Pembaca Setia

Monday, May 23, 2022

DUNIA HADAPI KRISIS DEMI KRISIS; APA PERANAN INSAN TARBAWI



DUNIA HADAPI KRISIS DEMI KRISIS; APA PERANAN INSAN TARBAWI

Muhammad Nuruddin Bashah

Disiar dalam : https://harakahdaily.net/index.php/2022/05/25/dunia-hadapi-krisis-demi-krisis-apa-peranan-insan-tarbawi/

Muqaddimah

Dunia belum benar-benar sembuh dari bahana ujian Covid-19. Walau rata-rata data ekonomi membawa maksud pertumbuhan ekonomi di banyak negara, namun kesan jangka panjang mulai dirasai kini. Jika dahulu kematian akibat Perang Dunia Ke-2 secara jelas kita nampak nyawa melayang akibat peperangan. Hari ini selain data kematian yang jutaan itu, kesan akibat kematian, kesengsaraan, kesan terhadap emosi, mental dan kekeluargaan kian muncul satu demi satu sama seperti pasca perang dunia.

Firman Allah S.W.T:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥

Maksudnya: Dan nescaya Kami akan menguji kalian dengan sedikit daripada perasaan takut, rasa lapar, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (kematian), serta tumbuh-tumbuhan dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Surah al-Baqarah (155)

Saidina Ibn Abbas RA menafsirkan ayat ini bahawa  Allah S.W.T mengkhabarkan kepada kaum mukminin bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian bagi kita.

Demikian juga kata Imam  Ibnu Atho’illah As-Sakandari:

لا تَسْتَغْرِبْ وُقوعَ الأَكْدارِ ما دُمْتَ في هذِهِ الدّارِ. فإنَّها ما أَبْرَزَتْ إلّا ما هُوَ مُسْتَحِقُّ وَصْفُها وَواجِبٌ نَعْتُها

 

Janganlah engkau merasa aneh kerana berlakunya segala kesukaran selama engkau masih tinggal di negeri ini (iaitu selama engkau masih berada di dalam dunia ini). Kerana sesungguhnya, tiadalah ia menzahirkan melainkan apa yang memang layak bagi sifatnya dan yang wajib dari ciri-cirinya.

Akibat wabak, kawasan lingkaran negara kita sendiri mengalami kematian  tertinggi  yang tertumpu di Asia Tenggara. Negara pendapatan sederhana dan rendah pula mewakili 81% daripada 14.9 juta kematian akibat Covid-19.

Sebelum ini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan sekitar 15 juta orang telah maut akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021[1] yang mana kematian adalah disebabkan COVID-19 atau kesan daripada beban sistem kesihatan bagi tempoh dua tahun tersebut.

Bagi aspek sosial dan generasi muda, dalam laporan Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan  penutupan sekolah untuk tempoh panjang akibat pandemik COVID-19 menyebabkan kerugian bernilai trilion dolar dalam bentuk pendapatan sepanjang hayat kepada pelajar[2]. Ini bermakna ramai kanak-kanak tercicir pelajaran dan kesannya nanti akan kelihatan beberapa tahun akan datang. Kajian itu  menunjukkan kanak-kanak yang miskin dan kurang upaya telah berdepan kekurangan akses terhadap pembelajaran jarak jauh.

Hal ini diakui terkesan kepada generasi muda negara kita. Misalnya Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad telah menyaran  Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan segera Pelan Pemulihan Pendidikan dalam menangani isu keciciran pendidikan membabitkan 21,316 murid ketika ini[3]. Beliau  juga menyatakan kerajaan tidak boleh membiarkan murid terbabit terus berhenti sekolah atas faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibu bapa menyekolahkan mereka. Kerajaan kita  mempunyai data terkini murid yang keciciran pendidikan seperti dibentangkan di Parlimen sebelum ini. Banyak pihak perlu suarakan kebimbangan ini agar masalah sosial masa hadapan boleh dielakkan.

Bagaimana dengan ekonomi? Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed  kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami masalah kewangan serta menghadapi defisit yang besar dalam belanjawan berikutan pandemik COVID-19. Walaupun dikatakan nisbah defisit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu enam peratus merupakan antara terendah berbanding negara-negara lain namun defisit adalah fakta yang berlaku dan ia juga melibatkan peringkat global.

