Krisis bekalan makanan dunia
waspadakah kita?
Muhammad Nuruddin Bashah
Ramai rakyat belum sedar makanan yang
sedang mereka hadap seharian itu sedang mengalami krisis. Isu ini telah sedekad
dewacanakan. Kemuncaknya krisis makanan dunia kini sudah sampai ke tahap perbincangan
PBB dan amaran yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), Ban Ki-moon baru-baru ini adalah petanda seriusnya isu ini.
Kini;
- Beberapa jenis tanaman kontan
seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar
utama.
- Beberapa negara Asia turut
merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama
dunia.
- Kerajaan Thailand dan Filipina terpaksa
mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya.
- Di Indonesia, keadaan menjadi
gawat apabila negara itu terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang
seperti gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada
kehidupan rakyatnya.
- Negara Arab berdepan dengan
kenaikan harga barang keperluan terutama harga gandum yang naik dua kali
ganda. Yaman, negara Arab yang dianggap paling miskin berdepan dengan
kenaikan harga barang sehingga 20%.
Malaysia tidak ketinggalan dan bakal
dihantui oleh krisis kekurangan bekalan makanan. Malah baru-baru ini Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi amaran
bahawa Malaysia perlu bersiap sedia
menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan global pada 2030.
Tambah beliau lagi, langkah
berjaga-jaga penting kerana statistik terbaru Bank Dunia menunjukkan
peningkatan ketara harga barang makanan global sejak 1995 iaitu antara 80
hingga 90% dan dijangka terus meningkat sehingga tahun 2030.
Antara langkah R&D yang
dijalankan oleh kerajaan untuk menangani krisis makanan antaranya (Berita
Harian 22 November 2010) ;
- Kerajaan telah belanja RM4
bilion untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan jaminan bekalan dan
keselamatan bahan makanan di negara ini.
- Kementerian Sains belanja M2.7 bilion bagi membantu
negara membuat persediaan awal menghadapi krisis 2030.
- RM115.9 juta dibelanjakan untuk menjayakan program
R&D dan bagi komersial tanaman makanan baru berasaskan bioteknologi.
- RM67 juta pula untuk melaksanakan 18 projek di bawah
Dana Tekno dan RM48.1 juta diperuntukkan untuk menjayakan 305 projek di
bawah Dana Sains.
- Selebihnya, RM800,000 dimanfaatkan untuk menjayakan lima
projek di bawah Dana Inovasi.
Satu
dari keperluan asas manusia adalah makanan. Tanpa makanan manusia tidak dapat
meneruskan hidup. Makanan yang baik bukan sahaja mengambil kira kandungan zat
yang ada dalam makanan tersebut tetapi juga dari segi bersih dan halal turut
perlu diberi penekanan.
Menyediakan bekalan makanan halal dan
mencukupi kepada negara juga sebahagian dalam melaksanakan suruhan Allah S.W.T.
Rakyat perlu mendapat akses untuk mendapatkan makanan. Berdasarkan polisi FAO
yang disiarkan dalam Food And Agriculture Organization Of The United
Nations (1998), The Right To Food In Theory And Practise, sekuriti
makanan boleh dicapai sekiranya tiga elemen dipenuhi, iaitu:
- Jaminan bahawa wujudnya makanan yang mencukupi.
- Penawaran makanan yang stabil.
- Sesiapa sahaja yang memerlukannya dapat memperolehnya
dengan mudah.
Perkataan
makanan atau al-Ta‘am dalam bahasa Arab ialah kata plural bagi ta‘ama
yang bermaksud “segala yang dimakan”. Perkataan ini banyak kali disebut dalam
al-Qur’an dan hadith. Ibn al-Athir pula lebih cenderung merujuk perkataan
makanan kepada makanan asasi seperti gandum, tamar, sya‘ir dan sebagainya.
Bermula
pada zaman Nabi Adam lagi, penekanan terhadap sekuriti makanan dititikberatkan.
Nabi Adam dan keluarganya telah menjadikan bercucuk tanam dan memelihara
binatang sebagai sumber bekalan keluarga mereka. Anak baginda, Qabil telah
mengusahakan pertanian, manakala Habil pula menternak binatang. (Jurnal
Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009) 299-326)
Islam
juga memiliki peruntukan dalam hal sekuriti bekalan makanan malah ia juga
merupakan isu pokok dalam Islam kerana menepati kehendak dharuri dalam
awlawiyat amal kepimpinan umat Islam.
