BUNGA-BUNGA KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW YANG MULIA
Muhammad Nuruddin Bin Bashah[1]
1. Pendahuluan
Peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan
titik peralihan agung dalam sejarah tamadun manusia yang sarat dengan pelbagai
mukjizat samawi dan tanda-tanda kebesaran Ilahi[2]. Demikian sebuah hadis riwayat al-Hakim daripada `Irbad
bin Sariah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
٤٤٨٠ - وعن عِرْباض بن سارِيَة
[الأسلمي] ، عن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وسلم أنّه قال: "إنِّي عِنْدَ
اللَّه مَكتوبٌ خاتمُ النبيِّينَ وإنَّ آدمَ لمُنْجَدِلٌ في طِينَتهِ، وسأُخبِرُكُمْ بأوَّلِ أمْرِي،
دعوةُ إبراهيمَ، وبِشارَةُ عيسَى، ورُؤْيا أُمِّي التي رأَتْ حينَ وضَعَتْني وقدْ
خرجَ لها نُورٌ أضاءَتْ لها منهُ قُصورُ الشامِ".[3]
Terjemahan: “Daripada 'Irbadh bin Sariyah
[al-Aslami] RA, daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda telah bersabda:
"Sesungguhnya di sisi Allah, aku telah tercatat sebagai penutup para nabi
(Khatam an-Nabiyyin) sedangkan Nabi Adam AS masih lagi dalam keadaan tersungkur
(terbaring) pada tanahnya (jisim penciptaannya). Dan aku akan khabarkan kepada
kamu tentang permulaan urusanku: (iaitu) doa Nabi Ibrahim AS, khabar gembira
daripada Nabi Isa AS, serta mimpi ibuku yang melihat ketika melahirkan daku, di
mana keluar dari (tubuh)nya satu cahaya yang menyinari istana-istana di
Syam."
Tulisan ini cuba untuk mengeluar kisah kelahiran
Rasulullah SAW daripada kitab kitab Maulid yang dibaca hampir setiap hari
serata Malaysia iaitu:
·
I'qd al-Jawahir fi
Mawlid al-Azhar atau lebih dikenali sebagai Mawlid al-Barzanji karya Syeikh Ja'far
bin Hasan bin Abdul Karim al-Barzanji (m. 1177 H),
·
Mawlid al-Diba'i susunan Syeikh Wajihuddin Abdurrahman bin Ali
al-Diba'i al-Syaibani (m. 944 H),
·
Simtudduror fi Akhbar Mawlid Khair
al-Bashar karangan Syeikh Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi (m. 1333
H).
·
Al-Kawakib al-Durriyyah fi Madh Khair
al-Bariyyah atau Qasidah Burdah oleh Imam Syarafuddin al-Busiri (m.
695 H),
·
Al-Anwar
al-Muhammadiyah karya Imam al-Qasthalani (m. 923 H),
·
Al-Syifa bi Ta'rif
Huquq al-Mustafa penulisan Qadi 'Iyad bin Musa al-Yahyubi (m. 544 H).
·
Maulid al-Ja'fari karya Imam Syeikh Muhammad Saleh al-Ja'fari ((1910–1979)
2. Keadaan Kandungan dan Persiapan Alam Menjelang Kelahiran
Kitab Barzanji:
وَلَمَّا تَمَّ مِنْ حَمْلِهِ عَلَى الرَّاجِحِ تِسْعَةُ
أَشْهُرٍ قَمَرِيَّةٍ ۞ وَآنَ لِلزَّمَانِ أَنْ يَنْجَلِيَ عَنْهُ صَدَاهُ ۞
حَضَرَ أُمَّهُ لَيْلَةَ مَوْلِدِهِ آسِيَةُ وَمَرْيَمُ فِي نِسْوَةٍ مِنَ
الْحَظِيرَةِ الْقُدْسِيَّةِ ۞ وَأَخَذَهَا الْمَخَاضُ فَوَلَدَتْهُ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُورًا يَتَلَأْلَأُ سَنَاهُ ۞ [4]
Terjemahan: “Menurut pendapat yang kuat, semasa
Baginda SAW sempurna berusia sembilan bulan di dalam kandungan dan sudah
masanya Baginda SAW lahir. Maka, pada malam kelahirannya, ibunya (Aminah)
didatangi oleh Asiyah dan Maryam berserta para pengiringnya yang terdiri
daripada para bidadari dari syurga[5]. Tidak lama kemudian, ibunya bersalin. Lahirlah
Muhammad SAW dengan bercahaya yang amat cemerlang sehingga memenuhi seluruh
angkasa”.
Kitab Simtutduror:
فَحَضَرَتْ بِتَوْفِيقِ اللهِ السَّيِّدَةُ مَرْيَمُ
وَالسَّيِّدَةُ آسِيَةُ ۞ وَمَعَهُمَا مِنَ الْحُورِ الْعِينِ مَنْ قَسَمَ اللهُ
لَهُ مِنَ الشَّرَفِ بِالْقِسْمَةِ الْوَافِيَةِ ۞[6]
Terjemahan: “Maka, hadirlah, dengan taufik Allah
SWT, Sayyidah Maryam dan Sayyidah Asiyah. Bersama keduanya, datang mengiringi
sebilangan bidadari syurga, yang mendapat kemuliaan agung, yang diberikan oleh
Allah SWT kepada mereka yang dikehendaki”.
3. Waktu, Tempat, dan Riwayat Tarikh Kelahiran
Simtutduror:
وَكَانَ وَقْتُ مَوْلِدِ سَيِّدِ الْكَوْنَيْنِ ۞ مِنَ
الشُّهُورِ شَهْرَ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ وَمِنَ الْأَيَّامِ يَوْمَ الْاِثْنَيْنِ ۞
وَمَوْضِعُ وِلَادَتِهِ وَقَبْرِهِ بِالْحَرَمَيْنِ ۞[7]
Terjemahan: “Adapun waktu lahirnya Baginda SAW
adalah bulan Rabiul Awal, tepat pada hari Isnin. Tempat kelahiran dan makamnya
adalah di Haramain (Mekah dan Madinah)”.
Barzanji:
وَكَانَ مَوْلِدُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
بِالْمَوْضِعِ الْمَعْرُوفِ بِالْعِرَاصِ الْمَكِّيَّةِ ۞ وَالْبَلَدِ الَّذِي لَا
يُعْضَدُ شَجَرُهُ وَلَا يُخْتَلَى خَلَاهُ ۞ وَاخْتُلِفَ فِي عَامِ وِلَادَتِهِ
وَفِي شَهْرِهَا وَفِي يَوْمِهَا عَلَى أَقْوَالٍ لِلْعُلَمَاءِ مَرْوِيَّةٍ ۞
وَالرَّاجِحُ أَنَّهَا قُبَيْلَ فَجْرِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ ثَانِي عَشَرَ شَهْرِ
رَبِيعِ الْأَوَّلِ مِنْ عَامِ الْفِيلِ الَّذِي صَدَّهُ اللهُ عَنِ الْحَرَمِ
وَحَمَاهُ ۞[8]
Terjemahan: “Tempat kelahiran Baginda SAW adalah
di daerah yang dikenali Iros[9] di Mekah. Itulah kota yang kayunya tidak boleh
ditebang dan rumputnya haram dicabut. Sedangkan, mengenai tahun, bulan dan hari
kelahiran Baginda SAW, ramai berbeza pendapat daripada kalangan ulama ahli
sejarah. Namun, menurut pendapat yang paling unggul, Baginda SAW lahir semasa
fajar hampir terbit pada hari Isnin, tanggal 12 bulan Rabiul Awal, Tahun Gajah.
