Pembaca Setia

Saturday, June 3, 2023

MASIH WUJUDKAH IJMA’ PADA ZAMAN HARI INI MENURUT TAKRIFAN ULAMA MU’TABAR KLASIK?

 



MASIH WUJUDKAH  IJMA’  PADA ZAMAN HARI INI MENURUT TAKRIFAN ULAMA MU’TABAR KLASIK?

Muhammad Nuruddin Bashah

Apabila kerajaan, atau media massa mahupun cendiakawan Islam menggunakan kalimah ijma’ dalam sesuatu keputusan bermakna kesannya besar kepada pematuhan keputusan tersebut. Ijma’ membawa natijah wajib dipatuhi secara syarak dan ianya berstatus qat’i. Kedudukan ijma’ dalam usul fiqh adalah salah satu sumber dalil syara’ yang disepakati oleh para ulama. Ijma’ merupakan dalil yang qat’i dan berada pada tahap ke tiga dalam pengambilan hukum syara’. Walaupun dianggap sebagai sumber ke tiga tetapi terdapat golongan yang menolak kehujahan ijma’ seperti golongan Nizamiah, Syiah, Imamiyyah dan khawarij.

Selepas meneliti bahan edaran Fiqh Covid-19 yang dikeluar oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri penulis dapati pematuhan  lock down, pelitup muka dan cara saf solat tidak dinyatakan sebagai ijma’ sebaliknya seolah-oleh ‘seperti ijma’. Ini menunjukkan ketelitian YB Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu iaitu YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam hal hukum. Penulis bersetuju rakyat wajib mematuhi arahan ulil amri terutama melibatkan hal nyawa dan sebagainya. Penulis juga berpandangan rakyat mesti percaya dan akur dengan keputusan fatwa kebangsaan namun bukanlah keputusan itu setaraf ijma’ ulama’ sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab usul fiqh muktabar. Ia boleh dianggap ijtihad jama’iy yang berperanan menggantikan ketidakmampuan kita melaksanakan ijma’ pada zaman moden hari ini.

Sebelum pergi lanjut kepada persoalan wujudkah ijma’ di zaman sekarang mari kita perhatikan takrifan klasik berkenaan istila ijma’ ulama’.

Menurut pengarang kitab Mabadi Awwaliyyah : kalima ijma’ الاجماع  menurut etimologi (bahasa) ialah menyepakati الاتفاق .

Menurut terminologi pula:

: اتفاق امة محمد صلى الله عليه وسلم بعد وفاته فى عصر من الاعصار على امر من الامور

“Kesepakatan para umat nabi Saw setelah wafat beliau pada suatu masa dalam menentukan suatu masalah”

Ijma’  menurut ulama adalah Hujjah (dalil) sesuai dengan Hadits nabi Saw yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :

 

عن ابن عمر عن النبى صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِي - أَوْ قَالَ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم - عَلَى ضَلاَلَةٍ وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ

“Dari Ibnu „Umar ra. dari nabi Saw sesungguhnya beliau berkata : “'Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku " - atau dia berkata: "Umat [Muhammad] di atas kesesatan, dan yad Allah (kuasa)  di atas Jama'ah, dan sesiapa yang menyimpang, dia menyeleweng ke Neraka."

Ijma’  dianggap sah secara hukum dengan ucapan dan perbuatan para ulama, bahkan walaupun (pengakuan) hanya dilakukan oleh sebahagian para ulama, dan juga atas persetujuan (diamnya) para ulama yang masih ada, hal itu disebut ijma’ sukuti.

 

Menurut kitab a Luma’

Ijma’ merupakan hujah dalam semua hukum hukum  syari‟at seperti ibadah, muamalah, pada hukum-hukum jenayah dan  pernikahan dan sebagainya meliputi hal halal, haram, fatwa dan  pelbagai jenis hukum. (Al Syairazi, 2013)

Menurut Imam Al Syairazi pengarang Al Luma’, Ijma’ tidak dapat menjadi hujah dari beberapa urusan dunia seperti menyiapkan tentara perang, strategi perang, pembangunan, pertanian dan lain-lain dari setiap kemaslahatan dunia kerana  ijma’ dalam permasalahan tersebut bukan sumber dari  majoriti sabda nabi Muhammad SAW.

Telah ditetapkan bahawa Hadis Rasulullah hanya boleh  menjadi hujah dalam ijma‟ syari‟at bukan terhadap kemaslahatan dunia (Al Syairazi, 2013)

 

Menurut waraqat

Menurut Imam Al Mahalli  dalam syarah kitab al Waraqat:

وأما الإجماع فهو اتفاق علماء أهل العصر على حكم الحادثة، ونعني بالعلماء الفقهاء، ونعني بالحادثة الحادثة الشرعية

Adapun ijma’ adalah kesepakatan ulama’ suatu masa atas hukum dari suatu masalah baru yang terjadi. Yang kami maksud dengan ulama’ adalah ahli-ahli fiqh, dan yang kami maksud dengan masalah baru yang terjadi adalah masalah syar’iyyah (cabang agama). (Al Mahalli, 2011)

Ini di sokong melalui kitab al Mustasfa telah dinyatakan  takrifan Imam Al Ghazali: Kesepakatan umat Nabi Muhammad Saw. secara khusus mengenai suatu permasalahan agama.

Takrif Imam al-Zarkasyi

Al-Zarkasyi membuat kesimpulan tentang ijma’ sebagai  “Persetujuan para imam mujtahid umat Nabi Muhammad Saw  sesudah wafat Baginda, mengenai suatu perkara hukum yang berlaku pada suatu masa”. Terminologi ini menggambarkan bahawa ijma’ mesti melibatkan  kesepakatan para imam mujtahid secara total, tidak termasuk kesepakatan orang biasa dan sebahagian mujtahid. Ijma’ mesti terdapat kesepakatan baik dalam perkara hukum syara’ (asy-syar’iyyat), hukum rasional (al-’aqliyyat), analisis linguistik (al-lugawiyyat), dan termasuk tradisi atau adat  yang berkembang dalam masyarakat (al-'urfiyyat), dan tidak hanya berlaku pada masa tertentu tetapi berlaku sepanjang zaman sehingga kiamat. (Dinata,2021).

Berdasarkan definisi yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, terdapat beberapa perkara  penting yang boleh dikeluarkan seperti berikut: (Rusli, 2017)

  • Kesepakatan orang awam di dalam sesuatu isu tidak dianggap sebagai ijma’ kerana mereka bukan mujtahid fiqh.
  • Demikian juga kesepakatan sebahagian sahaja  para mujtahid tidak dikira sebagai ijma’.
  • Kesepakatan umat sebelum Nabi Muhammad S.A.W tidak termasuk dalam ijma’ kerana ia berlaku sebelum baginda wafat.
  • Ijma’ berlaku meliputi perkara-perkara syarak, ‘aqliyyat, ‘uruf, dan juga bahasa.
  • Kesepakatan para mujtahid itu berlaku di dalam satu zaman yang sama.
  • Yang dimaksudkan dengan ‘zaman’ adalah sesiapa yang ada kelayakan berijtihad di dalam masa berlakunya sesuatu kejadian, maka dia merupakan ahli pada zaman tersebut.

 


Majoriti sahaja bukanlah satu Ijma.