Dalam Prosiding
Perkem V, Jilid 2 terdapat tulisan memetik pandangan Ahmad Subhi Ahmad Mustafa al-„Iyadi, bahawa di
dalam bahasa arab sekuriti makanan disebut al-Amn al-Ghiza’i.
Dari segi bahasa “al-Amn” bermaksud keselamatan, sekuriti atau
keamanan lawannya adalah ketakutan atau ketidakselamatan.14 Firman Allah S.W.T.
:
“Yang
telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan
mereka dari ketakutan.” ( Surah Quraisy : 4)
Manakala
“Al-Ghiza’i” pula bermaksud setiap apa yang dimakan atau diambil
manusia daripada makanan dan minuman. Sekuriti makanan dalam Islam adalah akses
bagi semua penduduk terhadap makanan halal dan toyyibah yang mencukupi untuk
kehidupan yang sihat dan aktif. Semestinya Islam menitik beratkan elemen halal
dan toyyibah sebagai elemen yang sangat ditekankan dalam sumber makanan dalam
Islam.
Menurut SM Mohamed Idris Presiuden
CAP, bekalan makanan dunia adalah mencukupi kerana berdasarkan Peretubuhan
Pertanian dan Makanan (FAO) pertanian dunia menghasilkan 2720 kilo kalori
setiap orang sehari di mana purata seseorang perlukan hanya 2000 kilo kalori
sehari. Yang menjadi masalah global hari ini adalah kemiskinan yang menyebabkan
golongan ini tidak mampu memiliki makanan tersebut demikian tulisannya yang
disiarkan oleh Utusan Pengguna Mac-April 2011.
CAP juga berangapan pembangunan ala
kapitalisme yang rakus menjarah tanah pertanian melalui pembangunan perumahan
mewah dan sebagainya menyebakan alam pertanian tidak lestari lagi. Pembangunan
tidak mapan sebegini hanya akan menyebabkan krisis makanan lebih membarah lagi.
Pada tahun 1972-1974, keluaran
makanan, bekalan dan penggunaan pada peringkat negara adalah pada tahap yang
normal. Walau bagaimanapun 50 hingga 200 ribu penduduk mati kebuluran. Mereka
mati kerana tidak mampu membeli makanan. Dari perspektif negara-negara maju,
kajian oleh LeBlanc mendapati bahawa
negara yang maju seperti Amerika Syarikat juga mengalami masalah berkaitan
sekuriti makanan, iaitu pada tahun 2005 didapati terdapat 10.7 % daripada
rakyatnya berada dalam keadaan yang tidak terjamin dari segi sekuriti makanan
mereka. Keadaan ini disebabkan oleh kemiskinan yang dialami oleh mereka.
Menurut pengarah Institut Alam
Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mazlin Mokhtar terdapat
3 faktor utama berlakunya krisis makanan di peringkat global.
- Pertambahan bilangan penduduk
dunia serta kekurangan tanah yang diperuntukkan bagi sektor pertanian.
- Kegiatan perindustrian yang
aktif sehingga menyumbang kepada pencemaran selain perubahan cuaca dunia.
- Petani tidak mempraktikkan amalan pertanian moden. Ini
termasuk penggunaan teknologi terkini dan memaksimunkan penggunaan tanah
bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti
Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr. Zarinah Yusof berkata, krisis
yang melibatkan bahan makanan seperti beras dan tepung itu jika tidak dibendung
akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.
Kata beliau keadaan cuaca juga
memainkan peranan selain kenaikan harga minyak dunia. Tindakan Amerika
memajukan biofuel menggunakan bahan makanan telah mewujudkan satu konflik.
Selain satu pembaziran, ia juga antara penyebab krisis makanan dunia
berterusan.
Peningkatan permintaan ke atas
biofuel mengurangkan bijirin untuk makanan dan tanah untuk tanaman makanan.
Pembukaan tanah baru –persaingan antara tanaman untuk fidstok biofuel vs
makanan.
Polisi beberapa negara mewujudkan permintaan ke atas biofuel,US20%
(2030),EU 5.75% (2008), Japan 10% (2010), Malaysia 5% (2007), Filipina 5%
ethanol 2% biodiesel (2009) (Strategi Baru ke arah Sekuriti Makanan di Malaysia.