Pada tahun itu, Allah SWT menghalau pasukan gajah Raja Abrahah yang mahu
memasuki Tanah Haram dan memusnahkan Kaabah”[10].
al-Anwar Al-Muhammadiyyah:
وَقَدِ اخْتُلِفَ فِي عَامِ وِلَادَتِهِ ﷺ وَالْأَكْثَرُونَ:
أَنَّهُ وُلِدَ عَامَ الْفِيلِ، وَأَنَّهُ بَعْدَ الْفِيلِ بِخَمْسِينَ يَوْمًا،
وَأَنَّهُ فِي شَهْرِ رَبِيعِ الْأَوَّلِ، يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ لِثِنْتَيْ
عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْهُ، عِنْدَ طُلُوعِ الْفَجْرِ.[11]
Terjemahan: “Para ulama berbeza pendapat mengenai
tahun kelahiran Baginda SAW. Majoriti berpendapat: Bahawa Baginda lahir pada
Tahun Gajah, dan ia adalah lima puluh hari selepas (peristiwa tentera
bergajah), dan kelahirannya pada bulan Rabiul Awal, hari Isnin, tanggal dua
belas haribulan, menjelang terbitnya fajar”[12].
4. Keadaan Fizikal Semasa Kelahiran (I'rāsh & Khaṣā'iṣ)
al-Anwar al Muhammadiyyah:
وَوُلِدَ ﷺ مَخْتُونًا مَسْرُورًا أَيْ مَقْطُوعَ السُّرَّةِ،
كَمَا رُوِيَ عَنِ ابْنِ عُمَرَ وَغَيْرِهِ؛ وَعَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ: مِنْ كَرَامَتِي عَلَى رَبِّي أَنِّي وُلِدْتُ
مَخْتُونًا وَلَمْ يَرَ أَحَدٌ سَوْأَتِي.[13]
Terjemahan : “Baginda SAW dilahirkan dalam keadaan
berkhitan dan 'masrur' iaitu tali pusatnya telah siap dipotong, sebagaimana
diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan selainnya; dan daripada Anas RA: Bahawa
Nabi SAW bersabda: "Antara kemuliaanku di sisi Tuhanku ialah aku
dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan, dan tiada sesiapa pun pernah melihat
auratku[14]."
Diba’iy :
وَوُلِدَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَخْتُونًا بِيَدِ
الْعِنَايَةِ ۞ مَكْحُولاً بِكُحْلِ الْهِدَايَةِ ۞[15]
Terjemahan: “Nabi Muhammad SAW dilahirkan dalam
keadaan telah berkhitan dengan pertolongan Allah SWT bercelak dengan celak
petunjuk Allah SWT[16]”.
Simtutduror:
وَحِينَ بَرَزَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَطْنِ
أُمِّهِ بَرَزَ رَافِعًا طَرْفَهُ إِلَى السَّمَاءِ ۞ [17]
Terjemahan: “Dan, semasa Nabi Muhammad SAW
dilahirkan oleh ibunya, Baginda SAW lahir sambil menunjukkan pandangan ke
langit”[18].
وَقَدْ وَرَدَ أَنَّهُ وُلِدَ مَخْتُونًا مَكْحُولاً مَقْطُوعَ
السُّرَّةِ ۞
Terjemahan: “Dan, telah diriwayatkan bahawa
Baginda SAW dilahirkan dalam keadaan telah berkhitan. Bermata bagaikan
bercelak. Tali pusatnya telah dipotong bersih”.
Barzanjiy:
وَقِيلَ خَتَنَهُ جَدُّهُ بَعْدَ سَبْعِ لَيَالٍ سَوِيَّةٍ ۞
وَأَوْلَمَ وَأَطْعَمَ وَسَمَّاهُ مُحَمَّدًا وَأَكْرَمَ مَثْوَاهُ ۞[19]
Terjemahan: “Suatu riwayat menyatakan, Baginda SAW
dikhitan oleh datuknya setelah malam ketujuh dari kelahiran Baginda SAW. Dan,
dia mengadakan kenduri, jamuan makan, memberinya nama Muhammad dan memuliakan
darjatnya yang tinggi[20]”.
5. Tindakan Awal Keluarga dan Datuknya
Barzanjiy:
وَدَعَتْ أُمُّهُ عَبْدَ الْمُطَّلِبِ وَهُوَ يَطُوفُ
بِهَاتِيكَ الْبَنِيَّةِ ۞ فَأَقْبَلَ مُسْرِعًا وَنَظَرَ إِلَيْهِ وَبَلَغَ مِنَ
السُّرُورِ مُنَاهُ ۞ وَأَدْخَلَهُ الْكَعْبَةَ الْغَرَّاءَ وَقَامَ يَدْعُو
بِخُلُوصِ النِّيَّةِ ۞ وَيَشْكُرُ اللهَ تَعَالَى عَلَى مَا مَنَّ بِهِ عَلَيْهِ
وَأَعْطَاهُ ۞[21]
Terjemahan: “Ibu Baginda SAW (Aminah) memanggil
Abdul Muttalib yang semasa itu sedang tawaf mengelilingi sebuah bangunan
(Kaabah). Dia (Abdul Muttalib) bergegas pulang, lalu melihat Baginda SAW dengan
hati gembira. Baginda SAW dibawanya masuk ke Kaabah sambil memanjatkan doa
dengan hati yang tulus. Dia bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan yang baru
sahaja diterimanya itu”.
6. Mukjizat Samawi: Penjagaan Langit dan Pengusiran Syaitan
Diba’iy
وَرُمِيَتِ الشَّيَاطِينُ مِنَ السَّمَاءِ بِالشُّهُبِ
الْمُحْرِقَاتِ ۞ وَرَجَعَ كُلُّ جَبَّارٍ مِنَ الْجِنِّ وَهُوَ بِصَوْلَةِ
سَلْطَنَتِهِ ذَلِيلٌ خَاضِعٌ ۞[22]
Terjemahan: “Syaitan dilempar dari langit dengan
bintang yang terbakar. Buat seketika, raja jin yang angkuh menguasai
kerajaannya menjadi hina dan tunduk”[23].
Barzanjiy:
وَزِيدَتِ السَّمَاءُ حِفْظًا وَرُدَّ عَنْهَا الْمَرَدَةُ
وَذَوُو النُّفُوسِ الشَّيْطَانِيَّةِ ۞ وَرُجِمَتْ نُجُومُ النَّيِّرَاتِ كُلَّ رَجِيمٍ فِي
حَالِ مَرْقَاهُ ۞[24]
Terjemahan: “Maka, pada masa itu, langit dijaga
dengan lebih ketat. Serta, semua yang menderhaka dan mengganggu daripada
golongan makhluk halus, bangsa jin dan syaitan diusir dari langit.Setiap
syaitan yang mahu naik ke langit dihentam dengan bintang berapi”.
Burdah:
وَالْجِنُّ تَهْتِفُ وَالْأَنْوَارُ سَاطِعَةٌ ۞ وَالْحَقُّ
يَظْهَرُ مِنْ مَعْنًى وَمِنْ كَلِمِ ۞ عَمُوا وَصَمُّوا فَإِعْلَانُ الْبَشَائِرِ
لَمْ ۞ يُسْمَعْ وَبَارِقَةُ الْإِنْذَارِ لَمْ تُشَمِ ۞ مِنْ بَعْدِ مَا أَخْبَرَ
الْأَقْوَامَ كَاهِنُهُمْ ۞ بِأَنَّ دِينَهُمُ الْمِعْوَجَّ لَمْ يَقُمِ ۞
Terjemahan: “Golongan jin menjerit, suara cahaya
melonjak ke angkasa. Kebenaran kelihatan nyata daripada makna mahupun
kata-kata. Mereka buta dan tuli, tidak dengar sehingga khabar gembira tiada
didengar. Begitu juga kilatan peringatan sama sekali tidak dihiraukan. Para
bomoh (kahin) mereka telah khabarkan berita. Bahawa agama mereka bengkok tidak
kekal lama”[25].
