Pembunuhan Beramai-ramai di Amerika; Salah
Siapa?
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Presiden Amerika Syarikat, Barack
Obama menyeka air matanya ketika berbicara dalam upacara mengenang mangsa korban
tembakan rambang atau pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Dasar Sandy Hook di Newtown, Connecticut
pada 14 Disember 2012 lalu. Sebanyak 26 nyawa melayang dalam tragedi itu, antaranya
20 orang kanak-kanak berusia 6 hingga 7
tahun[1]. Tangisan turut
memenuhi ruangan tempat upacara mengenang mangsa tembakan ketika Obama
membacakan nama dua puluh pelajar kelas
I SD yang menjadi korban dalam tragedi tersebut.
Tiga hari sebelumnya, seorang lelaki
bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelanggan di sebuah pusat membeli belah berdekatan
Portland, Oregon, meragut nyawa dua orang dan mencederakan pelanggan lain.
Pembunuhan beramai-ramai sinonim
dengan jolokan homisid atau penembakan rambang ini berlaku berulang kali dan
sering dikaitkan dengan hanya 2 faktor utama iaitu
- Tahap mental rakyat Amerika yang
cukup terjejas (mental disorder).
- Budaya pemilikan senjata yang
terlalu bebas di Amerika. Malah ada kuasa gelap yang menghalang sebarang
pengharaman penggunaan senjata.
Obama hanya mampu berjanji mengatakan
bahawa beliau akan berupaya sekuat tenaga untuk mencegah penembakan seperti itu
berulang kembali, malah hanya mampu meminta perubahan dalam cara kerajaan
berurusan dengan kekerasan senjata walau kelihatannya beliau cuba menghindari penggunaan perkataan ”pengendalian senjata api”.
Beberapa pemimpin Parti Demokrat dan
Senator Joe Lieberman dari golongan bebas mengatakan sudah sampai masanya mereka
membahaskan isu pengawalan senjata.
Dalam peristiwa 14 Disember 2012, Adam
Lanza dikatakan membawa ratusan peluru sehingga mampu meragut ramai lagi nyawa
sekiranya tidak dicegah oleh petugas sekolah.
Amerika Syarikat adalah negara yang
mempunyai kadar milik senjata api di kalangan rakyat yang tertinggi di dunia .
Negara yang melaksanakan sistem
kehidupan liberal dan bebas dalam pelbagai aspek ini juga merupakan negara yang
paling longgar dalam undang-undang pemilikan
senjata api di dunia.
Statistik pada tahun 2007 menunjukkan
kadar 88 pemilik senjata api bagi setiap 100 orang di Amerika. Hal ini
meletakkan Amerika di tangga pertama dunia dan dipercayai statistik ini telah
meningkat kini[2].
Pada 2009, Amerika Syarikat mempunyai
penduduk seramai 307,000,000 orang.
Berdasarkan data pengeluaran dari pengeluar
senjata api, terdapat kira-kira 300 juta senjata api yang dimiliki oleh orang
awam di Amerika Syarikat pada 2010. Daripada jumlah ini, kira-kira 100 juta
adalah pistol[3].
Budaya cinta senjata- akibat
liberalisme di Amerika.
Liberalisme di Amerika sudah mencapai
tahap siling. Ia sudah menajdi budayamalah budaya ini meresap dalam pelbagai
aspek baik daripada aspek teologikal, pergaulan, seks, ekonomi, politik,
bersuara dan ekspresi sikap serta kebebasan memiliki apa sahaja termasuk
senjata.
Liberalisme juga menjadi punca krisis
kemerosotan mental yang menyebabkan gejala sakit jiwa menjadi topik hangat
saban tahun bukan sahaja di Amerika malah hampir semuanegara G8 yang dianggap
maju dan liberal.
Menurut Dr Sidek Baba, fahaman
pasca-modernisme yang menolak autoriti dan hierarki adalah salah satu cabang
faham neo-liberalisme yang berkembang di Barat dan sedang menjangkiti
masyarakat negara lain. Darinya lahir faham anarki (disorderly) yang menolak
sesuatu yang bersifat tradisi dan berkait dengan agama.
