Pembaca Setia

Thursday, March 14, 2013

Siapa Iktiraf Pencerobohan Sulu ke Sabah


Siapa Iktiraf Pencerobohan Sulu ke Sabah
Muhammad Nuruddin Bashah

Daripada media Filipina rakyat menyedari bahawa perlembagaan Filipina memasukkan Sabah sebagai salah sebuah wilayahnya! Melalui media-media  juga rakyat kita menyedari bahawa kerajaan Malaysia membayar pajakan tahunan kepada waris kesultanan Sulu. Hal ini kerana isu ini terlalu kompleks, banyak hubungkait malah mampu mencetus kontroversi besar.

Isu sama ada Sabah dipajak atau disewa telah di jawab oleh Menteri Hal Ehwal Datuk Seri Anifah bahawa bayaran tahunan RM5, 300 dibuat kepada waris sultan Sulu adalah pembayaran wang 'penyerahan adalah untuk penyerahan Sabah dan bukannya sewa menyewa antara Malaysia dengan Sulu.
Isu sewa menyewa mungkin tidak ghairah untuk diperdebatkan. Perkara pokok yang ingin diketahui masyarakat kita ialah siapa dalang yang merestui tindakan pencerobohan dan keganasan di Sabah hari ini.

1.            Siapa iktiraf Jamalul Kiram III?
Dalam mikrospektif, isu parti kerajaan parti pembangkang menjadi dalang adalah hangat diperkatakan. Bagi makrospektif yang lebih luas dan berskala besar, siapa yang mengiktiraf kelompok keganasan tersebut juga perlu dibongkar dan diketahui masyarakat dunia.
Sinar Harian telah melaporkan pada 11 Mac 2013 bahawa  Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang diketuai oleh Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II Datu Wasik Aranan menegaskan kesultanannya tiada kena mengena dengan insiden keganasan di Sabah. Pihak yang menyerang Sabah mengaku sebagai Sultan Sulu, siapa pula Sultan Bantilan ini dan mengapa ada penafian dipihaknya pula?
Hal ini tidak hairan kerana hari ini dikatakan hampir 60 individu berdarah raja dan separa raja telah mengaku sebagai Sultan Sulu yang sah. Ada yang dilantik oleh Filipina, ada yang dilantik oleh pengikut sendiri malah ada yang hanya mengeluar kenyataan media tanpa ada rakyat sekalipun!

Malaysia sebenarnya secara diplomatik rasmi, tidak mengiktiraf kedaulatan Kesultanan Sulu walaupun dalam masa yang sama membayar pajakan Sabah RM5,300 setahun kepada 9 orang Waris Kiram (Wakil Kesultanan Sulu) hingga hari ini.

Walaupun istilah sewa, pajak atau wang penyerahan digunakan ia masih tinggal sebagai misteri. Hakikatnya dokumen asal perjanjian tidak pernah dibongkar kepada tatapan umum malah selagi mana isu ini diselesai cara ‘pintu belakang’ ia kekal sebagai misteri dan dimanipulasi menjadi kontroversi berpanjangan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar SSDI, Datuk Zakaria Abdullah berkata, sebelum ini SSDI tiada niat mahu menuntut Sabah secara kekerasan, kecuali melalui proses perbincangan yang aman.
Jika ditinjau sejarah, pada Perjanjian 1878 antara Alfred Dent dan Baron von Overbeck Syarikat Borneo Utara British dan Sultan Sulu menyatakan bahawa Sultan Sulu menyerahkan wilayah Borneo Utara selama-lamanya, dan waris berhak untuk menerima bayaran tahunan sebanyak 5,300 Pesos Mexico sebagai pampasan penyerahan bukan sewaan.

Walaupun mungkin pernah ada klaus Sabah didakwa sebagai wilayah Filipina, kini  Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Bagi golongan gerilla pula terdapat dua puak yang dominan. Moro Islamic Liberation Front (MILF)  diketuai pengerusinya Al-Haj Murad Ebrahim yang konservetif Islam, manakala Moro National Liberation Front (MNLF) yang diketuai oleh Nur Misuari lebih radikal tetapi liberal.