Selepas semua reda dengan kegusaran akibat Covid-19, telah mula bergenbira dengan keluarga semasa Raya Aidilfitri baru-baru ini, kini kita tegang semula apabila pengumuman demi pengumuman kedengaran berkenaan krisis makanan dan bekalan komoditi tertentu.

·         Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy, berkata semua institusi antarabangsa bersetuju dunia akan menghadapi krisis makanan  yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Katanya, hakikat itu antara lain diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)[4].

·         Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, stok gandum dunia akan berkurangan sebanyak 12 juta tan metrik. Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia, menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Russia di negara itu.

·         India  negara pengeluar gandum kedua terbesar dunia mengumumkan larangan ke atas eksport gandum yang berkuat-kuasa serta merta selepas suhu panas akibat gelombang haba menjejaskan penghasilannya. Faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan tersebut adalah termasuk hasil tanaman yang rendah serta lonjakan harga global akibat peperangan di Ukraine serta kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu keselamatan makanan dalam kalangan penduduk negaranya[5]. Harga gandum di India kini mencatatkan rekod baharu, dengan mencecah 25,000 rupee (RM1,418) bagi satu tan, melebihi harga sokongan minimum kerajaan iaitu 20,150 rupee (RM1,143).



Bagaimana dengan krisis lokal yang melibat rakyat kita?

·         MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research menyatakan inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit. Memandangkan kita sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia sememangnya amat terdedah kepada sebarang masalah  global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.

·         Pasar di Selangor sudah kehabisan stok ayam.

·         Krisis bekalan ayam menyebabkan gejala sorok bekalan mula berlaku di Negeri Sembilan[6].

·         Peniaga terpaksa cari ayam di reban sendiri[7]. Sesetengah peniaga ayam di Pasar Borong Selangor terpaksa  mencari dan membeli ternakan itu daripada penduduk kampung untuk jualan, manakala ada juga terpaksa menutup perniagaan disebabkan kekurangan bekalan.

·         Restoran terpaksa naikkan harga makanan di Kelantan[8].

·         Selangor dan Negeri Sembilan sepakat sudah ingin tanam jagung untuk atasi kenaikan makanan ayam diimport[9].

·         Bulan Julai akan menyaksikan perlancaran tanaman jagung terbesar negara kita[10]. Projek tanaman jagung bijirin ini dibuat  di tapak projek ternakan lembu yang terbengkalai 'National Feedlot Corporation' (NFC) di Gemas iaitu satu projek yang pernah mencetus kontroversi sebelum ini.  

Krisis bekalan makanan berlaku banyak kali dalam sejarah manusia silam mahupun moden pasca Perang Dunia-2. Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran (2008), menggunakan terma ‘tsunami senyap’ (silent tsunami) bagi mengambarkan keadaan krisis makanan.

Kehilangan stok ayam dan sebagainya dalam masyarakat mungkin benar akibat faktor kos makanan ayam yang diimport. Namun  kita tidak menolak ada pihak yang mahu mengambil kesempatan atas kenaikaan harga makanan global. Inilah gejala monopoli (al-ihtikar) iaitu membeli sesuau barang dalam jumlah yang banyak lalu menyimpannya sehingga menyebabkan barang tersebut menjadi berkurangan di pasaran yang mengakibatkan harganya meningkat yang dilarang Islam.  Monopoli bahan makanan asasi adalah diharamkan jika memenuhi tiga syarat berikut[11]:

  • Makanan yang disimpan itu melebihi keperluan individu dan tanggungannya untuk tempoh setahun.
  • Individu yang menyimpan barang makanan sengaja menunggu waktu ketika harga barangan tersebut melonjak naik secara mendadak.
  • Monopoli berlaku ketika masyarakat sangat berkehendak kepada barangan tersebut.

Ungkapan Rasulullah tentang krisis akhir zaman

  1. Rasulullah menyatakan ciri umatnya yang dilanda musibah.

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سمَعِْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ ) رواه الحاكم(

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”. ( Hadith riwayat al-Hakim 7404)

Penyakit-penyakit itu ialah:

1. Terlalu banyak bersukaria

2. Terlalu mewah

3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin

4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia

5. Saling memarahi

6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain

Kesimpulan dari diatas ialah sikap melampau. Melampau seronok, melampau memarahi orang, melampau gila harta, melampau mewah.

  1. Rasulullah ramalkan kehadiran wabak

Rasulullah telah nyatakan wabak ini pasti perlu kita harungi memandangkan suasana sekarang yang menormalisasikan zina.

