Pembaca Setia

Saturday, December 8, 2012

Graduan tidak mahir berbahasa kebangsaan, siapa peduli?


Graduan tidak mahir berbahasa kebangsaan, siapa peduli?
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan (Kepujian) UM

Menurut Naib Censelor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, ramai pelajar dan graduan masih belum mahir berbahasa kebangsaan. Hal ini mudah dikenalpasti melalui temubual media elektronik terhadap golongan mahasiswa.

Adakah kita kini terlalu asyik berbahas isu graduan tidak fasih berbahasa Inggeris sehinggakan terlupa bahawa graduan negara ini masih jauh daripada sempurna menggunakan bahasa kebangsaan? Selain isu penggunaan bahasa rojak dalam tugasan, pementasan dan persembahan media, mahasiswa juga dikaitkan dengan isu kegagalan menulis dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik.
Graduan memilih Bahasa Inggeris kerana kehendak pasaran kerja. Kerajaan perlu menerapkan dasar bahasa kebangsaan dalam sektor swasta kerana pasaran kerja yang menolak graduan tidak fasih Bahasa Inggeris adalah di kalangan swasta.




Kerajaan misalnya boleh mewajibkan urusan pihak swasta seperti kilang umpamanya menggunakan bahasa kebangsaan dalam menulis laporan atau berurusan dengan pegawai kerajaan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, urusan KWSP dan sebagainya. Kesannya pihak majikan terbabit terpaksa menggalakkan pekerja menguasai bahasa kebangsaan.

Keutuhan bahasa ini penting. Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad pernah menulis artikel bertajuk Tiang Tamadun Melayu dalam Dewan Masyarakat Mac 2008 berkenaan pasak utama kejayaan tamadun bangsa Melayu Islam iaitu keutuhan agama Islam, kekuatan Bahasa Melayu sebagai perantara yang bermanfaat serta keterbukaan minda kaum Islam. Pihak yang cintakan kebudayaan dan keutuhan tamadun negara berasaskan Islam perlu mengambil berat isu ini.

Sektor swasta dan Bahasa Inggeris cukup erat
Globalisasi menekankan kemajuan. Kemajuan pula sering diukur berdasarkan bagaimana tahap pencapaian sesebuah negara itu dalam bidang sains dan teknologi, dan juga berdasarkan tahap pencapaian ekonomi negara tersebut dengan mengambil kira hal-hal berikut;
·         Kadar pertumbuhan ekonomi,
·         Nilai eksport,
·         Jumlah pendapatan dan pengeluaran kasar,
·         Pendapatan perkapita,
·         Jumlah penggunaan tenaga dan bahan api,
·         Bilangan  golongan profesional seperti jurutera, jurubina, juruukur, akitek, akauntan, doktor, peguam, ahli sains, pakar teknologi dan pekerja mahir.
·         Wahana Bahasa Inggeris.





Hakikatnya sektor inustri terutama swasta telah terjebak jauh ke dalam dunia ciptaan agenda globalisasi. Ini terbukti apabila urusan swasta hampir 90% menggunakan Bahasa Inggeris.
Ukuran kemajuan berdasarkan penguasaan Bahasa Inggeris tidak tepat  kerana ada negara maju seperti Jepun, Rusia dan Perancis tetap maju dan berkembang dari segi penguasaan ekonomi, dan sains dan teknologi tanpa Bahasa Inggeris. Biarpun begitu, apa yang jelas kita boleh katakan bahawa globalisasi secara langsung ataupun tidak langsung tetap mempromosi Bahasa Inggeris kerana Bahasa Inggeris kini mendominasi komunikasi dan informasi global. Dengan dominasi ini, Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa global dan kita terjebak dalam tawanan minda ini.