حَتَّى غَدَا عَنْ طَرِيقِ الْوَحْيِ مُنْهَزِمٌ ۞ مِنَ
الشَّيَاطِينِ يَقْفُو إِثْرَ مُنْهَزِمِ ۞ كَأَنَّهُمْ هَرَبًا أَبْطَالُ
أَبْرَهَةٍ ۞ أَوْ عَسْكَرٌ بِالْحَصَى مِنْ رَاحَتَيْهِ رُمِي ۞
Terjemahan: “Sehingga lenyap syaitan berlari dari
pintu langit, jalan wahyu Ilahi. Mereka lari mengikut syaitan nan berlari tidak
berhenti. Seakan-akan syaitan yang berlari duka laksana perajurit Raja Abrahah.
Atau, laksana kumpulan tentera dilempar kerikil tangan Rasulullah SAW”.
Al-Anwar Al-Muhammadiyyah:
وَمِنْ ذَلِكَ: مَا وَقَعَ مِنْ زِيَادَةِ حِرَاسَةِ السَّمَاءِ
فِي الشُّهُبِ، وَقَطْعِ رَصَدِ الشَّيَاطِينِ، وَمَنْعِهِمْ مِنِ اسْتِرَاقِ
السَّمْعِ[26]
Terjemahan: “Dan antara (keajaiban) itu lagi:
Berlakunya penambahan penjagaan langit dengan bintang-bintang (meteor), dan
terputusnya (laluan) pengintaian syaitan-syaitan, serta terhalangnya mereka
daripada mencuri dengar berita dari langit”.
Al-Syifa:
وَمِنْ ذَلِكَ حِرَاسَةُ السَّمَاءِ بِالشُّهُبِ،
وَقَطْعُ رَصَدِ الشَّيَاطِينِ، وَمَنْعُهُمُ اسْتِرَاقَ السَّمْعِ.[27]
Terjemahan: “Dan antara (tanda-tanda) itu ialah
penjagaan langit dengan panahan bintang-bintang (meteor), terputusnya tempat
intipan syaitan, dan halangan bagi syaitan daripada mencuri dengar (berita dari
langit)”[28].
7. Kejadian Luar Biasa di Bumi Parsi, Istana Kisra, dan Rom
Al-Anwar Al Muhammadiyah:
وَمِنْ عَجَائِبِ وِلَادَتِهِ ﷺ: مَا رُوِيَ مِنِ ارْتِجَاجِ
إِيوَانِ كِسْرَى، وَسُقُوطِ أَرْبَعَ عَشْرَةَ شُرْفَةً مِنْ شُرُفَاتِهِ،
وَغَيْضِ بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ، وَخُمُودِ نَارِ فَارِسَ وَكَانَ لَهَا أَلْفُ
عَامٍ لَمْ تَخْمَدْ كَمَا رَوَاهُ كَثِيرُونَ[29]
Terjemahan: “Antara keajaiban kelahiran Baginda
SAW: Apa yang diriwayatkan mengenai gegaran Iwan (istana) Kisra, dan runtuhnya
empat belas anjung daripada istananya, dan surutnya (kering) air Danau
Tabariyah, dan terpadamnya api Parsi padahal ia tidak pernah terpadam selama
seribu tahun sebagaimana yang diriwayatkan oleh ramai ulama”.
Al-Syifa:
١١١٧ - وَمَا جَرَى مِنَ الْعَجَائِبِ لَيْلَةَ مَوْلِدِهِ،
مِنِ ارْتِجَاجِ إِيوَانِ كِسْرَى، وَسُقُوطِ شُرُفَاتِهِ، وَغَيْضِ بُحَيْرَةِ
طَبَرِيَّةَ، وَخُمُودِ نَارِ فَارِسَ، وَكَانَ لَهَا أَلْفُ عَامٍ لَمْ تَخْمَدْ.[30]
Terjemahan: “ Dan keajaiban yang berlaku pada
malam kelahirannya, seperti gegaran hebat Iwan (istana) Kisra, dan runtuhnya
anjung-anjung istana tersebut, mengeringnya air Danau Tabariyah, dan
terpadamnya api (sesembahan) Parsi, padahal api itu sudah menyala seribu tahun
tanpa pernah terpadam”[31].
Barzanjiy:
وَخَرَجَ مَعَهُ نُورٌ أَضَاءَتْ لَهُ قُصُورُ الشَّامِ
الْقَيْصَرِيَّةُ ۞ فَرَآهَا مَنْ بِبِطَاحِ مَكَّةَ دَارُهُ وَمَغْنَاهُ ۞
وَانْصَدَعَ الْإِيوَانُ بِالْمَدَائِنِ الْكِسْرَوِيَّةِ ۞ الَّذِي رَفَعَ
أَنُوشِرْوَانُ سَمْكَهُ وَسَوَّاهُ ۞ وَسَقَطَ أَرْبَعَ عَشْرَةَ مِنْ
شُرُفَاتِهِ الْعُلْوِيَّةِ ۞ وَكُسِرَ مُلْكُ كِسْرَى لِهَوْلِ مَا أَصَابَهُ
وَعَرَاهُ ۞ وَخَمَدَتِ النِّيرَانُ الْمَعْبُودَةُ بِالْمَمَالِكِ
الْفَارِسِيَّةِ ۞ لِطُلُوعِ بَدْرِهِ الْمُنِيرِ وَإِشْرَاقِ مُحَيَّاهُ ۞
وَغَاضَتْ بُحَيْرَةُ سَاوَةَ وَكَانَ بَيْنَ هَمَذَانَ وَقُمَّ مِنَ الْبِلَادِ
الْعَجَمِيَّةِ ۞ وَجَفَّتْ إِذْ كَفَّ وَاكِفُ مَوْجِهَا الثَّجَّاجِ يَنَابِيعُ
هَاتِيكَ الْمِيَاهُ ۞ وَفَاضَ وَادِي سَمَاوَةَ وَهِيَ مَفَازَةٌ فِي فَلَاةٍ
وَبَرِّيَّةٍ ۞ لَمْ يَكُنْ بِهَا قَبْلُ مَاءٌ يَنْقَعُ لِلظَّمْآنِ اللَّهَاةَ ۞
وَكَانَ مَوْلِدُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَوْضِعِ الْمَعْرُوفِ
بِالْعِرَاصِ الْمَكِّيَّةِ ۞ وَالْبَلَدِ الَّذِي لَا يُعْضَدُ شَجَرُهُ وَلَا
يُخْتَلَى خَلَاهُ ۞[32]
Terjemahan: “Bersamaan dengan kelahiran Baginda
SAW, muncul cahaya yang sinarnya sehingga menerangi bangunan maharaja yang
berada di Syam. Sehingga, setiap orang daripada penduduk Mekah dapat melihat
cahaya itu. Pagar yang ada di kota Kisra (Iran) pada masa itu runtuh, padahal
telah dibina dengan megah oleh Raja Anusyarwan[33]. Bahkan, empat belas menaranya yang tinggi
menjulang langit runtuh berantakan. Kerajaan Kisra musnah kerana hebatnya
kelahiran Nabi Muhammad SAW. Api yang disembah di Kerajaan Parsi padam seketika
oleh sebab terbitnya purnama Muhammad SAW yang bersinar wajahnya. Danau Sawah
yang terletak di antara Hamazan dan Qumm di negeri 'ajam (luar Arab) menjadi
kering[34]. Mata air yang biasanya mengalir tidak lagi
mengalirkan airnya kerana dilanda kemarau. Wadi Samawah yang terletak di antara
daratan dan padang belantara melimpah airnya. Padahal, sejak dahulu kala, di
sana tidak ditemui air setitis pun untuk menghilangkan dahaga orang yang
kehausan. Tempat kelahiran Baginda SAW adalah di daerah yang dikenali Iros di
Mekah. Itulah kota yang kayunya tidak boleh ditebang dan rumputnya haram
dicabut”.
