Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Saturday, December 8, 2012

Asal Usul Bahasa Menurut Kacamata Islam


Asal Usul Bahasa Menurut Kacamata Islam
Muhammad Nuruddin bin Bashah

Benarkah manusia tidak berbahasa semasa zaman pra sejarah? Persoalan ini menimbulkan perdebatan hangat terutama di kalangan penganut fahaman darwinisme dan creationisme. Malah pihak creatisnisme pula terbahagi kepada beberapa golongan antaranya berfahaman persepsi agama seperti pengikut Bible dan Al Quran[1]. Prasejarah adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada zaman tanpa catatan-catatan sejarah. Zaman prasejarah dapat dikatakan bermula pada saat terbentuknya alam semesta, namun secara umumnya digunakan untuk merujuk  kepada masa terdapat kehidupan di muka bumi.
Batas jangka masa antara zaman prasejarah dengan zaman sejarah adalah selepas wujudnya kemahiran menulis.


 

Salah satu masalah yang membuat topik ini menjadi sukar untuk dikaji adalah tidak adanya bukti  yang kuat kerana tidak ada bahasa yang boleh dijadikan bukti fosil.

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bahasa didefinisikan sebagai satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.
Menurut Prof. Dr. Asmah Hj. Omar, bahasa ialah satu sistem yang menyatakan akal fikiran dan isi hati manusia. Bahasa juga berfungsi sebagai alat perhubungan antara manusia dan harus berkembang selaras dengan perkembangan masyarakat pemakai bahasa itu.

Wilhelm Von Humboldt, seorang sarjana Jerman mendefinisikan bahasa sebagai sintesis bunyi manakala Ferdinand de Saussure, seorang sarjana linguistik Swiss pada awal abad ke- 20 menyatakan bahasa sebagai sistem isyarat.

Dalam laman sesawang Kompas.com dinyatakan sekitar tahun 2011, satu kajian yang baru sahaja dihebahkan mampu menguak misteri asal-usul bahasa yang digunakan manusia. Menurut Science Magazine edisi 15 April 2011, bahasa yang digunakan oleh manusia sebenarnya berasal dari wilayah  selatan Afrika. Dikatakan dari situlah bahasa tersebar ke seluruh dunia.


Pengkaji dari Universiti Auckland, Belanda, iaitu Quentin Atkinson yang melakukan kajian bahasa di Afrika telah menelusuri  jejak bahasa dengan cara memecah 504 bahasa ke dalam komponen terkecil yang dikenali sebagai fonem[2]. Fonem berasal daripada bahasa Latin, phonema, yang bererti suara yang diucapkan. Penelitian menunjukkan, semakin beragamnya fonem yang dimiliki oleh suatu bahasa menunjukkan bahasa itu menjadi sumber dari bahasa-bahasa lain yang lebih sedikit memiliki fonem.

Teori terkenal  “Out of africa” atau yang dikenali sebagai ’Asal-usul manusia moden dari Afrika’ yang dikemukakan oleh oleh James Watson dan Alan Wilson menjadi asas kepada hujah ini. Hipotesis ini menyebutkan bahawa Homo Sapiens yang merupakan spesies mula daripada manusia meninggalkan Afrika antara 125 000 dan 60 000 tahun lalu, di mana mereka menggantikan populasi manusia yang lebih lama, seperti manusia Neanderthal dan Homo erectus. Teori ini diperkukuhkan hujahnya melalui penelitian mitokondria DNA pada tahun 1990an yang dilakukan oleh Allan Wilson dan Rebecca Cann, yang lebih jauh menyebutkan bahawa seluruh manusia di dunia berasal dari satu induk, iaitu Mithocondrial eve (www. archaeology.about.com).

Pada tahun 1866, Linguistic Society of Paris pernah melarang sebarang perdebatan mengenai subjek ini dan kekal berpengaruh di kalangan negara barat hingga akhir abad 20. Sejak teori evolusi Charles Darwin muncul pada 1859,  wacana ini kian menimbulkan banyak spekulasi.
Noam Chomsky pula berpendapat satu mutasi telah terjadi pada salah seorang individu sekitar 100 000 tahun yang lalu mengakibatkan munculnya kemampuan berbahasa (sebuah komponen dalam otak) secara 'segera'  dalam bentuk yang 'sempurna' atau 'hampir-sempurna'.

Chomsky juga memberi asas dalam teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani (The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia juga telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD (Language Acquisition Device).