Strategi MalaysiaAnjuran Bersama MOAAnjuran MOA--UPMUPM--ISIS 14 Julai 2008,
PICC, Putrajaya).
Kebanyakan kajian hanya melihat aspek atau faktor
persekitaran yang seolah-olah hanya dijadikan alasan untuk melepaskan
tanggungjawab menyediakan bekalan makanan global. Sebagai contoh alasan
fertiliti dan alasan pemanasan global hanya menyalahkan keadaan dan zaman tanpa
melihat kesilapan manusia mengurus alam secara lestari. Perhatikan hujah-hujah
setersunya.
Budaya pemakanan rakyat yang tidak
baik
Antara fenomena yang boleh dikatakan
krisis dalam sektor pemakanan adalah kebergantungan rakyat malaysia terhadap
makanan import. Budaya ranggi, sukakan saingan dengan budaya makan global dan
simpton kebudayaan globalisasi yang menjangkiti tabiat rakyat kita menatijahkan
hal ini berlaku.
Ini antara faktor mengapa kekayaan
dunia tidak teragih secara adil. Rakyat kita tidak akan bersungguh menyediakan
makanan sendiri kerana mereka ketagihkan sisa-sisa makanan globalisasi melebihi
makanan ruji masing-masing.
Menurut Md Shukri Shuib pensyarah
Pusat Pengajian Antarabangsa UUM dalam makalah Milenia Muslim Oktober 2012,
negara berbelanja RM 92 juta setiap hari untuk menyediakan bekalan makanan
import memperlihatkan seriusnya kebergantungan makanan luar terutama makanan
yang elit dan mewah. Bekalan makanan sebegini bukan bertujuan memenuhi
keperluan tetapi ia hanya memenuhi kehendak dan selera rakyat Malaysia. Dianggarkan
pada tahun 2011 telah RM 27.93 bilion wang keluar akibat import makanan.
Tiada kebuluran berlaku di Malaysia
walaupun FAO telah mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang
mengalami kebuluran di seluruh dunia seramai 925 juta orang.
Rakyat yang gemar mengambil makanan
mewah tanpa memikirkan bebanan negara perlu ingat sehingga kini Agensi Makanan
dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan bahawa 166 juta
orang di 22 buah negara di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk
mendapatkan makanan yang mencukupi.
Menurut Presiden Teras Pengupayaan
Melayu Haji Azmi Abdul Hamid, kebanyakan orang Melayu bandar dan pinggir bandar
sudah dibudayakan dengan kehidupan moden. Mereka lebih gemar berbelanja di
supermarket. Kebanyakan mereka mementingkan status dan penampilan dari segi
pakaian, perhiasan, kereta dan lebih terpengaruh dengan jenama, walaupun
kadangkala berbelanja melebihi pendapatan. Sesetengahnya pula lebih suka
mengunjungi restoren mewah seperti Starbuck atau Kopitiam demi status dan gaya
hidup mewah. (http://temanteras.wordpress.com/futhuhat/masalah-sosio-budaya-dan-pendidikan-melayu/)
Kini hampir
·
16,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap
hari akibat dari masalah yang berkaitan dengan kekurangan makanan [‘Where and
Why Are 10 Million Children Dying Every Year?’ The Lancet 361:2226- 2234(
2003)].
·
920 juta kelaparan seluruh dunia, 1/3
adalah kanak-kanak.
·
Pembaziran makanan di Perancis
sebenarnya mampu menampung makanan di Congo dan Ethiopia.
Sikap manusia mengurus kekayaan dunia
adalah antara punca kegawatan bekalan makanan menjadi topik besar hari ini. Perhatikan
fakta daripada Utusan Pengguna Januari-Februari 2010 di bawah;
- Kira-kira 7.34 juta tan sisa pepejal
dihasilkan di Malaysia pada tahun 2005.
- Dijangka 30 000 tan sehari sisa
pepejal dihasilkan pada 2020 dan sebanyak 45% adalah sampah makanan.
- Jepun, rakyatnya membazir ¼
daripada makanan yang mereka ada.
- Di Singapura sebanyak 558 900
tan pembaziran makanan pada tahun 2008.
- Rakyat UK membazir makanan 4.1
juta tan setahun.
- Di Amerika Syarikat 38.3 bilion
US Dollar di buang sebagai sisa makanan.
