Pembaca Setia

Thursday, April 24, 2014

DOKTOR SYAITAN JEPUN CETAKAN DARWIN

DOKTOR SYAITAN JEPUN CETAKAN DARWIN
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Bc Hons Eng UM

Manusia zalim ini telah membunuh lebih 12 000 tahanan perang sekitar tahun 1936 hingga 1942 tanpa mengira lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak asalkan ianya tahanan perang Tentera Jepun. Selepas mengumpul sejumlah besar maklumat berkenaan pendedahan senjata biologi, pengguguran paksa, strok simulasi (jadian), serangan jantung, dan eksperimen hipotermia, beliau dibebaskan malah hidup kaya raya dengan menyaksikan 10 000 halaman laporan perubatan syaitannya diambil alih oleh agen rahsia Amerika Syarikat iaitu musuh Jepun dalam Perang Dunia II !

Dr Shiro Ishii

Beliau adalah General Dr Shiro Ishii, seorang ahli mikrobiologi Jepun dan pegawai tentera unit peperangan biologi tentera Jepun yang bertanggungjawab melakukan ratusan ujian terhadap manusia hidup dan jenayah perang semasa perang China-Jepun kedua.

Selepas tamat pengajian sekolah perubatan pada tahun 1922, Dr Ishii telah ditugaskan di Hospital Tentera 1 dan Sekolah Perubatan Tentera di Tokyo. Mangsanya yang terlalu ramai (sesetengahnya menganggarkan puluhan ribu) adalah tahanan terutamanya ahli perang China dan orang awam. Ishii menggelar mangsanya sebagai maruta (kayu balak), satu istilah yang menggambarkan mangsa mereka sebagai lengai, entiti yang wajib dibuang.1.

Menurut Jerry D. Grey dalam bukunya Deadly Mist, ada kebarangkalian besar keluarga Rockefeller yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Freemason terlibat dalam mencatur kebangkitan para sainstis zalim semasa Perang Dunia Kedua itu2. Secara umumnya, kita perlu memahami kemunculan fahaman Fasis oleh kerajaan Jepun dan banyak kerajaan empayar ketika itu adalah berasal daripada kajian dan ketakjuban pemimpin dunia terhadap dogma ajaran Darwin dalam bukunya The Origin of Species (1859)3.

Firman Allah

Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa. ( Al-Qasas: 83)


Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat? (As Sod: 28)

Sejarah senjata kimia/biologi
Penggunaan penyakit sebagai senjata semasa perang bukanlah perkara baru. Orang-orang Rom pernah membuang bangkai haiwan yang dijangkiti kuman ke dalam telaga minuman musuh. Malah, pada abad keempat belas, kaum Tartar telah menimbun mayat berpenyakit di dinding Genoa (Crimean of Kaffa (sekarang Theodosia).

Jauh lebih awal pada tahun 400 SM, orang proto-Iran Kuno (scythians) menggunakan panah yang dicelup ke dalam kotoran dan mayat makhluk hidup yang telah membusuk.
Pada abad ke-6 SM, bangsa Assyria pernah meracuni musuh dengan menyebarkan cendawan beracun yang menyebabkan kesan halusinasi (khayalan). Bangsa Solon dari Athen pula, pada abad yg sama, menggunakan tumbuhan Veratrum untuk meracuni bangsa Phocaea semasa penyerangan4.

Orang-orang Mongol juga terkenal membuang haiwan yang dijangkiti ke dalam bandar-bandar di bawah pengepungan menyebabkan cetusan penyakit. Tentera British dan Amerika pula memberi kaum Red Indian hadiah selimut yang telah dijangkiti cacar dan dianggap pembunuhan massa yang terpanjang di dunia5.

Pihak Jepun mula mengkaji bahawa penyakit mempunyai kesan apabila perang mereka bermula dengan Rusia. Jepun pernah menyertai Konvensyen Hague (1899), yang mengharamkan penggunaan senjata kimia yang biasa digunakan semasa Perang Dunia Pertama. Orang Eropah dan Amerika telah menggunakan gas beracun secara tetap, namun Jepun menahan dirinya daripada menggunakan senjata-senjata ini. Fakta menunjukkan bahawa Jepun mengambil perhatian kebajikan tawanan perang sehingga selepas Perang Dunia Pertama6.

