Pembaca Setia

Saturday, December 8, 2012

Tangani Keracunan Budaya Melayu Islam


Tangani Keracunan Budaya Melayu Islam
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Bc (Hons) Eng UM

Budaya hidup Melayu kini kian parah malah budaya yang merosakkan jatibangsa Melayu kian merayap masuk ke dalam kosmo hidup bangsa ini. Topik ini amat janggal jika cuba dikumandangkan di khalayak ramai malah ia mungkin agak canggung jika dibahas di kuliah-kuliah Maghrib masjid dan surau.
Orang Melayu tahu akhlak muda mudi, tahap hidup dan kualiti amalan hidup umat Islam Melayu terutamanya kian rabak dan berkrisis. Namun orang Melayu kerap tidak sedar, isu hedonisme, nilai kebergantungan hidup dengan tembakau, pembaziran dalam berbelanja dan mengurus majlis, berfesyen yang melampau serta mengagungkan budaya popular bukan sekadar kemerosotan kualiti hidup malah ia melibatkan keracunan budaya kaum Melayu.

Hal inilah yang cuba ditegaskan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Cikgu Haji Azmi Bin Abdul Hamid dalam Ucaptama Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan ke-13 bertemakan ‘Generasi Muda Menggalas Persoalan Masa Depan Umat’ sempena  1 Muharam 1434 bersamaan 15 November 2012 di Safira Country Club, Pulau Pinang.

Budaya yang penulis maksudkan bukan sekadar etimologi budaya benda yang melibatkan kajian simbol, artifak atau prasasti tetapi penulis lebih menggunakan takrifan Ember yang memberi takrifan budaya sebagai "kelaziman yang terdapat dari segi berfikir dan berkelakuan pada sesesuatu golongan penduduk atau masyarakat. Oleh itu budaya sesuatu kelompok sosialterdiri daripada bahasa,pengetahuan am, kepercayaan agama, kegemaran pemakanan, muzik, tingkah laku bekerja, patang larang dan sebagainya.”

Budaya yang dikatakan telah mengalami keracunan itu boleh dikatakan budaya Melayu yang sebenarnya telah lama mengalami adaptasi nilai dan syariat Islam. Hal seiringnya perkembangan budaya Melayu dengan Islam ini dikupas oleh Dr Siddiq Fadzil sebagai suatu fenomena jelmaan daya rubah (quwwah at taghyiriyah) yang dimiliki oleh kaum Melayu tatkala kemunculan Islam dan syariatnya dalam kehidupan kaum Melayu, ia menjelmakan suatu fenomena Melayu Baru sehinggakan tulisan jawi begitu cepat menghakis tinggalan tulisan rencong  dan pallava tinggalan Sanskrit. Islam yang didaulahkan itu kemudiannya menacap kukuh syariat dan adab Islam dalam budaya kaum Melayu yang sedang berkembang seiring dengan zaman dan ia kekal sehingga kini[1].

Namun kini ia seakan cuba diracuni, dibubar atau dipugar oleh anasir-anasir uni-budaya, pelanggar biadab yang cuba menyatu umat manusia di bawah satu payung yang sejelasnya bukan payung berkiblatkan Islam. Justeru ia bukan hal remeh, ia hal pemugaran budaya Melayu yang bakal memberi impak kepada generasi seterusnya.
Sinonimnya budaya Melayu dengan nilai syariat Islam diabadikan dalam pantun yang berbunyi;
Bukan kapak sebarang kapak,
Kapak dibuat pembelah kayu,
Bukan Batak sebarang Batak,
Batak sudah masuk Melayu

Melayu yang dinyatakan dalam pantun berkenaan merujuk agama Islam. Kaum asal suatu ketika dahulu menganggap proses Islamisasi adalah proses memelayukan bangsa dan nilai hidup. Ia bukan suatu bentuk penjajahan nilai budaya sehingga budaya Melayu boleh dianggap mengkolonikan budaya kaum yang memeluk Islam, ia hanya perlembangan betapa eratnya budaya Melayu dengan nilai Islam suatu ketika dahulu.

Presiden TERAS telah menekuni 46 budaya hidup yang telah meracuni budaya hidup asal kaum Melayu. Budaya ini digambarkan sebagai budaya haram yang diertikan haram dalam ertikata syarak dan agama yang kini membelenggu budaya hidup umat Islam khususnya kaum Melayu.

Beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk Haram dalam Budaya Hidup. Buku yang sebenarnya ditujukan khas untuk kaum Melayu Islam ini diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Buku ini menggariskan 46 budaya salah di dalam kehidupan kaum Melayu yang bermula dengan isu hiburan melampau, filem, pengiklanan yang memanipulasikan wanita, gaya hidup elitisme, budaya tabarruj berlebihan di kalangan wanita, Ramadhan yang dikomersialkan, budaya makan yang merosakkan, permainan kanak-kanak yang membantutkan pendidikan sehinggalah isu-isu seperti pornografi, budaya merokok, pengkid dan trans seksual, budaya tatu dan budaya pembedahan plastik di kalangan elit dan artis.

TERAS telah menganggap 46 budaya itu sebagai berhala yang perlu diperangi oleh kaum Melayu Islam. Berhala ini bukan dalam erti maknawi tetapi lebih kepada majazi (perumpamaan) yang menunjukkan  dahsyatnya kebergantungan Melayu terhadap 46 budaya tersebut.
Wacana sebegini sebenarnya wajar dijadikan teks khutbah dan tazkirah tetap di masjid-masjid serta surau-surau untuk membangkitkan kesedaran untuk umat Melayu berubah. Kuliah dan tazkirah perlu disegarkan dengan isu sebenar umat Islam agar cakna dan peka yang positif menggantikan budaya ‘jaga tepi kain orang’ yang negatif.

Rokok sebagai contohnya bukan lagi suatu tabiaat sebaliknya ia menjadi suatu budaya yang dicatur dan diatur rapi oleh konspirator budaya Islam iaitu pihak musuh Islam antarabangsa. Walaupun kerajaan berusaha menaikkan harga rokok, meletak label amaran dan gambar penyakit akibat rokok, ia tetap tidak mempu mengubah kejayaan perancangan mengubah budaya hidup umat Islam.

CAP yang diwakili Presidennya, SM Idris menganggap keracunan budaya umat Islam ini sebagai tanggungjawab CAP selaku penggerak isu kepenggunaan.
Walaupun pada awalnya buku ini dianggap tiada kaitan dengan isu kepenggunaan yang sinonim dengan jual beli, hak memiliki barangan selamat dan sihat sahaja, sebenarnya isu budaya yang rosak menjadikan budaya pengguna rosak.

Sebagai contoh, rosaknya fahaman kaum Melayu terhadap rokok mengakibatkan mereka menyalahgunakan hak kepenggunaan mereka dengan membeli rokok yang merosakkan kesihatan dan sosial. Malah kebergantungan kepada rokok mengubah budaya sihat kaum Melayu kepada budaya rosak yang membazir, menyokong ekonomi Yahudi dan konspirator.

Sohibul Samahah Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Dato’ Seri Haji Hassan Bin Haji Ahmad dalam memberi komentar terhadap kajian 46 budaya ini menyeru agar kaum Melayu Islam bersama mendedahkan kecelaruan budaya dan kebobrokan budaya hidup yang sedang dialami oleh masyarakat Melayu Islam zaman kini dan kecenderungan membuta tuli meniru gaya hidup Barat dan masyarakat asing.
Gaya barat dan budaya asing memang menatijahkan negatif. Hal ini tidak perlu diperdebatkan lagi walaupun kita sedar betapa banyak nilai positif daripada kebudayaan Barat yang boleh diasimilasikan. Westofil, westomania atau gejala gila Barat bukan suatu yang baru. Suatu ketika ramai cendiakawan Melayu menegur sikap promosi budaya Barat oleh Abdullah Munsyi yang dianggap melulu. Malah Dr. Siddiq Fadzil menggelar sikap Abdullah sebagai suatu yang asing (gharib), tidak mewakili institusi kesultanan dan keagamaan Melayu malah dianggap sebagai tajaan penjajah walaupun Dr Siddiq tidak menolak jasa dan bakti Abdullah dalam beberapa hal tertentu.
Penulis ingin berkongsi nilai kemelesetan hidup yang melanda kaum Melayu Islam akibat keterhakisan nilai Islam dalam budaya Melayu atau boleh dianggap gejala akibat keracunan budaya.
Pertama suburnya maksiat pelacuran sehingga dinobat sebagai industri oleh pengamat sosial. Di Pulau Pinang sahaja jumlah kelab malam mencecah 475 buah. Warga asing yang menjadi  pelacur ditangkap pada tahun 2008 adalah seramai 4603 orang dan mereka juga  dilanggani oleh lelaki Melayu Islam. Industri ini hebat sehingga menurut CAP, pendapatan pelacur telah mencecah RM 30 000. Gejala ini seolah diiktiraf sehingga wujud gelaran atau tempat yang dianggap signifikan dengan industri pelacuran seperti Yang Kalsom, Lorong Haji Taib dan sebagainya.

Keterhakisan budaya Islam juga mewujudkan kelompok baharu yang digelar kelompok rempit.  Kini dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 remaja bergelar Mat Rempit.