Ramai menyangka jika majoriti ulama’ berkata sesuatu pandangan maka ia pandangan qat’i yang tidak boleh digugat seperti ijma’. Menurut Abd al-Wahab Khalaf dalam kitab ‘Ilm Ushȗl al-Fiqh  jika majoriti mujtahid bersetuju, maka majoriti yang bersetuju itu belum menjadi ijmâ', walaupun hanya sedikit mujtahid yang menentangnya dan banyaknya mujtahid yang bersetuju. Hal ini  kerana selagi ada perbezaan pendapat, maka masih ada kemungkinan betul atau salah satu pihak dan kekeliruan di pihak yang lain. Oleh itu, bilangan yang menyokong  tertinggi tidak menjadi bukti syar'iyyah yang qat’i dan mengikat umat Islam. (Putra, 2021)

Ijma sukuti mungkin zhonni

Jika kita mampu menghimpun seluruh mujtahid serata dunia dalam satu perbincangan isu hukum dan ada yang mendiamkan diri (sukuti) dalam himpunan berkenaan,  adakah sukuti itu dianggap menyokong? Para ulama berselisih pendapat tentang kesahihan ijmak Sukuti (Diam). Sebahagian ulama’   menganggapnya sebagai hujah yang qat’ie  dan sebahagian daripada mereka tidak menganggapnya sebagai hujah sama sekali, malah ada yang menjadikannya hujah zhonniyah (tidak putus). Hal ini kerana, adalah kemungkinan ulama’ yang sukut (diam) itu redho (setuju) atau boleh jadi juga mereka tidak redho. (Khumaini, 2018)

Adakah masih wujud ijma’ isu agama hari ini?

Menurut Prof Dr. Amin Butush persidangan ulama sedunia yang diadakan di Jeddah setiap tahun boleh dianggap  mencapai tahap ijma' ulama’. Misalnya perbincangan  resolusi yang dihasilkan oleh ulama yang bersidang seperti pengharaman rokok dan pengharaman insuran konvensional. (Ishak, 2008)

Namun, bagi majoriti ulama’  lain, mereka  tidak menganggapnya sebagai ijma' kerana bukan semua ulama bertaraf mujtahid yang terlibat dalam fatwa di Jeddah. Ijma’ bermaksud himpunan semua mujtahid selepas zaman kewafatan Rasulullah dalam membincangkan hukum-hakam agama. Untuk menghimpunkan semua muajtahid seluruh dunia adalah tugas yang agak mustahil.

Menurut pandangan ulama terkemudian seperti Muhammad Abu Zahrah, Muhammad Hudri Bek dan Fath ad Duraini (profesor fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Syria, Damsyik, dan Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, mereka semua berpendapat adalah mustahil berlakunya ijma' seperti semasa zaman Sahabat Rasulullah SAW. (Dinata,2021).

Menurut Prof. Dr. Wahbah az Zuhaili, syarat-syarat ijma' ialah  orang yang berijma' mestilah  orang yang memenuhi syarat ijtihad, mujtahid yang adil (tegas pendapat agamanya). Mujtahid yang terlibat juga mestilah  mereka yang cuba mengelak daripada bercakap seperti ajaran bidaah. Ketiga-tiga syarat ini telah disepakati oleh semua ulama.  Manakala dalam pada masa kini amat sukar menemui  sejumlah mujtahid. (Dinata,2021)

Manakala menurut pendapat Abdul Wahab Khallaf, ijma’ akan mungkin boleh  terjadi apabila  urusan ijma’ diserahkan kepada pemerintah, kerana para  pemerintah sebagai ulil Amri dapat mengetahui bilangan mujtahid-mujtahidnya, dan membawa pandangan untuk disepakati juga oleh mujtahid seluruh dunia Islam”. (Dinata,2021)

Ijtihad Jama’i sebagai alternatif ijma’.

Menurut Khalid Husein al-Khalid,  Ijtihad Jama’i (Ijtihad Jama’i) adalah usaha pengerahan ijtihad sekumpulan  ulama dalam pembahasan dan musyawarah  untuk menistinbathkan (mengeluar) hukum syari’at di dalam permasalahan dzonni atau usaha pengerahan ijtihad sekumpulan dari para Fuqaha’  yang ‘adil dalam pembahasan dan pandangan mereka sesuai dengan metod ilmu Ushul fiqh. Kemudian mereka bermusyawarah di dalam satu majlis khusus untuk istinbath atau mengambil kesimpulan hukum syari’at dalam permasalahan syari’at yang dzonni (al Munawar, 2020).

Bagi Prof Dr. Wahbah Zuhaili, Ijtihad Jama’i berbeza dengan ijma' ulama kerana:-

1. Bukan semua mujtahid serata dunia  yang terlibat dalam Ijtihad Jama’i.

2. Keputusan ijma adalah bersifat Qat’iyah dari sudut hujjah namun ijtihad Jama’i bersifat zhonniyah sahaja.

3. Ijma disertai oleh semua mujtahid mutlak, manakala ijtihad Jama’i disertai oleh mujtahid dari sudut pengkhususan sesuatu bidang sahaja. Kadang-kadang ia  turut melibatkan pakar-pakar dalam bidang professional misalnya dalam bidang kimia dan sebagainya.

Walaupun tidak mampu untuk mencapai taraf ijma’ namun  usaha menghimpunkan para ulama seluruh dunia dapat menyelesaikan banyak masalah kontemporari seperti fatwa-fatwa sepanjang Covid-19 melanda. (Ishak, 2008)

Menurut Taufiq al-Syawi, Ijtihad Jama’i adalah proses pembahasan dan istinbath hukum oleh sekumpulan ulama, para pakar, baik dengan jalan perundingan jarak jauh (talian) atau dalam satu majlis di mana mereka bermuzakarah dan saling tukar fikiran  hingga mencapai pendapat yang mereka sepakati, atau majoriti  dari kalangan mereka memilihnya. Keputusan mereka dihasilkan  selepas selesai muzakarah dan  dipersembahkan kepada awam dalam bentuk fatwa (al Munawwar, 2020).

Ijtihad Jama'i ini  ialah alternatif kontemporari dalam usaha untuk menjawab cabaran semasa selain sukar untuk mencari seseorang mujtahid mutlak dan menghimpun ulama secara ijma’ pada masa kini. Sekali lagi diingatkan, bahawa Ijtihad Jama’i dapat menggantikan  Ijma’ sahaja (walaupun taraf lebih rendah) kerana  melalui Ijtihad Jama’i  hanya ada kesepakatan majoriti ulama, sedangkan  Ijma’ merupakan kesepakatan seluruh ulama mujtahid. (al Munawwar, 2020).

Bagaimana pula dengan Malaysia? Malaysia juga sebenarnya mempraktikkan amalan ijtihad jama’i.

1- Ijtihad jama’i di peringkat daerah atau wilayah seperti institusi penyelidikan negeri, atau institusi fatwa bagi setiap negeri)

2- Ijtihad jama’i di peringkat negara seperti mana dalam Dar al-Ifta’ di Mesir  dan Dairah al-Ifta’ di Jordan atau di malaysia Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

3- Ijtihad jama’i di tingkat dunia Islam  seperti al-Majma’ al-Fiqh Rabitah al-‘Alam al-Islami di Makkah.

Sebenarnya  bentuk pertama dan kedua bagi ijtihad jama’i ini didapati telah lama wujud di Malaysia.

Kewujudan unit penyelidikan fatwa di universiti dan peringkat negeri-negeri  jelas membawa semangat ijtihad jama’i di Malaysia, selain muzakarah yang dijalankan di peringkat kebangsaan. Antara kelebihan ijtihad jama’i berbanding ijtihad individu adalah:

1- Ijtihad jama’i diyakini lebih teliti dengan tingkat kesahihan yang tinggi.