Graduan dan mahasiswa bukan Melayu memilih Bahasa Inggeris?
Penulis melihat sendiri bagaimana seorang graduan bukan Melayu yang bekerja di industri yang sama dengan penulis tidak mampu menulis surat dan memorandum dalam bahasa kebangsaan. Walaupun ada pilihan sama ada menulis dalam Bahasa Melayu atau Inggeris, kebanyakan jurutera dan eksekutif selesa menggunakan kedua-dua bahasa. Bahasa Inggeris digunakan untuk rujukan pelanggan dari luar negara. Namun begitu, penulis hairan bagaimana graduan daripada institusi pengajian awam juga menyatakan kerisauannya yang tidak mampu menulis dalam bahasa kebangsaan.

Semasa penulis mengambil kursus Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sebuah premis NGO industri, penulis melihat sendiri bagaimana peserta kursus yang rata-rata adalah jurutera dan penyelia berbangsa bukan Melayu memilih untuk memiliki set nota dalam Bahasa Inggeris serta mod persembahan media dalam Bahasa Inggeris walaupun diberi pilihan dalam bahasa kebangsaan. Apabila ditanya, mereka pantas menjawab, bahasa kebangsaan terlalu sukar difahami malah sukar mereka menulis semula ayat bahasa kebangsaan ke dalam Bahasa Inggeris. Bermakna kognitif mereka tidak dapat memproses kedua-dua bahasa.

Mereka hanya sesuai dan selesa dengan Bahasa Inggeris. Ya, mereka mahir dengan bahasa antarabangsa. Tetapi bagaimana dengan kaki yang masih memijak bumi Malaysia?

Graduan bukan bangsa Melayu juga lebih selesa memilih mod Bahasa Inggeris jika diberi pilihan dalam menjawab soalan, persembahan multimedia, pembentangan kertas kerja dan tugasan atau menulis surat rasmi.

Apabila penulis membaca banyak karya seperti novel Salina karya Pak Samad, novel Interlok karya Abdullah Hussain dan sebagainya, penulis cukup maklum bahawa Bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu belum dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan penjajah pernah menjadi bahasa yang mengharmonikan hubungan sesama bangsa yang berada di bumi Malaya. Kaum India yang berhijrah dan kaum Cina yang memperkembangkan bisnes pernah menjalin hubungan dan berinteraksi antara budaya melalui bahasa ini. Bahasa Inggeris hanya menjadi wahana interaksi antara rakyat dan kaum penghijrah dengan penjajah British sahaja.

Pada 1 Mac 2001, Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) telah membuat kenyataan dan berpendirian bahawa kelulusan yang baik dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak begitu penting untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Ia disebabkan faktor bahawa kebanyakan program yang dikendalikan oleh IPTS tidak bersifat nasional dan dijalankan dengan kerjasama universiti-universiti luar negara.

Menurut Presiden MAPCO, Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, syarat yang paling utama untuk ke IPTS ialah jumlah kredit yang dimilikinya mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon. Dr. Yahaya mengatakan tidak mengapa jika pelajar tiada kelulusan dalam Bahasa Melayu kerana kebanyakan program yang dijalankan di IPTS bukannya program bersifat nasional dan ia tidak memerlukan bahasa Melayu.
Namun begitu, pendirian Presiden MAPCO tersebut telah disanggah oleh pensyarah Linguistik, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong.

Gagal berbahasa Inggeris; bimbang?
Banyak kajian yang melahirkan kebimbangan betapa lemahnya graduan Malaysia berbahasa dalam Bahasa Inggeris.
Misalnya dikatakan tahap penguasaan Bahasa Inggeris tenaga kerja Malaysia hanya menduduki tempat ketiga daripada lima negara dalam ujian English Language Assessment (Penilaian Bahasa Inggeris)(ELA).
ELA yang dijalankan laman web pekerjaan JobStreet.com mendapati tenaga kerja Singapura menduduki tempat pertama dalam semua kategori pekerja dan pekerja di Filipina menduduki tangga kedua. Thailand dan Indonesia pula masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.
Ujian ELA merupakan pemilihan 40 soalan yang dipilih secara rawak untuk menguji dan menilai kebolehan golongan terbabit dalam Bahasa Inggeris.
Graduan dari Malaysia yang baru bekerja secara purata menjawab 27 daripada 40 soalan dengan betul, manakala graduan baru dari Filipina dan Singapura masing-masing mendapat 28 dan 30 jawapan tepat.

