Pembaca Setia

Monday, November 19, 2012

Barat; kaji Islam peluk Islam


Barat; kaji Islam peluk Islam
Muhammad Nuruddin bin Bashah

Muqaddimah

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (ASSoff ayat 8-9)

Jika kamu  mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah mendaapat luka yang sama. Dan demikian itulah keadaan hari-hari, kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan, Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (Ali Imran ayat 140 )

Gejala Islamofobia tidak kunjung malap malah grafnya semakin meningkat. Akhbar Rayig pernah menyiarkan maklumat bahawa bank di Sweeden menyenarai hitam pelanggan yang bernama Ahmad dan Muhammad[1]. Jelas ia suatu diskriminasi yang dilakukan terang-terangan. Sumber Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bilangan pemilik nama Ahmad kini adalah seramai 4,100 orang daripada 9 juta rakyat Perancis. Di celahan penerbitan Filem Hina Nabi iaitu Innocent Of Muslims di Amerika serta di saat penganut Islam mulai meliberalkan agama serta menggadai prinsip syarak atas nama kemodenan seperti Irsyad Manji dan Amina Wadud, kita menyaksikan pula ribuan tokoh cendiakawan dan intelijensia Barat memeluk Islam.
Rangking dunia nama Muhammad paling ramai.
Akhbar The Telegraph mendedahkan, Jack adalah nama kanak-kanak lelaki paling popular masa itu, dipilih untuk 6,928 bayi. Muhammad mengambil alih kedudukan Thomas di tempat kedua dengan 5,991 bayi.
Pada tahun 2010, Mohammed menjadi nama kegemaran bagi kanak-kanak lelaki yang baru lahir di England dan Wales. Walaupun Oliver telah mengatasi Jack selepas 14 tahun, apabila variasi nama Nabi Islam telah dimasukkan untuk kali pertama, ia terus melonjak dan diberikan kepada 7,515 lelaki, berbanding dengan 7,364 dinamakan Olivers[2].
Namun nama ini mulai jatuh dari statistik dengan dikalahkan semula oleh nama Harry dan Amelia kerana kerajaan Britain memisahkan kelompok nama Mohammad agar tidak mencampurkan ejaan Muhammad, Mohamad, Mehemed dan sebagainya. Ini menyebabkan jumlah pemilik nama itu menjadi kurang walaupun hakikatnya nama Islam itu kekal terbanyak di Britain.
Geert Wilders pemimpin sayap kanan Parti Kebebasan Anti Islam telah meminta kerajaan Belanda menangani perkara yang dikatakannya sebagai masalah iaitu ramalan yang menyatakan  seperlima dari Negara Kesatuan Eropah akan didominasi umat Islam yang akan menjadi majoriti pada tahun 2050.
Kini nama-nama tradisional Belanda kurang dipilih oleh para ibu bapa.
Den Hag, variasi dari nama Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Belanda telah naik ke tempat pertama, kedua dan kelima menjadi nama paling popular pada anak lelaki, menggantikan nama-nama tradisional kegemaran seperti Jan, Luuk, Gijs atau Daan. Di peringkat antarabangsa, nama Muhammad kini menduduki tempat ke 16 untuk nama anak lelaki paling popular.
Statistik kerajaan Belanda sebelumnya mengasingkan variasi nama Muhammad dengan nama Muhammad yang sebenar bagi mengelakkan kontroversi nama Nabi Muhammad yang memasuki senarai 20 nama paling ramai digunakan.