Darwinisme menimbulkan Yamato dan ultra nasionalisme
Jepun sebenarnya seperti bangsa Jerman yang terpengaruh dengan fahaman global ketika itu iaitu perkauman, ketuanan ras, persaingan antara kelas dan bangsa yang dipopularkan oleh Charles Darwin. Jika di Eropah ketuanan Aryan dikumandangkan, di Asia, Jepun ingin menjadi tuan atas nama Asia untuk Asia. Mereka berpandangan mereka bangsa Yamato iaitu bangsa pertama (nukleus) di Asia. Menurut tesis Dr Gregory Dean Byrd, yang merujuk John W. Dower, War Without Mercy: Race and Power in the Pacific War,
First the master race which was Japan, second was the kindred races such as China and Korea, and third was the guest races that were made up of the island people like the Samoans. All the non-Japanese races were seen as lower life forms and should be subservient to Japan” ("Pertama bangsa utama iaitu Jepun, kedua adalah kaum kerabatnya iaitu China dan Korea, dan ketiga ialah bangsa tetamu yang terdiri daripada orang-orang pulau seperti Samoa. Semua kaum bukan Jepun dilihat sebagai suatu bentuk kehidupan yang lebih rendah dan harus tunduk kepada Jepun)

Ramai askar Jepun, pegawai, dan ahli-ahli sains seperti Shiro Ishii, adalah bersemangat ultra-nasionalis yang percaya Jepun harus menjadi negara yang terkemuka dan kedudukan sah rakyat Jepun adalah di bahagian atas hierarki kaum. Ideologi ini adalah sama dengan dogma perkauman Nazi. Untuk Nazi, matlamatnya adalah pembinaan Reich Ketiga di mana rakyat Jerman akan memerintah seluruh Eropah. Bagi kerajaan Jepun Imperial, matlamatnya adalah penciptaan Lingkaran Kemakmuran Asia di mana Jepun akan memerintah kawasan Asia7.

Mereka menganggap bangsa utama iaitu Jepun akan bahagia dan membangun dengan kematian dan pengorbanan bangsa lain yang kurang nilai berbanding bangsa Yamato. Bagi mereka, mengurangkan jumlah manusia itu adalah perjuangan dan manusia yang ramai tetapi tiada nilai akan mengurangkan sumber-sumber untuk kilang atau perindustrian. Inilah fahaman Darwinisme (the class struggle) yang sebenarnya dianuti oleh penganut agama ‘perkauman’ sedunia!

Doktor sakit mental
Sebenarnya bukan Ishii sahaja yang layak digelar doktor syaitan malah ada beberapa lagi pakar perubatan dan saintis yang menjadikan manusia hidup sebagai objek eksperimen atau menganggap manusia seumpama tikus putih makmal8.

Misalnya Dr. Walter Freeman (1895 – 1972). Walter Jackson Freeman II adalah seorang doktor Amerika dan ahli Persatuan Psikiatri Amerika. Walaupun beliau tidak melakukan amalan jenayah langsung terhadap pesakitnya, beliau boleh dipersalahkan kerana mencederakan seramai 3,400 orang dengan menggunakan teknik perubatan yang amat kontroversi dan primitif iaitu lobotomy. Pembedahannya telah dijalankan dengan memasukkan pick logam ke dalam sudut setiap soket mata.

Dr Linda Burfield (1867 - 1938) pula ingin dianggap sebagai ‘Dr Hazzard’. Lebih dahsyat, beliau bukan seorang doktor teknikal, tidak pernah lulus dari kolej perubatan, namun bekerja sebagai pengurus klinik perubatan dan juga pengamal perubatan berlesen di Washington State, Amerika Syarikat.

Beliau tidak membunuh mangsa sebaliknya mendakwa mampu menyembuhkan penyakit menggunakan kaedah bukan konvensional. Burfield mengalakkan kaedah berpuasa untuk menyembuhkan penyakit seperti selsema hinggalah penyakit kanser. Beliau mencipta diet yang zalim yang tidak mempunyai unsur-unsur pemakanan asas iaitu hanya dua mangkuk sup tomato dan satu atau dua oren kecil sehari kepada pesakitnya, untuk tempoh yang panjang sehingga ramai pesakitnya menemui ajal.