Liberalisme yang menjurus kepada
budaya anarki inilah yang kini menjangkiti cara politik, uruskelola malah
menjangkiti sistem kemanusiaan dan sosial masyarakat Amerika sehingga kebebasan
menjadi Tuhan yang kini menggigit mereka sendiri. Memiliki senjata secara bebas
mampu mengundang budaya anarki.
Liberal mereka bukan sekadar aspek
budaya, agama, makan minum mahupun pergaulan, ia juga merebak sehingga ingin
memiliki senjata secara bebas umpama filem cowboy yang mereka
popularkan. Bayangkan suatu ketika dahulu Barat pernah hadir ke Asia untuk
menghapuskan penggunaan senjata kepada setiap rakyat jajahan mereka. Filem ‘The
Last Samurai’ sebagai misalannya.
Reuters pernah melaporkan majoriti
warga Amerika menyokong hak untuk menggunakan senjata api di tempat umum. Sebahagian
besar warga AS ini beranggapan, membawa senjata api boleh melindungi diri daripada jenayah yang semakin marak di AS belakangan ini.
Kelompok pendukung dan pelobi
penggunaan senjata api AS, National Rifle Association (NRA) pernah
membuat undian talian elektronik dan hasil menunjukkan, 68% atau dua pertiga
responden setuju penggunaan senjata, bahkan di tempat umum sekalipun.
Betapa rosaknya pemahaman warga
Amerika berkenaan fiqh keamanan ini terserlah kerana keputusan
undian ini diperolehi di saat kes seorang remaja kulit hitam tidak bersenjata,
Trayvon Martin maut ditembak warga kulit putih, George Zimmerman.
Malah menurut sebuah organisasi, The
Brady, gerakan yang berkempen pencegahan kekerasan bersenjata, hampir 100 ribu
orang maut akibat ditembak setiap tahun. Statistik dari pemerintah AS cukup
mengejutkan iaitu 31.347 orang mati di AS pada 2009 kerana tertembak[4].
Menurut tulisan Donny Syofyan,
kebanyakan warga Amerika berpendapat senjata adalah sebahagian daripada kebudayaan. Mereka memandang “warga yang
dipersenjatai” (armed citizenry) sebagai sebuah pengawasan yang sangat ampuh
terhadap kemungkinan munculnya kezaliman pemerintahan. Mereka juga menganggap
budaya masyarakat rural yang mengagungkan kemampuan dan tradisi berburu sebagai
sebuah aspek pertahanan diri dan kejantanan (manliness); dan juga menjadi sebahagian
budaya individualisme. Gagasan ini asalnya wujud dalam tindakan persekusi agama
pada abad ke-17 dan ke-18. Gagasan ini akhirnya berkembang menjadi sebuah
konsep pemerintahan dan citra sikap polisi luar negeri Amerika Syarikat.
Gallup poll yang dilakukan pada 2005
di seluruh Amerika mendapati orang dewasa yang memiliki senjata api:
Individu 30%,
Lelaki 47%, Perempuan 13%, Kulit
putih 18%, Republika 41%, Bebas 27% dan Demokrat 23%.
Manakala sebab-sebab memiliki senjata
adalah:
Perlindungan daripada Jenayah 67%, Menembak Sasaran 66% dan memburu 41%.
Pada tahun 1976, Majlis Bandaraya Washington
DC meluluskan undang-undang umumnya melarang penduduk daripada memiliki pistol
dan memerlukan semua senjata api di rumah-rumah persendirian disimpan, dan
diberikan hak sementara melalui pemasangan kunci pemetik (trigger lock). Pada 26 Jun 2008, Mahkamah Agung AS, dalam
ketetapan 5-4, membatalkan undang-undang ini kerana dikatakan tidak menepati perlembagaan.
Jenayah kerana sakit mental
Semakin maju sesebuah negara, semakin
tinggi kadar pesakit mental di negara tersebut. Demikian menurut Pengerusi
Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Toh Puan Datuk Dr. Aisyah Ong bahawa
mereka yang menderita penyakit mental ini meningkat sebanyak 30% pada setiap
tahun. Peningkatan tersebut boleh dilihat di negara maju seperti Australia,
United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada yang mencatatkan 30 peratus
penghidap penyakit tersebut dalam tempoh masa satu tahun.