Islam bukan ancaman sekularisme- orientalis Perancis.
Seorang orientalis Perancis bernama Breno Ityan berkata Islam kini bukan lagi ancaman kepada sekularisme di Perancis. Beliau yang juga merupakan Ketua Jabatan Perbandingan Agama di Universiti Exon Europeans mengatakan bahawa remaja-remaja Muslim bukanlah pengganas seperti yang dihebahkan oleh media Barat.
Tony Blair pelajari Islam
Ramai berkata Tony Blair hanya berani mengungkap pujian terhadap Islam selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ada juga mengatakan beliau masih tali barut freemason, hanya wayang yang dibuat untuk mendekati umat Islam. Walau apapun hujah dan anggapan, apalah salahnya jika kita sama-sama menadah tangan mendoakan agar beliau suatu hari nanti memeluk Islam seperti ramai rakyat Britain lain yang berstatus cendiakawan.
Bekas Perdana Menteri Britain itu mengakui beliau membaca al-Quran setiap hari kerana aktiviti itu membuatnya lebih memahami mengenai iman.
"Berusaha ke arah celik iman amat penting dalam dunia global," katanya seperti dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail. Malah beliau berkata, beliau membaca al-Quran setiap hari untuk memahami hal yang berlaku di dunia kerana al-Quran memberikan perintah yang berguna.
Selain itu, aktiviti ini juga meyakinkan pengetahuan beliau mengenai iman yang dapat membantu dalam tugasnya sebagai wakil di Asia Barat mewakili Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Islam bercambah di Amerika
Berdasarkan data dari Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat, dari 1.4 juta askar Amerika, lebih kurang 3,700 daripadanya beragama Islam.
Selepas peristiwa 9/11, seramai 8 juta orang Muslim berada di Amerika Syarikat dan kini ribuan rakyat negara itu memeluk Islam setiap tahun. Dilaporkan 34,000 rakyat Amerika telah memeluk agama Islam berikutan peristiwa 9/11 dan ini adalah kadar tertinggi yang dicapai sejak Islam tiba di sana[3].
'Alaa Bayumi, Pengarah Hal Ehwal Arab Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menulis dalam harian Al-Hayat London bahawa bukan Muslim Amerika kini berminat untuk mengambil tahu tentang Islam. Terdapat beberapa tanda misalnya perpustakaan telah kehabisan buku-buku mengenai Islam dan Timur Tengah malah terjemahan Quran dalam Bahasa Inggeris disenaraikan sebagai jualan terbaik Amerika[4].
Di Amerika Syarikat juga terjadi suatu ‘trend’ banduan memeluk Islam ketika mereka di dalam penjara.
Antara banduan terkenal yang memeluk Islam di dalam penjara[5];
  • Malcolm X - aktivis Hak Sivil
  • Abdul Alim Musa - aktivis Islam-Amerika
  • B.G. Knocc Out - rapper Afrika-Amerika
  • Charles Brooks, Jr – disabitkan dengan kesalahan membunuh, memeluk agama Islam sebelum pelaksanaan hukuman
  • Flesh N Bone - anggota kumpulan rap
  • H. Rap Brown – bekas ahli Black Panther, sedang dipenjarakan kerana membunuh seorang pegawai polis
  • Jeff Fort – bekas pemimpin geng Chicago, disabitkan pada tahun 1987 bersubahat dengan Libya untuk melakukan perbuatan keganasan domestik
  • Jeffrey Mark Deskovic - 15 tahun menerima hukuman penjara tetapi dilepaskan atas bukti DNA
  • José Padilla - disabitkan sebagai pengganas.
  • Kevin James
  • Mike Tyson – bekas juara tinju heavyweight