Sebahagian evolutionis beranggapan bahawa asal usul bahasa manusia teradaptasi daripada  gerakan dan isyarat bunyi  alam seperti angin dan ombak, suara binatang, dan seruan naluri manusia itu sendiri (Charles Darwin, 1871. The Descent of Man, and Selection in Relation to Sex.)
Sekitar tahun 1861, ahli sejarah linguistik, Max Müller menerbitkan teori spekulatif tentang asal bermulanya bahasa manusia.

Teori Bow-wow,Teori Pooh-pooh, Ding-dong, Yo-he-ho, dan teori Ta-ta adalah kajian yang menemui asal bahasa manusia daripada aktiviti peniruan manusia terhadap bunyi alam dan haiwan serta pergerakan otot dan lidah manusia yang menghasilkan bunyi seperti perkataan tertentu.
Berbalik kepada kajian benua Afrika, sejumlah ilmuwan Barat telah meneliti asal loghat dan bahasa yang berkembang di sana sejak 150 ribu tahun lalu.

Penelitian yang menggunakan "World Atlas of Language Structure" sebagai sumber utamanya itu berpegang pada teori bahawa peradaban yang lebih tua memiliki perbezaan linguistik yang lebih banyak berbanding peradaban yang lebih muda. Dengan menganalisa ratusan bahasa, para penyelidik mendakwa telah berjaya menemui bukti dengan banyaknya bila dan dari mana bahasa-bahasa tersebut berasal.
Menurut Dr. Quentin, pasukannya telah menyelidiki sekitar 504 bahasa untuk mengetahui bilangan fonem (bunyi pengucapan khusus) yang ada dalam bahasa tersebut. Daripada kajian ini mereka menemui bahawa bahasa-bahasa di Afrika rata-rata memiliki sekitar 100 fonem. Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman pula hanya memiliki sekitar 45 fonem.
Islam meletak wacana asal bahasa ini berasaskan wahyu. Premis hujah Islam adalah manusia dicipta dengan akal dan ketinggian ilmu dan kefahaman sesuai dengan darjat manusia yang  terpaksa diiktiraf oleh para Malaikat dan Jin. Terlalu banyak kajian sains kini menemui keunggulan sains dan teknologi kaum-kaum purba. Mana mungkin sains dapat diperluas jika bahasa pun tidak dapat mereka kuasai.

Dilaporkan bahawa manusia pertama berdasarkan pandangan agama samawi ialah Nabi Adam yang dikeluarkan dari syurga dan diturunkan di Sarnadib dalam wilayah India-Sri Langka,  mengikut pendapat yang paling masyhur.

Hujahnya, melalui hadis riwayat Ath-Thabrani dan Abu Nu’aim di dalam Al-Hilyah, dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Adam diturunkan di India. Dia merasa kesepian. Akhirnya, Jibril pun turun dan mengumandangkan adzan. Ketika mendengar nama Muhammad disebutkan, Adam bertanya kepada Jibril, ‘Siapa Muhammad ini?’ Jibril menjawab, ‘Dia adalah anak keturunanmu yang terakhir dari kalangan nabi.

Menurut Imam At-Thabari, tempat Adam diturunkan adalah di puncak gunung tertinggi di dunia. Keterangan beliau disokong oleh para ahli geografi moden, dan merupakan pendapat yang paling kuat dasarnya. Pendapat ini juga diikuti oleh Syauqi Abu Khalil dalam bukunya Atlas Alquran, dan Sami bin Abdullah Al-Maghluts dalam Atlas Sejarah Nabi dan Rasul.
Hawa pula diturunkan di satu tempat yang bernama Judah. Nabi Adam mencari Hawa dan mereka bertemu di Muzdalifah yang terletak antara Mekah dan Arafah. Mengikut pendapat lain, mereka bertemu di satu tempat yang bernama Arafah. Sementara Iblis pula diturunkan di satu tempat yang bernama Al-Ublah di Iraq.
Penulis kitab Ad-Duur al-Mantsur fi at-Tafsir bi al-Ma’tsur menyebutkan bahawa Ibnu Abbas menafsirkan ayat “Kami berfirman, ‘Turunlah kalian!” dengan Adam diturunkan di sebuah lokasi di bumi bernama Dahnah yang terletak di antara Makkah dan Thaif.







Sedangkan Ibnu Abu Hatim meriwayatkan dari Ibnu Umar, “Adam diturunkan di Sofah dan Hawa di Marwah.”

Islam telah meyakinkan penganutnya bahawa manusia pertama yang dicipta Allah telah diamanahkan ilmu dan bahasa yang telah maju dan kompleks. Nabi Adam bukan manusia yang bertutur dalam bahasa wo wo, ho ho atau apa sahaja kaedah yang menyerupai binatang, sebaliknya telah mewarisi bahasa ilmu kerana Allah menegaskan bahawa Nabi Adam telah menggunakan bahasa sebagai perantara mendapat ilmu mengenai seluruh alam.