Adakah ini tujuan kemajuan? Menghasilkan
rakyat gila?
Masalah mental dan psikologi (mental
disorder) menjadi topik utama kerana dikaitkan sebagai punca kepada jenayah
pembunuhan rambang di Amerika. Adam Lanza, si penembak dikatakan mengidap sindrom Asperger[5].
Sindrom ini adalah satu gejala
autisme di mana para penderitanya memiliki kesulitan dalam berkomunikasi dengan
orang di persekitarannya, sehingga mereka kurang begitu diterima. Akan tetapi
ia bukan suatu penyakit mental atau penyakit akibat tekanan mental dan stres. Bagi
kes ini mungkin tekanan mental bukan suatu topik yang sesuai untuk dikaitkan
sebaliknya isu kebebasan memperolehi senjata yang perlu diwacanakan walaupun
banyak kes lain juga disebabkan masalah mental yang gagal diurus melalui sistem
pendidikan, keagamaan dan persekitaran di Amerika.
Tragedi berdarah di Sekolah Sandy menyebabkan
tahun 2012 bakal meninggalkan warga dunia satu tanda merah melalui pristiwa
keganasan yang kali ini tidak dilakukan oleh pihak Muslim Amerika.
Tragedi sebegini dianggap sebagai suatu
petaka baru dalam sosial Amerika kerana ia bukan kes yang pertama kali berlaku.
Pembunuhan sasaran mudah (soft target) di AS sebelum ini sudah berlaku malah
insiden sebelum ini baru sahaja berlaku
di pawagam di Colorado pada 20 Julai 2012.
Julai lalu, seorang mahasiswa
pascasarjana yang mengalami gangguan jiwa melepaskan tembakan ketika filem Batman
terbaru ditayangkan di sebuah bioskop di Colorado dan membunuh 12 orang. Kurang
dari sebulan kemudian, seorang veteran Tentera Darat membunuh 5 lelaki dan
seorang wanita di sebuah kuil Sikh di Wisconsin.
Seperti dalam serangan di Newton ini,
pembunuhan lain sering terjadi di tempat-tempat yang aman dan damai. Seorang lelaki
bersenjata pada awal 2011 membunuh enam orang dan mencederakan 13 yang lain,
termasuk anggota kongres Gabrielle Giffords, ketika ia menemui para pengundi di
luar sebuah pasaraya di Arizona.
Pada 2009, seorang pesakit mental Tentera Darat Amerika membunuh 13 tentera dan orang awam di sebuah pangkalan Tentera Darat di Texas.
Dua tahun sebelumnya, seorang mahasiswa
di salah satu universiti yang besar, Virginia Tech, membunuh 32 orang. Pada
1999, dua siswa SMA di Colorado membunuh 12 teman sekelas dan gurunya.
Majalah Mother Jones melaporkan
bahawa sejak 1982, paling sedikit telah terjadi 61 pembunuhan rambang di
Amerika, yang didefinisikan sebagai suatu serangan bersenjata, membunuh empat
orang atau lebih, dan biasanya di satu lokasi saja[6].
Amerika yang dianggap sebagai negara
polis yang utuh malah satu-satunya negara yang mempunyai tapak tentera di luar
negara terbanyak di dunia, kini menangis hanya kerana masalah mental si
pembunuh rambang. Gambar Obama menangis menghiasi dada akhbar mahupun media
elektronik.
Sehingga
31 Disember 2010, Angkatan Tentera AS telah ditempatkan di 150 buah negara. Sebahagian
daripada kontinjen terbesar berada di Afghanistan iaitu 103700, 52440 orang di
Jerman, 35688 di Jepun (USFJ), 28500 orang di Korea Selatan, 9660 di Itali, dan
9015 di United Kingdom[7].
Keseluruhannya,
77 917 anggota tentera ditempatkan di Eropah, 141 di bekas Soviet Union, 47236
di Asia Timur dan Pasifik, 3362 di Afrika Utara, Timur Tengah , dan Asia
Selatan, 1355 di sub-Sahara Afrika dan 1,941 di Hemisfera Barat.
