Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Saturday, December 8, 2012

Hilang Kepedulian Sosial Akibat Media Sosial?


Hilang Kepedulian Sosial Akibat Media Sosial?
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Bc (Hons) Eng UM

Dalam kalangan 230 buah negara, Laman SocialBakers.com melaporkan Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook (FB) paling ramai di dunia. Pengguna FB di Malaysia kini mencecah hampir 13 juta orang (setakat tarikh makalah ini ditulis).

Dari segi populasi, Malaysia berada di ranking ke 44 negara yang mempunyai paling ramai penduduk.
Menurut kajian Says.MY, secara purata, pengguna Malaysia dilaporkan menghabiskan lebih daripada 9 jam seminggu pada rangkaian sosial popular itu. Selain itu, para pengguna Malaysia secara purata mempunyai lebih daripada 233 orang rakan pada akaun FB mereka, menjadikan pengguna Malaysia merupakan antara pengguna dengan bilangan rakan yang paling ramai didunia.




Walaupun berita ini menunjukkan petanda celik IT yang semakin memberangsangkan di kalangan rakyat Malaysia, hakikatnya ia juga memberi kesan terhadap hubungan sosial yang sebenarnya atau hubungan sosial realiti. Ia berlawanan dengan hubungan sosial secara maya yang dipopularkan melalui media sosial elektronik.

Penulis bersetuju dengan tulisan Afiq Hanif bertajuk Manusia Kurang Bermasyarakat  yang disiarkan dalam Harian Metro, 10 Oktober 2012 yang lalu. Penulis tersebut lebih mengaitkan aspek buang masa dan penumpuan media sosial sehingga mengabaikan hubungan sesama manusia secara realiti. Namun begitu banyak lagi akibat dan penyebab mengapa  media sosial diyakini telah menghakis budaya kepedulian sosial manusiawi.

Kepedulian sosial adalah budaya manusia yang lahir seiring dengan perkembangan kehidupan manusia.
Islam menekankan aspek hubungan Hablum Min Allah dan Hablum Min An Nas iaitu hubungan vertikal ketuhanan dengan hubungan horizontal manusiawi.
Hubungan manusiawi ini perlu dijalin dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab sosial dan bukan atas kepentingan diri dan nafsu.
Manusia yang normal perlu menjaga hubungannya dengan Yang Maha Pencipta Allah S.W.T. dan juga sejauh mana kemampuan seseorang itu menserasikan hubungannya dengan sesama manusia. Inilah yang menjadi titik tolak dalam kehidupan insan muslim mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T. Inilah yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

'Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga berbuat baik sesama manusia..' (Surah Ali-Imran: 112)


Dalam Surah Al Maidah, ayat ke 2 di atas Allah berfirman;
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Manusia perlu menjalin hubungan atas dasar taqwa dan kebaikan melalui interaksi sosial yang baik serta bersifat insani. Interaksi sosial  adalah hubungan-hubungan sosial yang dinamis. Hubungan sosial yang dimaksudkan mungkin dalam  hubungan antara individu yang dengan individu lain, antara kelompok dengan kelompok lain, mahupun antara kelompok dengan individu.
Berinteraksi secara media sosial elektronik tidak insani atau manusiawi. Ia cukup kaku. Ia hanya suatu mekanisme pertukaran mesej dan maklumat tanpa melibatkan sentuhan, rohani dan nurani sejati manusia.
Penulis cuba paparkan sebahagian kecil penelitian penulis berkenaan impak kegilaan media sosial terhadap sikap kepedulian sosial pengguna berkenaan.

  • Kenduri kahwin yang suatu ketika dahulu diadakan secara gotong royong kini hanya dilaksanakan secara ‘ekspres’ melalui khidmat katering dan upah. Bukan sekadar itu, hadirin ke majlis kenduri juga semakin kurang walaupun dijemput! Penulis kerap kali melihat mereka yang dijemput melalui kad elektronik media sosial hanya ‘like’ atau memberi komen tahniah atau mungkin hanya memuji kecantikan baju dan perhiasan pengantin. Rata-rata mereka tidak hadir ke kenduri dan tanpa rasa bersalah sedikit pun. Adakah jemputan kenduri walimah al urus itu hanya untuk di’liked’ sahaja?
  • Masjid dan surau kian kurang pengunjungnya. Pengamal media sosial kelihatan ada yang gemar berinteraksi, memberi komen atau melontar kritikan terhadap aktiviti kariah di masjid. Tetapi mereka tidak memainkan peranan aktif atau tidak mengunjungi masjid sebenarnya. Adakah masjid hanya menjadi objek perbualan di media maya?
  • Masyarakat kini sudah hilang kepedulian sosial malah hanya kelihatan ramah di media elektronik. Banyak bercakap itu dan ini, memberi pandangan dan sebagainya sebaliknya hilang budaya kunjung mengunjungi, ziarah dan santuni melalui sentuhan sejati. Masyarakat kita kini kelihatan luntur kepeduliannya dan mereka memang tidak peduli!
Ketagihan remaja – remaja semakin hilang kepedulian
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din menyatakan ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan  talian.