2- Ijtihad jama’i lebih efektif untuk memberikan ketenangan dan keyakinan kepada masyarakat akan kesahihan hukum dan bebas daripada kepentingan peribadi dan sentiment kelompok, kelas, politik  dan sebagainya.

3- Kualiti hukum ijtihad jama’i melebihi hasil ijtihad individu, dan boleh mendekati ijma’.

4- Wujudnya ijtihad jama’i boleh menjadi kawalan dan dasar metodologi pembinaan hukum, sehingga ijithad tidak menjadi suatu perkara murahan di mana semua orang  kononnya dianggap boleh melakukan ijtihad.

5- Ijtihad jama’i boleh menjadi suatu wadah penyatuan umat Islam.

Alternatif lain mencipta ijma’

Dr `Abd al-Karim Zaydan berpendapat bahawa Akademi Fiqh pusat perlu ditubuhkan untuk menjalankan ijma` pada zaman kontemporari. Semua ulama fuqaha yang mampu berijtihad hendaklah menjadi ahli dalam  akademi berkenaan. Manakala Sheikh  `Abd al-Wahhab Khallaf berpendapat bahawa persatuan perundangan pusat  atau jam`iyyah tashri`iyyah perlu ditubuhkan untuk menjalankan ijma`. Semua mujtahid mesti menjadi ahli persatuan berkenan. Kesimpulan dua pandangan ini adalah kaedah yang sesuai untuk melakukan ini ijma` ialah menubuhkan sebuah akademi atau persatuan fiqh pusat yang  neutral serta berkecuali, di mana semua para mujtahid semua negara Islam dunia tanpa pengecualian harus digabungkan sebagai ahlinya. Mereka akan berkumpul bersama dalam ibu pejabat dan membincangkan secara menyeluruh dan bebas keputusan isu-isu yang memerlukan  keputusan kolektif, dan mereka akan mencapai pandangan tuntas dalam membuat ketetapan. Ketetapan  mesti dianggap sebagai ijma` (konsensus) yang sah, yang mesti diikuti dan dilaksanakan oleh semua individu Muslim dan kerajaan mereka di seluruh dunia. (Amanullah, 2010)

Apabila Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berkata ulama seluruh dunia Islam termasuk ulama Al-Azhar, Jeddah (Arab Saudi) boleh dikatakan sudah sepakat, malah telah ijma’ mengenai keharusan hukum mengambil vaksin, penulis menganggap ungkapan ijma’ itu lebih sesuai ditakrif sebagai ijma’ ulama’ setempat sahaja bukanlah ijma’ dalam erti kata qat’i yang dibahaskan di atas. Jika ia ijma’ ulama’ sedunia maka haram bagi mana- mana insan menolak ijma’ berkenaan vaksin berkenaan. (Zulsyamini, 2021)

 

Rujukan:

Hakim,  Abdul H. (n.d.). Mabadi’ Awaliyah fi Ushul al Fiqh wa Al Qawaid Al Fiqhiyah (Vol. 1). Maktabah Saudiyah Jakarta.

Al Mahalli (2011). Terjemahan Syarah Al-Waraqāt . Libroyo Press .

Al Syairazi, A. I. (2013). Terjemahan Al Luma’ fi Ushuli Fiqh . Pondok Pasantren Langitan

Rusli, M. F. (2017, November 3). Irsyad Usul al-fiqh siri Ke-13: Apakah Itu Ijma’ ? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/1390-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-13-apakah-itu-ijma

Ishak, M. S. I. (2008, October 6). Ijma’ ulama di zaman moden? Bayu Timur. http://muhammadshahrulifwat.blogspot.com/2008/10/ijma-ulama-di-zaman-moden.html

Al Munawar, F. A., & Mirwan, M. (2020). Ijtihad jama’i (ijtihad jama’i) perspektif ulama kontemporer. Istidlal: Jurnal Ekonomi Dan Hukum Islam, 4(2), 127-137.

Dinata, M. F. (2021). Konsep Ijma’Dalam Ushul Fikih Di Era Modern. Al-Ilmu, 6(1), 37-52.

Putra, P. A. A. (2021). Konsep Ijmâ’Dan Aplikasinya Dalam Mu’âmalah Mâliyyah (Hukum Ekonomi Syariah). Islamic Banking: Jurnal Pemikiran Dan Pengembangan Perbankan Syariah, 7(1), 149-178.

Khumaini, S. (2018). Ijma’Dalam Persepsi Ulama Ushul Fiqh. Rausyan Fikr: Jurnal Pemikiran dan Pencerahan, 14(02).

Amanullah, M. (2010). POSSIBILITY OF CONDUCTING IJMAIN THE CONTEMPORARY WORLD.

Kohari, K. (2021). Ijma'about Prayer Wearing Mask During the Covid-19 Pandemic. Spektra: Jurnal ilmu-ilmu sosial, 3(1), 11-22.

Zulsyamini , M. (2021, May 6). Pengambilan Vaksin capai ijmak Ulama, Fardu Kifayah - Berita Harian. Pengambilan vaksin capai ijmak ulama, fardu kifayah. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/814445/pengambilan-vaksin-capai-ijmak-ulama-fardu-kifayah

Goodreads. (n.d.). Soal Jawab Fiqh COVID-19: Edisi Kemas Kini. Goodreads. https://www.goodreads.com/book/show/56212066-soal-jawab-fiqh-covid-19

 

Coffee Talk @ OUM: Scammer Ilmu

 




Coffee Talk @ OUM

Tajuk: Scammer Ilmu

Tarikh: 3 Jun 2023

Panel:

1.       Dr Wan Ahmad Ubaidillah Wan Abas

2.       Dr Hamidah Abas

https://www.facebook.com/openunimalaysia/videos/649215813888519

Intipati:

1.       Ilmu adalah suatu yang dianggap tinggi dan diberi perhatian oleh masyarakat.

2.       Di OUM sendiri  ilmu itu niche utama produknya.

3.       Konsep ilmu adalah untuk dunia dan akhirat

4.       Kata-kata Imam al-Syafie’:

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ, وَمَنْ أَرَادَ الأَخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ, وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْم

Maksudnya: “Barangsiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan keduanya, maka hendaklah dengan ilmu.” [Lihat Manaqib al-Syafie’, 2/139]

5.       Ilmu agama wajib merujuk sumber berautoriti.

6.       Kerana itu perlunya sanad. Berkataan Ibnul Mubaarok rahimahullah :

الإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ وَلَوْلاَ الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

"Isnad adalah bagian dari agama, kalau bukan karena isnad maka setiap orang yang berkeinginan akan mengucapkan apa yang ia kehendaki"

7.       Dalam pengajian Islam perlu fahami epistimologi islam. Sumber-sumber ilmu yang dipercayai dan diiktiraf ulama’.

8.       Cara menjaga epistimologi Islam misalnya meneliti bahan medsos yang difoward kepada kita, kita menekuni sumber ilmu. Bukan semua perlu ada sifat ini, ia khusus bagi yang menekuni ilmu agar ilmu mereka abash.

9.       Setiap orang ada kemampuan kewangan, intelek dan keluarga tersendiri maka tahap pelajaran adalah mengikut kemampuan.