Kita mungkin akan mengatakan doktor-doktor di atas bukan penjenayah sebaliknya adalah pesakit jiwa yang memiliki penyakit mental. Tulisan ini lebih kepada usaha menjelaskan kepada pembaca konspirasi besar Amerika dan Zionis dalam menaja puluhan doktor zalim sama ada di kem mereka atau di kem musuh agar kaji selidik dan eksperimen itu kelak dapat digunakan pula oleh mereka untuk mengawal dunia melalui polisi The New World Order pasca Perang Dunia II. Perang Dunia II amat diperlukan oleh Zionis untuk melegitimasikan perjuangan membina negara haram Israel selepas perang. Malah PBB yang dicipta khas sebagai platform menyatukan bangsa di bawah kelolaan Yahudi antarabangsa terhasil selepas perang9. Perang yang tercetus pasti membangkitkan golongan radikal, ekstrimis serta ditiup semangat kedaerahan, perkauman. Natijahnya terbitlah agenda saintis zalim yang sebenarnya dinanti-nantikan oleh Zionis dan proksinya Amerika. Perlu diketahui, Charles Darwin adalah anggota Freemason dan juga merupakan bangsa Yahudi. Tulisan dan ajaran beliau banyak mempengaruhi pemimpin totalitarian dunia sehingga mengheret mereka ke lembah perang dunia.

Karakter Sadisme
Shiro Ishii percaya bahawa tentera membantu negara dengan senjata, para saintis membantu dengan ilmu sains. Oleh itu, saban tahun beliau berulang ke Universiti Kyoto untuk memberi ceramah peranan saintis untuk kejayaan Jepun10. Beliau beriman dengan falsafah kokka banno shugi, iaitu “nation-almighty-ism” (keulungan bangsa).

Nanyan Guo ahli sejarawan dalam tulisannya menyebut seorang yang bernama Hiyama menyatakan "Tiada apa yang memalukan dalam apa yang saya lakukan di Unit 731 ... Kesatuan Soviet juga menjalankan penyelidikan dalam senjata kuman ... saya melakukan ini untuk Jepun, dan saya tidak berasa malu pada semua apa yang saya lakukan . "

Ada yang berkata," Kami percaya bahawa perang itu dijalankan untuk membawa kekayaan ke Jepun, yang merupakan sebuah negara yang miskin pada masa itu, dan untuk membawa keamanan ke Asia ... oleh itu kita percaya bahawa maruta’ (kayu balak/tahanan 731) bukan manusia. Mereka lebih rendah daripada haiwan ... Tiada seorang dalam Unit 731 pernah mempunyai rasa simpati terhadap mereka11.

Dari awal lagi, Ishii terlibat dalam eksperimen manusia secara sukarela. Terdapat bukti jelas bahawa beliau bereksperimen dengan manusia hidup sejak di Maktab Tentera Perubatan di daerah Shinjuku di Tokyo. Pada pertengahan tahun 1980-an, tapak pembinaan atas bekas ibu pejabat Tentera Jepun Perintah Tinggi dibongkar sehingga menemui tulang manusia, termasuk beberapa tengkorak dengan lubang peluru. Pakar-pakar forensik mengenalpasti tulang tersebut berasal daripada ras Mongoloid, dan mereka pasti ia bukan berasal dari Jepun. Siasatan lanjut telah dilarang oleh Kerajaan Jepun12.

Siapakah yang menjadi mangsa percubaan kejam ini? Sebahagiannya adalah ahli komunis, penjenayah biasa, penentang-penentang politik dan mereka yang cacat mental tetapi cergas. Apabila calon-calon sukar didapati, polis rahsia akan mengambil golongan miskin, yang tiada tempat tinggal, di luar jalan-jalan di bandar-bandar di seluruh kawasan diduduki China dan Manchuria. Polis akan diberi arahan untuk menghantar tahanan ke Harbin / Ping Fan atas nama special delivery "Penghantaran Khas." Semua orang yang terlibat dalam perniagaan kotor ini faham bahawa "Penghantaran Khas" adalah perkataan kod untuk mangsa eksperimen manusia yang baru. Sebahagian besar mangsa adalah bangsa Han Cina.
Pembedahan manusia hidup seorang wanita yang hamil di Unit 731. Wanita muda yang hamil dijangkiti sifilis secara sengaja untuk mengkaji kecekapan antibiotik terramycin  Jepun baru pada janin yang dijangkiti

