Pembaca Setia

Saturday, November 26, 2022

Ulang bicara ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit


Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Mutakhir ini pihak politik, NGO atau perseorangan yang mengutarakan isu kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Raja Melayu akan dimomok persepsi sebagai chauvinis melayu, etnosentrik, jumud, tidka toleransi dengan kaum lain atau lebih para dianggap menunggang isu lapuk untuk keabsahan kedudukan kebudayaan kebangsaan yang berteras melayu Islam. 

Dari mana datangnya peruntukan berkenaan kedudukan bahasa melayu, agama Islam, raja melayu dan seangkatan dengannya itu? Benarkah ia hanya senjata untuk mengekal kuasa orang melayu sahaja? Jangan hairan jika ada anak muda mulai ragu kewujudan unsur ini walaupun mengenalpastinya mudah hanya dengan menekan google sahaja. 

Sebenarnya apa yang mereka bahaskan atau hujahkan itu ada asas yang kuat dan bukan sekadar mereka-reka naratif atau paradigma chauvinisme melayu untuk melegitimasikan ketuanan melayu atau mengada-ngada hujah untuk cenderung  kepada  nilai Islam. Sebenarnya ia adalah  ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia menurut perseptif Malaysia’ yang bercirikan melayu Islam serta Raja Berperlembagaan. 

Dalam perlembagaan kita kesemua kandungan dalam Perkara 1 hingga 183 boleh dipinda melalui sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum ianya disahkan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong melalui perkenannya. Namun 4 perkara yang berasaskan  struktur asas perlembagaan Malaysia tidak boleh diubah  melalui kuasa Dewan Rakyat atau Dewan Negara melainkan jika dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong. Perkara itu adalah perkara yang kerap diulang ucap oleh parti politik, NGO-NGO tertentu iaitu ; 
Kedudukan Agama Islam,
Kedudukan Bahasa Melayu, 
Hak Keistimewaan Orang Melayu dan pribumi (termasuk Sabah Sarawak)
Kedudukan Raja-Raja Melayu.
Hak dan ketetapan diatas bukan ditetap oleh parti melayu atau kelompok jumud tertentu sebaliknya ia ditetap sejak pentadbiran Inggeris. Menurut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sesiapa yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan kerana hal ini  sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi.

Memang ada pihak yang menggunakan 4 elemen penting ini untuk membuat kenyataan hasutan atau perkauman untuk mengherdik kaum lain. Namun reaksi Nurul Izzah Anwar (semasa menjadi MP Lembah Pantai)  menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea 'hak orang Melayu' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakar umbikan Perlembagan adalah komentar yang tidak bijak dan tersasar jauh daripada subjek Pengajian Am STPM kita. Ramai pemikir dan ‘politician’ aliran liberal dan sekularis mulai mahu mengikis unsur atau semangat asas kerangka perlembagaan Malaysia yang berteras Melayu Islam. 
Baik mari kita teliti darimana asasnya British mengiktiraf 4 perkara yang menjadi asas kerangka Perlembagaan Persekutuan itu?
Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,   Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) : lima perkara pokok di bawah  perlu difahami, iaitu:    
1.  Raja-Raja Melayu  yang bertanggungjawab  menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.  
2.  Perjanjian Negeri 1948 adalah asas utama  kepada sistem Perlembagaan moden Kerajaan-Kerajaan  Melayu  (kecuali  Johor  dan  Terengganu  yang  lebih  awal memiliki Perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.  
3.  Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan  Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang  Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu.  
4.  Kedaulatan  Raja-Raja  Melayu  bukanlah  ciptaan  Perlembagaan  Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu.  (ini fakta yang tidak boleh dinafikan)
5.  Perjanjian Malaysia 1963 pula terus mengekalkan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas Persekutuan yang dinamakan Malaysia.
Bukan satu kerja mudah jika mana-mana parti politik mahu mendoktrin rakyat ‘melanggar’ 4 peruntukan perlembagaan berkenaan. 
Suatu fakta lain yang mengabsahkan struktur asas perlembagaan Malaysia  bercirikan 4 elemen itu adalah memahami hakikat persekutuan Malaysia itu sendiri. Ketahuilah bahawa Persekutuan  Malaysia asalnya tidak mempunyai apa-apa seperti  tanah dan tidak mempunyai kekuasaan. Sebaliknya  Persekutuan memiliki  tanah dan kekuasaan melalui kedaulatan negeri-iaitu  hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri-negeri. Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Abd Aziz  Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri-negeri. Makan nilai tradisi negeri-negeri inilah yang dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 
Baiklah, kadangkala kita melihat golongan kiri/liberal di negara ini menganggap meminda  atau mewacana untuk dirungkai 4 perkara perlembagaan itu mudah dilakukan seperti meminda akta. Mari kita lihat bagaimana cara untuk meminda perlembagaan negara kita.
Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda dengan hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan, antaranya seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli Dewan Negara.
Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda, iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui oleh Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri dan kedudukan istimewa Bumiputera.
Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.
Perkara 159 (5) inilah yang meresahkan sesetengah pihak yang galak mewacana liberalisasi 4 tonggak utama perlembagaan negara itu. 
Menurut Prof Madya Dr Nazri Muslim dari Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia tidak kira parti mana yang memerintah, walaupun kerajaan mendapat kerusi lebih dua pertiga, selagi tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja, pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan. Hanya isu ini akan kekal disentuh atau cuba diwacana untuk  menyatakan prinsip mereka yang menolak unsur tradisi Perlembagaan, kebudayaan dan nilai sejarah atas nama kebebasan, hak sama rata dan keadilan. Dalam ilmu propaganda ia adalah retorik glittering generality. 

