Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Thursday, October 12, 2017

KERTAS KERJA - SENARAI URUSNIAGA RIBA DI MALAYSIA


KERTAS KERJA - SENARAI URUSNIAGA RIBA DI MALAYSIA
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM
Dip Pengajian islam KPTI

Konsep asas Riba
1) Di dalam hutang  (riba fadhli)
Cth: Beri RM1000, minta bayar balik dalam RM1100, maka RM100 adalah riba samada rasa tertindas atau tidak rasa tertindas.
2) Bayaran secara bertangguh (Riba Nasi’ah)
Cth: Perlu bayar RM2000 dalam masa 5 bulan, si penghutang tidak membayar dalam  jangkamasa tersebut,  lalu si penghutang beri tangguh dengan dikenakan syarat dari  RM2000 menjadi RM2050 kerana kelewatan membayar. RM50 itu adalah riba.
3) Riba dalam pertukaran barang dengan barang, terdapat 6 jenis barang
Cth: Tukar emas lama iaitu 2g dengan emas baru 3g. Jika ada pertambahan/pengurangan maka ia adalah riba.
Bayar emas, mata wang dan bahan ribawi (makanan tertentu)  dalam waktu yang bertangguh walaupun amount sama.
4) Adalah riba untuk menukar jumlah yang ditetapkan bagi sesuatu barangan dengan jumlah yang lebih atau kurang bagi barangan yang sama jenisnya sama ada berlaku penangguhan atau tidak.
5)  Adalah riba untuk memperoleh keuntungan daripada penggunaan sesuatu barangan yang tidak memberi hasil tanpa adanya penglibatan buruh, perbelanjaan dan risiko di pihak orang yang mengeluarkan pinjaman.
6)  Adalah riba untuk mengambil lebihan daripada pinjaman pokok
7) Adalah riba untuk membuat duit daripada duit. (makan atas angin)
8) Adalah satu sifat riba apabila perolehan atau keuntungan daripadanya tetap dan automatik.
riba ialah apa sahaja yang diperoleh tanpa usaha iaitu dalam bahasa yang mudah "memdapat sesuatu atas angin" seperti seorang silap mata memetik daun pakau dari ruang udara.

Senarai Riba di Malaysia
1. Jual beli akaun emas sedangkan emasnya tidak diperlihatkan.

i. Kaedah umum yang disepakati oleh para ahli fekah dalam bab jual beli emas ialah emas mesti dibeli secara tunai, dan pertukaran atau penyerahan dibuat secara lani (on spot). al-Bara’ bin ‘Azib menerangkan bahawa Rasulullah SAW melarang jual-beli emas dengan perak secara berhutang. (Sahih al-Bukhari, 2033/2180)

Dalam hadis lain, Abu Bakrah menerangkan bahawa baginda memerintahkan kami untuk membeli perak dengan emas sekehendak kami, dan membeli emas dengan perak sekehendak kami. Seorang lelaki bertanya kepadanya: “Apakah tangan dengan tangan (serah terima secara terus)?” Dia menjawab: “Seperti itulah saya mendengarnya (daripada Rasulullah).” (Sahih Muslim, 2977/1590). Hadis-hadis ini antara sandaran mengapa hokum Islam melarang jual beli emas secara hutang atau ansuran.

ii. Emas yang dibeli itu mesti wujud dan dapat dimiliki walaupun secara tidak sempurna, contoh. qabadh hukmi (pemilikan konstruktif). Maksud qabadh hukmi dalam erti kata lain emas itu sudah dibeli tetapi tak dimiliki secara fizikal, namun tiada isu jika dapat bukti pembelian/pemilikan emas dapat dibuktikan (backed by) dengan kertas resit, sijil, buku akaun dan sebagainya – pemilikan tak sempurna, untuk transaksi seperti itu contohnya emas yang dibeli (dimiliki) mungkin terletak di negara lain.

sijil-emas

Dengan syarat emas itu masih boleh dituntut jika pembeli/pemilik berkehendak memilikinya secara fizikal, walaupun terpaksa menanggung kos import (sesetengah bank/syarikat mengenakan kos pengangkutan, insurans/Takaful dan kos lain ke atas pemilik untuk mengimport emas tersebut).

