Pembaca Setia

Monday, November 19, 2012

SEJAUH MANA UMAT ISLAM SINONIM DENGAN HUTANG?


SEJAUH MANA UMAT ISLAM SINONIM DENGAN HUTANG?
Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Walaupun sensitif, tajuk ini masih relevan untuk diperhalusi dari semasa ke semasa untuk memperkukuh kondisi dan imej umat Islam bukan sahaja di dalam negara malah ummah keseluruhannya.
Walau apapun usaha kita, statitik dan rekod tetap menunjukkan betapa kaum Muslim cukup sinonim dengan permasalahan hutang dan kebejatan akibat hutang. Antara gejala maksima yang menghantui penghutang adalah diisytihar sebagai muflis.

Asasnya, agama Islam tidak melarang berhutang, malah sistem berhutang dinyatakan dalam surah Al Baqarah ayat 282.
Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya Dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang Yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu Dengan jelas). dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. kemudian jika orang Yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya Dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. …

Ayat di atas adalah piawaian Islam yang digunakan sebagai garis panduan untuk berhutang kerana hutang ada syariatnya (jalannya), tetapi tidak bermakna Islam menggalakkan jika ia tidak dianggap keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika dijadikan perkara wewenang.

Aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan merupakan antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah Al-Baqarah, kita akan dapati bahawa kedudukannya disejajarkan Allah dengan ibadah solat sebagai tiang agama sebagaimana firman-Nya: “...mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah: 3).
Hutang telah menjadi budaya sesetengah pihak, demikian ungkapan yang acapkali dikatakan. Apakah maksud istilah budaya dan apa pula maksud budaya hutang?
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, budaya bererti tamadun, peradaban: ~ Islam; 2. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb): ~ kuning; 3. bersifat budaya, yg mengenai kebudayaan, (yg) sudah maju (akal budi).

Menurut wikipedia pula, budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi"' yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia. Di dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘colore’ yang bermaksud menanam atau mengerjakan.
Andreas Eppink pula berpendapat, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan

Tabiat berhutang bukan perkara semulajadi tetapi ia adalah amalan yang dimulakan oleh manausia dan diamalkan secara konsisten sehingga ia menjadi budaya kepada sesuatu kaum.
Suatu yang serius untuk kita perhatikan apabila kini didapati 37 000 orang anak muda (berumur antara 25 tahun – 35 tahun) diisytihar muflis, bangkrap atau dalam kata yang mudah, telah gulung tikar dalam bisnes.
Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan kaum tertinggi diisytihar muflis ialah Melayu (39.76%) diikuti Cina 33.36%, India 9.53% sementara lain-lain 17.34%. Jabatan Insolvensi Malaysia juga merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74% atau 790 adalah lelaki yang merupakan teras bangsa.

Media juga mendedahkan bahawa 41 orang anak muda menjadi muflis setiap hari di negara ini akibat berbelanja secara tidak terkawal melalui penggunaan kad kredit.

Kad kredit- musuh atau kawan?
Orang Melayu terutama yang berusia muda belia kini kerap terperangkap dalam “sindrom kad kredit”. Sindrom ini sebenarnya berkait rapat dengan budaya konsumerisme atau kepenggunaan.
Istilah konsumerisme bererti “faham atau gaya hidup yang menganggap barang-barang sebagai ukuran kebahagiaan”. Sementara Oxford Paperback Dictionary Thesaurus pula mentakrifkan consumerisme sebagai “keasyikan masyarakat membeli-belah”. Ia suatu tabiat yang terjelma hasil naluri materialistik.
Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban atau nampak ‘kurang matang’ atau ‘rugged’. Keadaan ini lebih ketara sejak kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50% daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit.

Kebanjiran sistem jualan dalam talian juga menyemarakkan penggunaan kad kredit kerana ia lebih fleksibel dan mudah.

