Pembaca Setia

Monday, November 19, 2012

Mengapa manusia Panjat Everest?


Mengapa manusia Panjat Everest?
Muhammad Nuruddin Bashah
Mencapai ke puncak adalah idaman mana-mana manusia, malah semakin tinggi kedudukan manusia atau bangsa ia merlambangkan kejayaan duniawi secara umum.
Tidak hairan jika manusia gemar bersaing membina bangunan atau menara terteinggi walaupun keperluannya masih kabur. Manusia juga bersaing untuk berada di kedudukan paling tinggi dengan mengharungi sesebuah cabaran. Dunia mengiktiraf mana-mana bangsa yang berjaya berenang berkilo meter jauhnya, menyelam ke kawasan paling dalam atau pun mendaki puncak gunung paliung tinggi dan paling sukar. Pendek kata kesukaran untuk sampai ke sesuatu tujuan itu dianggap capai ke puncak kejayaan.
Begitu juga tindakan manusia berusaha bersaing menawa puncak Everest. Namun begitu jarang ada penyelidan yang mengkaji mengapa manusia gilakan gunung setinggi 8,850 m  atau 29,035 kaki ini walaupun secara umum mengetahui 1001 rahsia, keajaiban ada sepanjang usaha mendaki ke puncak tersebut.
Jika menurut sumber sejarah konvensional, pada tanggal 17 Januari 1841,  puncak tertinggi di dunia itu ditemui oleh Sir George Everest, seorang pendaki berbangsa Inggeris. Nama Everest sempena nama George, memiliki ketinggian 8800 meter.
Namun begitu sebenarnya , George Everest sendiri tidak berhasil mencapai puncak tertinggi melainkan  29 Mei 1953, Sir Edmund Hillary dari New Zealand dan pembantunya Tenzing Norgay penduduk asli Nepal, menjadi orang pertama yang berhasil mencapai puncak Everest. Mereka adalah salah seorang daripada anggota ekspedisi Britain  yang dipimpin oleh Sir John Hunt. Kumpulan ini berangkat dari Kathmandu, Nepal pada tanggal 10 Mac 1953, dan melakukan pendakian dari arah  Selatan yang dikenali sebagai lereng yang mustahil mampu didaki.
Namun akhirnya hanya Hillary dan Tenzing Norgay, yang berhasil mencapai puncak. 
Malaysia sebagai sebuah negara membangun tidak ketinggalan merancang, melatih dan menggalakkan usaha pendakian Everest. Akhirnya pada  Mei 1997, dua rakyat Malaysia iaitu M. Magendran dan N. Mohandas telah berjaya menakluki puncak Gunung Everest. Magendran dan Mohandas ialah antara 20 orang pasukan Ekspedisi Gunung Everest Malaysia.
Malaysia juga diiktiraf sebagai  negara Asia Tenggara yang pertama yang berjaya mengibarkan bendera di puncak gunung tertinggi ini. Sebelum memulakan ekspedisi, pasukan Ekspedisi Gunung Everest ini terpaksa program latihan yang mencabar dan mereka yang terpilih mempunyai pengalaman mendaki gunung selama 15 tahun dan diantara gunung-gunung yang pernah mereka daki adalah Gunung Himacha Pradesh di India, yang terletak 4,857 meter dari paras laut, Gunung Cho Oyu dengan ketinggian 8,130 meter dan Gunung Kamet dengan ketinggian 7,436 meter di Himalaya.

Sebelum berbicara lanjut mari kita kenali latar belakang gunung popular ini. Gunung Everest terletak di banjaran gunung Himalaya. Everest adalah gunung tertinggi di bumi (diukur daripada  paras laut). Kemuncak gunung ini menandakan sempadan antara Nepal dan Tibet. Di Nepal gunung tersebut dikenali sebagai Sagarmatha (dalam bahasa Sanskrit bermaksud dahi langit) dan di Tibet dikenali sebagai  Chomolangma atau Qomolangma (bermaksud Dewi alam), yang diambil dari nama Cina.  Bagi kaum Tibet dan Nepal, gunung Everest ada keramat dan metosnya tersendiri. Malah upacara memuja gunung ini juga dilakukan oleh segelintir masyarakat tempatan.
Gunung ini berlokasi dengan koordinat     27°59′17″ Utara, 86°55′31″Timur  

Laluan selatan dan utara sebagaimana dilihat dari Stesen Angkasa Antarabangsa.
Kecantikan yang dianugerahi tuhan
Selain kemuncak kemegahan Everest juga ada kelainan dari segi suasana alam sekitar. Sebelum ini seorang ahli astronomi, Oleg Bartunov yang bersama beberapa warga Britain, 51, berjaya merakamkan imej pelangi luar biasa di Gunung Everest ketika menyertai ekspedisi ke Himalaya
Agensi melaporkan bahawa imej tersebut dirakamkan oleh Burtunov  yang merupakan anggota Institut Astronomi Sternberg di Moscow, Rusia.
Fenomena yang pelik tersebut berlaku disebabkan oleh pantulan cahaya kristal ais yang kecil di dalam awan.
Menurut masyarakat  tempatan fenomena itu  jarang berlaku.