10.   Ilmu fardhu ain sejak sekolah memadai cuma dalam masyarakat perlu ada individu yang mendalami lebih lagi ilmu agama.

11.   Menurut Dr Hamidah pelajar dewasa di OUM kelihatan berusaha lebih dan tinggi keikhlasannya kerana mereka sendiri mencari pengajian dan bersedia mengikutinya dalam keadaan kekanagan kerjaya dll.

12.   Scammer ilmu ini jadi isu berat apabila mereka menyampai pula ilmu yang diperolehi dari sumber palsu dan tidak tepat.

13.   Walaupun melalui online sekalipun,  proses peralihan ilmu itu berlaku kerana ada interaksi, ada latihan menulis, berfikir, menolak emosi dalam berpendapat  dan sebagainya.

14.   Dr Wan Ahmad  menyebut berkenaan kitab Az Zarnuji Ta’lim wa mutallim iaitu kitab yang menceritakan cara memilih, mengambil dan adab bersama ilmu dan guru. Kitab ini terkenal di pondok dan masjid-masjid.

15.   Dalam kursus OUM juga mesti ada basic bahasa arab juga kerana rujukan tidak boleh lari daripada bahasa arab.

16.   Diploma pengajian Islam (pendidikan Islam) adalah sesuai bagi yang tiada asas pengajian Islam dan bahasa arab.

17.   Ulama dan ustaz jadian perlu dikawal maka sistem pengajian akademik salah satu metod untuk mengekang penularan hal ini. Sistem pentauliahan juga salah satu metod.

18.   Penjagaan sumber ilmu Islam inilah keistimewaan syariah Islam. Mengetahui dalil, sumber kitab, sumber ulama’ dari mana pandangan diambil.

 

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لَا يَعْلَمُوْنَ ۗ اِنَّمَا يَتَذَكَّرُ اُولُوا الْاَلْبَابِ

 

Katakanlah, “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sebenarnya hanya orang yang berakal sehat yang dapat menerima pelajaran. (Az-Zumar Ayat 9)

19.   Penuntut ilmu agama juga perlu tahu mana satu hal boleh ada beza pandangan dan yang mana tidak boleh berbeza pandangan. Misalnya dalam hal ijtihad fuqaha’. (Pandangan  saya demikian adab kita mendengar ilmu dari ulama’ ada ijtihad yang berbeza pandangan kita atau ulama’ tempatan kita tidak bermakna semua pandangannya perlu ditolak)

 

 Catatan oleh : Muhammad Nuruddin Bashah (Calon Master Islamic Studies OUM)

Rujukan (APA7):

CoffeeTalk @ OUM (Scammer Ilmu). (2023a). Facebook. Retrieved June 3, 2023, from https://www.facebook.com/openunimalaysia/videos/649215813888519.

 

 

 

 

Wednesday, May 24, 2023

ILMU YANG BERFAEDAH MENURUT AL ZARNUJI; PESANAN UNTUK MASYARAKAT AKHIR ZAMAN



ILMU YANG BERFAEDAH MENURUT AL ZARNUJI; PESANAN UNTUK MASYARAKAT AKHIR ZAMAN

Muhammad Nuruddin Bashah

Akhir zaman baik di Malaysia atau luar negara sana simptom zaman fitnah semakin memuncak.

Pasca wabak seluruh dunia, kini Malaysia menerima banjir yang teruk di kebanyakan negeri termasuk pantai barat, ribut, krisis harga barang yang tiada kesudahan dan gejala manipulasi komoditi barangan yang belum selesai. Selain itu perkara di bawah semakin menjadi-jadi  iaitu:

Kini banyak anak-anak yang terangan derhaka orang tua.

Orang jahat bermaharajalela dan jenayah semakin kreatif dilakukan.

Banyak orang yang memutuskan tali silaturahim malah FB mengadu domba dengan status seperti ‘jangan percaya sangat orang keliling anda kerana apa anda beri belum tentu anda dihargai’

Banyak orang munafik dan berpura-pura bercakap hal agama.

Orang lebih percaya kepada pengkhianat untuk mernjadi pemimpin, jadi penjaga harta.

Banyaknya homoseksual dan lesbianisme berlaku tanpa sekatan.

Masjid-masjid megah dan indah namun hati manusia semakin rosak.

Setiap manusia akan memiliki harta yang banyak walaupun mengeluh harga barang naik. Mereka jauh berharta berbanding nenek moyang mereka. (Sitoresmi, 2023)

Individu Islam mesti tahu ‘menjaga diri’

Akhir zaman selain masyarakat kekal menjaga kestabilan masyarakat, negara dan tamadun, tanggungjawab di peringkat invidu adalah tanggungjawab yang paling penting. Tanpa individu yang baik pastilah kita gagal untuk mengekalkan tamadun manusia bagi mendepani suana ‘fitnah’ akhir zaman.

Allah berpesan dalam al Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

 

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu. Tiadalah orang yang sesat itu mampu memudaratkan kamu apabila kamu telah beroleh hidayah. Hanya kepada Allah kamu semua akan kembali. Maka Dia akan memberitakan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan.” (al-Maidah: 105)

Individu Islam perlu menjaga diri untuk mengekalkan ‘iffah pada diri dan keluarga mereka. Perkataan ‘iffah  العفة  bererti seseorang yang  menjauhkan diri dari perbuatan yang tidak baik, atau menjaga kesucian diri, maruah mereka daripada   hal-hal yang tidak baik.

Untuk mencapai ‘iffah inilah umat Islam perlu memiliki keutamaan tertentu dalam memilih ilmu yang membentuk jiwa, fikrah dan  paradigma mereka untuk bersedia menghadapi fitnah akhir zaman.

Dalam tulisan ini penulis memilih mutiara ilmu,  petua atau tips berguna daripada Kitab Ta’alim al-Muta’alim Tariq al Ta’alum (Instruction of the Student: The Method of Learning) hasil karya  Syeikh Burhanuddin Al-Zarnuji yang terkenal di alam pelajar pondok dan masyarakat yang kerap hadiri kuliah maghrib. Kitab ini  merupakan sebuah kitab turath Islam yang amat popular  dipelajari malah diulang baca kepada para pelajar pondok, madrasah malah di masjid-masjid. Bagi para penuntut yang baru masuk ke maahad, madrasah dan pondok, kitab ini danggap wajib untuk ditelaah. Kitab ini juga dialih tulisan ke tulisan jawi berbahasa melayu serta memiliki banyak tambahan isi yang menurut suasana negeri Tanah Melayu.   Kitab ini adalah sebuah kitab yang menjelaskan keutamaan pemilihan ilmu, cara kita memilih ilmu, adab-adab guru dan pelajar yang membawa kejayaan bagi orang yang menuntut ilmu. Pada pandangan  penulis pelajar SBP atau Sekolah sains juga wajar didedah dan dibedah buku ini kerana tipsnya relevan untuk generasi akhir zaman ini.