Maulid Ja’fariyyah:
وَفِي لَيْلَةِ مَوْلِدِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ،
انْتَشَرَتِ الْأَنْوَارُ حَتَّى تَرَاءَتِ الْقُصُورُ الْكِسْرَوِيَّةُ ۞
وَتَدَلَّتِ النُّجُومُ وَاسْتَنَارَ الْبَيْتُ حَتَّى أَضَاءَ الْحَرَمَ سَنَاهُ
۞ وَتَصَدَّعَ إِيوَانُ كِسْرَى لِلْهَيْبَةِ الْمُحَمَّدِيَّةِ ۞ وَأُخْمِدَتْ
نَارُ فَارِسٍ بِالدِّيَارِ الْفَارِسِيَّةِ ۞ وَغَاضَتْ بُحَيْرَةُ سَاوَةَ
وَفَاضَ وَادِي سَمَاوَةَ وَتَفَجَّرَتْ مِنْهُ الْمِيَاهُ ۞ [35]
Terjemahan: “Mukjizat-mukjizat Baginda ﷺ pada Malam Kelahiran. Dan pada malam
kelahiran Baginda ﷺ, cahaya-cahaya
memancar (tersebar) sehingga kelihatan istana-istana Kisra (Parsi). Dan
bintang-bintang merendah (mendekat), dan rumah (tempat kelahiran) bersinar
terang sehingga cahayanya menerangi seluruh Tanah Haram. Dan retaklah Iwan
(beranda istana) Kisra kerana kehebatan dan kewibawaan (Nabi) Muhammad. Dan
terpadamlah api (sesembahan Majusi) di negeri-negeri Parsi. Dan surutlah
(mengering) air Danau Sawah, dan meluaplah air Lembah Samawah serta memancarlah
air daripadanya”.
8. Perkhabaran Ahli
Kitab (Rahib dan Pendeta Yahudi)
Al-Anwar al-Muhammadiyyah
وَعَنْ حَسَّانَ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ:
إِنِّي لَغُلَامٌ ابْنُ سَبْعِ سِنِينَ أَوْ ثَمَانٍ أَعْقِلُ مَا رَأَيْتُ
وَسَمِعْتُ، إِذَا يَهُودِيٌّ يَصْرُخُ ذَاتَ غَدَاةٍ: يَا مَعْشَرَ يَهُودَ،
فَاجْتَمَعُوا إِلَيْهِ وَأَنَا أَسْمَعُ، قَالُوا: وَيْلَكَ، مَا لَكَ؟ قَالَ:
طَلَعَ نَجْمُ أَحْمَدَ الَّذِي وُلِدَ بِهِ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ.[36]
Terjemahan: “Dan daripada Hassan bin Thabit RA,
beliau berkata: "Sesungguhnya aku (pada waktu itu) seorang kanak-kanak
berusia tujuh atau lapan tahun, aku mengingati dan memahami apa yang aku lihat
dan dengar, tiba-tiba seorang Yahudi menjerit pada suatu pagi: 'Wahai sekalian
orang Yahudi!' Lalu mereka berkumpul ke arahnya dan aku turut mendengar. Mereka
bertanya: 'Celaka engkau, ada apa denganmu?' Dia menjawab: 'Telah terbit
bintang Ahmad yang kelahirannya (berlaku) pada malam ini.'[37]"
وَعَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
قَالَتْ: كَانَ يَهُودِيٌّ قَدْ سَكَنَ بِمَكَّةَ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ
الَّتِي وُلِدَ فِيهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قَالَ: يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، هَلْ
وُلِدَ فِيكُمُ اللَّيْلَةَ مَوْلُودٌ؟ قَالُوا: لَا نَعْلَمُ. قَالَ: انْظُرُوا،
فَإِنَّهُ وُلِدَ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ نَبِيُّ هَذِهِ الْأُمَّةِ، بَيْنَ
كَتِفَيْهِ عَلَامَةٌ. فَانْصَرَفُوا فَسَأَلُوا، فَقِيلَ لَهُمْ: قَدْ وُلِدَ
لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ غُلَامٌ. فَذَهَبَ الْيَهُودِيُّ
مَعَهُمْ إِلَى أُمِّهِ فَأَخْرَجَتْهُ لَهُمْ، فَلَمَّا رَأَى الْيَهُودِيُّ
الْعَلَامَةَ خَرَّ مَغْشِيًّا عَلَيْهِ وَقَالَ: ذَهَبَتِ النُّبُوَّةُ مِنْ
بَنِي إِسْرَائِيلَ؛ يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، أَمَا وَاللَّهِ، لَيَسْطُوَنَّ
بِكُمْ سَطْوَةً يَخْرُجُ خَبَرُهَا مِنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. رَوَاهُ
يَعْقُوبُ بْنُ سُفْيَانَ بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ كَمَا فِي فَتْحِ الْبَارِي.[38]
Terjemahan: “Dan daripada Aisyah Ummul Mukminin
RA, beliau berkata: "Terdapat seorang Yahudi yang tinggal di Mekah. Maka
apabila tiba malam di mana Rasulullah SAW dilahirkan, dia bertanya: 'Wahai
sekalian Quraisy, adakah pada malam ini telah lahir seorang bayi dalam kalangan
kalian?' Mereka menjawab: 'Kami tidak tahu.' Dia berkata: 'Periksalah, kerana
sesungguhnya pada malam ini telah lahir nabi umat ini. Di antara kedua bahunya
terdapat satu tanda.' Maka mereka pulang dan bertanya, lalu dikatakan kepada mereka:
'Telah lahir seorang bayi lelaki bagi Abdullah bin Abdul Muttalib.' Kemudian,
Yahudi itu pergi bersama mereka menemui ibu Baginda, lalu ibunya mengeluarkan
bayi tersebut kepada mereka. Apabila Yahudi itu melihat tanda tersebut, dia
rebah pengsan dan berkata: 'Telah hilang kenabian dari Bani Israel; Wahai
sekalian Quraisy, demi Allah, sesungguhnya dia akan menyerang dan menguasai
kalian dengan satu penguasaan yang khabarnya akan tersebar dari timur hingga ke
barat.' Diriwayatkan oleh Ya'qub bin Sufyan dengan sanad yang hasan sebagaimana
dalam (kitab) Fath al-Bari.[39]"
9. Perjalanan Awal
Kehidupan dan Pengasuhan (Penyusuan & Barakah)
Diba’iy:
قِيلَ مَنْ يَكْفُلُ هَذِهِ الدُّرَّةَ الْيَتِيمَةَ ۞ الَّتِي
لَا تُوجَدُ لَهَا قِيمَةٌ ۞ قَالَتِ الطُّيُورُ نَحْنُ نَكْفُلُهُ وَنَغْتَنِمُ
هِمَّتَهُ الْعَظِيمَةَ ۞ قَالَتِ الْوُحُوشُ نَحْنُ أَوْلَى بِذَلِكَ لِكَيْ
نَنَالَ شَرَفَهُ وَتَعْظِيمَهُ ۞ قِيلَ يَا مَعْشَرَ الْأُمَمِ اسْكُنُوا فَإِنَّ
اللهَ قَدْ حَكَمَ فِي سَابِقِ حِكْمَتِهِ الْقَدِيمَةِ ۞ بِأَنَّ نَبِيَّهُ
مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَكُونُ رَضِيعًا لِحَلِيمَةَ
الْحَلِيمَةِ ۞[40]
Terjemahan: “ Diseru oleh malaikat, "Siapa
yang mahu mengasuh anak yatim, yang bagaikan permata yang tiada bandingan
harganya?" Sekumpulan burung berkata, "Kamilah yang sanggup mengasuh
dan mengambil manfaat cita-citanya yang agung." "Kamilah yang lebih
berhak mengasuhnya agar memperoleh kemuliaan dan keagungannya," jawab
binatang buas. Diseru oleh malaikat, "Wahai umat, tenanglah kamu semua,
kerana sesungguhnya Allah SWT benar-benar telah memutuskan sejak zaman dahulu
kala. "Bahawasanya nabi-Nya, Muhammad SAW, mahu menyusu dengan seorang
wanita bernama Siti Halimah yang penuh rasa kasih sayang.[41]"
Al-Syifa:
١١١٦ - وَمَا تَعَرَّفَتْ [بِهِ] حَلِيمَةُ وَزَوْجُهَا ـ
ظِئْرَاهُ ـ مِنْ بَرَكَتِهِ، وَدُرُورِ لَبَنِهَا لَهُ، وَلَبَنِ شَارِفِهَا
وَخِصْبِ غَنَمِهَا، وَسُرْعَةِ شَبَابِهِ، وَحُسْنِ نَشْأَتِهِ.[42]
Terjemahan: “Dan perkara yang dikenali oleh
Halimah dan suaminya kedua ibu bapa susuannya akan keberkatannya, kelimpahan
air susunya untuk Baginda, serta air susu unta tuanya, kesuburan haiwan
ternakannya, tumbesaran fizikalnya yang cepat, dan perkembangannya yang sangat
baik[43]”.