لم تظهر الفاحشة في قوم قط حتى يعلنوا بها الا فشا فيهم الطاعون ولأوجاع التى لم تكن مضت في أسلافهم الذين مضوا

Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan berbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka. (Riwayat Ibn Majah)

  1. Rasulullah menggalakkan pertanian

Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud:

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya:  Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah. Riwayat Ahmad (3/183). Imam al-Son’ani berkata: Pada hadis di atas terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya kebaikan yang banyak.

  1. Rasulullah melarang sorok barang komoditi[12]

Kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ikhtikar), terutama barang makanan tidak dibenarkan dalam Islam. Rasulullah bersabda : “Hanya orang berdosa yang melakukan kegiatan ikhtikari.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dam Ibn Majah)

Pandangan ulama’ cara hadapi krisis

Makanan merupakan antara keperluan asasi (basic needs) manusia untuk hidup, selain udara,  air, tempat perlindungan dan pakaian.  Ulama’ yang mempopularkan kalimah maqasid syariah, Imam al-Shatibi  telah meletakkan keperluan makanan dalam kategori al-daruriyyat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia itu sendiri.

Tafsir surah Yusuf  dari ayat 43 hingga 49 adalah kisah terbaik bagi melihat saranan ulama’ apabila meneliti ibrah dalam ayat berkenaan.

Imam al-Qurtubi mengkaitkan kisah ini dengan persediaan menjaga maslahat syariat yang terdiri dari memelihara perkara dharuri iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan harta.

Imam Abi Su’ud di dalam tafsirnya menjelaskan dari kisah ini, bahawa pentingnya masyarakat kurangkan makan (juga baik untuk kesihatan) dan jangan sediakan makanan secara membazir.

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyatakan bahawa  sebuah negara perlu ada peruntukan undang-undang untuk memiliki rizab simpanan yang cukup bagi mendepani bencana. Ini kerja orang politik yang perlu diutamakan bukannya bermusim.

Manakala Syeikh Dr Wahbah Zuhaili pula menegaskan sesebuah negara wajar menyimpan dan mencatu makanan untuk keperluan mendatang di waktu susah.

Apa peranan insan tarbawi

1.      1. Tidak bersikap provokatif

Insan yang ditarbiah samada tarbiah pondok, madrasah, universiti, tarbiah masyaikh, habaib atau tarbiah harakiyah sewajarnya memiliki ciri tenang dan berhemah dalam mendepani krisis. Mereka perlu tidak terlibat dalam aktiviti provokasi yang meresahkan rakyat dan umat. Mereka perlu menenangkan umat dengan janji Allah, fakta yang sahih dan motivasi yang baik.

 

2.      2 Tabayyun dengan berita semasa.

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan tathabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Nur Azira Rameli dari Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap 200 pemuda Malaysia yang memberi respon bahawa konsep tabayyun  adalah elemen penting dalam mengesahkan maklumat daripada media sosial dalam konteks Malaysia semasa  menjawab soal selidik mengenai penggunaan media sosial. Jadi individu tarbawi mesti turut sama menjiwai konsep ini dan jangan hanya tahu mengupas dalam halaqah tetapi tak mampu melaksanakan konsep ini.

 

3.      3 Menyokong usaha untuk penyediakan persediaan makanan kesihatan dll.

Misalnya kita perlu sokong sekiranya ada usaha kerajaan, NGO atau individu yang berusaha membaiki keadaan sesuatu krisis. Contohnya gesaan  agar kerajaan memiliki ladang ayam bagi memastikan bekalan bahan mentah itu sentiasa stabil di negara ini sebagaimana dinyatakan oleh  Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. Ladang ini  boleh diuruskan oleh syarikat berkaitan kerajaan atau agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang penternakan. Dengan cara ini, krisis stok ayam sukar berlaku disebabkan bahan mentah itu tidak dikawal lagi oleh  kartel tertentu yang boleh berbuat apa saja, termasuk mengehadkan bekalan jika mahu memanipulasi harganya.

4.      4 Menyeru masyarakat beramal dan mendekati Allah. Inilah tugas besar insan tarbawi.