Benarkah Puncvak Everest Bukan Tertinggi di Dunia?
 Puncak Everest ada di 8.848 meter di atas permukaan laut, iaitu  tertinggi di dunia
Hampir semua orang tahu bahawa gunung Everest merupakan gunung tertinggi di atas muka Bumi. Pendaki dari seluruh penjuru dunia berlumba-lumba mendaki Everest untuk meraih gelar ‘Penakluk puncak tertinggi di dunia’ itu.
Seperti diketahui, puncak gunung Everest berada di ketinggian 8.848 meter di atas permukaan laut. Tingginya daratan pada paras itu membuat gunung Everest mendapat gelaran  sebagai gunung paling tinggi. Namun begitu ramai mulai mempertikai bahawa  gunung Everest bukanlah gunung yang paling tinggi di Bumi.
Sebagai contoh Gunung Mauna Kea, yang berada di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat memiliki ketinggian 4.205 meter di atas permukaan laut. Walaupun puncak gunung ini jauh lebih rendah dari gunung Everest, akan tetapi, Mauna Kea sebenarnya merupakan gunung yang kakinya dimulai dari dasar laut.
Jika diukur dari kaki gunung, secara total, tinggi Mauna Kea lebih daripada 10 ribu meter. Bandingkan dengan gunung Everest yang hanya 8.848 meter dari kaki ke puncaknya.
Gunung Mauna Kea akan semakin rendah kerana memiliki isipadu sebanyak  3,200 kilometer persegi. Ukurannya yang sangat besar ini membuat gunung ini menekan dasar laut di bawahnya hingga 6 kilometer. Ia juga terus turun dan semakin rata kerana beban berat  yang menurunkan ketinggiannya sebanyak  0.2 milimeter saban tahun!
Sumpahan Everest…
Dari sisi hitam, gunung ini telah memakan ratusan nyawa. Dianggarkan jika sepuluh pendaki yang pernah mencapai ke puncak, gunung ini pasti mengorbankan salah seorang daripada mereka.
Selepas lebih 50 tahun manusia pertama dalam sejarah mencapai puncak Gunung Everest, 216 orang telah terkorban dan menurut rekod 150 mayat yang tidak pernah atau tidak mampu dibawa turun. Sedangkan mayat-mayat mereka semua masih ada terutamanya yang berada di Zon Maut.






Antara puncak zon maut Everest
Zon maut (Death Zone) bagi sesebuah gunung, merujuk kepada ketinggian di atas titik tertentu di mana jumlah oksigen tidak mencukupi untuk mengekalkan kehidupan manusia. Titik ini secara umumnya pada  8,000 m (26,000 kaki) iaitu mengalami  tekanan kurang daripada 356 milibar daripada tekanan atmosfera. Istilah zon kematian pada asalnya dicipta oleh Edouard Wyss-Dunant, seorang doktor Switzerland, dalam bukunya, Dunia Gunung 1952.
Banyak kematian di gunung altitud tinggi seperti Everest telah disebabkan oleh kesan zon kematian, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam zon mati, tiada badan manusia boleh menyesuaikan diri. Satu persinggahan panjang di zon tanpa oksigen tambahan akan menyebabkan kemerosotan fungsi tubuh, kehilangan kesedaran, dan akhirnya, maut.
Ramai daripada 220 orang yang mati di Gunung Everest adalah pendaki amatur yang mendaki dengan melanggar nasihat sherpa atau pendaki lain.
Misalnya seorang pendaki wanita, Shah-Klorfine adalah pendaki yang degil. Pendaki lain telah menyedari beliau  berkelakuan pelik. Mereka menggesanya agar berpatah balik. Dia menggelengkan kepalanya dan memberi isyarat untuk meneruskan pendakian.
Beliau berkeras untuk meneruskan pendakian dan hanya dengan sedikit oksigen yang tersisa, beliau berjaya sampai ke puncak. Namun ia tidak bermakna kerana dalam perjalanan turun ke bawah, beliau kekurangan udara dan sherpa terpaksa mendukungnya hingga dia menemui ajal.
Tidak ada manusia yang dapat membiasakan diri dengan ketinggian Zon Maut. Terdapat 14 buah gunung di seluruh dunia yang melebihi ketinggian 8000 meter dan tidak mungkin seseorang boleh berada lebih daripada 48 jam di sana.
Tahap oksigen di Zon Kematian yang cuma satu pertiga daripada tahap oksigen pada paras laut, yang secara mudahnya bermaksud badan akan menggunakan simpanan oksigen dalam badan lebih cepat daripada oksigen masuk daripada pernafasan.
Seorang pendaki National Geographic Brian Blessed menceritakan kesan halusinogen boleh berlaku disebabkan kehabisan oksigen di Zon Maut. Mereka akan  mengalami halusinasi, badannya lemah dan daya fikiran pula seolah-olah tidak betul.
Untuk mendaki perkara di bawah pelru diambil berat:
  • Waktu terbaik untuk mendaki sangat singkat di antara bulan Mei dan Jun, dengan suhu purata -27 C dan angin selaju 50 batu/jam.
  • Keadaan Gunung Everest sangat tinggi hingga bahagian atasnya menembusi lapisan stratosfera, dan terdapat angin yang di kenali sebagai Jet Streaming yang boleh mencapai kelajuan 200 batu/jam dan suhu jatuh ke - 73 C.
 