[1] Calon pelajar
PhD Usuluddin di Unishams sejak 2025. Kertas ini Adalah intipati tazkirah
Maulid di Surau Taman Kempas pada 24 Ogos 2026.
[2] Safiur Rahman
al-Mubarakfuri, Al-Rahiq al-Makhtum, Cetakan ke-50 (Mansoura: Dar
al-Wafa' li al-Tiba'ah wa al-Nashr wa al-Tauzi', 2020), 54.
[3] Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 4/127, 128.
Dan al-Bazzar di dalam "Musnad"nya, diriwayatkan oleh al-Haithami di
dalam Kasyf al-Astar 3/113, Kitab Alamat an-Nubuwwah, Bab Qidam Nubuwwatihi,
hadis tersebut. Lihat Muhammad al-Husain ibn Masud al-Baghawi, Masabih
al-Sunnah, jild 4, ed. Yusuf Abd al-Rahman al-Marashli, Muhammad Salim Ibrahim
Samarah, dan Jamal Hamdi al-Dhahabi (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1407 H / 1987 M),
38.
[4] Muhammad
Saleh, Himpunan Qasidah, Maulid dan Selawat, terj. Nurul Husna Basri (Batu
Caves: Al-Hidayah House of Publishers, 2017), 99.
[5] Kisah ini
rantaian perawi utamanya bersumberkan daripada sahabat Abdullah bin Abbas
daripada Aminah binti Wahb (ibu Baginda SAW) dan menerima banyak kritikan dan
ianya riwayat yang amat lemah.
“Dan daripadanya (perawi), daripada
Ibnu Abbas RA beliau berkata: Aminah pernah bercerita dan berkata:
"Seseorang (malaikat) telah
datang menemuiku di dalam tidur (mimpi) ketika kandunganku berusia enam bulan.
Dia berkata: 'Wahai Aminah, sesungguhnya engkau sedang mengandungkan
sebaik-baik kejadian alam (manusia terbaik). Maka apabila engkau melahirkannya,
namakanlah dia Muhammad, dan rahsiakanlah perihalmu.'
Kemudian, apabila tiba masanya aku
merasai apa yang dirasai oleh para wanita (sakit hendak bersalin), sedangkan
tidak ada sesiapa pun yang mengetahuinya dan aku berseorangan di dalam rumah,
manakala Abdul Muttalib pula sedang bertawaf, tiba-tiba aku mendengar satu
bunyi gemuruh yang sangat kuat. Kemudian aku melihat seolah-olah sayap seekor
burung putih menyapu dadaku (hatiku), lalu hilanglah segala ketakutan dan
kesakitan yang aku rasakan. Kemudian aku menoleh, tiba-tiba terdapat satu
minuman putih, lantas aku meminumnya lalu aku dilitupi oleh cahaya yang
terang-benderang. Seterusnya, aku melihat beberapa orang wanita yang tinggi
lampai seperti pokok tamar, seolah-olah mereka adalah daripada kalangan wanita
(Bani) Abd Manaf sedang mengelilingiku. Sedang aku berasa takjub dan berkata
(dalam hati): 'Aduhai, dari manakah mereka mengetahui hal perihalku?' Lalu
mereka berkata kepadaku: 'Kami adalah Asiyah isteri Firaun, dan Maryam puteri
Imran, dan mereka ini pula adalah dari kalangan bidadari (syurga).' Lihat Abdul
Malik bin Husain bin Abdul Malik al-'Isami al-Makki, Simt an-Nujum al-'Awali
fi Anba' al-Awa'il wa al-Tawali, tahqiq: Adil Ahmad Abd al-Maujud dan Ali
Muhammad Mu'awwad, cet. ke-1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1998), 1: 299.
[6] Saleh, Himpunan
Qasidah, 211
[7] Saleh, Himpunan
Qasidah, 214
[8] Saleh, Himpunan
Qasidah, 108
[9] Ia merupakan
kata jamak (plural) bagi perkataan 'Arsah (عَرْصَة) yang bermaksud halaman, kawasan lapang di
antara rumah-rumah, atau dataran luas.
[10] Diceritakan
tarikh ini dalam Al Rahiq al Makhtum:
وَكَانَتْ
هَذِهِ الْوَقْعَةُ فِي شَهْرِ الْمُحَرَّمِ قَبْلَ مَوْلِدِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِخَمْسِينَ يَوْمًا أَوْ بِخَمْسَةٍ وَخَمْسِينَ
يَوْمًا- عِنْدَ الْأَكْثَرِ- وَهُوَ يُطَابِقُ أَوَاخِرَ فِبْرَايِرَ أَوْ
أَوَائِلَ مَارِسَ سَنَةَ ٥٧١ م، وَكَانَتْ تَقْدِمَةً قَدَّمَهَا اللَّهُ
لِنَبِيِّهِ وَبَيْتِهِ، لِأَنَّا حِينَ نَنْظُرُ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ نَرَى
أَنَّ الْمُشْرِكِينَ مِنْ أَعْدَاءِ اللَّهِ تَسَلَّطُوا عَلَى هَذِهِ
الْقِبْلَةِ، وَأَهْلُهَا مُسْلِمُونَ كَمَا وَقَعَ لِبُخْتَنَصَّرَ سنة ٥٨٧ ق. م،
وَالرُّومَانِ سنة ٧٠ م، وَلَكِنَّ الْكَعْبَةَ لَمْ يُسَيْطِرْ عَلَيْهَا
النَّصَارَى- وَهُمُ الْمُسْلِمُونَ إِذْ ذَاكَ- مَعَ أَنَّ أَهْلَهَا كَانُوا
مُشْرِكِينَ.
Terjemahan: “ Peristiwa ini berlaku
pada bulan Muharam, kira-kira 50 atau 55 hari sebelum kelahiran Nabi
SAW—menurut pandangan majoriti ulama—yang bertepatan dengan akhir bulan
Februari atau awal bulan Mac tahun 571 Masihi. Kejadian ini merupakan satu pendahuluan
(anugerah awal) yang Allah sediakan untuk Nabi-Nya dan Rumah-Nya (Kaabah). Ini
kerana, apabila kita melihat kepada Baitulmaqdis, kita mendapati orang-orang
musyrik daripada musuh-musuh Allah pernah menguasai kiblat tersebut sedangkan
penduduknya ketika itu adalah orang Islam, seperti yang berlaku pada zaman
Bukhtunassar pada tahun 587 Sebelum Masihi dan bangsa Rom pada tahun 70 Masihi.
Sebaliknya, Kaabah tidak pernah dikuasai oleh golongan Nasrani—walaupun mereka
adalah umat Islam pada zaman tersebut—meskipun penduduk Makkah ketika itu
adalah golongan musyrikin." Lihat Safiur Rahman al-Mubarakfuri, Al-Rahiq
al-Makhtum (Beirut: Dar al-Fikr, special edition for Dar wa Maktabah
al-Hilal, 2002), 42.
[11] Yusuf bin
Isma'il al-Nabhani, Al-Anwar al-Muhammadiyyah min al-Mawahib al-Ladunniyyah,
disemak dan diulas oleh 'Alawi Abu Bakr Muhammad al-Saqqaf, Cetakan Pertama
(Jakarta: Dar al-Kutub al-Islamiyah, 2012), 31.