Selera punca kerosakan sumber protein
rakyat
Kegemaran rakyat Malaysia terhadap
makanan laut dibuktikan dengan kajian-kajian tempatan dan luar negara yang
menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna kedua terbesar makanan laut
di Asia Tenggara dengan anggaran penggunaan sebanyak 1.4 bilion kilogram
setahun.
Dalam satu rencana bertajuk Realiti
Krisis Makanan Laut yang diisar oleh Sinar Harian 16 Jun 20120, menyatakan
bahawa kehendak rakyat Malaysia kepada makanan laut telah mengakibatkan
pengurangan sumber makanan berkenaan iaitu melalui aktiviti nelayan yang
berlebihan. Satu kumpulan saintis perikanan menganggarkan bahawa dalam masa 40
tahun akan datang, dunia akan kehabisan sumber makanan laut.
Walau bagaimanapun, ia hanya akan
berlaku sekiranya pengguna makanan laut tidak mengubah tabiat pemakanan dan
tidak didedahkan secara terperinci mengenai spesies makanan laut yang diancam
kepupusan. Jika ramai sudah memahaminya, langkah seterusnya adalah dengan
mengurang atau mengelakkan terus pengambilannya. Fakta ini mudah dikesan
kebenarannya jika kita memiliki statistik jumlah gerai dan restoran yang
menyediakan masakan tom yam yang hampir 90% bahannya daripada hidupan laut.
Sebanyak 10% daripada sumber laut yang ditangkap, terbazir
begitu sahaja kerana beberapa faktor antaranya penggunaan alatan yang
merosakkan hasil tangkapan ataupun rosak sebelum dapat dipasarkan.
Penggunaan pukat tunda boleh
diumpamakan aktiviti tidak bermoral kerana menjadikan ikan-ikan pupus.
Presiden CAP meramalkan bahawa sumber
perikanan laut negara ini mungkin pupus dalam tempoh 10 tahun jika pukat tunda
tidak diharamkan.Kerajaan perlu mengikut jejak Hong Kong, Indonesia, Palau dan
Belize yang sudah mengharamkan penggunaan pukat berkenaan.
Malah menurut data Perikanan Dunia
(World Fish), menunjukkan bekalan ikan di perairan negara menurun antara 80-90%
dan salah satu punca utamanya ialah
akibat kegiatan nelayan pukat tunda yang menarik pukat yang besar dan berat di
sepanjang dasar laut. Plat logam besar dan roda getah yang terikat pada pukat
bergerak di sepanjang dasar laut dan memusnahkan apa saja yang berada di dalam
laluannya. (Berita Harian 29 Oktober 2011)
Jika pada tahun 1980-an, kerajaan pernah
bercadang mewajibkan nelayan pukat tunda menggunakan lubang jaring bersaiz 40
mm bagi pukat tunda tetapi ia tidak dilaksanakan dan nelayan pukat tunda terus
menggunakan lubang jaring 25 mm (kira-kira 1 inci), menyebabkan anak ikan turut
termasuk ke dalam jaring pukat tunda. Ketidakseriusan ini menampilkan sikap
kita terhadap bahana krisis makanan yang bakal menyusahkan kita.
Penggunaan baja ikan kecil untuk
penternakan ikan pesisir pantai juga punca kemerosotan baka spesis ikan untuk
kita. Anak ikan ditangkap berleluasa. Nelayan yang kerasukan kapitalisme tidak
lagi hirau masa depan spesis ikan yang mereka jadikan baja tersebut.
Pentingnya ketelusan dalam
penguatkuasaan, integriti dan keseriusan kerajaan memastikan hal sebegini tidak
berlaku. Wang jutaan ringgit untik RnD tidak akan berguna sekiranya kerajaan
tidak menguatkuasakan unsang-undang pencegahan kepupusan sumber prortein rakyat
Malaysia ini.
Bagaimana elak kebergantungan makanan
import?
Kita perlu memikirkan untuk
mengurangkan 30 peratus daripada keperluan beras negara atau kira-kira 700,000
tan metrik setahun yang diimport dari Thailand dan Vietnam.Pertubuhan Makanan
Dunia (FAO) melaporkan sebayak 36 buah negara terjejas teruk serta menghadapi
krisis makanan yang meruncing. Dengan kenaikan harga 20% beras negara kita
seharusnya memikirkan semula tentang aktiviti liar mengambil tanah sawah padi
untuk pembangunan yang tidak terancang.