Disebabkan mayat tersebut kesemuanya sukar di bawa pulang kerana ada yang tersangkut atau terjatuh di lembah yang berbahaya menyebabkan mayat-mayat tersebut terdampar hampir puluhan tahun dengan baju dan peralatan yang masih terawet.


Walaupun penuh dengan salji dan ais, Gunung Everest kering seolah-olah seperti di gurun padang pasir yang menyebabkan mayat-mayat pendaki pengawetan semula jadi berlaku dengan pantas. Bahkan disebabkan terlalu tinggi, mayat-mayat pendaki akan kekal selama berpuluh-puluh tahun, hinggakan sesetengah mayat tersebut masih memakai peralatan mendaki.
Isu kemanusiaan
Memijak rakan sendiri demi sampai ke puncak. Ini antara teori umum yang ditanam pada jiwa sesetengah pendaki untuk sampai ke atas. Tidak hairan jika terlalu banyak mayat terdampar kerana tiada bantuan kecemasan, bantuan fizikal atau gas diberikan kepada pendaki lain yang memerlukan bantuan. Masing-masing hanya pentingkan diri sendiri untuk meneruskan pendakian.
Keadaan ini jauh dari sifat keperimanusiaan. Mereka terpaksa memilih sama ada menolong orang lain atau pun mengorbankan diri sendiri. Pendek kata, antara persiapan sejak dari awal lagi setiap pendaki-pendaki didedahkan dengan risiko bahawa mereka tidak boleh mengharapkan sebarang bantuan pendaki lain mahu pun menawarkan pertolongan kepada pendaki lain.
Alasan terbaik daki Everest
Pendaki Everest muda Malaysia (berjaya tawan Everest pada tahun 2004), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, telah memulakan ekspedisi tiga bulan untuk mendokumentasikan siri perjalanan para Nabi Islam dengan mendaki 11 gunung di lapan negara. Beliau sebenarnya mendapat inspirasi selepas menawan puncak Everest. Bagi sesetengah pihak, aktiviti riadah sebegini boleh menghasilkan suatu semangat untuk memartabatkan agama dan sejarah Islam di persada dunia.
Beliau berhujah misinya sebenarnya  bersandarkan al-Quran, hadis dan buku-buku teks sejarah, dan akan cuba menerokai rahsia, panduan, dan ajaran yang ditinggalkan dalam perjalanan setiap nabi.
Rehlah atau perjalanan beliau itu juga telah melibatkan satu panel sarjana Islam sebagai penasihat dokumentari, antaranya Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadut, bekas Mufti Kedah Datuk Setia Jaya Syeikh Hasbullah Abd Halim, bekas Ketua Pengarah Jakim Datuk Mustafa Abdul Rahman dan Profesor Madya Dr Adnan Mohamed Yusoff dari Universiti Sains Islam Malaysia.
Antara kawasan yang bakal beliau kunjungi adalah  Sri Lanka dan meneruskan ekspedisi ke  Turki, Rusia, Arab Saudi, Mesir, Jordon dan Syria dan menelan  kos sekitar RM1.2 juta.
Muhammad Nuruddin Bashah






1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...