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang pinjaman dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diisytiharkan muflis. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun. Pemilik kad kredit daripada kalangan  golongan ini menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah apabila kerap juga mengambil wang tunai menggunakan kad tersebut. Kadar bunga yang dikenakan berkali ganda daripada pinjaman persendirian biasa.
Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Justeru banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan. Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa yang dikenakan status muflis dipandang hina dalam masyarakat dan semestinya menjatuhkan maruah umat Islam dalam aspek ekonomi dan ikhtisas.

Penggunaan kad kredit kelihatan semakin berkali lipat ganda. Misalnya pada 2003, penduduk Malaysia melakukan transaksi kad kredit secara purata sebanyak 5.8 kali, meningkat sekitar 8.7 kali pada 2007.
Nilai purata transaksi jual beli menggunakan kad kredit penduduk Malaysia pada 2003 ialah RM1,159.60 dan jumlah itu meningkat kepada RM2355.32 pada 2007.

Pada tahun 2003, keseluruhan isi rumah di Malaysia terhutang kepada syarikat-syarikat kad kredit sebanyak RM275.176 bilion. Pada 2007, nilai hutang meningkat menjadi RM427.912 bilion
Boros perlu dikikis
Ini suatu krisis! Apakah tiada suatu tindakan untuk menghentikan pemborosan di kalangan rakyat? Ramai kontraktor Melayu yang masih belum kukuh perniagaannya telah mula membeli Mercedes Kompressor. Sanggup membayar hampir RM 3,000 sebulan untuk gaya dan nama sedangkan berhutang untuk menutup kelemahan perniagaan. Ada yang mengambil tender sedangkan modal tetap syarikat adalah negatif. Sanggup berhutang untuk mendapatkan projek sedangkan projek yang sedia ada dan yang dipohon belum tentu berjaya.

Menurut Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, rakyat negara ini seharusnya mengikis tabiat berhutang dan liat membayar hutang agar tidak terus menjadi satu budaya. Berhutang bukan sekadar untuk membesarkan perniagaan tetapi ia kerap dilakukan untuk memenuhi keperluan hidup ranggi di kalangan bumiputera Islam.
Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan.

Jika jumlah hutang melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis!

Merujuk kepada statistik kes muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010, terdapat seramai 80,348 orang disenarai muflis.

Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai adalah akibat hutang cukai pendapatan, hutang kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain.

Statistik daripada jabatan tersebut juga menunjukkan sebab kebankrapan utama adalah
  • Kepelbagaian hutang (29.05%),
  • sewa beli kenderaan (24.12 %),
  • pinjaman perniagaan (10.93 %),
  • pinjaman perumahan (7.49 %)
  • kad kredit (5.50 %).
Perkara yang meruntun hati kita adalah apabila statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan kaum yang paling ramai muflis ialah Melayu 39.76%. Jelas kaum Melayu itu pastilah di kalangan umat Islam!

Menurut Utusan Malaysia pada 19 Januari 2012, kajian awal yang dilakukan oleh FOMCA terhadap 100 individu mendapati golongan tersebut menghabiskan 30% daripada gaji mereka untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak setiap bulan.

Umat Islam juga dalam senarai muflis
Menurut laporan berita dalam http://www.muslimconsumer.org.my , had minimum jumlah hutang yang gagal dibayar bagi membolehkan petisyen kebankrapan dibuat bakal ditingkatkan daripada RM30,000 menjadi RM50,000.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong telah menyatakan, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi sedang berusaha memperbaharui perundangan berkaitan insolvensi sedia ada termasuk meningkatkan had minimum jumlah hutang gagal dibayar yang membolehkan petisyen kebankrapan dibuat. Walaupun ia kelihatan membantu para penghutang daripada mudah dijadikan muflis, akan tetapi ia hanyalah remedi jangka pendek tanpa menyelesaikan akar utama permasalahan hutang rakyat yang semakin membimbangkan.