[12] Punca serangan
Abrahah ke Mekah Adalah diceritakan dalam al Rahiq -al Makhtum :
أَنَّ أَبْرَهَةَ الصَّبَّاحَ الْحَبَشِيَّ، النَّائِبَ الْعَامَّ
عَنِ النَّجَاشِيِّ عَلَى الْيَمَنِ، لَمَّا رَأَى الْعَرَبَ يَحُجُّونَ
الْكَعْبَةَ بَنَى كَنِيسَةً كَبِيرَةً بِصَنْعَاءَ، وَأَرَادَ أَنْ يَصْرِفَ
حَجَّ الْعَرَبِ إِلَيْهَا، وَسَمِعَ بِذَلِكَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي كِنَانَةَ،
فَدَخَلَهَا لَيْلًا فَلَطَّخَ قِبْلَتَهَا بِالْعَذِرَةِ. وَلَمَّا عَلِمَ
أَبْرَهَةُ بِذَلِكَ ثَارَ غَيْظُهُ، وَسَارَ بِجَيْشٍ عَرَمْرَمٍ- عَدَدُهُ
سِتُّونَ أَلْفَ جُنْدِيٍّ- إِلَى الْكَعْبَةِ لِيَهْدِمَهَا
Terjemahan: “sesungguhnya Abrahah
al-Sabbah al-Habsyi, iaitu wakil mutlak Raja Najasyi di Yaman, apabila beliau
melihat orang ramai mengellingi Kaabah (untuk berhaji), beliau telah membina
sebuah gereja besar di San'a dan mahu memalingkan ibadat haji orang Arab ke gereja
tersebut. Perkara itu telah didengari oleh seorang lelaki dari Bani Kinanah,
lalu dia menyus masuk pada waktu malam dan melumurkan kiblat gereja tersebut
dengan najis.
Apabila Abrahah mengetahui hal
tersebut, marahnya meluap-luap. Dia bergerak membawa tentera yang amat
besar—seramai 60,000 anggota tentera—menuju ke Kaabah untuk merobohkannya”.
Lihat Al-Mubarakfuri, Al-Rahiq al-Makhtum, 42.
[13] Al-Nabhani, Al-Anwar
al-Muhammadiyyah, 31.
[14] Daripada Ibn
Abbas, daripada bapanya Al-‘Abbas, beliau berkata: "Nabi SAW dilahirkan
dalam keadaan sudah berkhitan dan sudah terpotong tali pusatnya. Maka hal itu
amat mengkagumkan Abdul Muttalib dan beliau menduduki tempat yang istimewa di
sisinya, lalu beliau berkata: 'Sesungguhnya anak lelaki ku ini kelak pasti
mempunyai kedudukan yang besar'." (dhoif dan munkar). Lihat Syamsuddin
Muhammad bin Ahmad al-Dhahabi, Siyar A'lam an-Nubala', pengkajian hadis
dan tahqiq: Muhammad Aiman al-Syabrawi (Kaherah: Dar al-Hadith, 2006), 1: 150.
[15] Saleh, Himpunan
Qasidah, 47
[16] Mungkin makna
dilahrkan bercelak itu Adalah seolah-olah memakai celak kerana indahnya mata
Nabi SAW berdasarkan hadis ini:
عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه قال: كان في ساق رسول الله صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّم َ حُمُوشَةٌ وَكَانَ لَا يَضْحَكُ إِلَّا تَبَسُّمًا فَكُنْتُ
إِذَا نَظَرْتُ إِلَيْهِ قُلْتُ: أَكْحَلُ الْعَيْنَيْنِ وَلَيْسَ بأكحل
Daripada Jabir bin Samurah r.a.,
beliau berkata: "(Terdapat kekurusan pada betis Rasulullah SAW, dan
Baginda tidak pernah ketawa melainkan hanya tersenyum. Dan apabila aku
memandang kepada Baginda, aku akan berkata: (Baginda) kelihatan bercelak
matanya, padahal Baginda tidak bercelak.)". Hadis Dhoif. Lihat
Muhammad bin 'Isa al-Tirmidhi, Mukhtasar al-Shama'il al-Muhammadiyyah,
diringkaskan dan ditahqiq oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani ('Amman:
al-Maktabah al-Islamiyyah), 120.
[17] Saleh, Himpunan
Qasidah, 214
[18] Ibu (Nabi)
berkata: "Aku mengandungkannya, maka tiada satu kandungan pun yang aku
rasakan lebih ringan daripada itu. Ketika aku mengandungkannya, aku telah
diperlihatkan dalam tidur seolah-olah ada cahaya keluar daripadaku yang
menyinari istana-istana Sham. Kemudian, ketika aku melahirkannya, dia jatuh ke
bumi dengan cara yang tidak seperti jatuhnya bayi biasa; dia bertumpu pada
kedua-dua tangannya, seraya mengangkat kepalanya ke langit. Lihat Abu Bakar
Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi, Dala'il an-Nubuwwah wa Ma'rifah Ahwal Sahib
al-Syari'ah, tahqiq dan takhrij: Dr. Abd al-Mu'ti Qal'ahji, cet. ke-1 (Beirut:
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1985), 1: 136.
[19] Saleh, Himpunan
Qasidah, 103
[20] Nama Nabi
Muhammad Adalah ilham daripada Allah SWT.
وَالْمُسَمِّي لَهُ بِهَذَا الِاسْمِ هُوَ جَدُّهُ عَبْدُ
الْمُطَّلِبِ بِإِلْهَامٍ مِنَ اللَّهِ، - وَالْإِلْهَامُ مِنَ اللَّهِ هُوَ مَا
يُوَفِّقُ اللَّهُ إِلَيْهِ الْعَبْدَ وَيَهْدِيهِ إِلَيْهِ دُونَ عِلْمٍ سَابِقٍ
وَلَا دَلِيلٍ ظَاهِرٍ، وَإِنَّمَا هِيَ هِدَايَةٌ رَبَّانِيَّةٌ تَكُونُ
بِإِرْشَادِ الْقَلْبِ إِلَى الشَّيْءِ الْمُلْهَمِ إِلَيْهِ …. وَلَمْ يَكُنْ مِنْ أَسْمَاءِ آبَائِهِ وَأَجْدَادِهِ، وَمِنْ
عَادَاتِهِمْ أَنْ يُحْيُوا ذِكْرَ آبَائِهِمْ وَأَجْدَادِهِمْ بِتَسْمِيَةِ
أَبْنَائِهِمْ بِأَسْمَائِهِمْ- أَجَابَ.
Terjemahan: “Dan pihak yang
menamakannya dengan nama ini ialah datuknya, Abdul Mutalib, dengan ilham
daripada Allah—dan ilham daripada Allah ialah apa yang Allah taufiqkan kepada
hamba-Nya dan tunjukkan kepadanya tanpa ilmu yang terdahulu mahupun dalil yang
zahir, sebaliknya ia adalah hidayah ketuhanan yang berlaku dengan cara
membimbing hati kepada sesuatu yang diilhamkan kepadanya……. sedangkan ia
bukanlah daripada nama bapa-bapa dan datuk-datuknya, padahal menjadi kebiasaan
mereka untuk menghidupkan sebutan nama bapa dan datuk mereka dengan menamakan
anak-anak mereka dengannya”. Lihat 'Abd al-Hamid bin Badis, Athaar Ibn Badis,
disusun oleh 'Ammar al-Talibi, Cetakan Pertama (Al-Jaza'ir: Al-Syarikah
al-Jaza'iriyyah, 1968), 2:298.
[21] Saleh, Himpunan
Qasidah, 103
[22] Saleh, Himpunan
Qasidah, Saleh, Himpunan Qasidah, 48.
[23] Fasal pada
menyatakan tentang Maulid (Kelahiran Nabi): Di dalam Tafsir Baqi bin Makhlad
bahawa Iblis -semoga Allah melaknatnya- telah menjerit sebanyak empat kali
jeritan: Jeritan ketika dia dilaknat, Jeritan ketika dia diturunkan (ke bumi),
jeritan ketika Rasulullah -SAW- dilahirkan, dan Jeritan ketika surah Fatihah
al-Kitab diturunkan.