SSDI iaitu Sultanate Of Sulu Darul Islam ingin menyerap masuk MILF ke dalam gerakan SSDI.
Awal Februari 2013, Jamalul Kiram III menghantar kumpulan bersenjata yang diketuai adiknya Azzimudie Kiram ke Kampung Tanduo, Lahad Datu untuk menuntut Sabah yang didakwanya sebagai kampung halaman nenek moyang mereka dan mendakwa mereka ada hubungan baik dengan MNLF dan sebagainya.

2.            Ada dua sistem pewaris takhta Sulu?
Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II di Jolo Sulu yang menolak Perjuangan Kiram iaitu pemerintah  diangkat oleh SSDI.  Baginda adalah seorang pemidato, peniaga yang berjaya, pandai mengatur manusia, mahir dalam diplomasi, dan mendapat dokongan generasi muda  etnik Tausug. Beliau adalah pemerintah bagi generasi pewaris kedua. Manakala Jamalul Kiram III dan Esmail Kiram II adalah jalur generasi pewaris pertama.

Jamalul Kiram III dikatakan bukan merupakan keturunanan kepada sembilan “waris sah” Jamalul Kiram II, seperti yang tercatat dalam “Penghakiman Macaskie” pada 1939 untuk melayakkannya menerima bayaran bagi penyerahan wilayah Sabah.

Keluarga Kiram gemar mengusung bendera Filipina bersama mereka ke hulu ke hilir dan kelihatan cuba melobi Manila untuk kepentingannya sendiri.
Suatu ketika berlaku penggiliran Sultan dari keluarga Kiram (keluarga Pertama) dan Keluarga Aranan (keluarga Kedua). Kegemilangan Kesultanan Sulu benar-benar berada di puncaknya di zaman pemerintahan Pewaris Kedua, Sultan Bantilan Muizzuddin I ibni Sultan Badaruddin I.

Kini, perlantikan Sultan Bantilan Muizzuddin II ibni Datu Wasik Aranan yang dinaikkan oleh UTC (United Tausug Citizens) pada 19hb Mac baru-baru ini bertujuan mengulang  semula sejarah kegemilangan Kesultanan Sulu di tangan Keluarga Waris Kedua.




HRH Sultan Bantilan II sedang menandatangani Rang Undang-undang Perlembagaan SSDI selepas persidangan. PBMM Al-Sultan Bantilan Muizzuddin II signing the SSDI Constitution with Chief Minister Datu Al-Amhali.


Pewaris Pertama adalah melalui zuriat keturunan Sultan Azimuddin / Alimuddin I ibni Sultan Badaruddin I dari isterinya gadis Bugis dari Soopeng, Sulawesi. Digambarkan dalam bendera Sulu dengan Lambang Keris. Terbahagi pula kepada dua keluarga iaitu  keluarga Kiram dan keluarga Shakiraullah.

Manakala Pewaris Kedua pula adalah melalui daripada zuriat keturunan Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badruddin I, dari isterinya seorang Puteri anak pemerintah Puak Tidung di Kalimantan Timur, dikenali sebagai Keluarga Maharajah Adinda. Digambarkan dalam bendera Sulu dengan Lambang Tombak.

Kontroversi juga berlaku semasa perlantikan Sultan Bantilan (keluarga pewaris kedua) yang kini menolak keganasan di Sabah. Nama sebenar beliau ialah Datu Ladjamura bin Datu Wasik. Asalnya beliau dihantar ke Sulu oleh Majlis Di Raja Sulu sebagai wakil jurucakap kepada keluarga Pewaris Kedua untuk memberikan penerangan kepada rakyat Sulu mengenai kewujudan Pewaris Kedua dan hak untuk menghidupkan semula Kesultanan Sulu daripada penindasan dan mainan Kerajaan Filipina.
Tetapi beliau akhirnya bekerjasama dengan United Tausug Citizen (UTC) sebelum diangkat oleh organisasi tersebut sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Bantilan Muizzudin II. Tindakan ini sangat mengejutkan dan mengecewakan seluruh ahli keluarga Pewaris Kedua.

Justeru itu, tiada siapapun daripada kalangan keluarga Maharajah Adinda yang menyokong perlantikannya. Selain itu khabarnya   UTC inilah dalang yang telah mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan Sijil Kelahiran Kesultanan Sulu di Sabah satu ketika dahulu.