 

·         Gandakan wirid. ketika mana tibanya zaman Dajal dan bekalan makanan terputus, Nabi S.A.W berpesan bahawa zikir adalah ganti kepada makanan, Sabda Nabi S.A.W:

 

قَالَتْ أَسْمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا وَاللَّهِ لَنَعْجِنُ عَجِينَتَنَا فَمَا نَخْتَبِزُهَا حَتَّى نَجُوعَ فَكَيْفَ بِالْمُؤْمِنِينَ يَوْمَئِذٍ قَالَ يَجْزِيهِمْ مَا يَجْزِي أَهْلَ السَّمَاءِ مِنْ التَّسْبِيحِ وَالتَّقْدِيسِ

 

Saydatina Asma’ RA berkata, “Akan tetapi mereka tidak mendapatkan apa-apa sehingga aku khawatir terkena musibah kelaparan, dan apa yang akan dimakan oleh kaum Mukmin pada waktu itu?” Jawab Nabi : “Allah S.W.T mencukupkan kepada mereka dengan makanan yang diberikan kepada penduduk langit (Malaikat) dengan tasbih dan taqdis. (Riwayat Imam Ahmad)

 

·         Nabi S.A.W berpesan benteng usaha Dajjal dengan al Kahfi.

 

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

 

Sesiapa yang menghafal 10 ayat permulaan surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.

(Sahih Muslim) Ini memang amalan yang ditekankan kepada semua individu tarbawi walau dari mana aliran sekalipun.

 

·         Menggalak masyarakat berzikir Asmaul Husna seperti Ya Razzaq, Ya Fattah, Ya Ghani.

Firman Allah SWT:

 

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ

 

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. (Surah al-A’raf, 180)

 

·         Pengelak kemiskinan kelaparan dan kefakiran dengan mengamalkan al Waqiah.

Ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

 

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا

Maksudnya: Apakah engkau risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan puteriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

 

Berdoa sambil disandar dengan keberkatan Al Quran. Ianya tidak salah atau bidaah seperti dikata segelintir manusia yang cetek pemikirannya.

Daripada Imran bin Hussain, beliau mendengar daripada Baginda SAW bersabda[13]:

 

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

 

Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Ini kerana sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia. (Riwayat al-Tirmizi 2917)

Syeikh al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis di atas menyatakan, bahawa  kita boleh meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran (wasilah/tawasul)  setiap apa urusan Dunia dan Akhirat. Atau sekiranya membaca al-Quran dan lalu pada ayat yang menceritakan berkenaan dengan Rahmat Allah SWT, maka mohonlah kepada Allah SWT untuk mendapatkannya (Rahmatnya). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/189)

 

·         Berdoa dan berharap, seterusnya serah padaNya.

Sepertimana dalam matan Hikam oleh  Imam Ibn Athoillah :

لا يَكُنْ تأَخُّرُ أَمَدِ العَطاءِ مَعَ الإلْحاحِ في الدُّعاءِ مُوْجِباً لِيأْسِكَ. فَهُوَ ضَمِنَ لَكَ الإِجابةَ فيما يَخْتارُهُ لَكَ لا فيما تَخْتارُهُ لِنَفْسِكَ. وَفي الوَقْتِ الَّذي يُريدُ لا فِي الوَقْتِ الَّذي تُرْيدُ

 

Terlambat datangnya pemberian (Allah), meskipun sudah dimohonkan berulang-ulang, janganlah buatmu patah harapan. Karena Dia telah menjamin untuk mengabulkan permintaanmu sesuai dengan apa yang Dia pilihkan untukmu, bukan menurut keinginan engkau sendiri. dan pada waktu yang Allah kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki.



Tuesday, November 16, 2021

Hubungan Melayu dan Orang Asli di Zaman Penjajahan Inggeris

 



Hubungan Melayu dan Orang Asli di Zaman Penjajahan Inggeris

Muhammad Nuruddin Bashah

Menurut Philip C. Coote dalam bukunya berjudul Sejenak  ke Tanah Melayu ada menceritakan hubungan penduduk tanah melayu silam dengan orang asli. Coote menggunakan kalimah sakai dalam bukunya dan mengakui kehadiran sakai atau orang asli tidak begitu disedari oleh penjajah Inggeris. Hal ini jelas kerana Inggeris hadir untuk hasil mausul melibatkan perdagangan dan perdangan hanya berpusat di lokasi maritim dan bandaraya sahaja.

Menurut Coote, orang Melayu hidup sebagai tuan tanah di Tanah Melayu walaupun sakai mengakui mereka lebih ‘asal’ daripada melayu.