Graduan gagal bekerja kerana Bahasa Inggeris?
Secara umum, semua mengetahui isu kegagalan berbahasa Inggeris secara fasih menyebabkan graduan sukar mendapat pekerjaan. Ini yang dihebahkan.
Namun benarkah hanya faktor berhasa Inggeris sahaja yang mengganggu minat majikan menerima graduan Malaysia?
Jobstreet iaitu firma pengambilan pekerja atas talian terkenal di Asia Tenggara menyatakan sikap kerja tidak baik, kemahiran komunikasi lemah dan permintaan gaji yang tidak realistik mengungguli tiga rungutan terbesar majikan dalam menolak graduan baru.

Jobstreet menerusi emel yang dikirim kepada The Malaysian Insider, sejumlah 64 % yang ditinjau berpendapat sebab utama graduan baru ditolak selepas temuduga adalah kerana calon meminta gaji atau faedah yang tidak realistik.

Manakala 60 %  menolak kerana sikap, personaliti dan watak mereka.
Bagaimana pula syarat kemahiran berbahasa Mandrin diperluaskan hari ini oleh para majikan terutama syarikat yang memiliki nama berbahasa Cina? Bukan sahaja ia mengenepikan dasar utama bahasa kebangsaan, malah ia menjadikan skop kerja menjurus kepada suatu spekrum bahasa baharu yang semestinya mengurangkan peluang graduan mendapat kerja. Sebaliknya majikan tidak meletakkan syarat tersebut cuma memberi galakan untuk pekerja baharu  mengambil kursus bahasa Mandarin sekaligus memudahkan pekerja berurusan dengan pelanggan yang rata-rata di kalangan bukan Melayu.

Menurut Dr. Mataim Bakar dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam, keterlibatan golongan ahli politik juga berperanan. Dengan keterlibatan golongan ini yang juga merupakan golongan pembuat dan penguatkuasa dasar,  secara tidak langsung imej perjuangan lebih terangkat dan pengaruh mereka akan mendorong gerakan memperkasa dan memasyarakatkan bahasa kebangsaan  ini lebih berkesan.
Kita juga tidak boleh terlalu berbahas isu bahasa sehingga mengenepikan realiti global yang menghendaki Bahasa Inggeris sebagai pengantar urusan dunia. Malah ia perlu diraikan dan diterap secara bersungguh-sungguh di kalangan graduan.

Misalnya dalam  wacana Industri Perkapalan di Kepulauan Melayu: Peluang dan Cabaran di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merumuskan masyarakat di Kepulauan Melayu mempunyai peluang yang besar untuk menyertai industri perkapalan antarabangsa kerana keperluan yang semakin meningkat dalam industri itu. 

Malah pakar runding maritim, Dr Sean M Trafford berkata, pelaut dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam mempunyai peluang yang sama besar seperti pelaut dari Filipina yang mengisi 20 % daripada tenaga buruh industri berkenaan pada ketika ini.

Namun begitu, kebolehan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris diperlukan terutama oleh pegawai pengemudi kerana mereka perlu berkomunikasi dengan kapal lain atau dengan stesen pengesan kapal di bahagian pantai selain kebanyakan manual ditulis di dalam bahasa itu. Jadi mahu tidak mahu, graduan yang hendak membelah samudera perlulah menguasai Bahasa Inggeris tanpa melupakan siapa diri mereka yang memiliki bahasa negara sendiri.

Muhammad Nuruddin bin Bashah
31 Laluan Permai Puteh 8,
Taman Siputeh Permai,
31560 Siputeh, Perak.
017 6291368
Akaun GIRO : 07100 – 29- 00006952-7


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...