Menurut beliau lagi, kini kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial FB (FB).

Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi. Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar lebih suka menyendiri. Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik, luntur setiakawan dan kerja dalam kumpulan.



facebook
Hilang sensitiviti, simpati dan belas ihsan
Menurut Utusan Pengguna (CAP) Mac-April 2011, CNN ada melaporkan bahawa terikat dengan media sosial boleh menyebabkan kekakuan moral dan menjadikan kita tidak peduli terhadap penderitaan manusia walaupun mungkin media sosial menyediakan maklumat viual berkenaan pelbagai isu.
Aliran maklumat yan g disediakan oleh laman rangkaian sosial terlalu cepat untuk dihadam oleh otak dan ia mampu menjejaskan emosi golongan muda dan remaja.
Menurut kajian Universiti California, sebelum otak menyerap sepenuhnya kesakitan dan penderitaan dalam sesuatu cerita, mereka telah dihujani denghan pelbagai huraian dan komentar terkini melalui media sosial yangt tidak kenal henti.

Menurut Mary Helen yang menyediakan kajian  Proceedings National Academy of Sciences Online Early Edition, beliau berpandangan kesan psikologi terlalu rendah apabila manusia hanya kenal isu semasa, penderitaan dan kepayahan masyarakat hanya melalui media sosial menyebabkan krisis kepedulian yang teruk.

Lepak dan terus melepak tanpa peduli
Melepak di kalangan remaja suatu ketika dahulu sinonim dengan ungkapan, “aku apa peduli, relek la member…lepak dulu….”. tanpa disedari melepak juga menghakis kepedulian sosial di kalangan warga rakyat.
Suatu ketika dahulu juga, esei karangan untuk UPSR sehinggalah STPM kerap menggunakan tema gejala lepak malah ia dianggap musuh utama kaum remaja sekitar awal tahun 1990an. Kini gejala lepak tidak lagi berlaku di kaki tangga kompleks membeli belah sebaliknya ia menular tanpa mengira masa dan tempat. Ia menjangkiti mana-mana individu tanpa mengira usia iaitu pengguna media sosial melalui i-pad, tablet, telefon pintar dan sebagainya.

Melepak dalam bahasa mudah ialah duduk tanpa melakukan perkara yang berfaedah. Kewujudan khidmat jaringan sosial seperti FB menyediakan pilihan baru kepada golongan remaja untuk melepak. Seseorang yang melepak menggunakan FB kadangkala lebih lama daripada melepak di tempat awam.

Menurut Bahrain Samah dalam tulisannya yang disiarkan oleh Sinar Harian,  13 Januari 2012, suatu ketika dulu kompleks membeli-belah merupakan dan tempat awam menjadi lokasi tumpuan melepak remaja. Apabila wujud program Internet Relay Chat (IRC), pengguna internet dari pelbagai peringkat umur mengambil kesempatan perkembangan teknologi tersebut bukan sekadar untuk berinteraksi (chit-chat) tetapi sebagai tempat melepak baru.
Kini media sosial FB dan Twitter mengambil alih. Berbual  dengan rakan FB yang tidak tentu hujung pangkal bukan mengambil masa sejam dua malah berbelas-belas jam sehari!
Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Alexa.com, Indonesia dan Malaysia merupakan pengguna kedua dan ketiga terbesar Friendster dengan masing-masing mewakili 20.3 % dan 10.8 % daripada jumlah keseluruhan pengguna laman berkenaan pada Julai 2009. Berdasarkan statistik ini, laman sosial merupakan satu medium interaksi yang popular dikalangan pengguna internet.




sumber: Google Image

Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report' (NOLR) yang dijalankan di Malaysia mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, para remaja menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet.  Manakala,kajian yang dilakukan oleh Grunwald Associates LLC mendapati golongan ini menghabiskan hampir 9 jam seminggu melakukan aktiviti dalam jaringan sosial ini.

