Pembaca Setia

Monday, November 19, 2012

Asal Usul Bahasa Menurut Kacamata Islam


Asal Usul Bahasa Menurut Kacamata Islam
Muhammad Nuruddin bin Bashah

Benarkah manusia tidak berbahasa semasa zaman pra sejarah? Persoalan ini menimbulkan perdebatan hangat terutama di kalangan penganut fahaman darwinisme dan creationisme. Malah pihak creatisnisme pula terbahagi kepada beberapa golongan antaranya berfahaman persepsi agama seperti pengikut Bible dan Al Quran. Prasejarah adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada zaman tanpa catatan-catatan sejarah. Zaman prasejarah dapat dikatakan bermula pada saat terbentuknya alam semesta, namun secara umumnya digunakan untuk merujuk  kepada masa terdapat kehidupan di muka bumi.

Batas jangka masa antara zaman prasejarah dengan zaman sejarah adalah selepas wujudnya kemahiran menulis.

Salah satu masalah yang membuat topik ini menjadi sukar untuk dikaji adalah tidak adanya bukti  yang kuat kerana tidak ada bahasa yang boleh dijadikan bukti fosil.

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bahasa di definisikan sebagai satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.

Menurut Prof. Dr. Asmah Hj. Omar, bahasa ialah satu sistem yang menyatakan akal fikiran dan isi hati manusia. Bahasa juga berfungsi sebagai alat perhubungan antara manusia dan harus berkembang selaras dengan perkembangan masyarakat pemakai bahasa itu.

Wilhelm Von Humboldt, seorang sarjana Jerman mendefinisikan bahasa sebagai sintesis bunyi manakala Ferdinand de Saussure, seorang sarjana linguistik Swiss pada awal abad ke- 20 menyatakan bahasa sebagai sistem isyarat.

Dalam laman sesawang Kompas.com dinyatakan sekitar tahun 2011, satu kajian yang baru sahaja dihebahkan mampu menguak misteri asal-usul bahasa yang digunakan manusia. Menurut Science Magazine edisi 15 April 2011, bahasa yang digunakan oleh manusia sebenarnya berasal dari wilayah  selatan Afrika. Dikatakan dari situlah bahasa tersebar ke seluruh dunia.
Pengkaji dari Universiti Auckland, Belanda, iaitu Quentin Atkinson yang melakukan kajian bahasa di Afrika telah menelusuri  jejak bahasa dengan cara memecah 504 bahasa ke dalam komponen terkecil yang dikenali sebagai fonem. Fonem berasal daripada bahasa Latin, phonema, yang bererti suara yang diucapkan. Penelitian menunjukkan, semakin beragamnya fonem yang dimiliki oleh suatu bahasa menunjukkan bahasa itu menjadi sumber dari bahasa-bahasa lain yang lebih sedikit memiliki fonem.

Teori terkenal  “Out of africa” atau yang dikenali sebagai ’Asal-usul manusia moden dari Afrika’ yang dikemukakan oleh oleh James Watson dan Alan Wilson menjadi asas kepada hujah ini. Hipotesis ini menyebutkan bahawa Homo Sapiens yang merupakan spesies mula daripada manusia meninggalkan Afrika antara 125 000 dan 60 000 tahun lalu, di mana mereka menggantikan populasi manusia yang lebih lama, seperti manusia Neanderthal dan Homo erectus. Teori ini diperkukuhkan hujahnya melalui penelitian mitokondria DNA pada tahun 1990an yang dilakukan oleh Allan Wilson dan Rebecca Cann, yang lebih jauh menyebutkan bahawa seluruh manusia di dunia berasal dari satu induk, iaitu Mithocondrial eve (www. archaeology.about.com).

Pada tahun 1866, Linguistic Society of Paris pernah melarang sebarang perdebatan mengenai subjek ini dan kekal berpengaruh di kalangan negara barat hingga akhir abad 20. Sejak teori evolusi Charles Darwin muncul pada 1859,  wacana ini kian menimbulkan banyak spekulasi.
Noam Chomsky pula berpendapat satu mutasi telah terjadi pada salah seorang individu sekitar 100 000 tahun yang lalu mengakibatkan munculnya kemampuan berbahasa (sebuah komponen dalam otak) secara 'segera'  dalam bentuk yang 'sempurna' atau 'hampir-sempurna'.