Firman Allah dalam Al Baqarah ayat 31:

30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".
31. dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar".

Firman Allah juga dalam surah Ar Rahman,

Yang Maha Pemurah. Mengajarkan Al Quran. Menciptakan manusia. Mengajarkan kepadanya al Bayan (ayat 1-4).
Al Bayan yang dibentuk oleh akar kata yang terdiri dari 3 huruf: Ba, Ya dan Nun, yang bermakna jelas. Perkataan bayan juga boleh membina istilah Mubin iaitu jelas dan terang.
Misalnya dalam surah An Nahl ayat  103 Allah berfirman ;

103. dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa mereka Yang musyrik itu berkata: " sebenarnya Dia diajar oleh seorang manusia". (padahal) bahasa orang Yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab Yang fasih nyata.

Khusus kepada Adam, Allah mengajarkan kepada Baginda al Bayan, iaitu bahasa Arab. Jadi boleh disimpulkan bahawa Nabi Adam AS menggunakan  bahasa Arab apabila berkomunikasi dengan Hawa dan anak-anaknya.

Sebenarnya tafsiran sebegini bersifat ofensif iaitu dielektik terhadap teori pertumbuhan bahasa evolutionis. Allah SWT mengajarkan kepada Nabi Adam AS bahasa yang berstruktur secara sempurna. Segala istilah yang diajar oleh Allah digambarkan dengan ungkapan asma’ kullaha (segala nama benda) di dalam Al Baqarah ayat 31.

Jelasnya Nabi Adam diilmukan oleh Allah dengan segala ilmu, definisi, terminologi dan kemahiran duniawi sekaligus menafikan bahawa manusia barbarian, mundur akal dan tanpa taknologi.
Menurut Ibnu Kathir, Allah S.W.T mengajar Nabi Adam melalui malaikat Jibril kaedah menanam pokok dan membuat besi. Nabi Adam mempunyai ilmu yang lengkap merangkumi pengiraan, kemahiran, keimanan, dan keduniaan.

Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir meriwayatkan dari hadits Asim ibnu Kulaib, dari Sa’id ibnu Ma’bad, dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna ayat Al-Baqarah: 31 bahawa Allah mengajarkan nama piring dan panci kepada Adam. Ibnu Abbas mengatakan, Memang benar diajarkan pula nama angin yang keluar dari dubur.
Menurut Ibnu Kathir juga Allah mengajar Nabi Adam segala perkara sama ada zat (benda), sifat serta perbuatan-perbuatan sama ada perkara besar mahupun sekecil-kecil perkara. Bukankah ini membuktikan Nabi Adam mmeiliki kemahiran minima iaitu berbahasa jika tidak masakan baginda mampu mengartikulasikan istilah dan ilmu yang dipelajarinya.


Walaupun Nabi Adam diturunkan di India, Baginda hanya bertemu dengan Hawa di Mudzalifah iaitu bumi Hijaz arab. Tidak hairan jika bahasa Arab kuno menjadi asas kepada pemecahan bahasa-bahasa di muka bumi.
Satu lagi bukti hujah Bahasa Nabi Adam boleh diperolehi melalui laman sesawang infad.usim melalui tajuk fatwa yang telah dikeluarkan di negeri Kelantan pada 1993 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Fatwa yang ditulis oleh Datuk Haji Mohamad Shukri Bin Muhamad itu menetapkan bahawa ;

(1) Tuturan (percakapan) anbiya itu mengandungi tika lughah (bahasa) jua, pertama bahasa arab, kedua bahasa siryani dan tiga bahasa abrani.
Bahasa Abrani ialah bahasa segala nabi daripada anak-anak nabi Yaakub dan bahasa siryani ialah bahasa lima orang ini jua iaitu Nabi Idris, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Lut dan nabi Yunus.
Dan Bahasa arab ialah bahasa dua belas orang iaitu Nabi Adam, Nabi Syis, Nabi hud, Nabi Saleh, Nabi Ismail, Nabi Syuib, Nabi Khaidir dan tiga orang ada disebut dalam surat Yaasin dan Khalid bin Sunan dan Nabi Muhammad s.a.w[3].
(2) Taurat kepada nabi Musa, bacaannya dalam bahasa Abrani, Injil kepada nabi Isa, Bacaannya dalam bahasa Siryani, Zabur nabi Daud, Bacaannya dalam bahasa Qubti dan Quran kepada nabi Muhammad, dinamakan furqan dan bacaannya dalam bahasa Arab .
Jelas jika dinilai daripada sisi pandang agama Islam, bahasa yang pertama wujud di muka bumi adalah keluarga bahasa arab yang membawa pecahan kepada bahasa Ibrani, Aram dan Suryani[4].
Selain itu kosakata Bahasa Arab sangat luas dan kaya berbanding dengan  bahasa-bahasa. Bahasa Latin misalannya memiliki 700  akar kata dan Bahasa Saxonia mempunyai 1000 akar. Sementara Bahasa Arab pula memiliki 16000  akar kata.