Puluhan unit serupa dengan Unit 731 Dr Shiro Ishii telah ditubuhkan di bawah perintah Perintah Tinggi, pentadbiran Maharaja Hirohito13. Kem-kem tersebut boleh didapati di hampir setiap kawasan jajahan Jepun dalam tempoh 1931-1945. Sebahagian daripada Unit utama yang dikenali terletak di
  1. Changchun (Unit 100, pakar dalam loji dan senjata biologi haiwan),
  2. Beijing (Unit 1855 yang khusus dalam wabak kolera),
  3. Canton / Guangzhou (Unit 8604, yang juga beroperasi di Hong Kong),
  4. Nanking / Nanjing (Unit Ei-1644),
  5. Hailar di Mongolia (Unit 2646, juga dikenali sebagai Unit 80 apabila terlibat dalam eksperimen manusia rahsia),
  6. Shanghai ( Unit Kitano Masaji),
  7. Singapura (Unit 9420),
  8. Wilayah Jilin di Manchuria (Unit 516)

Kisah kekejaman Akira Makino di Filipina
Selepas lebih daripada 60 tahun dunia senyap dari Perang Dunia II, seorang demi seorang individu veteren perang sama ada yang berambut putih mahupun perang berbaris menunggu giliran untuk memberitahu cerita dahsyat mereka sebelum mereka meninggal dunia. Misalnya Akira Makino, seorang duda uzur yang tinggal berhampiran Osaka di Jepun, sebelum habis hayatnya kerap melawat sebuah bandar di selatan Filipina, menderma pakaian untuk kanak-kanak miskin dan telah menubuhkan memorial perang14.

Akira Makino semasa membuat pendedahan
Beliau memberitahu, suatu ketika mereka pernah ditempatkan di sana semasa perang dan dalam tempoh empat bulan sebelum kekalahan Jepun pada bulan Mac 1945, beliau membedah siasat sepuluh tahanan Filipina perang, termasuk dua remaja perempuan. Beliau memotong keluar hati mereka, buah pinggang dan rahim semasa mereka masih hidup. Apabila beliau memotong hati mereka barulah mangsa mati15.

Perbuatan tidak bertamadun ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan beliau dalam anatomi. "Kami hapuskan beberapa organ-organ dan kaki serta lengan dipotong. Dua daripada mangsa adalah wanita muda, 18 atau 19 tahun. Tujuannya adalah untuk membuka kandungan rahim mereka untuk ditunjukkan kepada askar Jepun yang muda. Bagi askar Jepun ia adalah pendidikan seks yang ‘real’.

Menurut Makino juga, ia adalah perintah maharaja, dan maharaja adalah tuhan. Namun begitu tahanan Makino nampaknya lebih bernasib baik daripada ribuan tahanan tentera Jepun lain kerana Makino memberi ubat bius kepada mereka sebelum ‘menyelidik organ’ mereka.

Ramai juga pakar bedah tentera Jepun yang menangkap mangsa berbangsa Cina melihat sendiri bagaimana mangsa menjerit sehabis kuat semasa pisau ditekan dari dada mangsa sehingga ke bawah perut tanpa bius. Mangsa berhenti menjerit apabila organ dalaman kelihatan selepas badan dipotong dan ia adalah perkara biasa di Kem Perubatan Jepun.

Tempat di mana kekejaman ini berlaku adalah sebuah unit ujikaji perubatan Tentera Diraja Jepun. Ia dikenali secara rasmi sebagai Anti-Wabak Bekalan Air dan Biro Penulenan (Anti-Epidemic Water Supply and Purification Bureau) tetapi semua orang Jepun yang bekerja di sana mengetahui ia adalah Kem Unit 731.

Ia telah ditubuhkan sebagai unit perang biologi pada tahun 1936 oleh pakar perubatan dan pegawai tentera, Shiro Ishii . Lulusan Kyoto Imperial University ini telah tertarik kepada peperangan menggunakan kuman biologi yang diharamkan oleh Protokol Geneva 1925.