Dengan kekuatan yang demikian, rakyat
AS seharusnya merasa mereka berada di negara paling selamat di dunia. Ternyata sebaliknya.
AS kini menjadi negara yang paling tidak terjamin keselamatan rakyatnya
memandangkan setiap 10 orang, 8 orang memiliki senjata api. Ternyata negara
Uncle Sam retro ke zaman Cowboy!
Dalam keadaan yang tidak boleh diduga,
kejadian pembunuhan beramai-ramai seolah boleh tercetus secara mendadak
dimana-mana sahaja.
Menurut Presiden Teras Pengupayaan
Melayu, Haji Mohd Azmi Bin Abd Hamid dalam satu kenyataan medianya, di
catatkan bahawa 60 % dari kes homosid di
AS melibatkan senjata api. Malah sejak 1982, dalam tempoh 30 tahun sehingga
2012, sebanyak 62 kes pembunuhan beramai-ramai berlaku di AS. Dari 142 senapang
yang diguna oleh pembunuh, lebih tiga perempat dimiliki secara sah.
Separuh dari kes yang berlaku selama
3 dekad ini adalah di sekolah (12 kes) dan di tempat kerja (19 kes).
Selebihnya, 31 kes, berlaku di bangunan kerajaan, pasar raya, restoran dan
markas tentera[8].
Jelas Allah memberi tanda kepada kita,
dalam keangkuhan pemimpin-pemimpin AS memiliki kekuatan ekonomi dan militeri
dan sombong dengan pembangunan negara mereka, mereka akhirnya tetap terlupa
memberi perhatian kepada kerapuhan kemanusiaan rakyat AS yang sedang melanda
negara mereka. Sebaik-baik perancang (perencana) adalah Allah SWT.
Model pembangunan yang berdasarkan
sistem ekonomi kapitalis yang mengabaikan persoalan membina emosi dan keutuhan rohani kini
mulai ditolak oleh sebahagian besar warga Amerika. Tahun 2011 dahulu Amerika dipenuhi dengan
slogan “Wall Street harus di hancurkan sebelum menghancurkan dunia".
Menurut laman Chicago Tribune bertarikh 4 Januari 2012, rakyat mulai sangsi dengan
kemajuan yang dijanjikan oleh sistem kapitalis kerana jelas kini suasana negara
menghakis nilai moral dan kestabilan sosial mereka[9]. Budaya hidup sekular yang berpaksikan
materialisme, individualisme dan komersialisme telah menjadi agama baru bagi
mereka hasil tajaan kapitalis yang dikaitkan dengan Wall street iaitu petualang
krisis besar ekonomi dan sosial Amerika pada 1929 dahulu.
Justeru, White House perlu abaikan
hasutan dan bawaan sistem yang dianjur oleh para pemodal sahaja sebaliknya
perlu menyibukkan dirinya melihat segala krisis dan kerosakkan akibat dari
polisi mereka.
Kenapa undang-undang kawal senjata
gagal di Amerika?
Rakyat Amerika seolah-olah kembar
siam dengan senjata api, tidak mampu dipisahkan sebagaimana lakonan aksi pelakon
negara mereka di layar perak.
Buktinya dalam pengundian dalam
talian di ABC News / Washington Post menunjukkan bahawa 54 % daripada rakyat
Amerika kini menyokong undang-undang ketat kawalan senjata. Kaji selidik itu
menyatakan bahawa tahap sokongan "berangka tinggi lima tahun, walaupun
tidak ketara berbeza daripada dalam tahun-tahun kebelakangan ini." Di
kalangan Demokrat, 74% memilih sukar untuk dilaksanakan undang-undang kawalan
senjata, tetapi hanya 29% daripada Republikan bersependapat begitu. Pihak tanpa
undian (bebas) jatuh di antara 52%.
Kebanyakan Demokrat sudah memihak untuk kawalan senjata api[10].
Tempat kejadian berkenaan iaitu negeri
Connecticut mempunyai sejarah panjang mengenai pembuatan senjata dan pada masa
sama mempunyai undang-undang senjata paling ketat di Amerika Syarikat. Beberapa
orang penduduk berkata, mereka masih belum bersedia untuk meletakkan senjata
masing-masing. Newtown mempunyai budaya senjata yang aktif, kata penduduk. Malah
ada yang berkata, jika kakitangan sekolah memiliki senjata, kesudahan kejadian
Jumaat lalu mungkin berbeza.