FB adalah sebuah jaringan laman sosial yang sangat popular buat masa sekarang yang mula dibina pada tahun 2004 oleh Mark Zuckerberg - seorang mahasiswa University Harvard. Mark Elliot Zuckerberg atau Mark Zuckerberg dilahirkan pada 14 Mei 1984 di Dobbs Ferry, Westchester County, New York, Amerika Serikat (AS). Beliau merupakan jutawan yang termuda didunia dengan kekayaan semasa mencecah US$14 billion.

Mark Zuckerberg telah bertemu dengan Peter Thiel iaitu pengasas Paypal. Hasilnya Peter Thiel telah bersetuju untuk memberi dana sebanyak US$500,000 seterusnya menjadi pelabur pertama FB. Itu membuatkan Mark Zuckerberg beralih ke pejabat yang lebih besar. Pada Ogos 2005, Mark Zuckerberg telah membeli domain www.FB.com daripada Aboutface Corporation yang bernilai US$200,000.
Pada September 2005, FB mula diperkenalkan khusus untuk pelajar sekolah menengah dan dalam masa 15 hari sahaja, sebahagian besar sekolah di AS telah menyertai FB. Pada akhir tahun 2005, FB telahpun berkembang ke 2,000 universiti dan 25,000 sekolah menengah di AS, Kanada, Mexico, Puerto Riko, Australia dan beberapa negara lain.
Pada April 2006, palabur pertama FB iaitu Peter Thiel bersama Greylock Partners dan Meritech Capital Partners telah menambah pelaburan di FB dengan dana sejumlah US$25 juta.
Menurut kajian barat, negara-negara pengguna awal FB seperti Amerika Syarikat menunjukkan kadar pertambahan pengguna baru FB semakin perlahan, berbanding kadar pertambahan penduduk di negara-negara sedang membangun seperti India dan Brazil.
Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh SocialBakers (syarikat kajian pemasaran online dari US), separuh daripada rakyat Malaysia menyertai FB, iaitu 50.29% daripada jumlah penduduk dan angkanya sehingga Oktober 2012 mencecah kepada 13,154,060 juta orang. Ini meletakkan Malaysia berada pada tangga ke-17 daripada jumlah pengguna FB seluruh dunia.

Remaja dan media sosial
Mengikut SocialBakers lagi, kumpulan terbesar yang menyertai FB adalah mereka yang berumur dari 18-24 tahun iaitu sebanyak 34%. Dari segi jantina, 53% daripada mereka terdiri daripada lelaki, dan selebihnya (47%) adalah perempuan.

Mengikut statistik yang didapati sehingga Julai 2012, sebanyak lebih daripada 500 juta akaun Twitter kini wujud di dalam server mereka, dengan  puratanya sebanyak 175 juta tweets dihantar sehari.
Mengikut kajian juga, sebanyak 95% pangguna Twitter mengakses akaun mereka menggunakan mobile/smartphone. Ini jelas menunjukkan pengguna lebih selesa menggunakan smartphone untuk mengakses akaun mereka di dalam sosial media. Hakikat ini juga turut diakui oleh pengasas FB sendiri, Mark Zuckerberg.

Ericsson ConsumerLab menjangkakan penembusan operasi telefon pintar di kalangan pengguna Internet negara ini berpotensi meningkat daripada 47 peratus kepada 73 peratus menjelang akhir tahun 2012. Telefon pintar, komputer tablet dijangka mencatatkan penembusan tiga kali ganda daripada 14 peratus kepada 48 peratus berikutan ciri mudah alih dan saiz peranti terbabit.
Kini remaja dan pelajar sekolah juga mampu memiliki telefon pintar serendah harga RM 250. Jelas segala impak negatif media sosial juga mampu mempengaruhi golongan seawal remaja. Krisis kepedulian sosial yang diwacanakan di sini juga kini berlegar di kalangan remaja.

Jatidiri wanita dan kekeluargaan musnah
Saintis Sekolah Psikologi di Universiti Flinders, Australia, Dr Amy Slater dan Profesor Tiggemann berkata hasil kajian menunjukkan dapatan yang  membimbangkan iaitu berkaitan krisis jatidiri atau ‘self esteem’  di kalangan wanita.

Pihak mereka telah  menyiasat peranan media sosial dalam menentukan imej diri gadis remaja. Mereka mendapati bagaimana remaja perempuan memperuntukkan masa lapang yang panjang untuk melayani media berkenaan dan apa mereka rasai mengenai diri dan tubuh mereka.
Menurut laman sesawang http://pewinternet.org/, pada bulan Ogos 2012, 75% daripada wanita adalah pengguna laman rangkaian sosial, berbanding dengan 63% daripada kalangan orang lelaki.
Wanita juga lebih aktif dalam penggunaan laman-laman ini dengan lebih separuh daripada pengguna internet wanita yang menggunakan laman rangkaian sosial pada hari biasa (54%), berbanding dengan 42% pengguna internet lelaki.

Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Singh menyatakan kajian kementerian mendapati kewujudan FB dan Twitter memberikan kesan kepada peningkatan masalah sosial dalam institusi keluarga khususnya kes perceraian dan pertikaian antara suami isteri. 
Di Amerika Syarikat, kes perceraian meningkat kira-kira 81% disebabkan oleh laman sosial berkenaan.
Selain disebabkan profil dan perkongsian gambar yang menyebabkan porak peranda rumah tangga, penceraian juga disebabkan kurangnya si pengamal media sosial berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat sehingga tanggapan jiran dan keluarga tidak diambil hirau lagi. Jiwa individualistik ini mengakibatkan mereka sanggup melakukan perbuatan curang dan sebagainya.

Gejala Narsissistik menatijahkan gejala hipokrit dan penting diri sendiri.
Remaja yang sering berFB dan bermedia sosial akan mendapat gred yang lebih rendah di sekolah, menurut kajian di AmerikaSyarikat (AS).
Mereka juga berkemungkinan mempunyai masalah tingkah laku dan kecenderungan narsissistik akibat menghabiskan terlalu banyak masa berinteraksi di alam maya.
Beberapa kesan negatif hasil penggunaan media sosial berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan Larry D Rosen dari California State University, Dominguez Hill. Kajian yang dibentangkan American Psychological Association di konvensyen tahunan ke 119 mendapati penggunaan FB berpotensi membentuk narsissisme pada remaja belasan tahun.

Narsissisme ialah istilah psikologi yang merujuk kepada karakter yang memerlukan perhatian dan diminati secara berlebih-lebihan. Remaja awal dua puluhan yang sering menggunakan FB pula menunjukkan tanda beberapa masalah psikologi seperti perangai antisosial, peningkatan mood secara keterlaluan dan berkelakuan agresif.

Professor psikologi, Larry Rosen berkata penyelidik melihat sebagai seorang pelajar, mereka sekurang-kurangnya menghabiskan 15 minit masa yang penting bagi seorang pelajar semata-mata untuk melayari FB.
Pasukan penyelidik di California State University mendakwa tumpuan pelajar terhadap pelajaran akan luput secara berperingkat kerana kesibukan untuk memeriksa status halaman FB mereka.
Menurut kajian di Kanada pada tahu 2010 dalam Jurnal Cyberpsycology, Behaviour and Social Networking, pengguna FB mengalami narsississtik dan rasa rendah diri yang teruk. Hal inilah mengakibatkan mereka mula menjadi anti sosial yang sebenar.
Ramai pengguna media sosial menggunakan gambar individu lain atau ikon tertentu untuk menyembunyikan wajah sebenar. Mereka sanggup berhias lawa untuk mengelakkan orang ramai tahu bahasa tubuh mereka, wajah sebenar, sikap dan sensitiviti sebenar mereka. Hal ini menjadikan mereka hipokrit dan kesannya masyarakat kita akan mengalami krisis hilang tanggungjawab sosial yang menghendaki ahli masyarakat yang aktif, yakin, jujur, serta prihatin dengan hal sekeliling. Mereka mengelak daripada berdepan dengan masyarakat natijahnya majlis gotong royong, kenduri-kendara akan terus muram dan lengang.
Narsissis atau menurut pakar psikologi, ‘keegoan berlebihan’ akan memasukkan profil laman sosial mereka dengan banyak gambar-gambar, senarai rakan dan aktiviti mereka. Kadangkala penulis juga merasakan gejala ini juga menjangkiti diri penulis tanpa disedari.

Golongan narsissis menggunakan media sosial untuk memperomosi diri dengan menekankan kuantiti dan bukannya kualiti. Demikian menurut kajian dalam jurnal Personality and Social Psycology Bulletin, keluaran Oktober 2008.

Dalam dunia sebenar, mereka yang bersifat narsissistik mempunyai hubungan yang mengecewakan. Narsisisme menghalang kemampuan bentuk hubungan manusia jangka panjang yang sihat. Narsisisme mungkin dilihat menawan tetapi mereka berakhir dengan menggunakan orang lain untuk kepentingan mereka sendiri, mereka melukakan orang di sekelilingnya dan melukakan diri sendiri dalam jangka panjang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...