Tentera Israel  kuasai Al Quran untuk perkasa Zionisme.
Badan Tertinggi Angkatan Tentera Israel mengarahkan tenteranya meningkatkan pengetahuan agama khususnya kajian tentang Al Quran dan Injil.  Menurut akhbar Asharqalawsat, tujuan tenteranya digesa mempelajari kitab-kitab ini adalah untuk memupuk toleransi di kawasan Palestin yang mereka jajah. Ini mungkin sebahagian program untuk memperkukuhkan penjajahan mereka di tanah Palestin. 
Warga Jerman lunak dengan Islam
Menteri Dalam Negeri Jerman iaitu Hans Peter Friedrich telah menyeru agar Kesatuan Eropah (EU) menganjurkan dialog dan perbincangan dengan minoriti Muslim di seluruh Eropah. Menurut beliau, kaum Muslim juga berjasa terhadap Eropah kerana kemakmuran ini juga disebabkan oleh usaha mereka.
Menurut kenyataan beliau yang disiar oleh Al Mujtama’, kaum Muslim jika dilayan dengan baik dan adil mereka pasti akan mencetuskan keamanan dan keharmonian. Beliau juga menggesa agar golongan agamawan Islam seperti Imam atau Mufti diberi peranan sewajarnya dalam kerajaan jika inginkan keharmonian berpanjangan.
Namun begitu, sebagai Menteri sebuah kerajaan bukan Islam, beliau berpendirian bahawa Islam bukan kepunyaan Jerman dan kenyataan ini telah dikecam oleh ribuan penganut Islam Jerman. Menurutnyajuga , tiada sejarah Islam wujud di Jerman.
Berita harian ‘The Local’ melaporkan Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schauble telah membela golongan minoriti Islam negara tersebut dengan mengatakan bahawa Islam adalah sebahagian daripada masyarakat dan menyeru untuk menghentikan diskriminasi anti-Islam sebagai menjawab kenyataan Friedrich sebelum itu[6].
Jerman memliki antara 3.8 dan 4.3 juta orang Islam dan angka ini adalah sekitar 5 peratus daripada keseluruhan 82 juta penduduk, menurut kajian yang dijalankan kerajaan.
Presiden Jerman, Christian Wulff pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa Islam adalah sebahagian daripada masyarakat Jerman dan berdamping rapat dengan kebudayaan  agama Kristian dan Yahudi.
Namun tindakan proaktif Friedrich untuk mengekang penghinaan terhadap Rasulullah perlu kita hargai. Laporan Reuter menyatakan Menteri Dalam Negeri Jerman, Hans-Peter Friedrich memberitahu Der Spiegel, majalah berita mingguan bahawa beliau akan menggunakan kuasa undang-undang yang ada padanya bagi menghalang kumpulan yang ingin menayang filem itu di Jerman.
Kata beliau, kumpulan dan organisasi Pro Deutschlan hanya mahu membangkitkan kemarahan masyarakat Islam Jerman sambil menuduh Pro Deutschland 'sengaja mencurah minyak ke dalam api'. Pro Deutschland terkenal sebagai kumpulan yang gemar melakukan provokasi termasuk tunjuk perasaan[7].
Disneyland dan Jilbab
Disneyland akhirnya membenarkan pekerjanya memakai tudung dan menutup aurat. Seorang pekerja beragama Islam Disneyland yang mengadu bahawa beliau telah diminta untuk membuang jilbab di tempat kerja akhirnya mencapai perjanjian dengan taman tema Southern California untuk memakai jilbab yang direka khas oleh  syarikat[8].
Menurut usatoday.com, Noor Abdallah, 22, diberitahu beliau akan bekerja di taman tema itu selepas pakaian seragam dibuat dalam tempoh lima bulan selepas aduan. Noor Abdallah adalah pekerja kedua Islam di Disneyland yang  mengadu tentang arahan untuk membuang jilbab kepalanya.
Britain dan wanita
Menurut laporan Sinar Harian 6 Januari 2011, sepanjang 10 tahun yang lalu ramai wanita Britain berkulit putih telah menganut Islam. Menurut Faith Matter, bilangan mereka bertambah daripada 60 ribu mencecah 100 ribu dalam tempoh 10 tahun. Sekitar tahun 2010 seramai  5,200 wanita Britain memeluk Islam. Sebelum ini adik ipar Tony Blair, Lauren Booth yang juga merupakan seorang wartawan telah mengisytihar memeluk Islam.

Kaji selidik mualaf menunjukkan hampir dua pertiga adalah wanita, lebih daripada 70% wanita berkulit  putih dan umur purata mereka yang menukar agama adalah  27 tahun [9].
Lebih daripada satu dalam empat responden mengaku bahawa ada 'konflik semulajadi' antara seorang Muslim yang taat dan hidup di UK. Sembilan daripada sepuluh wanita yang memeluk Islam  berkata perubahan agama mereka telah membawa kepada mereka berpakaian lebih konservatif. Lebih daripada separuh mula memakai tudung kepala dan 5% telah memakai burka.
Lebih daripada separuh juga berkata mereka mengalami kesukaran selepas menukar agama kerana sikap negatif di kalangan keluarga mereka.