Orang asli menurutnya tidak bimbang atau gusar dengan kaum melayu malah masyarat dan kerajaan melayu berabad lamanya menjaga hubungan baik antara orang bandar dengan orang darat (orang sakai/asli)

Orang asli juga menganggap hanya Melayu yang menjadi tuan tanah di Tanah Melayu dan mereka menganggap kaum India, Cina dan lain-lain sebagai penindas atau tidak sensitif dnegan kebudayaan mereka. Hubungan langsung antara India dan Cina tiada ketika itu.

Kerajaan yang dijajah British menganggap orang asli tidak membahayakan dan membiar mereka bebas di hutan serta damai dengan orang melayu.

Dari penelitian Coote ini dapat juga kita simpulkan polemik yang menganggap Melayu menjajah dan kaum asal lah yang perlu dijulang sebagai tuan negara Tanah Melayu ini. Tidak perlu dimomok konnya ada pergeseran lama antara Melayu dan orang asli kerana hakikatnya dua suka ini harmoni berabad lamanya. Orang asli menerima ketuanan sultan melayu kerana mereka tidak menubuhkan kerajaan. Manakala hak-hak orang asli diakui dan dijaga oleh kesultanan melayu silam.

Wednesday, October 13, 2021

Kejam dan zalim : Machiavelli hanya merakam realiti dan sejarah

 



Kejam dan zalim : Machiavelli hanya merakam realiti dan sejarah

Muhammad Nuruddin Bashah

Machiavelli menaqalkan realiti dalam sejarah Eropah bahawa cara untuk berkuasa selain tuah (fortuna) dan bakatnya (virtu) adalah dengan melakukan perkara keji dan kekejaman. Soalnya adakah Machiavelli menyarankan kita menjadi zalim agar boleh berkuasa atau sekadar menceritakan kisah-kisah semasa dan silam dalam bukunya? Machiavelli juga menceritakan akibat menjadi zalim, dan kesannya kepada masyarakat. Beliau juga memberi panduan jika ingin berbuat zalim ada kaedahnya agar kesan buruk tidak berpanjangan dan ia boleh dikatakan  sesuai dengan syariat Eropah dan Kristian zaman itu. Manfaat membaca kalam Machiavelli adalah kita boleh menilai akibat dan kesan dari perbuatan sesuatu polisi politik.

Machiavelli memberi contoh Agathocles orang Sacily yang menajdi Raja Syracuse. Dia seorang yang hina, kasta bawah dan anak tukar tembikar. Agathocles menaiki tangga kuasa dengan menzalimi banyak orang.

Walaupun beliau berjaya berkuasa dengan menbuat zalim, tanpa bantuan sesiapa, beliau menghadapi banyak masalah dan bahaya. Kezaliman ini menurut Machiavelli bukannya Virtu (bakat) atau kejantanan yang dipuji Machiavelli seperti beliau memuji Nabi Musa A.S. membunuh rakan sekutu, mmbunuh rakyat sendiri dan hidup tanpa kepecayaan bukan hidup beragama menurut Machiavelli.

Machiavelli menganggap kezaliman untuk berkuasa ini hanya memperolehi kuasa sahaja bukannya kegemilangan (gloria).

Menurut Machiavelli juga jika perlu berbuat zalim, ia perlu dilakukan sekali tindakan sahaja, tidak berterusan sebaliknya perlu bertujuan hal yang besar (penting) sahaja. Pemimpin yang tidak peka akan menggunakan kezaliman untuk manfaat sedikit (menunjuk hebat seperti orang jahat filem tamil) dan melakukan kejahatan itu secara berterusan. Ini tidak baik bagi kerajaan yang ingin stabil.

Machiavelli menceritakan juga realiti penakluk zaman itu  (termasuk kerajaan Islam selepas Khulafa Rashidin) yang menakluk jajahan baru  tetap akan berlaku juga kezaliman dan bagi beliau jika perlu berbuat kerosakan lakukan hanya sekali dan terus memberi keselesaan kepada rakyat dan menangi hati rakyat yang ditakluki itu.

Bagi beliau juga kekejaman tidak akan kekal lama kejayaannya. Tidak sampai 3 tahun Oliverroto dibunuh pula oleh Cesare Borgia sedangkan ia naik menguasai Fermo dengan membunuh semua rakyat kelas pertama sebelum itu. Samalah zaman kita sekarang para penzalim tidak kekal lama boleh diintai di bumi arab sendiri.