Sheikh al-Zarnuji ialah seorang ulama Islam yang tinggal di Parsi (kini Iran). Beliau merupakan pakar undang-undang dan fiqh (ahli fiqh)   dari mazhab Imam Hanafi di Khurasan dan Transoxiana. Al-Zarnuji dikenali dengan nama Burhan al-Din. Berkaitan dengan ini, beberapa pengkaji berpendapat jika dilihat dari nisbah nama al-Zarnuji yang diambil berdasarkan kawasan asalnya iaitu Zarand.  Zarand merupakan salah satu kawasan di wilayah Parsi yang pernah menjadi ibu kota negara Sidjistan yang terletak di selatan Herat. (Mushlihin, S, 2012)



Sheikh Al Zarnuji bermazhab Hanafi malah mahir fiqh mazhab Hanafi, dan boleh dianggap sebagai mahir ilmu falsafah. Hal ini terbukti di samping kitab ini mempunyai isi berkenaan  etika, ia juga mengandungi nilai-nilai falsafah dan pemikiran falsafahnya lebih dekat dengan pemikiran Imam  al-Ghazali (Baharuddin, A. M., & Tussaripah, M, 2012)

Suasana penulisan Sheikh Al Zarnuji adalah pada zaman kerajaan Abbasiyyah yang terkenal zaman kemuncak keilmuan Islam. Pada zaman ini berlakunya perkembangan keilmuan  Greek, Falsafah, perubatan, sains dan sebagainya selain perkembangan ilmu agama. Zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun, dikatakan kota Baghdad pernah menjadi pusat ilmu pengetahuan yang masyhur dunia. Di saat inilah Sheikh Al Zarnuji mengeluar satu buah tangan yang mengisi kekosongan adab, etika, akhlak dan keutamaan memilih ilmu agar umat Islam tidak mengabaikan ilmu yang membawa mereka  ke akhirat.(Baharuddin, A. M., & Tussaripah, M, 2012)


Menurut Al Zarnuji ilmu adalah suatu sifat yang pengertian suatu hal  menjadi jelas  dengannya. Sedangkan fiqh pula bererti memahami kelembutan-kelembutan suatu ilmu  pengetahuan. Ada ulama’  yang menyatakan  bahawa ilmu bererti “idrāk al-majhūl”, yang bermaksud menemukan sesuatu yang  belum diketahui. Sementara definisi fiqh adalah “fahmu al-amr”, iaitu   memahami suatu perkara iaitu  ilmu pengetahuan.

Imam Zarnuji menyatakan bahawa seorang pelajar harus mengetahui keutamaan ilmu pengetahuan. Sebab dengan ilmu pengetahuan Allah  swt memberikan keunggulan kepada Nabi Adam as. atas para malaikat. Dengan kelebihan ilmulah Allah  swt memerintah malaikat agar sujud kepada Nabi Adam as. (Shofwan, A. M. ,2017)

Di zaman fitnah hari ini, coleh kita  bayangkan kenyataan mufti di media sosial juga di’anjing’kan, diperli tanpa segan silu. Misalnya apabila mufti menyebut hal perlunya membayar zakat bagi penerima pengeluaran i-sinar KWSP, ramai yang memaki hamun dengan mengatakan mufti hanya tahu mengambil kesempatan duit rakyat sahaja bukannya menyelesai masalah ekonomi rakyat. Masyarakat kelihatan tidak rasional, kelihatan jahil tanpa tahu langsung peranan mufti yang cuba mengekalkan hukum hakam dalam apa jua situasi. Semasa banjir besar Selangor tahun lalu,  ada mangsa banjir  yang mencuri barangan Mydin, maka agamawan dicela bertalu-lau apabila para agamawan mengatakan hukum mencuri tetap haram jika tuan barang tidak halalkannya. Demikian krisis ilmu dan iman masyarakat kita mutakhir ini.

Inilah perlunya ilmu sahih disebar luas kepada masyarakat. Ilmu  adalah suatu sifat yang dengannya dapat menjadi jelas pengertian  sesuatu yang disebut. Imam Zarnuji menyatakan bahwa setiap pelajar atau masyarakat  hendaknya memilih ilmu  yang terbaik baginya dan ilmu yang diperlukan  dalam urusan agama di masa  sekarang (fī al-hāl). Maknanya ilmu agama yang mampu menyelesai masalah kontemporari mereka ketika itu.  (Shofwan, 2017).

Pembahagian ilmu

Perhatikan pembahagian ilmu menurut Al Zarnuji. Beliau  membahagi ilmu pengetahuan kepada empat kategori. Pertama,  ilmu fardhu `ain, iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap  muslim secara individual. Konteks fardu a’in ialah setiap muslim secara individual  wajib mempelajarinya ilmu-ilmu agama  seperti ilmu fiqh dan ilmu usul (dasar dasar agama). Sedangkan dalam konteks  fardu kifayah adalah ilmu seperti ilmu perubatan, ilmu astronomi dan lain sebagainya yang membawa kebaikan untuk masyarakat. (Hidayat, 2019)

Ilmu fardhu kifayah dalam aspek agama adalah , ilmu yang keperluannya hanya dalam saat-saat tertentu saja seperti ilmu shalat jenazah. Dengan demikian, seandainya ada sebagian penduduk kampung telah melaksanakan fardhu kifayah tersebut, maka gugurlah kewajiban bagi yang lainnya. (Tholabi, I, 2010).

Hari ini boleh dilihat ada anak yang lari keluar masjid tidak mahu ikuti solat jenazah ibu bapa sendiri kerana takut diminta menjadi imam solat jenazah.   

Agamawan, ulama’ dan penghulu sesebuah komuniti perlu memastikan masyarakat mereka memiliki ilmu yang diperlukan untuk menghadapi isu setempat. Misalnya bagaimana memahamkan masyarakat berkenaan kaedah-kaedah fiqh yang digunakan untuk menangguh solat Jumaat semasa wabah berlaku teruk. Isu raya ‘tergempar’ misalnya menyaksikan betapa rendahnya pengetahuan masyarakat tentang ilmu mathla’ anak bulan, ilmu hisab kalander dan rukyah anak bulan secara asas. Lantaran itu  Al-Zarnuji menegaskan  wajib mempelajari ilmu yang relevan diperlukan  saat dan waktu masyarakat itu. (Musthafa, I., & Meliani, F, 2021)




Az-Zarnuji menegaskan juga  ilmu itu memuliakan pemiliknya, karena masyarakat berilmu akan diangkat  darjat di sisi Allah serta  membantu manusia  mengetahui sifat-sifat takabbur, tawadhu, lemah lembut, ‘iffah, isrof (berlebih-lebihan), bakhil , jubnu (pengecut), serta memilih memiliki pendapat yang benar dalam sesuatu hal atau isu.  (Rahman, A, 2016).

Mari kita lihat pula apakah ilmu yang paling diutamakan oleh Sheikh Al Zarnuji. Ilmu apakah yang dianggap terlebih berfaedah untuk dipelajari. Pada penulis nasihat beliau adalah umum bukannya khusus untuk pelajar madrasah atau ilmu agama sahaja.

 

Tauhid asas segala-galanya

Masyarakat kita wajib mengutamakan Tauhid. Adapun ilmu yang didahulukan untuk dipelajari adalah ilmu Tauhid, agar mengetahui sifat-sifat Allah berdasarkan dalil yang sahih. Selanjutnya mempelajari ilmu Fiqih untuk memahami syariat Islam.

Tertulis dalam matan:

ويقدم علم التوحيد والمعرفة ويعرف الله تعالى بالدليل، فإن إيمان المقلد ـ وإن كان صحيحا عندنا ـ لكن يكون آثما بترك الإستدلال.

Hendaknya lebih dahulu mempelajari ilmu tauhid, mengenali Allah lengkap dengan dalilnya. Kerana orang yang imannya hanya taqlid walaupun menurut pendapat ulama’ imannya sah, tetapi  ia masih berdosa kerana  tidak mahu beristidlal (mencari dalil) dalam masalah (akidah)  ini. (Az Zarnuji, B. 2021, h. 40)


Elak taksub berdebat dan ilmu yang membawa perdebatan sahaja

Az Zarnuji juga menekankan keutamaan ilmu lama (turath) bukan mengutamakan  ilmu baru muncul, serta elakkan perdebatan sia-sia.