Krisis makanan memang boleh
menimbulkan kegelisahan rakyat dan hasilnya rusuhan boleh berlaku jika tidak
ditangani secara komprehensif. Misalnya sekitar tahun 2008 di rantau ASEAN,
Filipina yang paling teruk terjejas apabila harga beras di republik itu telah
meningkat 100% sehingga menyebabkan berlaku demonstrasi jalanan membantah
kenaikan harga komoditi tersebut.
Di sesetengah negara, seperti Haiti, rusuhan menyebabkan lima orang terbunuh dan
tercetus pergaduhan antara penjual dan pembeli, apabila pembeli berasa marah
kerana penjual menjual beras stok lama pada harga yang tinggi.
Hal ini hanya disebabkan beberapa
faktor sahaja berikutan kekurangan bekalan padi apabila Vietnam, pengeksport
kedua terbesar dunia selepas Thailand menggantung eksport akibat pengeluaran
padinya terjejas teruk kerana kemarau dan serangan serangga.
Sejauh mana kawalan harga barang berkesan?
Kawalan
barang tidak memberi kesan yang maksima untuk memastikan golongan bawahan
memiliki stok makanan yang mencukupi pada harga mampu.
Walaupun
pada tahun 2008 dan 2009, kerajaan Malaysia cuba memastikan kawalan ketat
terhadap harga beras ternyata ia tidak ‘cukup kuat’ untuk menahan tekanan
kenaikan harga beras dunia itu daripada melanda negara ini.
Ini
kerana harga beras ditentukan oleh negara pengeluar dan pasaran dunia. Kerajaan
tidak dapat mengawal kenaikan harga beras import kerana ia bukan barang
kawalan, menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan
harganya. Kerajaan hanya mempunyai kuasa mengawal harga beras tempatan yang
mengandungi 15% beras hancur.
Sebagai
negara pengimport beras, Malaysia terpaksa berdepan dengan krisis tersebut kerana negara
ini masih mengimport kira-kira 30 % daripada keperluan berasnya atau kira-kira
700,000 tan metrik setahun dari Thailand dan Vietnam. (Utusan Malaysia 20 April
2008)
Krisis
makanan menjadi bertambah buruk apabila kenaikan harga minyak mentah dunia yang
berterusan sejak pertengahan tahun 2006 daripada kira-kira AS$48 setong
sehingga melepasi AS$115 setong telah mengakibatkan berlaku kemelesetan ekonomi
dunia, sehingga menyebabkan banyak negara menghadapi kadar inflasi yang tinggi
dan harga barangan makanan meningkat mendadak.
Penghuni manusia kian ramai
Masalah
pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan
adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya
kekurangan makanan di dunia. Kini dianggarkan bahawa penduduk dunia akan
bertambah melebihi 9 bilion orang menjelang tahun 2050.
Hal
ini pasti mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu
ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan sumber-sumber yang
ada seperti air, tanah pertanian dan sebagainya.
Kepesatan
permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti
di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan
antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya.
Menurut
World Resources Institute jumlah
penduduk pada tahun 1961 telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda pada 2005.
Ironinya
tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, telah bertambah 2.8 kali
ganda. Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu
telah bertambah saban tahun.
Hujah
ini bermakna punca krisis bekalan
makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu penaakulan
yang salah.
Golongan
kapitalis barat yang memberikan alasan
ini hanyalah golongan obses terhadap teori Thomas Malthus dari Britain dalam
kurun ke 18 di mana beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘An Essay on the
Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society’
pada tahun 1798.
Di
dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen
manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik.
Tatkala
Malthus menulis bukunya di Britain telah
mempunyai populasi 11 juta penduduk dan pada kurun 21, populasi penduduk
Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat
mana-mana berita menunjukkan kebuluran berlaku di Britain.
Impian dasar Bekalan Makanan negara
Kini dasar
baru yang telah dilancarkan pada 2008 pula ialah Dasar Jaminan Bekalan Makanan.
Negara kita terpaksa melaksanakan dasar ini untuk berusaha menangani krisis
kekurangan bekalan makanan kepada rakyat. Dasar ini sebenarnya tidak perlu jika
dasar pembangunan negara ini tidak menjejaskan sektor pertanian. Malah beberapa
rancangan pertanian yang dilaksanakan memiliki kelompangan dan ketirisan.