Lihat Al-Suhaylī, ‘Abd al-Raḥmān. Al-Rawḍ
al-Unuf fī Sharḥ al-Sīrah al-Nabawiyyah li-Ibn Hishām. Bersama: Al-Sīrah
al-Nabawiyyah oleh Imām Ibn Hishām. Tahqiq, ta'liq, dan syarah oleh ‘Abd
al-Raḥmān al-Wakīl. Kaherah: Dār al-Kutub al-Ḥadīthah, 1967–1970M. Jil.2, hlm.
149.
[24] Saleh, Himpunan
Qasidah, 105
[25] Hubungan
antara bomoh dan jin di zaman jahiliyah diceritakan dalam Majalah al-Zuhur:
وَمِنْهُمْ مَنْ قَالَ: إِنَّ لِلْكَاهِنِ تَابِعًا مِنَ الْجِنِّ،
وَرَئِيًّا يُلْقِي إِلَيْهِ الْأَخْبَارَ. وَهُوَ الْقَوْلُ الْمَشْهُورُ
عِنْدَهُمْ، الْمُعْتَمَدُ فِي الْإِسْلَامِ. وَقَدْ جَاءَ فِي صَحِيحِ
الْبُخَارِيِّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّ
الْمَلَائِكَةَ تَتَحَدَّثُ فِي الْعَنَانِ (أَيِ الْغَمَامِ) بِالْأَمْرِ يَكُونُ
فِي الْأَرْضِ فَتَسْمَعُ الشَّيَاطِينُ الْكَلِمَةَ فَتَقُرُّهَا فِي أُذُنِ
الْكَاهِنِ، كَمَا تُقَرُّ الْقَارُورَةُ، فَيَزِيدُونَ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ وَقَالَ الْأَزْهَرِيُّ: كَانَتِ
الْكَهَانَةُ فِي الْعَرَبِ قَبْلَ مَبْعَثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؛ فَلَمَّا بُعِثَ نَبِيًّا وَحُرِسَتِ السَّمَاءُ بِالشُّهُبِ،
وَمُنِعَتِ الْجِنُّ وَالشَّيَاطِينُ مِنَ اسْتِرَاقِ السَّمْعِ وَإِلْقَائِهِ
إِلَى الْكُهَّانِ، بَطَلَ عِلْمُ الْكَهَانَةِ
Terjemahan: “Dan sebahagian daripada
mereka berkata: "Sesungguhnya bagi setiap kahin (tukang
tilik/bomoh) itu ada pengikut daripada kalangan jin, dan jin belaan (ra'iy)
yang menyampaikan berita-berita kepadanya." Ini merupakan pandangan yang
masyhur dalam kalangan mereka, dan ia diperakui (kebenarannya) di dalam Islam.
Dan telah datang riwayat dalam Sahih
al-Bukhari daripada Nabi SAW: Bahawa para malaikat berbincang di al-'Anan
(iaitu di awan) mengenai sesuatu urusan yang akan berlaku di bumi. Lalu
syaitan-syaitan mencuri dengar perkataan tersebut, kemudian mereka
mencurahkannya (membisikkannya) ke dalam telinga kahin umpama bunyi air
yang dicurahkan ke dalam botol kaca, lalu mereka (syaitan dan kahin)
menokok tambah seratus pembohongan ke atas berita tersebut. Dan al-Azhari telah
berkata: Ilmu perbomohan (kahin) pernah berleluasa dalam kalangan bangsa
Arab sebelum perutusan Rasulullah SAW. Maka, apabila Baginda diutuskan sebagai
seorang Nabi dan langit mula dikawal ketat dengan panahan-panahan bintang
(meteor), serta golongan jin dan syaitan dihalang daripada mencuri dengar
berita langit untuk disampaikan kepada para bomoh, maka terbatal dan lumpuhlah
ilmu perbomohan itu”. Lihat Majalah Al-Zuhur al-Misriyyah, diasaskan
oleh Antun al-Jumayyil dan Syeikh Amin Taqi al-Din (Beirut: Dar Sader, rpt.
Cairo: Matba'at al-Ma'arif, 1910–1913), 3:58.
[26] Al-Nabhani, Al-Anwar
al-Muhammadiyyah, 31.
[27] Al-Qadi 'Iyad
bin Musa al-Yahsubi, Al-Shifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa, tahqiq 'Abduh
'Ali Kushk, Cetakan Pertama (Dubai: Ja'izah Dubay al-Dawliyyah li al-Qur'an
al-Karim, 2013), 461.
[28] Jin sanggup
mengambil risiko dibakar ketika mencuri dengar berita di langit kerana Allah
menjadikan mereka lupa akan bahaya tersebut sebagai satu bentuk ujian. Hal
ini sama seperti Iblis yang sentiasa melupakan laknat kekal ke atas dirinya.
Sifat lupa ini sengaja didatangkan supaya matlamat sesuatu ujian atau
tanggungjawab (taklif) itu dapat dicapai. Lihat Tafsir qurtubi ayat 9
surah Jin.
[29] Al-Nabhani, Al-Anwar
al-Muhammadiyyah, 31.
[30] Al-Yahsubi, Al-Shifa,
460
[31] Ibnu Abi
ad-Dunya dan selainnya berkata: Telah menceritakan kepada kami Ali bin Harb
al-Ta'i, beliau berkata: Telah mengkhabarkan kepada kami Abu Ayyub Ya'la bin
Imran al-Bajali, beliau berkata: Telah menceritakan kepadaku Makhzum bin Hani'
al-Makhzumi, daripada bapanya, yang ketika itu usianya telah mencecah seratus
lima puluh tahun, beliau berkata: "Pada malam keputeraan Rasulullah SAW,
istana Kisra bergegar dengan kuat sehingga meruntuhkan empat belas buah
berandanya. Air Tasik Sawah pula menjadi surut, dan terpadamnya api (sembahan)
Parsi yang tidak pernah terpadam selama seribu tahun sebelum itu. Dalam pada
itu, al-Mubidzan (pendeta besar Majusi) telah bermimpi melihat unta-unta yang
sukar dikawal (sarat) sedang memimpin kuda-kuda Arab, menyeberangi Sungai
Dajlah (Tigris) dan bertebaran di negara mereka. Maka apabila tiba waktu pagi,
Kisra digemparkan dengan apa yang dilihatnya terhadap keadaan istananya. Namun,
beliau bersabar menghadapinya untuk menunjukkan keberanian. Kemudian, beliau
berpandangan agar tidak menyembunyikan kejadian tersebut daripada para menteri
dan para pembesarnya.
Lalu beliau memakai mahkotanya,
duduk di atas singgahsananya, dan mengumpulkan mereka. Apabila mereka semua
telah berkumpul di sisinya, beliau bertanya: 'Tahukah kamu atas urusan apakah
aku memanggil kamu semua?' Mereka menjawab: 'Tidak, melainkan jika Tuanku Raja
memberitahu kami.' Sedang mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba sampai
kepada mereka sepucuk surat yang mengkhabarkan tentang terpadamnya api (di kuil
Majusi), maka bertambahlah kerisauan di atas kerisauannya yang sedia ada. Lalu
al-Mubidzan berkata: 'Patik juga ada melihat—semoga Allah membaiki urusan
Tuanku Raja—satu mimpi pada malam ini.' Kemudian dia menceritakan mimpinya itu
kepada Kisra. Kisra bertanya: 'Petanda apakah ini, wahai Mubidzan?' Dia
menjawab: 'Satu kejadian (besar) akan berlaku di sebelah wilayah Arab.'
Al-Mubidzan merupakan orang yang paling alim dalam kalangan mereka.
Lihat Shams al-Din Muhammad bin
Ahmad bin ‘Uthman al-Dhahabi, Siyar A‘lam al-Nubala’, tahqiq Husayn
Asad, seliaan Shu‘ayb al-Arna’ut, cet. ke-3, jil. 1 (Beirut: Mu’assasat
al-Risalah, 1985), 42.