iii. Penggabungan dua kontrak, pembelian dan pinjaman dalam satu kontrak sebegini tidak sah di sisi Syariah kerana membawa kepada riba. Sebagai contoh, jika pembelian emas yang sudahpun dimiliki, tetapi disyaratkan mesti disimpan oleh penjual asal. Syarat sebegini ialah syarat yang tidak sah kerana pembelian (emas) tidak boleh digabungkan dengan pinjaman.

iv. Sebarang perjanjian di awal kontrak bahawa pembeli emas perlu memberi pinjam emas yang dibeli dan akan memperoleh manfaat dalam bentuk pulangan ialah satu bentuk aturan transaksi dengan unsur riba yang dilarang. Hal ini adalah kerana simpanan emas itu boleh dianggap sebagai kontrak pinjaman (qard), atau simpanan (wadiah), maka pemberian hadiah secara tetap adalah satu manfaat kepada peminjam dianggap satu bentuk riba.

Seperti mana kaedah yang telah disetujui oleh para ulama fekah bermaksud, “Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia adalah riba” (Ibnu Hajar al-`Asqalani, Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, Matba`ah al-Salafiyyah, 1928, h. 176.)

Maklumat lanjut tentang prinsip-prinsip Syariah berkenaan urus niaga emas boleh didapati di laman sesawang Fatwa Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM): http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas
Hukum Simpan emas cara konvensional
a) HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis' (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba an-Nasiah.
b) pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.
c) HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika membuka akaun pelaburan emas itu.
d)  Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulkana akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded'. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf' (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).

2. PTPTN mengamal riba sebelum mengubah ke ujurah.
imengenakan faedah 3 %. Misalnya jika meminjam bernilai RM 19000 diwajibkan membayar balik sebanyak RM 23,083.89 setelah ditambah lebihan 3% bagi tempoh pembayaran 10 tahun. Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengambil pinjaman sebanyak RM 60000 selama tiga tahun dikenakan bayaran  balik sebanyak RM 87, 261.17.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 28 Julai 2008 telah membincangkan “Kajian Pelaksanaan Pembiayaan Pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Berasaskan Kontrak Ju’alah”. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Bersetuju dengan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN kepada pelajar atas konsep upah (Ujrah) dengan kadar yang munasabah dan tidak membebankan pelajar.
Pihak PTPTN boleh mengenakan pampasan (ta’widh) kepada pelajar yang telah mendapat pekerjaan tetap dan berkemampuan daripada aspek kewangan tetapi sengaja tidak mahu membayar semula pembiayaan PTPTN. Bagi pelajar yang tidak mempunyai kerja tetap dan tidak berkemampuan daripada aspek kewangan tidak dikenakan pampasan.
Pihak PTPTN hendaklah memberikan rebat (ibra’) kepada pelajar yang berjaya melangsaikan pembiayaan lebih awal daripada tamat tempoh perjanjian
Bersetuju supaya pembiayaan PTPTN berasaskan konsep upah ini diaplikasikan kepada semua kategori pelajar di setiap peringkat pengajian dan terpakai kepada seluruh pelajar tanpa mengira agama dan bangsa. ( http//www.e-fatwa.com)

3. Pinjaman kenderaan dan rumah secara konvensional.
Pinjaman wang dengan bank konvensional untuk membeli kereta iaitu RM100K, 10 % bayar deposit dan 90% lagi dari ‘loan’ bank konvensional. Bank kovensional beri pinjam RM100k yang perlu dibayar dalam jangkamasa 5 tahun dengan pertambahan interest iaitu 4%. Maka 4% itu adalah RIBA. Ada yang menggunakan hujah inflasi bagi menerima interest 4% dengan mengatakan harga RM1 pada tahun 2000 adalah berlainan dengan harga RM1 dalam tahun 2012. HUJAH INFLASI TIDAK DITERIMA DI DALAM ISLAM