Beliau mencipta penapis air yang telah digunakan oleh tentera, dan didakwa cuba membuktikan kehebatan penapis itu kepada Maharaja Hirohito dengan membuang air kecil ke dalamnya dan menapis air itu sehingga bersih. Beliau meminta maharaja untuk minum air itu sebagai cabaran. Maharaja Hirohito menolak dan Ishii kemudiannya dengan rela hati sanggup meminum hasil kencingnya sendiri.

Beliau diberi peruntukan yang besar oleh Tokyo dan beliau membakar 8 kampung di Manhuria untuk membina kawasan kem yang besar - lebih daripada 150 bangunan lebih empat batu persegi di Pingfan berhampiran Harbin.

Kem ini dilengkapi dengan lapangan terbang, landasan kereta api, berek, kurungan bawah tanah, makmal, bilik operasi, tempat pembakaran mayat, pawagam, bar dan Kuil Shinto dan ia sehebat kem kematian Nazi yang terkenal iaitu Auschwitz -Birkenau .

Peta Harbin China

Empayar Jepun yang mengilhamkan perlumbaan senjata biologi moden ini. Pada tahun 1938, ahli-ahli sains Jepun mula bergerak ke Ping Fan, sebuah bandar berdinding 20 batu selatan Harbin di China yang dijajah. Unit 731, bersama 3,000 orang bekerja di puluhan makmal. Di Ping Fan, saintis Jepun mempelopori pengeluaran pathogen secara besar-besaran. Pada Oktober 1940, kapal terbang Jepun menggugurkan campuran bijirin dan kutu di bandar-bandar Cina, menyebabkan dua kejadian wabak berkaitan dengan penyakit taun di selatan Shanghai16.

Kekejaman di Kem Jepun ini jauh lebih dahsyat dan kejam berbanding kekejaman doktor Nazi.

Selain digelar sebagai maruta (kayu balak), manusia, tawanan perang, rakyat jajahan yang digunakan untuk eksperimen ini juga dianggap tidak berguna dan dihebahkan kepada pihak berkuasa tempatan bahawa Unit 731 adalah sebuah kilang kayu.


Sedang membedah bayi hidup-hidup

Antara kekejaman di Kem 731
  1. Tangan dan kaki mereka terbelenggu tetapi diberi makan dengan baik dan boleh bersenam sebagai persediaan untuk ujikaji.
  2. Menanam mangsa hidup-hidup.
  3. Didedah kepada gas fosgen yang memberi kesan ke atas paru-paru mereka ,
  4. Diberikan cas elektrik yang perlahan-lahan untuk memanggang mereka.
  5. Banduan telah dipancung tentera Jepun untuk menguji ketajaman pedang mereka .
  6. Anggota badan dipotong untuk mengkaji kehilangan darah.
  7. Anggota badan kadang-kadang dijahit kembali pada sisi bertentangan dengan badan.
  8. Tahanan digantung terbalik untuk mengetahui tempoh masa bagi mereka untuk mati tercekik.
  9. Menyuntik udara ke dalam arteri mereka untuk menguji embolisms.
  10. Suntikan air kencing kuda ke dalam buah pinggang banduan .
  11. Banduan dipimpin keluar dengan tangan kosong dan dimandikan dengan air sejuk untuk mempercepatkan proses pembekuan bagi mengkaji kesan reput dan gangren pada daging.
  12. Orang ramai dikunci di dalam dewan bertekanan tinggi sehingga mata mereka terkeluar.
  13. Banduan dimasukkan ke dalam sentrifugal dan diputar hingga mati seperti kucing dalam mesin basuh.
  14. Untuk mengkaji kesan penyakit kelamin yang tidak dirawat , lelaki dan perempuan "log " telah dijangkiti sifilis secara sengaja.
  15. Membedah bayi hidup-hidup.
  16. Menukar darah manusia dengan darah binatang.
  17. Menyuntik klorin dalam darah tahanan.

Sebenarnya sebelum Hiroshima dijatuhkan bom atom lagi Ishii telah memiliki hati manusia yang dicemari radiasi. Ternyata kajian Ishii membawa malang. Kajian itu diperlukan oleh Amerika dan Amerika menyerang negara Jepun dengan bom atom beradiasi sebelum kajian itu dirampas Amerika!

