.org/qiyas-ushuli/

 

YouTube. (2019). TAMHID 4 METODOLOGI PENDALILAN DALAM MEMAHAMI KITAB AL-IQTISAD FIL I’TIQAD. Retrieved November 26, 2023, from https://www.youtube.com/watch?v=SnUjcoBzVY8&t=10s.

 

Abu Bakar. (2020a). Siri 09 - Tamhid Ke 4 - Manhaj Pendalilan. Retrieved November 27, 2023, from https://www.facebook.com/100004826380158/videos/1746273688876827/?idorvanity=468434289885794.

 

Abu Bakar. (2020b). Siri 10 - Tamhid ke4 - Sumber Ilmu. Retrieved November 27, 2023, from https://www.facebook.com/100004826380158/videos/pcb.3721734051222452/1747079815462881.

 

Baharudin, A. M. (2019). Peranan Akal Dalam Mengenali Allah S.W.T. : Kajian Terhadap Surah Al-Nahl: The Role of Akal in the Identity of Allah S.W.T. :Al-Nahl Surveys Study. Jurnal Pengajian Islam, 12(2), 62–79. Retrieved from https://jpi.kuis.edu.my/index.php/jpi/article/view/13



[1] Penulis sedang menghabiskan Sarjana Pengajian Islam di OUM. Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam OUM dan Diploma Pangajian Islam Kolej Pengajian Tinggi KPTI. Boleh dihubungi melalui 0176291368 atau email skuadpenyelamataqidah@gmail.com

[2] Qiyas istisna’i ada ittisoli dan ada infisoli.

Qiyas istisna’I ittisoli rumusnya:

Muqaddimah sughra: Jika B maka C

Muqaddimah kubra : Tetapi B

Natijah : Maka ianya C

Qiyas istisna’I infisoli rumusnya:
Muqaddimah sughra: B kadangkala/samaada C atau kadangkala/samaada D.

Muqaddimah Kubra: Tetapi C

Natijah: Maka B adalah D

Contohnya :

Ali samada tidur atau sedang membaca

Tetapi sekarang Ali sedang tidur

Maka Ali tidak membaca

 [3] Qiyas Iqtirani Hamli adalah bermaksud mengumpulkan qadhiyah yang sempurna.

Syakl awwal : had ausat muqaddimah sughra pada mahmul, muqaddimah kubra pada maudhu’.

Muqaddimah sughra: Setiap tumbuhan itu tumbuh(mahmul)

Muqaddimah kubra: Setiap yang tumbuh (maudhu’) itu perlukan  makanan

Natijah: Setiap Tumbuhan perlukan makanan

Contoh di teks atas adalah  syakl rabi’ :  had ausathnya menjadi maudhu’ dalam muqaddimah sughra dan menjadi mahmul dalam muqaddimah kubra.

Kenyataan ilmu pertama: Setiap perkara yang tidak sunyi dari perkara baharu (maudhu’) maka ia baharu.

Kenyataan ilmu kedua: Alam ini tidak sunyi daripada perkara baharu (mahmul)

Kenyataan ketiga: Alam adalah baharu.

[4] Dalam bab ini Al Ghazali menggunakan qiyas al khalaf iaitu menggantikan hujah musuh untuk melemahkannya. Ia satu penyelidikan untuk mencari kebenaran dengan menggunakan keyakinan lawan hujah kita.

Contohnya : cara membuktikan Allah itu Esa menggunakan qiyas al khalaf.

Jika Tuhan tidak esa ia mesti banyak (musuh setuju)

Jika lebih satu setiap kali tindakan Tuhan perlulah bermesyuarat. (musuh setuju atau tidak setuju-tinggalkan dia)

Jika bermesyuarat mestilah Tuhan berkelahi. (musuh setuju atau tidak setuju-tinggalkan dia)

Jika berkelahi duniaakan hancur. (musuh setuju atau tidak setuju-tinggalkan dia)

Tetapi hakikatnya alam ini lancar sahaja tidak huru hara. (musuh setuju atau tidak setuju-tinggalkan dia)

Tuhan itu mustahil lebih dari satu.(musuh akui sendiri jika semua diatas dia setuju)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...