4. Insuran kereka konvensional
Beli Kereta Cara Islam Tetapi Insurans Riba Terdapat sesetengah daripada ahli masyarakat membuat transaksi dengan bank Islam iaitu menjadikan Bank Islam sebagai pembiaya melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati system muamalat syariah. Antara konsep yang digunakan ialah Mudhorabah, iaitu bank akan membeli daripada pengedar dan menjualnya semula kepada pembeli dengan harga “mark up” kerana pembeli memilih pembayaran secara ansuran. Kebanyakkan Bank Islam yang lain akan mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma al-Bai iaitu sewaan yang ditamatkan dengan jualan. Proses dilakukan apabila pihak bank akan membeli kereta daripada pengedar atau mungkin juga terus daripada pembeli. Selepas pemilikan bank keatas manfaat kereta telah sempurna, maka pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada pembeli. Apabila pembayaran terakhir dilakukan oleh pembeli, dianggap bayaran terakhir sebagai jualan terus. Semuanya telah disahkan oleh Penasihat Syariah masing-masing. ( Zaharuddin Abd. Rahman 2010: hlm.152) Hukum insurans konvesional adalah haram menurut Majlis Fatwa Kebangsaan. Hal ini sebagaimana yang telah diputuskan oleh kesepakatan para ulama kerana ianya mempunyai elemen-elemen riba, gharar dan maisir. ( Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan 2009: hlm.57) Biasanya insurans tidak akan diuruskan oleh pihak bank, sebaliknya diuruskan oleh pembeli atau penjual kereta. Walaubagaimanapun, jika ianya diurus oleh bank atau syarikat penjual kereta tersebut, pembeli berhak untut menuntut perlindungan takaful untuk keretanya. Tidak terdapat sebarang peruntukan undang-undang yang boleh memaksa pembeli memilih insurans yang ditetapkan oleh penjual kereta tersebut. Muzakarah telah memutuskan  bahawa konsep dan pelaksanaan takaful di Malaysia adalah bertepatan dengan syariat Islam. (Keputusan Muzakarah Kebangsaan 2009: hlm. 80)


5. Saham Keutamaan (Preference Shares-الأسهم الممتازة ) :
iaitu saham yang memberikan keistimewaan/ keutamaan kepada pemiliknya berbanding pemilik saham biasa.

Antara keistimewaannya ialah :
• Keutamaan dari sudut tuntutan perolehan syarikat. Pemegang saham keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu dan dividennya telah ditetapkan terlebih dahulu kadarnya pada masa ia diterbitkan, tidak kira syarikat untung atau rugi
• Sekiranya syarikat dibubarkan ,pemegang saham keutamaan akan diutamakan dalam pengagihan aset syarikat berbanding pemegang saham biasa
• Kuasa mengundi yang lebih dalam mesyuarat tahunan (di Malaysia, pemilik saham ini tidak mempunyai kuasa mengundi).

Saham ini hukumnya tidak harus kerana pemilik saham ini mempunyai kelebihan berbanding pemegang saham lain. Ini tidak adil kerana dengan nilai saham yang sama sepatutnya mereka memiliki persamaan hak. Begitu juga tidak harus memberikan dividen atau keuntungan yang tetap kepada mereka dalam keadaan risiko keuntungan dan kerugian ditanggung oleh pelabur lain.

Dividen ini merupakan riba yang diharamkan oleh syara’ kerana bertentangan konsep syarikat yang diharuskan oleh syara’, iaitu sama-sama menanggung risiko untung rugi berdasarkan kadar saham masing-masing. Hak mengundi yang lebih juga tidak harus diberikan kepada mereka kerana sepatutnya pemegang saham yang sama nilainya mesti mempunyai hak yang sama.

6. Saham sijil
 Saham Pembawa ( Bearer Shares – الأسهم لحاملها ) : Sijil yang tidak dicatat nama pelabur yang menjadi pemiliknya , tetapi pembawanya. Oleh itu pembawa sijil itu dikira pemilik saham mengikut pandangan syarikat.