Ada yang berkata, “Senjata bukan isu.
Jika ada orang yang memiliki senjata di situ ketika itu, mereka mungkin boleh
bertindak menghentikan pembunuhan berkenaan. Penjahat akan menggunakan apa saja
peluang untuk mendapatkan senjata. Isu geografi meningkatkan lagi kerumitan
dalam tragedi Jumaat lalu”[11].
Media Huffingtonpost melaporkan dalam tulisan Undang-undang
Kawalan Senjata Gagal Untuk Elak Pesakit
Mental daripada Senjata bertarikh 17 Disember 2012, orang yang mempunyai
sejarah penyakit mental dan kecenderungan ke arah keganasan tidak sepatutnya
mampu untuk membeli senjata api di Amerika Syarikat. Tetapi realitinya, berkata
pakar-pakar undang-undang, undang-undang negeri dan persekutuan, ia hanya
terpakai kepada orang yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai berbahaya
sahaja[12]. Mungkin
pesakit mental tidak dianggap sebagai individu berkemampuan melakukan jenayah
walaupun saban bulan rekod jenayah pesakit mental meningkat.
Undang-undang persekutuan tidak memiliki
kriteria pemilihan pembeli yang layak membeli senjata. Peraturan hanya terpakai
kepada orang-orang yang membeli senjata daripada peniaga berlesen - bererti termasuk mereka yang mempunyai
penyakit mental, boleh membeli apa yang mereka kehendaki daripada individu
lain.
Matlamat asas undang-undang yang
menyekat hak membeli senapang adalah untuk memastikan senapang jauh daripada
tangan orang-orang yang berkemungkinan untuk melakukan tindakan ganas. Dengan
langkah itu, undang-undang tidak berkesan, jelas Paul Appelbaum, Pengarah
Bahagian Undang-Undang, Etika dan Psikiatri di Universiti Columbia jabatan
psikiatri.
Undang-undang Persekutuan bertarikh
hingga 1968 melarang sesiapa daripada memiliki senjata api yang telah
ditetapkan oleh mahkamah atau beberapa badan rasmi lain sebagai bahaya kepada
diri sendiri atau orang lain. Penyimpanan rekod yang lemah dan kekurangan koordinasi
dan pengurusan antara kerajaan negeri dan persekutuan juga mengakibatkan
kelompangan dalam pangkalan data yang digunakan untuk pemeriksaan latar
belakang.
Adam Lanza, 20, mungkin telah
didiagnosis dengan sindrom Asperger, iaitu keadaan yang tidak boleh dikaitkan dengan perbuatan ganas, dan tidak
tertakluk kepada sekatan undang-undang pemilikan senjata ini. Selain itu,
senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut telah dibeli secara sah dan
dimiliki oleh ibunya sendiri yang juga merupakan salah seorang mangsa pembunuhan beliau, Nancy Lanza, 52.
Senjata boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja malah boleh disalah guna oleh
sesiapa sahaja di Amerika.
James Holmes, 25 tahun yang didakwa
membunuh 12 orang dalam Pawagam Aurora di Colo, tahun ini, juga membeli
senapang sah di sisi undang-undang kerana rawatan kesihatan mental yang sedang
diambil tidak melarang terhadap pemilikan senjata api di bawah undang-undang.
Dalam Laporan "Jurang
maut: Bagaimana Hilang Rekod dalam Sistem Semak Latar Belakang Persekutuan meletakkan
senjata ke Tangan pembunuh" yang baru dikeluarkan FBI menunjukkan
berjuta-juta rekod orang yang serius penyakit mental dan penagih dadah hilang
dari pangkalan data NIC kerana laporan pihak negeri yang longgar. Data juga
menunjukkan bahawa 52 daripada 61 agensi persekutuan yang diperlukan untuk
mengemukakan rekod telah tidak berbuat demikian[13].