Muslimah kulit putih VS Femenisme
Abad ini boleh juga digelar era liberalism terutama dalam konteks gerakan femenisme yang semakin menjadi-jadi. Di celahan itu rupanya masih ada ruang kepada kebangkitan Islam apabila ribuan wanita Barat selain Britain memeluk Islam.
Lucy Berrington di dalam majalah Times terbitan 9 November 1993 di bawah tajuk The Spread of a World Creed berkata, semakin ramai rakyat Britain terutamanya wanita, memeluk Islam dengan jumlah mereka yang besar dianggarkan di antara 10,000 hingga 20,000 orang. Fenomena yang sama juga sedang melanda Amerika Syarikat. Seterusnya beliau menjelaskan, `Statistik menunjukkan bagi setiap lima orang yang memeluk Islam di Amerika, empat daripada mereka adalah wanita.’
Wanita-wanita Barat memilih Islam selepas melihat gejala-gejala negatif melanda Barat dengan dahsyatnya. Sebagai contoh, peningkatan kes-kes jenayah, keruntuhan sistem kekeluargaan, penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak.  Beliau juga berkata, mereka kagum terhadap disiplin Islam di samping jaminan kesejahteraan hidup yang terdapat di dalam ajarannya.
Laporan Columbia News Service (Agensi Berita Columbia) oleh Nevine Mabro menunjukkan semakin ramai wanita Amerika keturunan Sepanyol memeluk Islam kerana tertarik dengan kemurnian ajarannya.
Laporan San Francisco Chronicle (Harian San Francisco) bertarikh 20 Mei 2001 oleh Michael Paulson pula menjelaskan ramai wanita di Boston memeluk Islam dan mengikut ajaran yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.
Islam bercambah di Itali
Di Perancis dan England, yang paling popular memeluk Islam adalah bekas penyanyi pop Cat Stevens (Yusuf Islam). Keadaan yang sama turut berlaku di Itali kini apabila ramai selebriti beralih kepada agama Islam untuk mencari ketenangan rohani.
Menurut Abdurrahman di Pusat Islam Milan, saban hari ada sahaja individu yang datang bertanyakan maklumat lebih lanjut mengenai Islam dan ingin memeluk Islam.  Mereka datang dari seluruh negara, dari pelbagai kelas dan latar belakang yang berbeza, dan mereka semua mempunyai sebab-musabab yang berbeza untuk melakukannya[10].
Golongan Kristian Itali yang telah memeluk Islam kini terdiri di kalangan jurutera, artis, cendekiawan dan pelajar. Terdapat individu  yang telah memeluk Islam hanya kerana mereka berkahwin dengan seorang Muslim, manakala selebihnya adalah semata-mata alasan logik intelek atau kajian  agama. Terdapat juga kes masyarakat Itali yang mencari-cari dimensi kerohanian yang telah hilang dalam kebanyakan masyarakat Barat.
Perancis kempen henti tagih alkohol
Di mana sahaja kita berdiskusi isu pengharaman arak pasti akan kedengaran isu hak asasi kaum bukan Muslim dan hak mereka untuk minum dan menggunakan arak. Walaupun arak kelihatan seperti hak asasi bagi kaum bukan Islam, jelasnya arak bukan suatu yang dianggap positif bagi masyarakat mereka. Sebagai contoh, Perancis kini berusaha untuk mengurangkan penjualan arak di kalangan rakyatnya. Walaupun trend menurun dalam penggunaan alkohol dalam 10 tahun yang lalu, Perancis kekal sebagai pengguna utama alkohol di dunia. Satu dalam setiap 15 kematian di sana adalah berkaitan dengan alkohol[11].
Sebahagian daripada punca penurunan dalam pengambilan alkohol adalah disebabkan hak istimewa untuk menyuling alkohol kini terhad, iklan arak dikawal, cukai ke atas minuman keras telah meningkat, malah pemandu yang didapati mabuk dihukum dengan hukuman yang berat. Kini kerajaan Perancis berusaha mencari formula untuk mengurangkan pengambilan alkohol di kalangan rakyatnya.
Saintis Ukraine peluk Islam
Perkembangan Islam di Ukraine cukup pesat dan hampir setiap minggu akan terdapat rakyat Ukraine memeluk agama Islam di Pusat Islam Kyiv.