Kembali kepada isu SSDI. Matlamat SSDI berbeza dari MNLF dan MILF yang lebih memperjuangkan satu kesatuan antara Sulu dan Mindanao menjadi Republik Moro. Umum mengetahui MNLF dan MILF serta serpihan mereka yang lain sudah hampir 40 tahun berjuang dengan senjata untuk Republik Moro hingga hari ini tetapi masih gagal.

Tidak hairan jika kita melihat Mufti Sultaniyah Sulu Darul Islam (SSDI) di Indonesia Datu Paduka Shar'ie Habib Rizieq Syihab (Ketua umum FPI) menolak perjuangan keganasan di Lahad datu baru  -baru ini.
Datu Habib Zakaria Abdullah sebagai Menteri Luar SSDI dan Datu Habib Rizieq Shihab sebagai Mufti besar SSDI yang tinggal di Jakarta menjelaskan pendirian Sultan Bantilan, para Datu dan Syarif serta rakyat SSDI, bahawa pencerobohan bersenjata ke atas wilayah kedaulatan Malaysia sebagaimana yang berlaku di Lahad Datu itu bukan sahaja  tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia malah juga oleh rakyat Sulu secara majoriti.

3.            Filipina tolak Jamalul Kiram III dan keluarga diRajanya
Kerajaan Filipina tidak pernah mengaku Sultan Jamalul Kiram III itu dan adiknya Sultan Esmail Kiram II (juga mengaku sebagai sultan)  itu sebagai etnik Filipino dalam banyak kenyataan akhbar walaupun Sultan Jamalul Kiram III itu dan adiknya Sultan Esmail Kiram II telah membuat kenyataan video kononnya sebagai rakyat Filipina beliau mahukan bantuan Filipina untuk merampas Sabah.
MILF kelihatan giat  berunding  dan berdiplomasi dan mengakibatkan , kumpulan gerila di dalam MILF yang bosan telah keluar dan membentuk kumpulan baru Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF) yang ketuai oleh Ameril Umbrakato.

Sultan Jamalul Kiram III, Sultan Esmail Kiram II adalah anak-anak Datu Punjungan Kiram yang mengangkat diri jadi Sultan Sulu sama-sama. Walau pun setiap mereka mengangkat diri jadi Sultan Sulu namun mereka nampak akrab walhal dalam Protokol Kenaikan Sultan Sulu tidak membenarkan dua sultan dalam satu masa. Hal ini jelas membuktikan mereka tiada legitimasi bersuara hal Kesultanan Sulu.

Keluarga Kiram sangat terancam dengan gerakan SSDI oleh Sultan Bantilan II di kepulauan Sulu.
Sebelum ini  SSDI yang dipimpin oleh Sultan Bantilan telah maklum  bahawa muncul satu gerakan bersenjata sedang  dilatih dengan keahlian lebih kurang 400 orang lelaki. Mereka ialah gerakan keluarga Kiram. Sultan Bantilan  kemudian telah mengeluarkan kenyataan SSDI berlepas diri dari sebarang tanggungjawab, yakni SSDI tiada kaitan dengan mereka. Beliau juga  menghantar mesej ke Sabah khusus kepada ahli SSDI yang sedang bekerja di sana agar memastikan ahlinya tidak terlibat dengan sebarang gerakan bersenjata.