Chomsky juga memberi asas dalam teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani (The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia juga telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD (Language Acquisition Device).
Sebahagian evolutionis beranggapan bahawa asal usul bahasa manusia teradaptasi daripada  gerakan dan isyarat bunyi  alam seperti angin dan ombak, suara binatang, dan seruan naluri manusia itu sendiri (Charles Darwin, 1871. The Descent of Man, and Selection in Relation to Sex.)
Sekitar tahun 1861, ahli sejarah linguistik, Max Müller menerbitkan teori spekulatif tentang asal bermulanya bahasa manusia.

Teori Bow-wow,Teori Pooh-pooh, Ding-dong, Yo-he-ho, dan teori Ta-ta adalah kajian yang menemui asal bahasa manusia daripada aktiviti peniruan manusia terhadap bunyi alam dan haiwan serta pergerakan otot dan lidah manusia yang menghasilkan bunyi seperti perkataan tertentu.
Berbalik kepada kajian benua Afrika, sejumlah ilmuwan Barat telah meneliti asal loghat dan bahasa yang berkembang di sana sejak 150 ribu tahun lalu.
Penelitian yang menggunakan "World Atlas of Language Structure" sebagai sumber utamanya itu berpegang pada teori bahawa peradaban yang lebih tua memiliki perbezaan linguistik yang lebih banyak berbanding peradaban yang lebih muda. Dengan menganalisa ratusan bahasa, para penyelidik mendakwa telah berjaya menemui bukti dengan banyaknya bila dan dari mana bahasa-bahasa tersebut berasal.

Menurut Dr. Quentin, pasukannya telah menyelidiki sekitar 504 bahasa untuk mengetahui bilangan fonem (bunyi pengucapan khusus) yang ada dalam bahasa tersebut. Daripada kajian ini mereka menemui bahawa bahasa-bahasa di Afrika rata-rata memiliki sekitar 100 fonem. Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman pula hanya memiliki sekitar 45 fonem.

Islam meletak wacana asal bahasa ini berasaskan wahyu. Premis hujah Islam adalah manusia dicipta dengan akal dan ketinggian ilmu dan kefahaman sesuai dengan darjat manusia yang  terpaksa diiktiraf oleh para Malaikat dan Jin. Terlalu banyak kajian sains kini menemui keunggulan sains dan teknologi kaum-kaum purba. Mana mungkin sains dapat diperluas jika bahasa pun tidak dapat mereka kuasai.
Dilaporkan bahawa manusia pertama berdasarkan pandangan agama samawi ialah Nabi Adam yang dikeluarkan dari syurga dan diturunkan di Sarnadib dalam wilayah India-Sri Langka,  mengikut pendapat yang paling masyhur.

Hujahnya, melalui hadis riwayat Ath-Thabrani dan Abu Nu’aim di dalam Al-Hilyah, dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Adam diturunkan di India. Dia merasa kesepian. Akhirnya, Jibril pun turun dan mengumandangkan adzan. Ketika mendengar nama Muhammad disebutkan, Adam bertanya kepada Jibril, ‘Siapa Muhammad ini?’ Jibril menjawab, ‘Dia adalah anak keturunanmu yang terakhir dari kalangan nabi.
Menurut Imam At-Thabari, tempat Adam diturunkan adalah di puncak gunung tertinggi di dunia. Keterangan beliau disokong oleh para ahli geografi moden, dan merupakan pendapat yang paling kuat dasarnya. Pendapat ini juga diikuti oleh Syauqi Abu Khalil dalam bukunya Atlas Alquran, dan Sami bin Abdullah Al-Maghluts dalam Atlas Sejarah Nabi dan Rasul.

Hawa pula diturunkan di satu tempat yang bernama Judah. Nabi Adam mencari Hawa dan mereka bertemu di Muzdalifah yang terletak antara Mekah dan Arafah. Mengikut pendapat lain, mereka bertemu di satu tempat yang bernama Arafah. Sementara Iblis pula diturunkan di satu tempat yang bernama Al-Ublah di Iraq.
Penulis kitab Ad-Duur al-Mantsur fi at-Tafsir bi al-Ma’tsur menyebutkan bahawa Ibnu Abbas menafsirkan ayat “Kami berfirman, ‘Turunlah kalian!” dengan Adam diturunkan di sebuah lokasi di bumi bernama Dahnah yang terletak di antara Makkah dan Thaif.
Sedangkan Ibnu Abu Hatim meriwayatkan dari Ibnu Umar, “Adam diturunkan di Sofah dan Hawa di Marwah.”