Baru-baru ini Pusat Islam dikunjungi oleh saintis Ukraine bernama Dimitry Boliakov yang merupakan seorang saintis muda dalam bidang fizik. Beliau menyatakan penghijrahannya kepada Islam ialah hasil dari kajian sains terutamanya dalam bidang fizik.
Menurut Dimitry, beliau melakukan kajian bersama pasukan saintis yang berwibawa dalam bidang kajian Vacuum Physics dibawah kelolaan Prof Nikolay Kosinikov yang merupakan pelopor dalam bidang tersebut. Kajian mereka adalah untuk membuktikan teori  tentang putaran bumi dipaksinya dan mereka telah berjaya membuktikan teori itu.
Dimitry mengetahui terdapat riwayat hadis dari Nabi Muhammad saw tentang kajian yang telah dibuatnya. Beliau mula yakin bahawa pengetahuan yang terdapat lebih dari 1,400 tahun yang lalu hanya mungkin berasal dari Tuhan yang mencipta bumi itu sendiri.
Sekitar tahun 2001, kutub magnet bumi bergeser dari tempatnya hingga mencapai jarak 200 km dalam setiap  gerakan. Ini bermakna bumi dengan pengaruh daya magnet tersebut menjadikan dua kutub magnet berganti tempat. Pendek kata gerakan putaran bumi akan mengarah pada arah yang berlawanan. Ketika itu matahari akan terbit (keluar) dari arah Barat!
Ilmu pengetahuan dan maklumat seperti ini tidak didapati Dimitry dalam buku-buku atau didengar dari manapun akan tetapi hanya termaktub dalam hadis dan ayat Al Quran sahaja.
Beliau mendapati maklumat tersebut dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah saw bersabda,
Tidak akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya, apabila ia telah terbit dari barat dan semua manusia melihat hal itu maka semua mereka akan beriman, dan itulah waktu yang tidak ada gunanya iman seseorang yang belum pernah beriman sebelum itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Dan riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah)
Roger Garaudy Asal Komunis akhirnya Muslim
Roger Garaudy (lahir di Marseille, 17 Julai 1913; umur 98 tahun) ialah pengarang yang berasal dari Perancis dan merupakan seorang penolak isu Holocaust Yahudi. Garaudy ialah seorang komunis yang cuba mendamaikan Marxisme dengan agama Kristian Katolik pada era 1970-an dan kemudian meninggalkan kedua doktrin itu dan memeluk agama Islam pada tahun 1982 dengan nama Rajaa’ Garaudy.
Pada 1998, Mahkamah Pengadilan Perancis mendakwanya bersalah di atas pertuduhan menyangkal kejadian Holocaust dan dituduh memfitnah bangsa Yahudi. Mahkamah menyuruhnya membayar denda sebanyak FF 120,000 ($40,000) untuk bukunya pada tahun 1995 iaitu Mitos dan Politik Israel.
Menyokong pandangan sejarawan revisionis Perancis, Robert Faurisson, buku itu menyatakan bahawa selama Holocaust, orang-orang Yahudi tidak pernah dibunuh beramai-ramai dalam bilik  gas oleh Parti  Nazi Jerman sepertimana yang didakwa oleh Yahudi[12].
Profesor Wilhelm Schulze dan Kajian Sembelihan
Barat  mempersoalkan mengapa Islam membenarkan perbuatan kejam dan ganas terhadap haiwan apabila persoalan penyembelihan termaktub dalam kitab-kitab fiqh Islam.
Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana kononnya banyak darah ditumpahkan oleh kaum Muslim ketika amalan korban pada Aidiladha.
Tuduhan sedemikian cuba dijustifikasi ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat dan mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka membuktikan kononnya  Islam mengajar umatnya menjadi ganas.
Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan dahulu kejutan elektrik di kepala bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.
Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala."
Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji oleh pakar Jerman.
Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.
Kajian itu bertajuk, "Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing", menyimpulkan kaedah Islam adalah yang terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan[13].
Tagata Tagasone dan kajian kulit