Saham ini tidak harus dari sudut syara’ kerana tidak diketahui pemilik sebenar saham tersebut. Ini akan membawa kepada risiko perselisihan, permusuhan dan kemungkinan kehilangan hak serta mudarat kepada pemiliknya sama ada dirampas atau dicuri.

7.  Pandangan Islam Terhadap Bon

Oleh kerana bon termasuk dalam kategori pinjaman atau hutang, maka penentuan hukum mestilah melihat kepada hukum qardh dalam fiqh Islam.

Qardh dalam fiqh bererti ialah meminjamkan sejumlah harta kepada orang yang berhajat untuk memanfaatkannya dan dipulangkan gantinya. Hukum qardh pada asalnya ialah sunat bagi yang memberi pinjaman dan harus bagi yang meminjam. Bagaimanapun haram pemiutang mengambil tambahan manfaat daripada pinjaman yang diberikan, dan sebarang bayaran tambahan yang dikenakan kepada pinjaman tersebut dikira riba. Oleh sebab itu, bon menjadi haram kerana pertambahan faedah dalam urusniaga bon terhimpun padanya ciri-ciri riba hutang yang tiga iaitu: hutang, bertempoh dan pertambahan hutang disyaratkan berdasarkan pertambahan tempoh.


8. MLM berunsur riba dan penindasan
Hukum asal MLM adalah harus. MLM merupakan sesuatu yang diharuskan dalam Islam selagi ia tidak bertentangan dengan syarat asas muamalat Islam.

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006; konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi-Level Marketing (MLM) yang diluluskan oleh kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

Faktor-faktor Yang Mengharamkan MLM

Namun demikian, hukum harus ini boleh menjadi haram jika MLM dimasuki dengan unsur-unsur perjudian, riba, berunsur skim piramid, dan penindasan.

Bagi unsur yang pertama iaitu perjudian, Kesatuan Fiqh sedunia pernah mengeluarkan satu fatwa ke atas satu peniagaan MLM, iaitu PT Biznas yang melibatkan unsur perjudian dalam perniagaan mereka. Sesetengah MLM mempunyai unsur perjudian kerana ahli yang mendaftar dibawah MLM tidak mahukan barangan yang dibelinya, sebaliknya hanya mahu menyertai rangkaian piramid, dan ingin perolehi pendapatan menerusi pendaftaran ahli baru.

Ditambah pula bayaran produk yang dibeli tidak semuanya masuk kedalam akaun syarikat perniagaan itu. Tujuan perniagaan adalah bagi menaikkan nilai seseorang, dimana ahli yang berada diatas (upline) akan sentiasa mendapat keuntungan, dan ahli dibawah (downline) hanya menyumbang mata kepada ahli diatas.

Sebahagian pembuat sistem MLM ini lebih tertarik dengan bonus yang berkonsepkan perjudian kerana ia boleh dijadikan bahan kempen untuk menarik orang ramai menyertainya. Justeru itu, nilainya menjadi sangat tinggi, tetapi ianya diharamkan kerana nilai yang tinggi tadi diperolehi dengan menzalimi pihak yang lain.

Seterusnya, MLM boleh menjadi haram apabila adanya unsur riba. Pembayaran yuran penyertaan tanpa sebarang pertukaran barang atau perkhidmatan kecuali dengan sejumlah wang yang munasabah untuk menampung kos permulaan bisnes adalah mengandungi elemen riba al-fadhl dan riba al-nasi’ah, iaitu meletakkan sejumlah wang sebagai yuran penyertaan secara tunai bertujuan untuk mendapat sejumlah wang yang lebih banyak, yang berlaku secara tangguh.

Ini dinamakan sebagai “fixed return” yang digunakan untuk menarik minat orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut.
Di samping itu, MLM boleh menjadi haram apabila dimasuki unsur skim piramid. Skim piramid atau MLM adalah haram mengikut pandangan Mufti Besar Arab Saudi, Shaykh ‘Abdul-‘Azeez Ibn ‘Abdullaah Aal ash-Shaykh. Skim piramid tidak mematuhi prinsip- prinsip Syariah kerana berteraskan unsur perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang iaitu “downline” yang baru ditaja oleh “upline” akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha mencari “downline” yang lain.