ويختار العتيق دون المحدثات، قالوا: عليكم بالعتيق وإياكم بالمحدثات، وإياك أن تشتغل بهذا الجدال الذى ظهر بعد انقراض الأكابر من العلماء، فإنه يبعد عن الفقه ويضيع العمر ويورث الوحشة والعداوة، وهو من أشراط الساعة وارتفاع العلم والفقه،كذا ورد فى الحديث

Hendaknya pula memilih ilmu-ilmu yang terdahulu, bukan yang baru lahir. Banyak ulama berkata: “Tekunilah ilmu terdahulu, bukan (jangan utamakan) yang baru muncul (ilmu yang hasil pertembungan Barat/Tamadun luar).”

Dan berhati-hatilah daripada disibukkan dengan kontroversi (perdebatan) yang muncul selepas kepupusan ulama besar. Kini pertembungan debat sesama ulama’ kerap berlaku hingga mengelirukan orang awam. Hal ini menunjukkan para agamawan juga perlu memerhatikan tindak tanduk mereka yang boleh menjejaskan keharmonian beragama di kalangan rakyat awam.

Perdebatan yang melampau sebenarnya menjauhkan seseorang daripada fiqh (kefahaman), mensia-siakan kehidupan (buang masa), dan mewarisi kesepian dan permusuhan, dan ia adalah salah satu syarat berlakunya kiamat dan terangkatnya  ilmu dan fiqh (ke langit), seperti yang dinyatakan dalam hadis. (Az Zarnuji, B. 2021, h. 41)

Ilmu-ilmu lama atau ma’thur adalah ilmu yang diajarkan oleh nabi Muhammad Saw, sahabat, tabiin dan ulama mujtahid. Sedang ilmu baru adalah ilmu-ilmu yang lahir setelah zaman tersebut, seperti  ilmu perdebatan dan seumpamanya. Dalam belajar ilmu agama kita ditekankan keaslian ilmu maka keaslian ini mampu diperolehi daripada sumber asalnya  (Nabi) dan generasi terdekat setelahnya (Sahabat dan Tabi‘in). (Muztaba, 2014).

Pada penulis, kenyataan Al Zarnuji  ini bukan satu seruan memundurkan umat atau menolak sebarang ilmu mantik, ilmu kalam atau ilmu psikologi misalnya. Ia hanya menekankan keutamaan belajar. Bermakna ilmu baru juga perlu dipelajari selepas kukuh ilmu berasaskan al -Quran, Hadis seterusnya kitab turath.

Fiqh itu ilmu yang bagus

Az Zarnuji juga memuji ilmu fiqh dan memuji ahli fiqh yang warak dan zuhud. Beliau memetik kalam Syekh Muhammad bin Al-Hasan bin Abdullah dalam syairnya:

تـفـقـه فإن الـفــقـه أفــضـل قائـد # الى الــبر والتـقـوى وأعـدل قـاصـد

هو العلم الهادى الى سنن الهدى # هو الحصن ينجى من جميع الشدائد

فـإن فـقيــهـا واحــدا مــتـورعــا# أشـد عـلى الشـيطـان من ألـف عابد

“Belajarlah ilmu fiqh, karena ia adalah ilmu yang paling unggul.  Ilmu yang dapat membimbing menuju kebaikan dan taqwa, ilmu paling lurus untuk di pelajari. Ia ilmu yang menunjukkan kepada jalan yang lurus, yakni jalan petunjuk  Tuhan yang dapat menyelamatkan manusia dari segala keresahan. Oleh karena itu orang yang faqih  dan bersifat wara’ lebih berat bagi syaitan daripada menggoda seribu ahli ibadah tapi bodoh." (Az Zarnuji, B, 2021, h.19)

Hal ini menolak pandangan sesetengah pihak yang menganggap ilmu fiqh atau memiliki kemahiran fiqh ini sebagai hanya memiliki ilmu syariat yang rendah martabatnya. Sebaliknya mahir  fiqh inilah yang memandu masyarakat menuruti sunnha Rasulullah dan para ulama’ muktabar.

Az Zarnuji menegaskan pengharaman belajar ilmu tilik bintang kerana  ia diibaratkan penyakit (masalah sosial)  yang sangat membahayakan. Dan mempelajari ilmu nujum itu hanyalah sia-sia belaka, karena ia tidak mampu pun  menyelamatkan seseorang dari taqdir Tuhan. Tetapi beliau tidak menolak semua ilmu berkaitan bintang. Kini di FB juga ada banyak teka teki dan aplikasi teka nasib dan peramalan walaupun konsepnya untuk bersuka suka sahaja.

اذا تعلم من النجوم قدرما يعرف به القبلة، وأوقات الصلاة

Boleh mempelajari ilmu nujum (ilmu falak) untuk mengetahui arah kiblat dan waktu-waktu solat. (Az Zarnuji, B, 2021, h.25)

Jelas belajr ilmu yang batil adalah dilarang. Hari ini  misalnya marketing yang memalukan maruah, ilmu perniagaan yang memanipulasikan kebenaran dan hak tertentu adalah haram dan tidak berguna. Namun ia kian popular atas nama perniagaan  melalui media sosial.

Penutup

Professor Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan bahawa belia adalah mutiara yang amat berharga kepada sesebuah negara. Kekayaan Mesir bukan pada minyaknya, bukan pada kapasnya; tetapi kekayaan Mesir terletak pada belianya iaitu salah satu komponen penting masyarakat. Masyarakat yang terpimpin dengan ilmu (irsyad) adalah aset negara.  

Belia mestilah berilmu dan menggunakan ilmu untuk mendepani masyarakat. Misalnya setiap komen di media sosial diselit dengan ilmu dan teras agama. Imam Abu Hassan ‘Ali al-Nadawi mengatakan dunia intelek Islam telah hilang sejak zaman Ibnu Khaldun iaitu tiada lagi karya setanding dengan al-Muqaddimah selepas itu. Malik bin Nabi dan Syeikh Muhammad al-Ghazali al-Saqqa menjelaskan faktornya ialah kerana dunia Islam dihinggapi wabak lemah dan malas berfikir. Namun ia bukan alasan untuk kita terus mundur. Kenyataan ulama berkenaan kita tetap satu kenyataan. Namun kita bukanlah golongan  ‘jabariah’ untuk duduk sahaja tanpa usaha mencelikkan sekeliling kita dengan ilmu yang berguna sebagaimana pesanan Al Zarnuji.

 

Penulis : Muhammad Nuruddin Bashah

0176291368

820102-02-5203

585 Jalan Bandar Puteri Jaya 2/1

Bandar Puteri Jaya 08000 Sungai Petani Kedah

skuadpenyelamataqidah@gmail.com

Akaun CIMB Muhammad Nuruddin Bin Bashah

7019667296

Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan Universiti Malaya

Diploma Pengajian Islam dan Bahasa Arab KPTI

Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengurusan) OUM

Sedang Ikuti Sarjana Pengajian Islam OUM.