Akira Makino semasa muda

Penghargaan kepada Doktor Syaitan.
Perdana Menteri Hideki Tojo sendiri telah menganugerahkan hadiah kepada Ishii dia atas ‘jasa’ Ishii membuat senjata bakteria. Maharaja Hirohito pula mungkin tidak mengetahui wujudnya unit-unit kejam ini tetapi adik Maharaja pernah hadir ke Kem ini serta melihat filem-filem rakaman kekejaman di sana. Pada musim luruh tahun 1945, General MacArthur diberikan imuniti kepada ahli-ahli Unit dalam pertukaran untuk data penyelidikan mengenai peperangan biologi.

Selepas penyerahan Jepun, pasukan Ishii melarikan diri kembali ke Jepun melalui China dan Ishii mengarahkan mereka disembelih untuk menutup bukti dan saksi. Sejak itu, tirai kerahsiaan telah diturunkan. Unit 731 tidak termasuk dalam kes di Tribunal Jenayah Perang Tokyo .

Peguam bagi Seksyen Pendakwaan Antarabangsa memperolehi bukti Kem 731 dan dihantar terus kepada Presiden Truman namun kes itu tetap tidak diperpanjangkan. Amerika sebenarnya berpendapat bahawa semua data kajian yang berharga mungkin berakhir di tangan Soviet jika mereka tidak bertindak cepat. Lantaran itu mereka berusaha ‘membeli’ Ishii selepas perang.

Tidak seperti Jerman, Jepun telah dapat menafikan bukti Kem Unit 731. Hingga kini Jepun enggan membayar pampasan kepada mangsa rakyat China kerana tida bukti kuat dipaparkan kepada umum untuk mensabitkan kezaliman dotor-doktor di bawah Ishii. Sebaliknya, kebanyakan kakitangan di Unit 731 telah terkenal dan berjaya! Misalnya komander Unit 731, Dr Masaji Kitano, menjadi Pengerusi Green Cross, iaitu syarikat farmaseutikal terbesar di Jepun.

Ishii terselamat
Menyedari bahawa aktivitinya adalah jenayah perang kelas tinggi, Ishii memalsukan kematiannya sendiri pada akhir tahun 1945 dan pergi menyembunyikan diri. Apabila Amerika mengetahui bahawa Ishii masih hidup, mereka memerintahkan Jepun untuk menyerahkan beliau. Ishii menceritakan segala dosanya dan sebagai gantinya adalah kebebasan dan perlindungan terhadap nyawanya. Senjata biologi tidak pernah disebut dalam perbicaraan jenayah perang Jepun dan Ishii mati sebagai seorang yang bebas pada tahun 195917.

Jepun tidak bersendirian dalam tanggungjawab bagi menutup kebenaran jenayah-jenayah kejam tetapi berfaedah ini. Kerajaan Amerika Syarikat, melalui Pihak Berkuasa Pendudukan (Occupation Authorities) turut menyedari jenayah kemanusiaan yang dilakukan ini. Kerajaan Jepun bukan sahaja melarang kajian atau pembongkaran semula di kawasan bekas kem malah mereka membuat hubungan simbiosis dengan Amerika untuk menafikan sebahagian pegawai Jepun daripada tuduhan penjenayah perang18.

Linda Holmes menyatakan individu yang bersimpati dengan Ishii telah membantu menanam data di tanah milik Ishii dan beliau hanya mengeluarkan dokumen terpilih untuk diserahkan kepada kakitangan tentera Amerika. Namun, dalam tempoh 57 tahun (ketika Holmes mendedahkan isu ini), tidak ada cadangan pun untuk menggali tanah milik Ishii untuk mencari data yang tersimpan. Jadi kebanyakan maklumat mengenai Unit 731 tidak ada dan bekas tawanan perang rakyat Amerika sendiri yang telah mengalami penyakit berulang untuk sepanjang kehidupan mereka (akibat seksaan) sukar untuk mendapatkan rawatan dan pampasan hilang upaya mereka. Pada 27 Ogos 2002, Mahkamah Daerah Tokyo mengisytiharkan buat kali pertama secara rasmi bahawa Tentera Maharaja Jepun termasuk Unit terkenal 731 yang ditempatkan berhampiran Harbin, Manchuria, telah menggunakan senjata bakteria dan ujikaji pada bangsa Cina dan ribuan mangsa meninggal dunia akibat kebejatan kem itu19.