[32] Saleh, Himpunan
Qasidah, 106-108.
[33] Gelaran
Anusyarwan al-Adil memerintah Empayar Sasan dari tahun 531 hingga 579 Masihi.
Tempoh pemerintahannya dianggap sebagai zaman kemuncak. Nabi Muhammad SAW
diputerakan pada zaman pemerintahan Raja Anusyarwan (sekitar tahun 570 Masihi).
Peristiwa luar biasa (irhasat) di mana 14 ruangan beranda Istana Kisra retak
dan runtuh, serta terpadamnya api sembahan Majusi beribu tahun, berlaku di istana
miliknya. Merupakan raja yang membina atau menyempurnakan pembinaan binaan
agung Iwan Kisra di Ctesiphon (Mada'in), ibu kota Parsi pada waktu itu. Sisa
runtuhan gerbang gergasi ini masih boleh dilihat di Iraq pada hari ini.
[34] Tasik Sawah
(atau Buhayrat Sawah / بحيرة ساوة) yang masyhur dalam riwayat sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW
kini terletak di Republik Islam Iran.
Wilayah Markazi (Markazi Province)
Bandar Saveh (ساوه). Ia juga terletak lebih kurang 100 kilometer ke arah barat
daya dari ibu kota Tehran.
[35] Salih Muhammad
al-Ja'fari, Al-Sirah al-Nabawiyyah al-Muhammadiyyah, al-Musammah bi al-Aqmar
al-Nuraniyyah, Cetakan Pertama (Jitra, Kedah: Raudhah Muhibbin Enterprise,
t.t.), 22.
[36] Al-Nabhani, Al-Anwar
al-Muhammadiyyah, 30.
[37] Diriwayatkan
dalam Dalail an-Nubuwwah oleh Al-Baihaqi (1/110)
[38] Al-Nabhani, Al-Anwar
al-Muhammadiyyah, 30.
[39] Abdullah
Muhammad bin Abdullah Al-Hakim Al-Nisaburi, Al-Mustadrak 'ala al-Sahihain,
tahqiq oleh Dr. Muhammad Kamil Qurrah Bali (Beirut: Dar Al-Risalah Al-Alimiah,
1439 H / 2018 M), jil. 5, hlm. 151, no. hadis 4222, bab Dzikru Akhbar Sayyid
al-Mursalin wa Khatam al-Nabiyyin.
[40] Saleh, Himpunan
Qasidah, 49-50.
[41] Hadis yang
kuat berkenaan bertepegahan haiwan untuk menjaga Rasulullah mungkin tiada.
Tetapi ada banyak riwayat dalam kitab yang membawa kisah ini antaranya:
"وَقَدْ ذَكَرُوا" زَعَمَ مَنْ الْمُرَادُ أَهْلُ الْإِشَارَةِ
مِنَ الصُّوفِيَّةِ، فَأَمَّا الْفُقَهَاءُ وَالْمُحَدِّثُونَ فَلَمْ يَذْكُرُوا
شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ وَفِيهِ نَظَرٌ، فَفِي الْخَمِيسِ رُوِيَ عَنْ مُجَاهِدٍ،
قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ: تَنَازَعَتِ الطِّيُورُ فِي إِرْضَاعِ مُحَمَّدٍ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: أَيْ وَاللَّهِ، وَكُلُّ نِسَاءٍ، وَذَلِكَ
لَمَّا نَادَى الْمَلَكُ فِي السَّمَاءِ الدُّنْيَا هَذَا مُحَمَّدٌ سَيِّدُ
الْأَنْبِيَاءِ، طُوبَى لِثَدْيٍ أَرْضَعَهُ، فَتَنَافَسَتِ الْجِنُّ وَالطَّيْرُ
فِي إِرْضَاعِهِ، فَنُودِيَتْ أَنْ كُفُّوا فَقَدْ أَجْرَى اللَّهُ ذَلِكَ عَلَى
أَيْدِي الْإِنْسِ، فَخَصَّ اللَّهُ بِتِلْكَ السَّعَادَةِ وَشَرَّفَ بِذَلِكَ
الشَّرَفِ حَلِيمَةَ، انْتَهَى.
Kenyataan "Dan mereka telah
menyebutkan": Didakwa bahawa yang dimaksudkan ialah ahl al-isyarah
(golongan sufi). Adapun para fuqaha dan ahli hadis, mereka tidak pernah
menyebutkan sebarang usul tentang perkara tersebut, namun pandangan ini perlu
diteliti. Di dalam kitab Al-Khamis, diriwayatkan daripada Mujahid,
katanya: Aku berkata kepada Ibnu Abbas: "Adakah burung-burung bertelagah
dalam menyusukan Muhammad SAW?" Beliau menjawab: "Ya demi Allah,
bahkan kaum wanita juga." Hal itu berlaku apabila malaikat menyeru di
langit dunia: "Inilah Muhammad, pemimpin para nabi. Beruntunglah puting
susu yang menyusukannya." Lalu golongan jin dan burung-burung
berlumba-lumba ingin menyusukannya. Maka diseru kepada mereka agar berhenti
kerana Allah telah menetapkan urusan tersebut di tangan manusia. Maka Allah
mengkhususkan kebahagiaan itu dan memuliakan Halimah dengannya, selesai. Lihat
Muhammad bin 'Abd al-Baqi al-Zarqani, Syarh al-Zarqani 'ala al-Mawahib
al-Ladunniyyah bi al-Minah al-Muhammadiyyah, disemak oleh Muhammad 'Abd
al-'Aziz al-Khalidi, Cetakan Pertama (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996),
1:264.
[42] Al-Yahsubi, Al-Shifa,
460.
[43] Diceritakan
dalam Lu’ Lu’ Al Maknun:
قَالَتْ:
فَلَمَّا أَخَذْتُهُ، رَجَعْتُ بِهِ إِلَى رَحْلِي، فَلَمَّا وَضَعْتُهُ فِي
حِجْرِي أَقْبَلَ عَلَيْهِ ثَدْيَايَ بِمَا شَاءَ مِنْ لَبَنٍ، فَشَرِبَ حَتَّى
رَوِيَ، وَشَرِبَ مَعَهُ أَخُوهُ حَتَّى رَوِيَ، ثُمَّ نَامَا، وَمَا كُنَّا
نَنَامُ مَعَهُ قَبْلَ ذَلِكَ، وَقَامَ زَوْجِي إِلَى شَارِفِنَا تِلْكَ، فَإِذَا
هِيَ حَافِلٌ فَحَلَبَ مِنْهَا وَشَرِبَ،
وَشَرِبْتُ مَعَهُ حَتَّى انْتَهَيْنَا رِيًّا وَشِبَعًا، فَبِتْنَا بِخَيْرِ
لَيْلَةٍ،
Halimah berkata: "Maka apabila
aku telah mengambilnya, aku pulang membawanya ke tempat penginapanku. Ketika
aku meletakkannya di pangkuanku, kedua-dua payudaraku mengeluarkan susu dengan
sepuas-puas kehendaknya. Baginda menyusu sehingga kenyang, dan saudara susuan
(anakku) turut menyusu bersamanya sehingga kenyang. Kemudian, kedua-duanya
tertidur, padahal sebelum itu kami tidak dapat tidur lena kerananya (kerana
menangis kelaparan). Suamiku pula pergi kepada unta betina tua kami (yang
kering susu), tiba-tiba kantung susunya sarat penuh! Suamiku memerahnya lalu
minum, dan aku turut minum bersamanya sehingga kami berdua benar-benar hilang
dahaga dan kenyang. Maka kami pun melalui malam tersebut dengan sebaik-baik
malam." Lihat Musa bin Rashid Al-Azimi, Al-Lu'lu' al-Maknun fi Sirah
al-Nabi al-Ma'mun: Dirasah Muhaqqaqah lil-Sirah al-Nabawiyyah (Kuwait:
Al-Maktabah al-Amiriah, 1432 H / 2011 M), jil. 1, hlm. 89.
No comments:
Post a Comment