Bagi pihak yang cintakan perlembagaan dan asas strukturnya, kita perlu  fahamkan rakyat berkenaan Perkara 159 (5) ini serta menangkis hujah dan ideologi liberalisme yang mahu membina  generasi yang menolak asas keamanan negara yang terbina sekian lama.

Monday, May 23, 2022

DUNIA HADAPI KRISIS DEMI KRISIS; APA PERANAN INSAN TARBAWI



DUNIA HADAPI KRISIS DEMI KRISIS; APA PERANAN INSAN TARBAWI

Muhammad Nuruddin Bashah

Disiar dalam : https://harakahdaily.net/index.php/2022/05/25/dunia-hadapi-krisis-demi-krisis-apa-peranan-insan-tarbawi/

Muqaddimah

Dunia belum benar-benar sembuh dari bahana ujian Covid-19. Walau rata-rata data ekonomi membawa maksud pertumbuhan ekonomi di banyak negara, namun kesan jangka panjang mulai dirasai kini. Jika dahulu kematian akibat Perang Dunia Ke-2 secara jelas kita nampak nyawa melayang akibat peperangan. Hari ini selain data kematian yang jutaan itu, kesan akibat kematian, kesengsaraan, kesan terhadap emosi, mental dan kekeluargaan kian muncul satu demi satu sama seperti pasca perang dunia.

Firman Allah S.W.T:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥

Maksudnya: Dan nescaya Kami akan menguji kalian dengan sedikit daripada perasaan takut, rasa lapar, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (kematian), serta tumbuh-tumbuhan dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Surah al-Baqarah (155)

Saidina Ibn Abbas RA menafsirkan ayat ini bahawa  Allah S.W.T mengkhabarkan kepada kaum mukminin bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian bagi kita.

Demikian juga kata Imam  Ibnu Atho’illah As-Sakandari:

لا تَسْتَغْرِبْ وُقوعَ الأَكْدارِ ما دُمْتَ في هذِهِ الدّارِ. فإنَّها ما أَبْرَزَتْ إلّا ما هُوَ مُسْتَحِقُّ وَصْفُها وَواجِبٌ نَعْتُها

 

Janganlah engkau merasa aneh kerana berlakunya segala kesukaran selama engkau masih tinggal di negeri ini (iaitu selama engkau masih berada di dalam dunia ini). Kerana sesungguhnya, tiadalah ia menzahirkan melainkan apa yang memang layak bagi sifatnya dan yang wajib dari ciri-cirinya.

Akibat wabak, kawasan lingkaran negara kita sendiri mengalami kematian  tertinggi  yang tertumpu di Asia Tenggara. Negara pendapatan sederhana dan rendah pula mewakili 81% daripada 14.9 juta kematian akibat Covid-19.

Sebelum ini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan sekitar 15 juta orang telah maut akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021[1] yang mana kematian adalah disebabkan COVID-19 atau kesan daripada beban sistem kesihatan bagi tempoh dua tahun tersebut.

Bagi aspek sosial dan generasi muda, dalam laporan Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan  penutupan sekolah untuk tempoh panjang akibat pandemik COVID-19 menyebabkan kerugian bernilai trilion dolar dalam bentuk pendapatan sepanjang hayat kepada pelajar[2]. Ini bermakna ramai kanak-kanak tercicir pelajaran dan kesannya nanti akan kelihatan beberapa tahun akan datang. Kajian itu  menunjukkan kanak-kanak yang miskin dan kurang upaya telah berdepan kekurangan akses terhadap pembelajaran jarak jauh.