 

Rujukan:

Sitoresmi, A. R. (2023, February 24). 14 Tanda Kiamat Yang disebut Sudah Muncul Pada 2023, Simak Penjelasan Lengkapnya. liputan6.com. https://www.liputan6.com/hot/read/5216973/14-tanda-kiamat-yang-disebut-sudah-muncul-pada-2023-simak-penjelasan-lengkapnya

 

Az Zarnuji, B. (2021). Ta’lim al Muta’allim Meraih Keutamaan Ilmu dengan Adab dan Akhlak Mulia (1st ed.). Pustaka Arafah .

 

Baharuddin, A. M., & Tussaripah, M. (2012). Peranan kitab Ta’lim Al-Muta’alim Tariq Al-Ta’alum dalam memperkasa sistem pendidikan kontemporari di Malaysia. Dlm. Norarfan Zainal, Abdul Razak Abdul Kadir.

 

Hidayat, R. (2019). KONSEP Pendidikan Karakter Dalam Pengembangan Masyarakat islam (Studi Pemikiran Burhanuddin al-Zarnuji). Alfuad: Jurnal Sosial Keagamaan, 3(2), 1. https://doi.org/10.31958/jsk.v3i2.1692

 

Mushlihin, S. (2012). Biografi Burhanuddin al-Zarnuji. Dimuat turun daripada https://www.referensimakalah.com/2012/11/biografi-burhanuddin-al-zarnuji.html

 

Ma'arif, M. A. (2017). Analisis Konsep Kompetensi Kepribadian Guru PAI Menurut Az-Zarnuji. Istawa: Jurnal Pendidikan Islam, 2(2), 35-60.

 

Musthafa, I., & Meliani, F. (2021). Penerapan Metode Pembelajaran Islam Klasik Al-Zarnuji Di Era Revolusi Industri 4.0. JIIP-Jurnal Ilmiah Ilmu Pendidikan4(7), 664-667.

 

Thohir, M. A., Alfina, C., & Dardiri, A. (2017). A comparative study on Sheikh az-zarnuji thought and idealism in the philosophy of education. Epistemé: Jurnal Pengembangan Ilmu Keislaman12(2), 411-433.

 

Rahman, A. (2016). Pendidikan Akhlak Menurut Az-Zarnuji dalam Kitab Ta’lim al-Muta’allim. At-Ta'dib11(1).

\

Tholabi, I. (2010). Pemikiran Pendidikan Az-Zarnuji Dalam Kitab Ta'limul Mutalim. Tribakti: Jurnal Pemikiran Keislaman21(1).

 

Muztaba. (2014). AKHLAK BELAJAR DAN KARAKTER GURU (STUDI  PEMIKIRAN SYEKH AZ-ZARNUJI DALAM KITAB  TA’LIM MUTA’ALLIM) (dissertation).

 

Setiawan, A. (2014). Prinsip pendidikan karakter dalam islam: studi komparasi pemikiran al-Ghazali dan Burhanuddin al-Zarnuji. Dinamika Ilmu14(1), 1-12.

 

Shofwan, A. M. (2017). Metode belajar menurut Imam Zarnuji: telaah kitab Ta’lim al muta’alim. Briliant: Jurnal Riset Dan Konseptual2(4), 408-423.


Saturday, February 18, 2023

Penggunaan Kaedah Fiqh الخروج من الخلاف مستحب

 

Penggunaan Kaedah Fiqh  الخروج من الخلاف مستحب

 Muhammad Nuruddin Bin Bashah


  1. Disunatkan menggosok sambil membasuh/berwuduk dan menyapu kepala, kerana khilaf Imam Malik mewajibkannya.
  2. Disunatkan membasuh air mani (sperma), kerana khilaf  Imam Malik mewajibkanya.
  3. Solat Sunat Qashr dalam perjalanan yang menempuh jarak 3 marhalah (+ 16 farsakh = 88.5 km) kerana Imam Abu Hanifah meninggalkan khilafah yang mewajibkannya.
  4. Elakkan menghadap dan menghadap kiblat (bagi yang buang air besar atau kencing) dengan menggunakan penutup, hukumnya adalah sunnah, kerana ia keluar dari khilaf Imam Shofyan Tsauri yang mewajibkan menjauhinya secara mutlak. .
  5. Makruh solat sendiri di belakang saf ma'mum yang ada, kerana keluar dari khilaf Imam Ahmad yang membatalkannya.
  6. Makruh mufarraqah (berpisah) dengan imam tanpa sebab, kerana khilaf  Imam Daud Dzairi yang membatalkannya. (Hakim, Abdul Hamid; Zaenuri Siroj; Nur Hadi. 2012).
  7. Hukum Tawaf Wada’  Bagi Orang Yang Mengerjakan Umrah

Para fuqaha sebahagian menyatakan bahawa hukum tawaf wada’ bagi mereka adalah wajib. Inilah pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama’ berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:  لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu meninggalkan (Mekah) sehinggalah perbuatan terakhirnya di Baitullah adalah tawaf (wada’).Riwayat Abu Daud (2002)

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Pandangan paling sahih dalam mazhab kami adalah tawaf wada’ itu hukumnya wajib dan mewajibkan dam sekiranya ia ditinggalkan’’. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (8/284).

Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa ia hanya wajib bagi golongan yang mengerjakan ibadah haji sahaja manakala ia tidak diwajibkan ke atas mereka yang mengerjakan umrah. Dalam erti kata tawaf wada’ hanya sunat bagi mereka yang mengerjakan ibadah umrah.

Ini kerana jika dilihat kepada dalil-dalil yang mewajibkannya ia merujuk kepada mereka yang mengerjakan haji dan bukannya terkhusus kepada golongan yang mengerjakan umrah.

Maka elok memilih pandangan yang menyatakan wajib dengan melakukan tawaf wada’ sebelum keluar dari tanah haram Makkah. (Muhammad Fahmi Rusli 2019).

  1. Contoh pengarang kitab fiqh sendiri menggunakan kaedah ini dalam meletak hukum dalam kitabnya. Misalnya Ianah Tholibin (syarah Fathul Muin) tentang  tempat  I’tikaf.  Madzhab Hanafi,    Maliki  dan  Hambali mempersyaratkan  bahawa  tempat  I’tikaf  adalah  masjid  Jami’,  I’tikaf  di  masjid yang  bukan  jami’  adalah  tidak  sah.  Namun  dalam  madzhab  Syafi’iy  tidak mempersyaratkan  seperti  itu.  Imam  Syafii  berkata: “I’tikaf  di  masjid  jami’  lebih kami sukai...”. Selanjutnya Sayyid Bakri mengatakan bahawa hal itu dianjurkan supaya keluar dari perselisihan pendapat yang mewajibkannya. (Munawaroh, L. 2017).
  2. Pengharaman Bitcoin. Sesetengah mengatakan Bitcoin adalah haram digunakannya, manakala sesetengah lagi berpendapat ianya harus digunakan. Antara sebab Bitcoin dikatakan haram adalah kerana 1) nilai yang tidak konsisten, 2) tiada pihak autoriti untuk mengawal selia mata wang ini, 3) sering digunakan untuk aktiviti haram, 4) tidak menepati syarat mata wang, serta 5) mempunyai unsur gharar dan jahalah. Menurut pendapat yang mengharuskan Bitcoin, antara sebab ia diharuskan adalah kerana 1) menepati ciri-ciri mata wang yang sah, 2) menolak unsur gharar ada pada Bitcoin, dan 3) nilai tidak stabil tidak boleh dijadikan illah pengharaman Bitcoin. Justeru, dengan menggunakan kaedah Al-Khuruj Minal Khilaf Mustahab (keluar dari khilaf adalah dituntut), maka lebih afdhal bagi kita untuk keluar dari khilaf dengan mengikut pendapat yang berpendapat Bitcoin adalah haram. (Islam, P. M. B. M.)