Secara umum perlu diketahui Machiavelli melihat pemimpin kejam tidak akan mencapai gloria atau kegemilangan tamadun/kerajaan  sebaliknya hanya kemenangan kuasa politik sahaja.

Sunday, October 10, 2021

Takdir seorang pemimpin; Virtu atau Fortuna

 


Takdir seorang pemimpin;  Virtu atau Fortuna

Muhammad Nuruddin Bashah

Dalam banyak banyak gagasan Machiavelli, ciri utama kepimpinan adalah perkara yang utama diulang oleh Machiavelli. Ciri utama bagi beliau adalah ciri yang membawa individu itu memiliki kuasa iaitu bakatnya (virtu) atau nasib dan tuahnya (fortuna).

Jika diteliti ciri ini banyak berlaku zaman ini dan kita boleh menilai kekuatan seseorang pemimpin politik moden berdasarkan dua ciri ini.

Machiavelli tidak mendefiniskan makna virtue secara pasti. Ia tidak menggunakan istilah tersebut secara sistematik.

Virtu selalu diterjemah kepada kebaikan dan sifat murni tetapi takrifan Machiavelli bermaksud kejantanan dan keberanian.

Machiavelli mengiktiraf Nabi Musa AS, Cyrus (pengasas Achaemenid), Romulus (pengasas Rom) dan Theseus (pengasas Athens) sebagai contoh individu Virtu yang sejati. Bagi Machiavelli Nabi Musa adalah pemimpin yang memiliki ketenteraan tersendiri dan mampu menghukum Firaun atau Bani Israel yang engkar.

Machiavelli menggunakan istilah virtu sebagai analisis kompleks yang menggambarkan pada kualiti utama seorang pemimpin dalam mencapai kegemilangan, meraih kemuliaan dan kehormatan, menahan serangan, melepaskan ketergantungan pada pihak lain, keyakinan diri. Dalam konteks tertentu, virtu difahami  sebagai kesediaan untuk melakukan apa saja tindakan untuk mencapai kemuliaan umum, baik itu melalui cara-cara yang baik maupun jahat.

Ini berdasarkan pemerhatian Machiavelli kepada sifat, sikap dan kebenaran masyarakat Eropah zamannya.

Pandangan ini jika dihurai cara negatif kita akan membawa makna membujur lalu melintang patah atau matlamat menghalalkan cara. Namun peribahasa ini bukan saranan Machiavelli sebaliknya beliau hanya menukilkan dalam bukunya realiti bangsa Eropah malah ia realiti mana-mana Kaisar, raja, Firaun atau Sultan yang membelakangkan moral dan etika.

Manakala ‘Fortuna’ satu kepimpinan yang terjadi secara pasif dan bersifat ‘bulan jatuh ke riba’ yang diidam oleh ramai pihak. Rugi bagi mereka yang berbangga memiliki kuasa secara warisan tanpa bakal, ilmu dan kemampuan tersendiri. Hal ini bukan sahaja dilihat konteks kerajaan tetapi konteks syarikat koperat, organisasi, persatuan serta  parti politik. Menurut Machiavelli mana-mana rakyat biasa yang menjadi penguasa kerana tuah, dia tidak memerlukan daya upaya yang banyak.

Tetapi ia akan mengalami kesusahan untuk mengekalkan kekuasaannya.

Orang sebegini bergantung sepenuhnya pada dua perkara yang tidak stabil dan tidak pasti iaitu kemahuannya sendiri dan tuahnya yang memberikannya kekuasaan. Mereka juga tidak tahu dan tidak mampu mengekalkan kekuasaan mereka.

Mereka ini (selalunya) tidak memiliki kecerdikan dan kecekapan yang tinggi.

Mereka ini tidak akan mampu mengekalkan kekuasaan kerana tidak mempunyai bala tentera yang taat dan setia kepadanya.

Francesco Sforza adalah contoh  kepimpinan yang virtu manakala Cesare Borgia merupakan contoh fortuna yang dinukil oleh Machiavelli dalam The Prince.

Apa penting kita tahu ciri ini? Adakah kita ingin aplikasi dua ciri ini? Ilmu ini sekurangnya membenarkan kita memahami senario semasa. Bukankah kita ini rakyat biasa…apa salahnya kita tahu gelagat orang politik atasan kita…

Saturday, October 9, 2021

Ibrah Sejarah Kedah dipermain Inggeris dan Siam



Ibrah Sejarah Kedah dipermain Inggeris dan Siam

Muhammad Nuruddin Bashah

Plot dan fakta sejarah dibawah ditulis semula dari artikel Muhammad Isa Othman yang bertajuk Elite Politik dan Pentadbir Tradisonal Kedah- Tinjauan zaman Pemerintahan Sultan Ahmad Tajudin Halim Shah II yang dimuatkan dalam buku Dokumentasi Konvensyen Sejarah terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah 1991.