Ia memfokuskan kepada pencarian ahli baharu (downline) semata-mata dan bukan bertujuan bagi menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk kepada pengguna-pengguna secara wajarnya. Pendapatan peserta dan syarikat dalam skim piramid dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu semata- mata dan bukan hasil daripada penjualan barang atau perkhidmatan.

9. Simpanan dengan faedah

Jumhur menyatakan Hukumnya haram sebab unsur riba.
Bank Biasa haram kerana dijanjikan lebihan  sserta ditetapkan  walaupun menanggung kerugian
Bank Islam adalah harus sebab bayaran lebihan tidak ditetapkan waktu akad dan pemberian lebihan sebagai ihsan bukan faedah. Lebihan tersebut berdasarkan keuntungan bank menggunakan modal penyimpan.


10.  Forex (Foreign Exchange) 
atau yang lebih dikenal dengan Perdagangan Mata wang Asing; Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan matawang suatu negara terhadap matawang negara lainnya yang melibatkan pasar-pasar matawang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.


Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sohih. Iaitu :-

>> Dalam menukar wang dengan wang, Nabi telah menyebut garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu : Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai "yadan bi yadin". Dalam bahasa Inggerisnya adalah "on the spot basis". Ia datang dari hadis :’



الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم

Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan) , perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai” ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .

Untuk makluman : FOREX dalam matawang yang diuruskan oleh konvensional tidak menjaga syarat ini maka ini menjadi Riba Nasiah. Ini kerana kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX’ atau Forex yang menggunakan ‘Value forward’ ( nilai masa hadapan) yang mempunyai tergolong dalam Riba Nasiah. Forex yang menggunakan nilai ‘Forward’ ini sememangnya diketahui mampu menghasilkan untung yang lebih berbanding spot dalam kebanyakan keadaan jika tepat penggunaannya.
11. Kad kredit konvensional
a) Secara umum jual beli ini riba fadhl.
b) Ada juga pengguna konon ingin guna  Kad kredit Konvensional dalam tempoh dibenarkan  yang meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran agar tidak dikenakan riba, sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan sebelum di kenakan faedah Riba.
c) Jika keluarkan wang tunai melalui kad HARUS, jika pemegang mempunyai wang yang mencukupi dalam akaunnya seolah- olah mengeluarkan wangnya sahaja.  Dan Harus pihak bank mengambil kos upah dengan kadar khidmat mereka yang sebenar.  HARAM JIKA Bank Pengeluar mensyaratkan Faedah@bunga hasil pinjaman yang diberikan. Kerana ia adalah Riba al-Qurudh.


12. Salahguna Perbankan bai bissaman ajil yang bersifat riba
a) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah mendedahkan lebih 500 aduan  kes perbankan Islamik berhubung jual beli rumah, malah separuh daripadanya telah pun diisytihar bankrap.
b) Kes rumah terbengkalai yang berlaku dari tahun 2005 hingga 2011, ramai pembeli rumah masih kekal bankrap walaupun kesalahan itu berlaku akibat kelemahan bank sendiri.
c) Kes yang banyak diterima ialah apabila rumah dibeli gagal disiapkan pemaju, namun bank tetap menuntut bayaran daripada pembeli sedangkan dalam prinsip ‘Bai Bithaman Ajil’ rumah terbengkalai itu dimiliki pihak bank.
d) Jika bank tidak menyerahkannya kepada pembeli maka pihak bank seharusnya tiada hak menuntut bayaran.
e) Riba adalah dengan terciptanya keupayaan membeli (purchasing power) atau nilai tanpa mengambil risiko di mana apabila bank dapat keuntungan dengan peminjam membayar balik walaupun barang tidak sampai ke peminjam di mana contoh kes ialah rumah terbengkalai.
f) Jika Bank memiliki keupayaan membeli (keuntungan) atau nilai tanpa sebarang risiko, maka jelas sekali ianya riba.


Rujukan



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...