Hal ini diakui terkesan kepada generasi muda negara kita. Misalnya Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad telah menyaran  Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan segera Pelan Pemulihan Pendidikan dalam menangani isu keciciran pendidikan membabitkan 21,316 murid ketika ini[3]. Beliau  juga menyatakan kerajaan tidak boleh membiarkan murid terbabit terus berhenti sekolah atas faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibu bapa menyekolahkan mereka. Kerajaan kita  mempunyai data terkini murid yang keciciran pendidikan seperti dibentangkan di Parlimen sebelum ini. Banyak pihak perlu suarakan kebimbangan ini agar masalah sosial masa hadapan boleh dielakkan.

Bagaimana dengan ekonomi? Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed  kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami masalah kewangan serta menghadapi defisit yang besar dalam belanjawan berikutan pandemik COVID-19. Walaupun dikatakan nisbah defisit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu enam peratus merupakan antara terendah berbanding negara-negara lain namun defisit adalah fakta yang berlaku dan ia juga melibatkan peringkat global.

Selepas semua reda dengan kegusaran akibat Covid-19, telah mula bergenbira dengan keluarga semasa Raya Aidilfitri baru-baru ini, kini kita tegang semula apabila pengumuman demi pengumuman kedengaran berkenaan krisis makanan dan bekalan komoditi tertentu.

·         Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy, berkata semua institusi antarabangsa bersetuju dunia akan menghadapi krisis makanan  yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Katanya, hakikat itu antara lain diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)[4].

·         Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, stok gandum dunia akan berkurangan sebanyak 12 juta tan metrik. Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia, menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Russia di negara itu.

·         India  negara pengeluar gandum kedua terbesar dunia mengumumkan larangan ke atas eksport gandum yang berkuat-kuasa serta merta selepas suhu panas akibat gelombang haba menjejaskan penghasilannya. Faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan tersebut adalah termasuk hasil tanaman yang rendah serta lonjakan harga global akibat peperangan di Ukraine serta kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu keselamatan makanan dalam kalangan penduduk negaranya[5]. Harga gandum di India kini mencatatkan rekod baharu, dengan mencecah 25,000 rupee (RM1,418) bagi satu tan, melebihi harga sokongan minimum kerajaan iaitu 20,150 rupee (RM1,143).



Bagaimana dengan krisis lokal yang melibat rakyat kita?

·         MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research menyatakan inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit. Memandangkan kita sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia sememangnya amat terdedah kepada sebarang masalah  global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.

·         Pasar di Selangor sudah kehabisan stok ayam.

·         Krisis bekalan ayam menyebabkan gejala sorok bekalan mula berlaku di Negeri Sembilan[6].

·         Peniaga terpaksa cari ayam di reban sendiri[7]. Sesetengah peniaga ayam di Pasar Borong Selangor terpaksa  mencari dan membeli ternakan itu daripada penduduk kampung untuk jualan, manakala ada juga terpaksa menutup perniagaan disebabkan kekurangan bekalan.

·         Restoran terpaksa naikkan harga makanan di Kelantan[8].

·         Selangor dan Negeri Sembilan sepakat sudah ingin tanam jagung untuk atasi kenaikan makanan ayam diimport[9].

·         Bulan Julai akan menyaksikan perlancaran tanaman jagung terbesar negara kita[10]. Projek tanaman jagung bijirin ini dibuat  di tapak projek ternakan lembu yang terbengkalai 'National Feedlot Corporation' (NFC) di Gemas iaitu satu projek yang pernah mencetus kontroversi sebelum ini.  

Krisis bekalan makanan berlaku banyak kali dalam sejarah manusia silam mahupun moden pasca Perang Dunia-2. Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran (2008), menggunakan terma ‘tsunami senyap’ (silent tsunami) bagi mengambarkan keadaan krisis makanan.

Kehilangan stok ayam dan sebagainya dalam masyarakat mungkin benar akibat faktor kos makanan ayam yang diimport. Namun  kita tidak menolak ada pihak yang mahu mengambil kesempatan atas kenaikaan harga makanan global. Inilah gejala monopoli (al-ihtikar) iaitu membeli sesuau barang dalam jumlah yang banyak lalu menyimpannya sehingga menyebabkan barang tersebut menjadi berkurangan di pasaran yang mengakibatkan harganya meningkat yang dilarang Islam.  Monopoli bahan makanan asasi adalah diharamkan jika memenuhi tiga syarat berikut[11]:

  • Makanan yang disimpan itu melebihi keperluan individu dan tanggungannya untuk tempoh setahun.
  • Individu yang menyimpan barang makanan sengaja menunggu waktu ketika harga barangan tersebut melonjak naik secara mendadak.
  • Monopoli berlaku ketika masyarakat sangat berkehendak kepada barangan tersebut.