Sebagai perbahasan perhatian istilah “good” dalam Bahasa Inggeris atau “jayyid” dalam Bahasa Arab, keduanya memiliki persamaan dalam pengucapannya, yang bererti  bagus.Tetapi kita masih boleh  mendapatkan istilah  lain yang merupakan terbitan  daripada istilah “jayyid” tersebut, iaitu Al-Jaud, Al-Jaudah, Al-Ijadah, Yujiidu, Yajudu, Jawaad, Jiyaad, dan lain sebagainya. Sebaliknya  kita tidak menemui kosakata lain yang berasal daripada  istilah “good”.

Malah terdapat  beberapa pandangan ahli linguistik Arab yang mengatakan kemungkinan
bahasa yang terawal yang di tuturkan ol eh or angor ang Samiyyah (Sam) ini juga adalah bahasa Arab Kuno (al- 'arabiyyah al-qadimah).  Bahasa Arab juga merupakan satu- satunya bahasa Semit dengan bilangan penutur yang paling banyak melebihi 150 juta[5].
Muhammad Nuruddin bin Bashah
017 6291368



[1] Menurut Harun Yahya, teori evolusi Darwin bukanlah sesuatu yang baru. Teori “Living things developed and evolved from the non living things” merupakan satu mitos yang telah dicetuskan oleh orang-orang Sumerian yang menyembah berhala. Mitos ini berjaya dihidupkan dalam kehidupan Greece Kuno yang akhirnya membentuk budaya masyarakat Rom. Dalam sejarah ketamadunan moden, seorang ahli biologi Perancis yang bernama Jean Baptiste Lamarck telah mempolopori teori evolusi ini sebelum Darwin. Darwin mempopularkan semula teori ini setelah beliau terinspirasi dengan penulisan ahli ekonomi bernama Thomas Malthus yang jelas menekankan konsep persaingan  dan pemusnahan bagi memastikan populasi manusia dapat dikawal seiring dengan sumber makanan yang ada (permanent war). Darwin menghasilkan sebuah penulisan berjudul “The Origin of Species” yang diterbitkan di England pada tahun 1859. Mitos evolusi daripada masyarakat Sumerian disusun dalam bentuk yang lebih rapi. Akhirnya, beliau tampil dengan sebuah teori yang menyatakan bahawa kesemua sepsis dimuka bumi ini berasal daripada induk yang satu.
Penentang Darwinisme : creationost dan intelligent design (ID). Golongan creationist menentang teori evolusi berdasarkan agama (creationism). Golongan ini percaya bahwa makhluk hidup dan segala jenisnya diciptakan oleh Tuhan secara terpisah atau bahwa satu jenis makhluk hidup dapat diturunkan dari jenis makhluk hidup lain, seperti yang dikemukakan para pendukung teori evolusi. Penyebab penolakan tersebut terhadap teori evolusi kemungkinan besar disebabkan anggapan bahawa evolusi menghilangkan peranan Tuhan dalam penciptaan. Evolusi juga dianggap mendukung teori atheisme, meskipun pendukung teori evolusi tidak pernah mencampuradukkan persoalan sains (evolusi) dengan agama.
Golongan intelligent design (ID) tidak sepenuhnya menentang teori evolusi. Golongan ini menerima beberapa konsep yang dikemukakan dalam teori evolusi. Mereka menerima pendapat bahawa beberapa spesies mengalami perubahan. Akan tetapi mereka menolak bahawa spesies yang ada sekarang merupakan hasil evolusi.
[2] Fonem ialah unit bahasa yang terkecil yang berfungsi. Fonem juga merupakan unit yangbermakna  atau perkataan yang terdiri daripada beberapa unit bunyi. Contoh kata yang menjelaskan fonem ini ialah perkataan palu. Kata ini terdiri daripada empat unit yang berbunyi iaitu p, a, l, u.  