Bilangan rekod kesihatan mental telah
meningkat sejak Oktober 2010 sebanyak 35% dari 864, 962 kepada 1,171,029 kes.
Walaupun peningkatan ini berlaku,
pangkalan data masih tidak lengkap.
Laporan tersebut menunjukkan kegagalan utama oleh 23 negeri dalam mengemukakan
rekod kesihatan mental kepada sistem persekutuan, dengan 17 negeri yang
melaporkan kurang daripada 10 rekod dan empat negeri iaitu Alaska, Delaware,
Idaho dan Rhode Island mengemukakan rekod sifar!
Dari 31 Ogos 2010 hingga 31 Oktober
2011, kadar penyerahan rekod kesihatan mental di sembilan negeri yang menerima geran
pembiayaan persekutuan meningkat dengan purata 142.3 rekod bagi setiap 100,000
penduduk, berbanding dengan 78.8 rekod setiap 100,000 bagi negeri-negeri tanpa
pembiayaan persekutuan.
Kini rakyat Amerika terbeliak mata
melihat sendiri hasil kegagalan sistem kehidupan negara mereka. Walaupun
Hollywood saban filem mempromosi keunikan karya hidup mereka, ternyata selain
kematian akibat ketagihan dadah dan alkohol di kalangan selebriti Hollywood,
rakyat pula menjadi mangsa stres dan gangguan mental yang serius.
Buang parut jenayah…..
Untuk membuang parut hitam itu,
kerajaan Amerika menutup sekolah yang menjadi noda hitam dalam kehidupan
keluarga mangsa. Sekolah baru untuk murid-murid Sandy Hook dibina[14]. Menurut
Kompas.com yang memetik berita daripada Sky
News, Sandy Hook akhirnya ditutup dan
murid-murid sekolah itu dipindah ke lokasi sekolah yang baru.
Para staf sekolah dan sejumlah
sukarelawan bekerja keras memindahkan meja, kerusi, dan almari dari Sandy Hook
ke sekolah menengah Chalk Hill di Monroe. Seorang pegawai sekolah di Newtown
mengatakan, peralatan yang dipindahkan dari Sandy Hook adalah dari bahagian
sekolah yang tidak terlibat dalam tragedi mengerikan itu.
Bagaimana pengusaha industri senjata
membuang parut jenayah? Menurut The Huffington Post dalam tulisan Alice Hines yang
bertajuk Walmart Pulls Bushmaster Rifle From Website In Wake Of Newtown
Shooting 17 Disember 2012, Walmart telah menarik keluar iklan Bushmaster Patrolman’s Carbine M4A3
Rifle dari kedai web, demikian laporan daripada The Nation[15].
Pistol, senapang gaya tentera yang
menggunakan 0.223 peluru berkaliber, adalah senjata dalam kategori yang sama
dengan senjata seperti yang dilaporkan digunakan oleh Adam Lanza.

Di samping itu, terdapat beberapa lagi
senapang Bushmaster yang menggunakan 0.223 peluru berkaliber. Pihak berkuasa Amerika
pula tidak mendedahkan model sebenar yang digunakan oleh Lanza. Mungkin untuk
melindungi pengusaha penjual senjata yang kuat melobi di White House malah
negara mungkin masih ketagihkan cukai daripada mereka.
Menurut jurucakap Walmart juga, Walmart
sebagai penjual senjata secara runcit terbesar di dunia dengan 4602 lokasi di
Amerika Syarikat, menjual lebih banyak senjata api dan peluru berbanding pesaing
lain. Walmart sebenarnya telah berkembang jualan senapangnya daripada 1300 kepada 1750 kedai pada tahun 2011.
Permintaan untuk senapang telah
meningkat berbanding tahun 2011 disebabkan minat di kalangan generasi muda dan kerana
mereka takut munculnya undang-undang kawalan senjata baru ekoran pemilihan
semula Presiden Obama.
Budaya penjualan senjata terbuka
sebegini mengakibatkan Amerika sewajarnya diisytihar sebagai salah satu negara
paling tidak selamat untuk warganegaranya!
Mike Hammond, ketua pelobi pemilikan
senapang yang paling berpengaruh berkata Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA), pelobi
senjata terbesar negara kini hanya bersembunyi dari media seperti tupai
berikutan insiden Sandy Hook[16].