Ungkapan Rasulullah tentang krisis akhir zaman

  1. Rasulullah menyatakan ciri umatnya yang dilanda musibah.

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سمَعِْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ ) رواه الحاكم(

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”. ( Hadith riwayat al-Hakim 7404)

Penyakit-penyakit itu ialah:

1. Terlalu banyak bersukaria

2. Terlalu mewah

3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin

4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia

5. Saling memarahi

6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain

Kesimpulan dari diatas ialah sikap melampau. Melampau seronok, melampau memarahi orang, melampau gila harta, melampau mewah.

  1. Rasulullah ramalkan kehadiran wabak

Rasulullah telah nyatakan wabak ini pasti perlu kita harungi memandangkan suasana sekarang yang menormalisasikan zina.

لم تظهر الفاحشة في قوم قط حتى يعلنوا بها الا فشا فيهم الطاعون ولأوجاع التى لم تكن مضت في أسلافهم الذين مضوا

Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan berbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka. (Riwayat Ibn Majah)

  1. Rasulullah menggalakkan pertanian

Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud:

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya:  Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah. Riwayat Ahmad (3/183). Imam al-Son’ani berkata: Pada hadis di atas terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya kebaikan yang banyak.

  1. Rasulullah melarang sorok barang komoditi[12]

Kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ikhtikar), terutama barang makanan tidak dibenarkan dalam Islam. Rasulullah bersabda : “Hanya orang berdosa yang melakukan kegiatan ikhtikari.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dam Ibn Majah)

Pandangan ulama’ cara hadapi krisis

Makanan merupakan antara keperluan asasi (basic needs) manusia untuk hidup, selain udara,  air, tempat perlindungan dan pakaian.  Ulama’ yang mempopularkan kalimah maqasid syariah, Imam al-Shatibi  telah meletakkan keperluan makanan dalam kategori al-daruriyyat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia itu sendiri.

Tafsir surah Yusuf  dari ayat 43 hingga 49 adalah kisah terbaik bagi melihat saranan ulama’ apabila meneliti ibrah dalam ayat berkenaan.

Imam al-Qurtubi mengkaitkan kisah ini dengan persediaan menjaga maslahat syariat yang terdiri dari memelihara perkara dharuri iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan harta.

Imam Abi Su’ud di dalam tafsirnya menjelaskan dari kisah ini, bahawa pentingnya masyarakat kurangkan makan (juga baik untuk kesihatan) dan jangan sediakan makanan secara membazir.

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyatakan bahawa  sebuah negara perlu ada peruntukan undang-undang untuk memiliki rizab simpanan yang cukup bagi mendepani bencana. Ini kerja orang politik yang perlu diutamakan bukannya bermusim.

Manakala Syeikh Dr Wahbah Zuhaili pula menegaskan sesebuah negara wajar menyimpan dan mencatu makanan untuk keperluan mendatang di waktu susah.

Apa peranan insan tarbawi

1.      1. Tidak bersikap provokatif

Insan yang ditarbiah samada tarbiah pondok, madrasah, universiti, tarbiah masyaikh, habaib atau tarbiah harakiyah sewajarnya memiliki ciri tenang dan berhemah dalam mendepani krisis. Mereka perlu tidak terlibat dalam aktiviti provokasi yang meresahkan rakyat dan umat. Mereka perlu menenangkan umat dengan janji Allah, fakta yang sahih dan motivasi yang baik.

 

2.      2 Tabayyun dengan berita semasa.

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan tathabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Nur Azira Rameli dari Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap 200 pemuda Malaysia yang memberi respon bahawa konsep tabayyun  adalah elemen penting dalam mengesahkan maklumat daripada media sosial dalam konteks Malaysia semasa  menjawab soal selidik mengenai penggunaan media sosial. Jadi individu tarbawi mesti turut sama menjiwai konsep ini dan jangan hanya tahu mengupas dalam halaqah tetapi tak mampu melaksanakan konsep ini.

 

3.      3 Menyokong usaha untuk penyediakan persediaan makanan kesihatan dll.