Pada tahun 2009 sahaja, 5000 anggota polis telah diarahkan menangani Mat Rempit. Menurut Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozimi Ismail, remaja Melayu mewakili 95% daripada keseluruhan Mat Rempit seluruh negara. Malah 24% daripada mereka mengaku pernah terbabit dalam jenayah, misalnya pecah rumah, curi motosikal, kumpulan samseng dan vandalisme.
76 % mempunyai rekod ditahan polis sekurang-kurangnya sekali berkaitan kesalahan sama atau jenayah.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 (KPKM-4) 2004 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati setiap 10 tahun (sejak 1974), 13.5 % remaja di Semenanjung, 12 % di Sabah dan 11.3 % di Sarawak keluar tanpa izin ibu bapa hingga larut malam.
Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan sebanyak 6,056 kes juvana dilaporkan pada 2004. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,058 kes juvana berbanding kes yang dilaporkan pada 2003.

Nilai ranggi, ingin kelihatan hebat, kemurungan yang tidak ditangani secara beragama dan krisis rumah tangga umat Islam juga boleh mengakibatkan industri dadah lebat di negara kita.
Dadah menjalar menjadi masalah Malaysia sejak tahun 1951. Pada tahun 2011, kaum Melayu yang ketagih dadah berjumlah sekitar 78.22% daripada jumlah terkumpul tahunan.  Menurut Utusan Malaysia, julat umur penagih 19-39 tahun adalah sekitar 76.54% dan 50 % kes ragut dilakukan penagih dadah.
Keterhakisan budaya Islam umat Melayu lebih parah apabila Dato’ Fadhilah Khamsah sendiri mendapati purata 80%  belia dan remaja Melayu tidak solat dalam setiap program beliau. Dalam majalah dan media elektronik juga didedahkan ramai selebriti dan artis yang menceritakan pengalaman mereka yang tidak bersolat sebelum mereka insaf.

Bagaimana dengan kegiatan haram lain? Arak misalannya telah menjadi pilihan 45% remaja bawah 18 tahun. Malaysia sendiri adalah pengguna arak nombor 10 dunia! Menurut CAP, setiap tahun rakyat Malaysia berbelanja RM 1.9  bilion untuk arak. Anggaran penagih arak Malaysia pula ialah seramai 200 000 penagih. Jualan samsu haram dianggarkan sebanyak  RM 180 juta setahun.
Menurut Prof. Dr. M Parameshvara,  kematian akibat ketagihan arak lebih banyak berbanding akibat dadah heroin. Bayangkan di sekitar Ipoh dan Greentown  anda boleh menemui banyak botol-botol  ‘tonik gila’ atau ‘samsu setan’ iaitu arak semurah RM3. Kandungan alkoholnya adalah setinggi  43% berbanding arak beer biasa hanya sekitar 4-6 % sahaja. Minuman keras biasa dijual antara RM7 hingga RM9 setin, namun samsu setan ini boleh dibeli semurah RM3.

Mengembalikan akhlak dan nilai agama dalam kebudayaan Melayu adalah tanggungjawab bersama. Dr Rahimin dalam tulisan beliau memetik pandangan Ibnu Khaldun berkenaan bagaimaan sesebuah tamadun boleh kekal dan mapan. Ada baiknya kita perhatikan strata asas menurut Ibnu Khadun yang sebenarnya mampu mempertahan kebudayaan Melayu Islam bermula daripada tahap  
  • Anggota keluarga asas.
  • Barisan kepimpinan politik.
  • Peniaga.
  • Para seniman.
  • Tokoh ulama.
  • Tokoh pendidikan, dan
  • Golongan muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan sesuatu masyarakat.

Budaya Melayu perlu diaslikan semula ke jalan yang sebenarnya. Budaya Melayu yang asli dan diiktiraf (establish) adalah budaya Melayu yang berteraskan Islam. Seperti kenyataan S. Othman dalam kertas kerja ‘Simposium Sastra dan Ugama’ di Terengganu pada tahun 1973 dahulu, sifat asli dalam kebudayaan ialah menentukan perkembangan dan kehalusan budi yang memberi gambaran dan pancaran kepada akal dalam membentuk akhlak terpuji. Kata kebudayaan dapat disimpulkan kepada istilah Al- Irtifaaqat iaitu pembinaan tamadun manusia yang memegang nilai-nilai akhlak sebagai asas.

Muhammad Nuruddin bin Bashah
31 Laluan Permai Puteh 8,
Taman Siputeh Permai,
31560 Siputeh, Perak. 017 6291368



[1] Dr Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu dalam bab Jati Diri Melayu, Memaknai Fenomena Keislaman Dalam sejarah Bangsa, Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah. 2012.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...