Kajian dengan darah hanya berharga 250 ribu yen
Data yang dikumpul oleh Jepun banyak membantu bahagian peperangan biologi Amerika. Maklumat yang diterima daripada Ishii Shiro hanya dibayar untuk harga 250,000 yen, jumlah yang amat sedikit berbanding kos sebenar kajian.

Sekitar tahun 1520-an Machiavelli menulis: "Apabila ianya benar-benar soal keselamatan negara, jangan ada pertimbangan adil atau tidak adil, daripada belas kasihan atau kejam, daripada dipuji atau memalukan, sebaliknya, mengetepikan setiap keragu-raguan, seseorang perlu melaksana sedaya upaya mana-mana pelan yang boleh menyelamatkan hidupnya dan menjaga kebebasannya.20 "

Wanita banduan Russia di Jepun Penjajahan Unit Tentera 731. Beliau meninggal dunia semasa ujian kesan pendedahan bom seramik pada badan manusia


Muhammad Nuruddin bin Bashah
017 6291368

2 Jerry D/ Grey, Deadly Mist PTS Islamika Sdn Bhd, 2013.
3 Harun Yahya, The Disasters Darwinism Brought to Humanity, Al-Attique Publisher Inc. Kanada, 2001
5 http://espressostalinist.com/genocide/native-american-genocide/
6 Tesis oleh Gregory Dean Byrd, General Ishii Shiro: His Legacy is That of Genius and Madman. East Tennessee State University, 2005 (muka 34)
7 Tesis oleh Alan JayVanderbrook, (B.A. University of Central Florida) bertajuk Imperial Japan’s Human Experiment Before and during World War II 2009.
9 William G. Carr, Yahudi Menggenggam Dunia, Pustaka Al Kautsar , 2005
10 Tesis oleh Gregory Dean Byrd, General Ishii Shiro: His Legacy is That of Genius and Madman. East Tennessee State University, 2005 ( muka 35-36)
11 Ibid muka 38
12 Kertas dibentang di Forum Perang 11 Disember 1999 bertajuk Japanese Medical Autrocities In World War II, Unit 731 was not an isolated citizens , oleh Sheldon H. Harris 1999. http://www.vcn.bc.ca/alpha/speech/Harris.htm

13 Persoalan mengenai penglibatan Hirohito dengan perancangan dan strategi ketenteraan semasa Perang Dunia II telah menjadi topik perdebatan oleh ilmuan sejak penyerahan Jepun. Cinta Baginda terhadap sains menjadi jelas pada tahun keempat dari pemerintahannya, dalam September 1925. Hirohito mempunyai makmal biologi kecil dibina dalam Istana Akasaka. Tiga tahun kemudian pada tahun 1928, semasa tahun kedua dalam pemerintahan, Baginda telah membina Imperial Institut Penyelidikan Biologi dalam Taman Fukiage, menunjukkan bahawa Maharaja mempunyai kepentingan dalam sains dan bersedia untuk membuat komitmen untuk apa yang dilakukan oleh para sainstis dan doktor semasa pemerintahannya,
14 Makino dilahirkan pada tahun 1922, di sebuah bandar kecil di Wilayah Osaka. Pada permulaan Perang Dunia II, beliau telah ditugaskan ke TLDM No 33 rondaan. Pada bulan Ogos 1944, pada usia 22, beliau telah dipindahkan ke pangkalan udara di Zamboanga di Pulau Mindanao, di Filipina.
18 Kertas dibentang di Forum Perang 11 Disember 1999 bertajuk Japanese Medical Autrocities In World War II, Unit 731 was not an isolated citizens , oleh Sheldon H. Harris 1999. http://www.vcn.bc.ca/alpha/speech/Harris.htm
19 Holmes, “Unit 731 and Experiments on American Prisoners of War,” 27 September 2002, RG 226, NARA.

20 http://www.history.org/Foundation/journal/Spring04/warfare.cfm

2 comments:

  1. Memang ishii dan teamnya kejam. Tetapi tak bersikap adil utk mengaitkan jenayah ini dgn teori yg dicanang oleh charles darwin dan teorinya. Ada banyak kezaliman berkaitan rasisme yg berlaku sebelum zaman darwin.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...