Dari fakta dibawah cuba perhatikan unsur ‘punca’ bagi sesuatu ‘perkara besar’ berlaku.

Perhatikan sikap umat Islam yang sanggup bersekongkol dengan musuh Islam demi kelangsungan hajat politik dan ia berlaku kepada umat Islam seluruh dunia di sepanjang zaman bukan hanya di Nusantara.

Tujuan adalah mengambil ibrah dan pengajaran bukan mencela tokoh atau watak dalam sejarah.

 

1.       Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778) melantik anak gundiknya bernama Tengku Abdullah sebagai pegganti manakala anak gaharanya Tengku Dhiauddin hanya dilantik sebagai Raja Muda.

2.       Ada dua putera lain yang tidak dilantik dan mereka dikatakan putera yang lebih tua dari Tengku Dhiaudin. Tengku Long dan Tengku Anjang minta bantuan Bugis di Selangor untuk menyerang Kedah. (konspirasi ini gagal)

3.       Sultan Abdullah mangkat pada 1798. Baginda ada dua isteri dan empat gundik.

4.       Sultan Dhiauddin (sebelumnya Raja Muda) akhirnya menjadi Sultan.

5.       Anak-anak saudara menjadi tidak senang antaranya Tengku Pangeran.

6.       Tengku Pangeran menghubungi Raja Rama I Siam meminta pertolongan (konspirasi). Siam memang ingin masuk campur Kedah. Siam lantik Tengku Pangeran menjadi Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dengan gelaran siam ‘ Chou Pia Ratismeram Ramapuck dae Sri Sultan Mahomed Ratna Rajah Budin Tersurin Terwerei Wangsa Chou Pia Cherei Burei’ pada tahun 1803.

7.       Sultan Ahmad Tajuddin (Tengku Pangeran) masih bertelingkah dnegan saudara-saudaranya yang lain merebut pembahagian $10 000 daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris.(pajakan Pulau Pinang)

8.       Selain bersekongkol Siam, Sultan Ahmad Tajuddin cuba minta bantuan Inggeris kerana adik beradik masih memberontak dan akibat  Siam mulai tunjuk taring menekan Kedah (kerana anggap lantikannya sebelum ini sebagai tanda Kedah bernaung bawah Siam).

9.       Tunku Bisnu saudara Sultan Ahmad Tajuddin juga berjumpa Raja Rama II mengadu ketidaksetiaan Sultan Ahmad Tajuddin kepada Siam. (konspirasi)

10.   Siam makin menekan Kedah, Kedah diminta serang Perak. Perak ditakluk Kedah pada tahun 1818 atas perintah Siam.

11.   Siam sampai ke Kedah 1921 dan bermulalah penjajahan rasmi Kedah oleh Siam selama 21 tahun dan Sultan Ahmad tajudin jadi buangan hingga ke Melaka. Pusat pemerintahan Kedah berpusat di Alor Ganu melalui anak gabenor Ligor.

12.   Adakah Sultan duduk sahaja? Tidak, baginda cuba melawan dan buat serangan tetapi Siam dibantu Inggeris (yang banyak menipu Kedah dan mempermainkan perasaan pemimpin Kedah) Inggeris membantu Siam.

13.   Kufar bergabung jika bertemu dengan kerajaan Islam (pandangan saya)

14.   Inggeris mengambil keputusan memotong bayaran tahunan kepada Kedah dari $10 000 kepada $6000. Malang sudah jatuh ditimpa tangga Sultan Kedah.

15.   Banyak berlaku pemberontakan dalam Kedah. Kedah tidak aman selama 21 tahun. Siam tidak dibantu Inggeris lagi kerana pemberontakan itu merugikan Inggeris. Siam berundur dari Kedah tetapi dengan syarat.

16.   Iaitu mengecilkan wilayah Kedah. Tunku Anum dilantik memerintah Kubang Pasu. Syed Hussain Jamalullail dibenarkan memerintah Pelris (keturunannya hingga kini) Tunku Bisnu memerintah Setul.