4.            Bagaimana kronologi penyerahan Sabah/Borneo?
  • Pada tahun 1878 Gustavus Baron de Overbeck memperolehi pemberian wilayah-wilayah di Borneo dari Sultan Jamalul A'Lam.
  • Pada 22 April 1903 Sultan Jamalul Kiram menandatangani satu dokumen yang dikenali sebagai "Pengesahan penyerahan 'pulau-pulau tertentu", di bawah apa yang sama ada dia memberikan dan diserah atau dipajak pulau tambahan dalam kejiranan tanah besar Borneo Utara dari Pulau Banggi Sibuku Bay kepada Syarikat Borneo Utara British. Jumlah 5,000 dolar setahun yang perlu dibayar setiap tahun meningkat kepada 5.300 dolar setahun yang perlu dibayar setiap tahun.
  • Kesultanan Sulu pula pupus pada 1917, di era penjajahan Amerika di Filipina yang turut meliputi Kepulauan Sulu.
  • Pada tahun 1936, selepas kematian Sultan Jamalul Kiram, Kerajaan Filipina memutuskan tidak untuk mengiktiraf yang kewujudan berterusan Kesultanan Sulu.
  • Sultan terakhir Sulu mati pada 1930an dan British menghentikan bayaran pajak kepada waris.
  •  26 Jun 1946 perjanjian antara Syarikat Borneo Utara British dan Kerajaan British di mana Syarikat Borneo Utara British melepaskan kepentingan, kuasa dan hak-hak berkenaan Negeri Borneo Utara kepada Mahkota British, di mana Negeri Borneo Utara menjadi tanah jajahan British.
  • Rakyat Sabah mengundi untuk menyertai Malaysia dalam referendum yang diadakan pada tahun 1962, yang telah dianjurkan oleh Suruhanjaya Cobbold.
  • Sabah diserap dalam Malaysia pada 1963 melalui pembentukan Malaysia. Filipina dan Indonesia menentang pembentukan Malaysia. Indonesia melancarkan  konfrontasi atas kepentingan politiknya. Filipina pula secara rasmi memulakan tuntutan ke atas Sabah pada 1962, setahun sebelum Malaysia ditubuhkan.
  • Pada 24 Mei 1974, Presiden Filipina Ferdinand Marcos mengeluarkan Perintah Memorandum Presiden 427 yang mengiiktiraf Datu Moh. Mahakuttah A. Kiram sebagai Sultan Sulu. Terbukti jawatan Sultan Sulu dianggap mainan dan alat oleh kerajaan Filipina.
  • Pada tahun 1977, dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Asean yang diadakan di Kuala Lumpur, Marcos secara rasmi pula mengumumkan penarikan balik tuntutan Filipina ke atas Sabah.
  • Pada tahun 1989 pula , kerajaan Filipina telah meredam tuntutan demi kepentingan meneruskan hubungan dengan Kuala Lumpur malah pada Feb 12, 1989 Sultan Jamalul Kiram III (yang diiktiraf sementara untuk menjadi alat Filipina)  dibatalkan kuasanya sebagai wakil kepada kerajaan Filipina untuk menuntut Sabah.
5.            Filipina perguna Institusi Kesultanan Sulu
Selama ini calon sultan dicari oleh Filipina untuk diistiharkan sebagai Sultan Sulu bagi membolehkan Filipina menuntut Sabah bagi pihak Kesultanan Sulu yang pupus.
Ironinya, Filipina sendiri tak pernah berhasrat untuk mewujudkan semula Kesultanan Sulu. Jika Filipina mendapat Sabah sekalipun, ia sekadar akan menjadi wilayah baru Filipina tetapi Kesultanan Sulu tetap tak akan diwujudkan semula.


6.            MNLF dan keluarga Jamalul KIram III
Sebelum ini Wikileaks mendedahkan berkenaan dengan hubungan anak Sultan Jamalul  Kiram III terhdap kumpulan pemberontak yang terkenal di Filipina MNLF yang dipimpin oleh Dr.Misuari.
Ramai percaya MNLF yang menaja dana sehingga mampu membiayai Sultan Jamalul Kiram III ini.

Tetapi kemudiannya Muslimin Sema pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengeluar kenyataan mengiktiraf dan menghormati keputusan rakyat Sabah menyertai Malaysia pada 1963  
Menurut sumber berita malaysiakini 13 Mac 2013, beliau berkata rakyat Sabah berhak menentukan masa depan mereka dengan menyertai Malaysia 50 tahun lepas dan hak ini tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

Muslimin Sema, yang juga naib Datuk Bandar Cotabato City di selatan Filipina, mengakui kebahagiaan yang dinikmati rakyat negeri itu setelah menyertai Malaysia semasa berkunjung ke situ pada tahun 1973 lalu.
Secara umum kita mengetahui pengganas daripada pihak Jamalul Kiram II ini tidak pernah diiktiraf sesiapa malah ia merupakan parasit yang boleh dimanipulasi pihak tertentu untuk mencetus ketegangan antara wilayah.


Muhammad Nuruddin bin Bashah
31 Laluan Permai Puteh 8,
Taman Siputeh Permai,
31560 Siputeh, Perak. 017 6291368


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...