Menurut
Asmak Abd Rahman dalam tulisan jurnalnya Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009)
299-326, antara startegi Islam menyelesaikan permasalahan makanan adalah ;
- Galakan pertanian.
- Larangan penyorokan barangan.
- Jual beli bagi yang mampu membeli dan mekanisme agihan
makanan
Negara
perlu mengambil sunnah Nabi Yusuf. Polisi yang dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s.
yang menyediakan simpanan makanan untuk tempoh selama tujuh tahun dilihat
sebagai satu garis panduan bagi sesebuah negara untuk memastikan sekuriti
makanan terjamin. Semasa Baginda menjadi Menteri Kewangan Mesir, seluruh negara
yang berdekatan mengalami krisis sekuriti makanan yang teruk dan memaksa rakyat
negara berdekatan seperti bapa Baginda sendiri Nabi Yaqub dari Palestin untuk datang ke Mesir bagi mendapat bekalan makanan.
Jika
benar sekalipun negara ingin mengikuti sunnah Nabi Yusuf menyediakan stok
simpanan makanan anggaran beberapa tahun ke hadapan, ia boleh pula menimbulkan
krisis lain seperti manipulasi harga barang kawalan kerana kes sorok makanan.
Makanan tidak disimpan oleh negara sebaliknya peraih dan pemborong yang
menyimpan makanan bukan untuk keperluan rakyat tetapi untuk memanipulasi harga.
Jelas, tanpa integriti, kefahaman isu makanan dalam aspek agama dan nilai moral
menyebabkan barah salah guna dan penyelewengan boleh berlaku dari tahap peniaga
kecil sehinggalah saudagar besar.
Rasulullah
bersabda “Tidaklah seseorang melakukan penyorokan kecuali orang yang bersalah.”
(Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad (1995), Al-Musnad)
Menurut
Food and Agriculture Organization 2007 rasuah
adalah dikenalpasti penyebab kepada
ancaman terhadap sekuriti bekalan
makanan. Inilah permasalahan pokok untuk menyelesaikan masalah krisis
makanan dalaman sesebuah negara.
Isu
penguasaan negara luar terhadap sektor makanan juga perlu diambil perhatian
serius. Sebelum ini, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) membantah
Padiberas Nasional Bhd (Bernas) daripada dikuasai syarikat asing malah industri
beras adalah bidang yang amat strategik dalam negara kita.
Bidang
strategik seperti pengeluaran beras tidak harus diswastakan sehingga syarikat Wang
Tak Co Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, berjaya menguasai
saham Bernas sehingga lebih 25 %. BERNAS sebuah syarikat monopoli pada asalnya sebuah agensi kerajaan Lembaga Padi
dan Beras Negara (LPN) yang diswastakan pada 1996.
Jika
pihak asing telah menguasai saham, kerja tambahan perlu dilakukan oleh
kerajaan. Kerajaan kini harus mengawal pihak pemegang saham agar keputusan yang
diambil oleh mereka tidak dapat memanipulasi masalah kekurangan bekalan beras.
Malah
FOMCA juga mengakui barangan makanan asas di Malaysia tiada stok penimbal
menyebabkan krisis tidak cukup barang boleh berlaku. Malah lebih buruk FOMCA
juga mendedahkan tiada amaran awal kerajaan terhadap kenaikan harga menyebabkan
jika import harga naik, pembekal alternatif tidak dicari.
Menurut
FOMCA juga bagi memastikan bekalan bahan makanan yang diimport sentiasa
mencukupi, kerajaan juga perlu mewujudkan stok penimbal yang mencukupi untuk
tempoh 3 bulan hingga 6 bulan. Keadaan semasa di negara pembekal utama bahan
makanan ini sentiasa dipantau bagi memastikan keadaan di negara tersebut tidak
menjejaskan bekalan bahan makanan. Jika ini berlaku, maka usaha perlu dilakukan
untuk mendapatkan bekalan daripada negara lain yang tidak terjejas.( http://www.konsumerkini.net.my)
Sikap bersungguh,
komitmen rakyat dan kerajaan serta badan tertentu amat diperlukan untuk
memastikan bekalan makanan bernutrisi dan cukup kepada rakyat berjalan dengan
lancer demi masa depan kita bersama.
Muhammad Nuruddin bin
Bashah
31 Laluan Permai
Puteh 8,
Taman Siputeh Permai,
31560 Siputeh, Perak.
017 6291368
No comments:
Post a Comment