Islam telah meyakinkan penganutnya bahawa manusia pertama yang dicipta Allah telah diamanahkan ilmu dan bahasa yang telah maju dan kompleks. Nabi Adam bukan manusia yang bertutur dalam bahasa wo wo, ho ho atau apa sahaja kaedah yang menyerupai binatang, sebaliknya telah mewarisi bahasa ilmu kerana Allah menegaskan bahawa Nabi Adam telah menggunakan bahasa sebagai perantara mendapat ilmu mengenai seluruh alam.

Firman Allah dalam Al Baqarah ayat 31:
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".

Firman Allah juga dalam surah Ar Rahman,
Yang Maha Pemurah. Mengajarkan Al Quran. Menciptakan manusia. Mengajarkan kepadanya al Bayan (ayat 1-4).
Al Bayan yang dibentuk oleh akar kata yang terdiri dari 3 huruf: Ba, Ya dan Nun, yang bermakna jelas. Perkataan bayan juga boleh membina istilah Mubin iaitu jelas dan terang.

Misalnya dalam surah An Nahl ayat  104 Allah berfirman ;
Ini bahasa Arab yang jelas (mubin)
Khusus kepada Adam, Allah mengajarkan kepada Baginda al Bayan, iaitu bahasa Arab. Jadi boleh disimpulkan bahawa Nabi Adam AS menggunakan  bahasa Arab apabila berkomunikasi dengan Hawa dan anak-anaknya.

Sebenarnya tafsiran sebegini bersifat ofensif iaitu dielektik terhadap teori pertumbuhan bahasa evolutionis. Allah SWT mengajarkan kepada Nabi Adam AS bahasa yang berstruktur secara sempurna. Segala istilah yang diajar oleh Allah digambarkan dengan ungkapan asma’ kullaha (segala nama benda) di dalam Al Baqarah ayat 31.

Walaupun Nabi Adam diturunkan di India, Baginda hanya bertemu dengan Hawa di Mudzalifah iaitu bumi Hijaz arab. Tidak hairan jika bahasa Arab kuno menjadi asas kepada pemecahan bahasa-bahasa di muka bumi.
Satu lagi bukti hujah Bahasa Nabi Adam boleh diperolehi melalui laman sesawang infad.usim melalui tajuk fatwa yang telah dikeluarkan di negeri Kelantan pada 1993 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Fatwa yang ditulis oleh Datuk Haji Mohamad Shukri Bin Muhamad itu menetapkan bahawa ;
(1) Tuturan (percakapan) anbiya itu mengandungi tika lughah (bahasa) jua, pertama bahasa arab, kedua bahasa siryani dan tiga bahasa abrani.
Bahasa Abrani ialah bahasa segala nabi daripada anak-anak nabi Yaakub dan bahasa siryani ialah bahasa lima orang ini jua iaitu Nabi Idris, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Lut dan nabi Yunus.
Dan Bahasa arab ialah bahasa dua belas orang iaitu Nabi Adam, Nabi Syis, Nabi hud, Nabi Saleh, Nabi Ismail, Nabi Syuib, Nabi Khaidir dan tiga orang ada disebut dalam surat Yaasin dan Khalid bin Sunan dan Nabi Muhammad s.a.w.
(2) Taurat kepada nabi Musa, bacaannya dalam bahasa Abrani, Injil kepada nabi Isa, Bacaannya dalam bahasa Siryani, Zabur nabi Daud, Bacaannya dalam bahasa Qubti dan Quran kepada nabi Muhammad, dinamakan furqan dan bacaannya dalam bahasa Arab .

Jelas jika dinilai daripada sisi pandang agama Islam, bahasa yang pertama wujud di muka bumi adalah keluarga bahasa arab yang membawa pecahan kepada bahasa Ibrani, Aram dan Suryani.

Muhammad Nuruddin bin Bashah
017 6291368

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...