Professor Tagata Tagasone, Ketua Jabatan Anatomi dan Embriologi di Universiti of Shiang Mai di Thailand telah mengucap dua kalimah syahadah semasa Persidangan Perubatan Saudi Ke-8 di Riyadh.
Beliau  telah mendapat hidayah apabila diketahui kajian para saintis yang pakar dalam bidang kulit (dermatologi) telah lama diterangkan di dalam Al Quran lebih 1,400 tahun yang lalu.
Jawapannya ialah ayat Al Quran surah ke 4 , ayat ke 56 yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang menolak ayat-ayat Kami. Kami akan membakar mereka dalam api neraka, Tiap-tiap kali kulit mereka terbakar hangus. Kami akan gantikan kulit mereka dengan kulit yang baru supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu, Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (An-Nisaa’ 4:56)
Beliau kagum apabila Al Quran ribuan tahun lalu telah menceritakan fungsi saraf sakit, reseptor dan sebagainya berkenaan kulit. Allah menjelaskan akan tukarkan kulit yang hangus dengan kulit yang baru menandakan pengetahuan Allah bahawa saraf sakit ada pada kulit. Jika kulit sudah tiada bagaimana mungkin manusia merasai sakit lagi. Logik inilah yang membawa beliau menemui Hidayah.
Islam penyelesai masalah dunia
Mohammed Akbar, seorang ulama dari India, mencadangkan bahawa masalah masa kini berpunca dengan kegagalan sistem kapitalis.
Beliau juga berpendapat Peristiwa Jurubank Panik tahun 1907, Kemelesetan Ekonomi  Besar 1929, Gejala  Black Swan tahun 1987 serta krisis pada tahun 2000 yang mengganggu ekonomi global semua disebabkan oleh kapitalisme. Beliau optimis bahawa masalah boleh diselesaikan dengan menggunakan dua prinsip utama Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah[14].
Bukan sahaja beliau malah Ulama’ terkenal seperti Imam Hassan Al Banna, Syed Qutb, Abdul Karim Zaidan, Abd Qadir Audah,  Muhammad Al Ghazali dan Muhammad Qutb telah lama melaung seruan agar dunia kembali menerima sistem Islam malah seruan tersebut dihalakan kepada pemerintah negara umat Islam terutama Arab yang menganut fahaman sosialisme dan sekularisme.
Penggunaan Syariah, atau undang-undang agama Islam, kini kian berkembang di Britain, dengan beribu-ribu umat Islam mempraktikannya untuk menyelesaikan pertikaian setiap tahun[15].
Dianggarkan 85 majlis Syariah beroperasi di Britain, menurut laporan Think Tank Civitas pada  2009.
Laporan Dailymail.co.uk mendakwa terkini terdapat kelompok komuniti Islam di Britain yang telah berani menampal poster dan stiker zon perlaksanaan syariah Islam di mana tiada arak, rokok, judi atau perlacuran di zon tersebut. Kelompok ini dianggap pelampau di Britain walaupun usaha mereka ini  berani, dibuat secara aman dan ikhlas.
Muhammad Nuruddin bin Bashah

017 6291368



[4] Ibid
[13] Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu. Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).
Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP. Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam,
·         tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.
·         Haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.
·         Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.
·         Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan.

Jika kaedah Barat menggunakan  kaedah CBP,
·         haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.
·         Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih.
·         Keadaan itu menyebabkan banyak darah mash terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat  untuk dimakan.
·         Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah Barat dan bukan Islam, jadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia demikian kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian
·         kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...