Rajah di ambil dari pautan: https://wasatonline.files.wordpress.com/2022/05/article-1-table.png

Rujukan

Hakim, Abdul Hamid; Zaenuri Siroj; Nur Hadi. (2012). Terjemah mabadi awwaliyyah : kajian tentang fiqih / karya Abdul Hamid Hakim ; alih bahasa, Zaenuri Siroj, Nur Hadi. Jakarta :: Megah Jaya.

 Muhammad Fahmi Rusli. ( Julai, 29 2019). IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 37 : PERBAHASAN KAEDAH AL-KHURUJ MINAL KHILAF MUSTAHAB (الخروج من الخلاف مستحب ).Bahan diakses pada 19 Februari 2023 pada pautan   https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/3605-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-37-perbahasan-kaedah-al-khuruj-minal-khilaf-mustahab?highlight=WyJqYW1hayJd

 Munawaroh, L. (2017). Penggunaan Kaidah Fiqhiyyah “Al-Khurūj Min al-khilāf Mustahab” Terkait Bab Ibadah Dalam Kitab I’ānat Al Thālibīn. NUANSA: Jurnal Penelitian Ilmu Sosial dan Keagamaan Islam, 14(1), 1-26.

 Islam, P. M. B. M. Penggunaan Matawang Bitcoin Menurut Islam.

Saturday, November 26, 2022

Ulang bicara ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit


Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Mutakhir ini pihak politik, NGO atau perseorangan yang mengutarakan isu kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Raja Melayu akan dimomok persepsi sebagai chauvinis melayu, etnosentrik, jumud, tidka toleransi dengan kaum lain atau lebih para dianggap menunggang isu lapuk untuk keabsahan kedudukan kebudayaan kebangsaan yang berteras melayu Islam. 

Dari mana datangnya peruntukan berkenaan kedudukan bahasa melayu, agama Islam, raja melayu dan seangkatan dengannya itu? Benarkah ia hanya senjata untuk mengekal kuasa orang melayu sahaja? Jangan hairan jika ada anak muda mulai ragu kewujudan unsur ini walaupun mengenalpastinya mudah hanya dengan menekan google sahaja. 

Sebenarnya apa yang mereka bahaskan atau hujahkan itu ada asas yang kuat dan bukan sekadar mereka-reka naratif atau paradigma chauvinisme melayu untuk melegitimasikan ketuanan melayu atau mengada-ngada hujah untuk cenderung  kepada  nilai Islam. Sebenarnya ia adalah  ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia menurut perseptif Malaysia’ yang bercirikan melayu Islam serta Raja Berperlembagaan. 

Dalam perlembagaan kita kesemua kandungan dalam Perkara 1 hingga 183 boleh dipinda melalui sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum ianya disahkan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong melalui perkenannya. Namun 4 perkara yang berasaskan  struktur asas perlembagaan Malaysia tidak boleh diubah  melalui kuasa Dewan Rakyat atau Dewan Negara melainkan jika dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong. Perkara itu adalah perkara yang kerap diulang ucap oleh parti politik, NGO-NGO tertentu iaitu ; 
Kedudukan Agama Islam,
Kedudukan Bahasa Melayu, 
Hak Keistimewaan Orang Melayu dan pribumi (termasuk Sabah Sarawak)
Kedudukan Raja-Raja Melayu.
Hak dan ketetapan diatas bukan ditetap oleh parti melayu atau kelompok jumud tertentu sebaliknya ia ditetap sejak pentadbiran Inggeris. Menurut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sesiapa yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan kerana hal ini  sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi.

Memang ada pihak yang menggunakan 4 elemen penting ini untuk membuat kenyataan hasutan atau perkauman untuk mengherdik kaum lain. Namun reaksi Nurul Izzah Anwar (semasa menjadi MP Lembah Pantai)  menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea 'hak orang Melayu' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakar umbikan Perlembagan adalah komentar yang tidak bijak dan tersasar jauh daripada subjek Pengajian Am STPM kita. Ramai pemikir dan ‘politician’ aliran liberal dan sekularis mulai mahu mengikis unsur atau semangat asas kerangka perlembagaan Malaysia yang berteras Melayu Islam. 
Baik mari kita teliti darimana asasnya British mengiktiraf 4 perkara yang menjadi asas kerangka Perlembagaan Persekutuan itu?
Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,   Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) : lima perkara pokok di bawah  perlu difahami, iaitu:    
1.  Raja-Raja Melayu  yang bertanggungjawab  menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.  
2.  Perjanjian Negeri 1948 adalah asas utama  kepada sistem Perlembagaan moden Kerajaan-Kerajaan  Melayu  (kecuali  Johor  dan  Terengganu  yang  lebih  awal memiliki Perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.  
3.  Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan  Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang  Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu.  
4.  Kedaulatan  Raja-Raja  Melayu  bukanlah  ciptaan  Perlembagaan  Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu.  (ini fakta yang tidak boleh dinafikan)
5.  Perjanjian Malaysia 1963 pula terus mengekalkan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas Persekutuan yang dinamakan Malaysia.
Bukan satu kerja mudah jika mana-mana parti politik mahu mendoktrin rakyat ‘melanggar’ 4 peruntukan perlembagaan berkenaan. 
Suatu fakta lain yang mengabsahkan struktur asas perlembagaan Malaysia  bercirikan 4 elemen itu adalah memahami hakikat persekutuan Malaysia itu sendiri. Ketahuilah bahawa Persekutuan  Malaysia asalnya tidak mempunyai apa-apa seperti  tanah dan tidak mempunyai kekuasaan. Sebaliknya  Persekutuan memiliki  tanah dan kekuasaan melalui kedaulatan negeri-iaitu  hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri-negeri. Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Abd Aziz  Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri-negeri. Makan nilai tradisi negeri-negeri inilah yang dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 
Baiklah, kadangkala kita melihat golongan kiri/liberal di negara ini menganggap meminda  atau mewacana untuk dirungkai 4 perkara perlembagaan itu mudah dilakukan seperti meminda akta. Mari kita lihat bagaimana cara untuk meminda perlembagaan negara kita.
Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda dengan hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan, antaranya seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli Dewan Negara.
Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda, iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui oleh Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri dan kedudukan istimewa Bumiputera.
Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.
Perkara 159 (5) inilah yang meresahkan sesetengah pihak yang galak mewacana liberalisasi 4 tonggak utama perlembagaan negara itu. 
Menurut Prof Madya Dr Nazri Muslim dari Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia tidak kira parti mana yang memerintah, walaupun kerajaan mendapat kerusi lebih dua pertiga, selagi tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja, pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan. Hanya isu ini akan kekal disentuh atau cuba diwacana untuk  menyatakan prinsip mereka yang menolak unsur tradisi Perlembagaan, kebudayaan dan nilai sejarah atas nama kebebasan, hak sama rata dan keadilan. Dalam ilmu propaganda ia adalah retorik glittering generality. 

Bagi pihak yang cintakan perlembagaan dan asas strukturnya, kita perlu  fahamkan rakyat berkenaan Perkara 159 (5) ini serta menangkis hujah dan ideologi liberalisme yang mahu membina  generasi yang menolak asas keamanan negara yang terbina sekian lama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...