“NRA selalu berlakon begitu, apabila
ada satu tragedi, berada dalam mod pura-pura tidak tahu," jelas Hammond kepada The Huffington Post.
NRA dikatakan berkata bahawa mereka tidak
akan mengulas mengenai penembakan rambang (mass shooting) itu sehingga fakta benar-benar diketahui.
Cukup pelik apabila jurucakap lantang
Gun Owners of America iaitu Larry Pratt berkata bahawa cara terbaik
untuk melindungi orang dari tembakan rambang sebegitu adalah dengan memastikan
lebih banyak senapang dibenarkan berada di lebih banyak tempat. "Zon bebas
senjata” katanya adalah hanya seperti magnet untuk menarik raksasa(pengganas)
dalam masyarakat kita. Teori Pratt ini bukan teori terpencil malah ia seumpama
fahaman barbarian dalam membahaskan isu keselamatan awam iaitu semakin banyak
senjata semakin aman masyarakat.
Hanya beberapa jam selepas Presiden
Barack Obama menegur rakyatnya di Newtown, Connecticut, untuk melindungi
kanak-kanak daripada keganasan, beberapa pemimpin di Washington kini kelihatan ada otak mula menawarkan sokongan
kepadanya untuk sekatan baru ke atas pemilikan senjata.[17]
Mereka yang lantang antaranya Senator
Joe Manchin, seorang Demokrat Konservatif dari West Virginia dan ahli sepanjang
hayat Persatuan Negara Rifle (RPK), yang mengakui bahawa penyembelihan sebanyak
20 kanak-kanak dan enam dewasa dalam Newtown Jumaat lepas cukup memberi kesan.
Senator Mark Warner Virginia, yang
juga rapat dengan NRA serta Senator Harry Reid yang selama bertahun-tahun menyokong
kuat hak bersenjata, kini membuka pintu kepada perubahan dalam undang-undang.
Menurut independent.co.uk dalam
artikel bertajuk Newtown massacre: US braced for change -
but gun lobby stays silent, sejak tragedi Sandy ini berlaku perdebatan
memang cukup hebat berhubung isu bagaimana untuk mencegah satu lagi pembunuhan
beramai-ramai. Tetapi satu suara, mungkin suara yang paling berpengaruh berkenaan
isu ini iaitu Persatuan Senapang
Kebangsaan (NRA)[18].
Antara komen popular mereka ialah ‘No comment’
yang telah dibuat setiap pemimpin NRA kepada media arus perdana halaman
Facebook mereka. NGO yang banyak berkempen
untuk memperjuangkan , "hak rakyat untuk menjaga dan memikul senjata
tidak boleh dilanggar" ini memiliki 4.3 juta ahli.
Pada tahun 2008 misalnya, NRA telah
menghabiskan $100 juta (£ 62m) untuk
menggagalkan kempen presiden Barack Obama, kerana mempercayai Obama akan cuba
untuk mengharamkan pistol. Satu kempen iklan pada tahun 2012 yang bersifat anti-Obama
masih menonjol di laman web persatuan itu, mendakwa jika diharam sahaja
penggunaan senjata maka kerajaan akan
"mengharamkan senapang biasa, termasuk beberapa yang senapang yang paling
popular digunakan oleh rakyat mematuhi undang-undang untuk memburu, sasaran
menembak dan mempertahankan diri".
Kelompok NRA ini adalah kini antara
petualang petaka kadar jenayah bersenjata yang kian tinggi di Amerika malah
usaha menjatuhkan Obama adalah perlu untuk memastikan kapitalisme senjata
mereka benar-benar leizze faire.
Obama perlu memilih antara nyawa
rakyat, kemanusiaan dan keadilan atau memilih untuk terus bertongkat langit
politik dengan bantuan pelobi NRA yang berkepentingan.
Era Obama era syurga senjata
Obama yang menangisi kematian
kanak-kanak tersebut sepatutnya malu kerana penjualan senjata di Amerika pada
era pemerintahan beliau kian meningkat. Laman sesawang Ammo.net melaporkan,
pengeluaran permit rahsia untuk membawa senjata dan penjualan senjata pada era
Obama melonjak[19].