Unit-unit bunyi ini dipanggil fonem iaitu unit terkecil yang berfungsi. Sebagai contoh sekiranya p diganti dengan  m, maka palu akan bertukar menjadi malu. Oleh itu , p dan m adalah unit terkecil yang berfungsi kerana unit itu membezakan maksud ujaran. Selain daripada itu fonem juga boleh difahamai sebagai unit yang terkecil yang membezakan makna. Pedang dengan petang. Dalam pasangan minimal pedang dengan petang itu terdapat bunyi yang berbeza iaitu bunyi d dan bunyi t. Perkataan pedang dikatakan hampir sama dengan perkataan petang namun hanya dibezakan dengan bunyi d dan t. Dalam konteks ini, bunyi d dan t merupakan bunyi yang distingtif yang membezakan makna. Oleh itu bunyi d dan t adalah bertaraf fonem yang berbeza dan bunyi fonem itu diletakkan dalam kurungan fonem iaitu /d / dan /t/.
[3] Seorang ahli linguistik di sebuah universiti terkemuka di Britain menghabiskan waktu selama puluhan tahun untuk mengkaji beberapa dokumentasi ilmiah, literasi, manuskrip, ensiklopedia, dan lain sebagainya untuk mencapai hasil yang memuaskan. Beliau  adalah Prof. Dr. Tahiyya ‘Abdul ‘Aziz yang mengarang kitab berbahasa Inggeris “Arabic Language the Origin of Languages” (Bahasa Arab, Asal-usul Bahasa-bahasa di Dunia). Menurut beliau bahasa Arab secara akademiknya mampu membuktikan bahawa ia merupakan bahasa pertama manusia.
[4] Bahasa Aram (Iram Bin Sam Bin Nuh)  adalah bahasa Semitik dengan sejarah selama 3.000 tahun. Bahasa ini pernah menjadi bahasa pemerintahan berbagai kekaisaran serta bahasa untuk upacara kegamaan. Bahasa Aram adalah bahasa asli sebagian besar Kitab Daniel dan Ezra dalam Bible, dan merupakan bahasa utama yang dipakai dalam kitab Talmud. Bahasa ini juga merupakan bahasa ibu Nabi Isa. Aram Kini dituturkan sebagai bahasa pertama banyak masyarakat   terutama bangsa Asyiria dan Chaldea. Bahasa ini dianggap sebagai bahasa yang terancam.  Bahasa Aram tergolong dalam rumpun bahasa Afro-Asia yang terdiri dari berbagai bahasa. Bahasa ini merupakan sebahagian dalam subfamili Semitik. Aram adalah bagian dari grup bahasa Semitik Barat Laut, yang juga termasuk bahasa Kanaan (seperti bahasa Ibrani). Bahasa Aram juga berhubungan dengan bahasa Arab, menjadi bagian dari bahasa Semitik Tengah; satu sumber yang kemungkinan besar untuk aksara Arab adalah aksara Aram Nabatea.
6. (Kami tetap akan membinasakan orang-orang Yang menentangmu Wahai Muhammad), tidakkah Engkau perhatikan, Bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) 7. Iaitu penduduk "Iram" Yang mempunyai bangunan-bangunan Yang tinggi tiangnya, (sesuai Dengan penduduknya) 8. Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di Segala negeri (pada zamannya)?
(Al Fajr : 6-8)
Bahasa Suryani atau bahasa Sham  adalah sebuah bahasa Aram Timur yang pernah dipertuturkan di sebagian besar wilayah Bulan Sabit Subur. Namun secara luas definisi bahasa Suryani ialah semua bahasa Aram Timur yang dipertuturkan oleh bermacam-macam komuniti Kristian di Timur Tengah.
Bahasa Ibrani (Israel) dan Moabit (Jordan) bisa disebut dialek Kanaan Selatan sedangkan Pheonician (Lebanon) boleh disebut dialek Kanaan Utara. Bahasa Kanaan dekat berhubungan dengan Aram dan juga dengan bahasa Arab Selatan-Tengah dalam kadar lebih sedikit. Manakala dialek Kanaan lain telah pupus, bahasa Ibrani terus hidup. Ibrani berkembang sebagai bahasa tuturan di Israel dari abad ke-10 SM hingga masa sebelum Zaman Bizantium pada abad ke-3 atau ke-4 Masehi. Selepas itu bahasa Ibrani diteruskan sebagai bahasa kesusasteraan hingga Era Moden sebagai bahasa tuturan pada abad ke-19.
[5] Tulisan jurnal Sejarah dan Asal-usul Bahasa Arab: Satu Kajian Linguistik Sejarawi oleh Abd Rauf  Bin Dato' Hassan Azhari.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...