Berdasarkan rekod, sebenarnya Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh lima tahun dari 2007 hingga Mac 2012 telah menguruskan 85,175 kes kebankrapan.
Daripada jumlah tersebut,
  • sebanyak 2,374 kes atau 23.9% terdiri daripada pekerja swasta,
  • 10, 203 kes melibatkan peniaga,
  • 7,134 kes pekerja sendiri,
  • 2,482 golongan profesional,
  • 2,345 sektor awam,
  • 2,300 tidak bekerja,
  • 535 pesara kerajaan,
  • 128 hiburan,
  • 139 pelajar dan
  • 36 ahli sukan
  • manakala 39,499 kes pula melibatkan pekerjaan-pekerjaan lain atau tiada maklumat.
Statistik di atas dibongkar oleh Vui Keong  apabila menjawab soalan  Datuk Syed Ibrahim Kader dan Datuk Boon Som Inong yang membangkitkan isu kebankrapan dalam Dewan Negara.
Menurut beliau lagi, antara punca individu diisytihar muflis adalah;
  • Sewa beli kenderaan yang melibatkan 21,796 individu atau 25.59%,
  • pinjaman peribadi sebanyak 12,547 orang atau  14.73%
  • Pinjaman perumahan seramai 12,098 orang 14.20%
  • Pinjaman perniagaan 9,865  atau 11.58%,
  • Penjamin korporat 4,076 kes  atau 4.79 %
  • Penjamin sosial 4,507 atau 5.29 %
  •  hutang kad kredit 3,523 4.14%
  •  hutang cukai pendapatan 775 atau 0.91%
  •  pinjaman pelajaran 161 atau  0.19 %
  • Lain-lain sebanyak 15,827 kes  atau 18.58%.

Jika ditinjau dari tahap kedudukan, punca muflis rakyat Malaysia adalah permasalahan pembelian kenderaan. Kenderaan adalah keperluan asasi manusia hari ini. Suatu plan harga kenderaan mampu milik perlu dirangka oleh kerajaan untuk menangani krisis muflis di kalangan rakyat. Muflis adalah antara cabaran besar sesebuah negara yang bercita-cita untuk menghasilkan suasana ‘knowledge driven economy’ serta negara yang berpendapatan tinggi.
Laman http://mynewshub.my melaporkan  satu kajian oleh Pusat Kajian dan Sumber Pengguna (CRRC) mendapati kira-kira 47 % golongan pekerja muda di Malaysia mengalami masalah hutang yang serius. Impak besar permasalahan ini cukup ketara. Bayangkan pekerja muda yang masih muda dalam alam rumahtangga serta masih belum kukuh dari aspek kewangan telah terjerat dalam lembah hutang. Masalah sosial, krisis rumatangga serta statistik penceraian rumahtangga pasangan belia Islam mungkin berkaitan secara langsung dengan krisis hutang di kalangan belia ini.
CRRC melalui satu kenyataan media sebelum ini juga memberitahu, kajian terhadap perilaku dan sikap pekerja muda itu mendapati 47 % pekerja muda mempunyai beban hutang bulanan 30 % atau lebih daripada pendapatan kasar.

Kira-kira 37% daripada golongan pekerja muda tempatan pula mengakui berbelanja di luar kemampuan dan 15 % pula tidak mempunyai simpanan langsung.
Bagaimana pula dengan golongan veteran? Kini  60 % daripada mereka tidak begitu berpuas hati dengan persediaan masa tua yang dimiliki.

Kajian juga mendapati secara purata, pembelian golongan pekerja muda menggunakan kad kredit ialah RM702 sebulan dan 37% mereka tidak pernah terfikir tentang persediaan untuk persaraan.
Walaupun penyelesaian beberapa permasalahan diperingkat eksekutif amat diperlukan, rakyat terutama di kalangan belia Islam perlu terus memperjuangkan gaya hidup sederhana, berjimat cermat dan menentang sama sekali gaya hidup yang mementingkan kemewahan, pembaziran dan pemborosan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...