Misalnya kita perlu sokong sekiranya ada usaha kerajaan, NGO atau individu yang berusaha membaiki keadaan sesuatu krisis. Contohnya gesaan  agar kerajaan memiliki ladang ayam bagi memastikan bekalan bahan mentah itu sentiasa stabil di negara ini sebagaimana dinyatakan oleh  Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. Ladang ini  boleh diuruskan oleh syarikat berkaitan kerajaan atau agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang penternakan. Dengan cara ini, krisis stok ayam sukar berlaku disebabkan bahan mentah itu tidak dikawal lagi oleh  kartel tertentu yang boleh berbuat apa saja, termasuk mengehadkan bekalan jika mahu memanipulasi harganya.

4.      4 Menyeru masyarakat beramal dan mendekati Allah. Inilah tugas besar insan tarbawi.

 

·         Gandakan wirid. ketika mana tibanya zaman Dajal dan bekalan makanan terputus, Nabi S.A.W berpesan bahawa zikir adalah ganti kepada makanan, Sabda Nabi S.A.W:

 

قَالَتْ أَسْمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا وَاللَّهِ لَنَعْجِنُ عَجِينَتَنَا فَمَا نَخْتَبِزُهَا حَتَّى نَجُوعَ فَكَيْفَ بِالْمُؤْمِنِينَ يَوْمَئِذٍ قَالَ يَجْزِيهِمْ مَا يَجْزِي أَهْلَ السَّمَاءِ مِنْ التَّسْبِيحِ وَالتَّقْدِيسِ

 

Saydatina Asma’ RA berkata, “Akan tetapi mereka tidak mendapatkan apa-apa sehingga aku khawatir terkena musibah kelaparan, dan apa yang akan dimakan oleh kaum Mukmin pada waktu itu?” Jawab Nabi : “Allah S.W.T mencukupkan kepada mereka dengan makanan yang diberikan kepada penduduk langit (Malaikat) dengan tasbih dan taqdis. (Riwayat Imam Ahmad)

 

·         Nabi S.A.W berpesan benteng usaha Dajjal dengan al Kahfi.

 

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

 

Sesiapa yang menghafal 10 ayat permulaan surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.

(Sahih Muslim) Ini memang amalan yang ditekankan kepada semua individu tarbawi walau dari mana aliran sekalipun.

 

·         Menggalak masyarakat berzikir Asmaul Husna seperti Ya Razzaq, Ya Fattah, Ya Ghani.

Firman Allah SWT:

 

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ

 

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. (Surah al-A’raf, 180)

 

·         Pengelak kemiskinan kelaparan dan kefakiran dengan mengamalkan al Waqiah.

Ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

 

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا

Maksudnya: Apakah engkau risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan puteriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

 

Berdoa sambil disandar dengan keberkatan Al Quran. Ianya tidak salah atau bidaah seperti dikata segelintir manusia yang cetek pemikirannya.

Daripada Imran bin Hussain, beliau mendengar daripada Baginda SAW bersabda[13]:

 

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

 

Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Ini kerana sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia. (Riwayat al-Tirmizi 2917)

Syeikh al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis di atas menyatakan, bahawa  kita boleh meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran (wasilah/tawasul)  setiap apa urusan Dunia dan Akhirat. Atau sekiranya membaca al-Quran dan lalu pada ayat yang menceritakan berkenaan dengan Rahmat Allah SWT, maka mohonlah kepada Allah SWT untuk mendapatkannya (Rahmatnya). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/189)

 

·         Berdoa dan berharap, seterusnya serah padaNya.

Sepertimana dalam matan Hikam oleh  Imam Ibn Athoillah :

لا يَكُنْ تأَخُّرُ أَمَدِ العَطاءِ مَعَ الإلْحاحِ في الدُّعاءِ مُوْجِباً لِيأْسِكَ. فَهُوَ ضَمِنَ لَكَ الإِجابةَ فيما يَخْتارُهُ لَكَ لا فيما تَخْتارُهُ لِنَفْسِكَ. وَفي الوَقْتِ الَّذي يُريدُ لا فِي الوَقْتِ الَّذي تُرْيدُ

 

Terlambat datangnya pemberian (Allah), meskipun sudah dimohonkan berulang-ulang, janganlah buatmu patah harapan. Karena Dia telah menjamin untuk mengabulkan permintaanmu sesuai dengan apa yang Dia pilihkan untukmu, bukan menurut keinginan engkau sendiri. dan pada waktu yang Allah kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...