Pemerintahan Obama juga disebut-sebut
sebagai saudagar senjata terbesar di AS.
Huffington Post juga menyebut bahawa
perusahaan-perusahaan senjata di Amerika Syarikat terus meningkat.
Berdasarkan statistik Ammo.net, sejak
pentadbiran Obama, hasil pajak dari
penjualan senjata di Amerika meningkat hingga 49% bahkan di sejumlah negara bahagian
North California, Iowa, dan Utah, peningkatannya melebihi 100%.
Kini artis Hollywood juga mengkritik lantang
sikap Obama yang tidak bersungguh mengawal senjata. Mereka meminta Obama segera
mengawal peredaran senjata di negara Uncle Sam tersebut. Selebriti Hollywood seperti Ben Stiller dan Susan
Sarandon menekan kawalan senjata untuk
mencegah pembunuhan berulang[20].
Melalui Twitter, Sarandon
menyampaikan kritikannya terhadap NRA yang menjadi petualang.
A protestor holds a banner during a march to the National Rifle Association headquarters on Capitol Hill in Washington Monday, Dec. 17, 2012. Curbing gun violence will be a top priority of President Barack Obama's second term, aides say. but exactly what he'll pursue and how quickly are still evolving. (AP Photo/Manuel Balce Ceneta)
Guru bunuh murid di Amerika?
Salah satu cara untuk mengurangkan ‘mass
shooting’ atau jenayah tembakan rambang adalah dengan menghentikan pembiayaan
pengeluar senjata serangan.
Laman sesawang finance.fortune.cnn.com
bertanya pembaca adakah kita semua tahu
bahawa pihak yang memiliki lebih daripada 6% kepentingan saham dalam usaha
membuat senjata 0.223 Bushmaster,
seperti yang digunakan dalam insiden di Newtown, California adalah golongan
guru sekolah awam[21]!
Dalam tulisan bertajuk The
money behind the Newtown massacre menyatakan bahawa tangan-tangan yang
memegang dana untuk penjualan senjata yang menjadi dalang kenapa usaha
pengawalan senjata tidak berjaya. Korporat
seperti Cerberus Capital Management yang dibentuk oleh ekuiti
persendirian dan dana telah melindungi aktiviti jualan senjata secara terbuka.
Cerberus memulakan platform pada bulan April 2006 melalui pengambilalihan
Bushmaster, selepas itu ia menambah 10 lagi industri pembuat senjata api,
peluru dan aksesori (termasuk Remington, Arms Marlin dan Peluru Barnes).
The California State Teachers'
Retirement System (CalSTRS) iaitu persatuan guru bersara komited melabur $ 500 juta ke dalam dana $
7500000000 Cerberus yang telah membawa para guru tersebut memiliki 6.67%
kepentingan dalam pembuat senjata.
Penutup
Di saat Amerika konsisten menggunakan
alasan memerangi pengganas atas alasan negaranya tidak selamat akibat aktiviti
keganasan Muslim, jelas hari ini peristiwa seumpama ini membuktikan paranaoid
sebenar rakyatnya sendiri adalah jenayah dalaman yang bukan dilakukan oleh
rakyatnya yang beragama Islam.
White House yang menjadi tunggangan
Wall Street dan Israel kerap mengeluar tomahan terhadap beberapa negara umat Islam
dalam isu paksi keganasan dan isu keselamatan negara. Malah Pakistan dan
Afghanistan dituduh sebagai negara yang bebas menjual dan menyeludup senjata
sehingga kelihatan menaja aktiviti pengganas antarabangsa.
Amerika yang juga menjadi penganjur
kepada budaya popular, budaya globalisasi dan kemajuan tanpa etika kini
menghadapi suasana barbarian akibat rakyatnya sendiri yang diabaikan.
Muhammad Nuruddin bin Bashah
017 6291368
[7]
Active duty military personnel strengths by regional area and by country"
(PDF). U.S. Department of Defense. 2010. Buka http://siadapp.dmdc.osd.mil/personnel/MILITARY/history/hst1012.pdf
No comments:
Post a Comment