17.   Sepanjang Siam memerintah Kedah Tengku Embun lah yang menjadi anak peliharaan Siam.

Boleh lihatkan sesuatu dari fakta diatas?

 

 






 

Damai dan stabil; hasilkan kebangkitan intelektual dan peradaban

 


Damai dan stabil; hasilkan  kebangkitan intelektual dan peradaban

Muhammad Nuruddin Bashah

Sesuatu tamadun akan berkembang budaya ilmu, intelektual, peradaban, kesenian dan kejuruteraannya apabila berada dalam status aman dan damai.

Stabil, aman dan damai adalah antara matlamat berpolitik. Jika ada ahli politik bertujuan menyertai politik untuk menghuru-harakan masyarakat ia perlu dijauhkan daripada masyarakat.

Menurut Machiavelli dalam The Prince, negara negara (komponen Italiy ang belum digabungkan) seperti Maples, Venice, Milan dan Florence sentiasa berkonflik dan berperang. Perang Lombardy misalnya berlaku antara tahun 1423 hingga 1454. Akhirnya Perjanjian Perdamaian Lodi  1454 berlaku dan perjanjian aman damai berlangsung 40 tahun lamanya. Ia berlaku setahun selepas Constantinopel berjaya dikuasai oleh Sultan Muhammad Al Fateh.

Walaupun berlangsung sekitar 40  tahun, ramai berpendapat bahawa Perjanjian itu menyediakan’Westphalian’ model sistem antara bandar-negara (berbanding dengan sistem negara-bangsa ) berikutan abad perang berterusan di Itali Utara.

Era damai inilah munculnya zaman Renaissance dan menyaksikan kelahiran Leonardi da Vinci dan sebagainya. Ia intelaktual meningkat, sains, seni berpadu dan idea menolak kuasa ketuhanan juga berlaku dengan pesat.

Penguasa Florernce, Milan dan seangkatannya adalah penaung kepada tradisi ilmu Eropah ketika itu yang berpusat di Itali ini.

 

Bencana Alcácer-Quibir tahun 1578


 

Bencana Alcácer-Quibir tahun 1578

Muhammad Nuruddin Bashah

Tahun 1578 M adalah tahu kemusnahan tentera Portugal kepada Tentera Maghribi. Dalam tahun tahun ini juga Portugis semakin lemah dek asakan tentera Johor, Acheh dan lain-lain di Nusantara. Bantuan Lisbon tidak dapat berterusan akibat penangan di Al Kasr Al Kabir. Namun Portugis masih banyak sumber kekuatan di Goa lantaran itu agak lewat Portugis keluar dari Melaka daripada tarikh kejatuhan Kerajaan Portugis ini. Portugis tiada raja berasingan lagi kerana ditadbir secara gabungan dengan Sepanyol selepas tahun itu.

Pertempuran Alcácer Quibir atau peperangan Al Kasr Al Kabir berlaku di di Kasr al Kabir Maghribi , pada 4 Ogos 1578

Pertempuran Alcácer Quibir adalah pertempuran utama yang terjadi di Maghribi utara, berdekatan dengan kota Al Kasr Al Kabir antara Tangier dan Fez, terjadi di antara Abu Abdallah Mohammed II Saadi, dari Dinasti Saadi bersama sekutu beliau Raja Sebastian dari Portugal, melawan pasukan Maghribi dibawah pimpinan Sultan Maghribi sendiri.

Sejarah Asia Barat, Eropah dan Nusantara penuh dengan adegan dan fakta kerjasama, sogokan, sokongan dan pengkhianatan umat Islam bersama kaum kuffar memerangi Islam. Ini fakta dan semakin baca fakta sejarah semakin nam[pak sikap manusia yang sama sahaja sepanjang sejarah.

Raja Sebastian berdendam besar dengan umat Islam dan telah merancang satu Perang Salib setelah Abu Abdallah Mohammed II Saadi memohon bantuan Raja Sebastian untuk merampas semula takhta kerajaan beliau yang telah dikuasai oleh pakcik beliau, Abd Al-Malik dengan sokongan empayar Uthmaniyyah. Tentera Portugal kalah dan kematian Raja Sebastian adalah tanpa pewaris.

Ini menamatkan dinasti Aviz, dan Portugal ditadbir satu pemerintahan bersama Sepanyol dalam Kesatuan Iberia selama 60 tahun iaitu di bawah dinasti Philippine. Lantaran itu penguasaan bangsa Portugis di Melaka kian merudum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...