Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Friday, March 18, 2016

HADIS HUKUM BERKAITAN PENGHARAMAN JASAD MUSLIM SEBAGAI KAJIAN SAINS


HADIS HUKUM


TAJUK:
HADIS HUKUM BERKAITAN PENGHARAMAN JASAD MUSLIM SEBAGAI KAJIAN SAINS
Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
No KP: 820102-02-5203

Semester 5

Pensyarah : Dr Mohd Fuad Mokhtar

Tugasan untuk dicetak dan diemail kepada pensyarah







Muqaddimah

Isu pendermaan jasat mayat umat Islam kepada pihak kajian perubatan adaah isu yang berbeza dengan isu derma organ untuk menyelamatkan nyawa sekaligus menepati maqasid syariah serta berbeza dengan isu bedah siasat yang bertujuan menjelaskan sesuatu siasatan kes jenayah.

Menderma mayat untuk tujuan penyelidikan adalah isu sensitif di dalam syariah Islam dan ia bukan melambangkan kekolotan umat Islam. Isu ini kerap juga digunakan oleh liberalis untuk mengungkapkan umat islam di Malaysia khususnya sebagai jumud, ortodok dan ketinggalan zaman. Malah ada pihak yang berbangga jika mayatnya dijadikan bahan ujikaji negara.

Walaupun 1001 satu manfaat dan kebaikan diperolehi dengan ramainya mayat disumbangkan untuk kajian akademik perubatan dan sains biokimia, ia tetap perlu diperhalusi berdasarkan lunas syara’ dan bukan sekadar emosi dan alasan kehendak zaman semata-mata.

Kes derma mayat

Di Malaysia hanya kaum bukan Islam yang memiliki rekod menderma mayat sendiri selepas kematiannya untuk tujuan kajian sains. Namun ia telah menjadi wacana di kalangan umat Islam sendiri apabila ada umat Islam yang berminat menumbang ke arah pembangunan negara melalui mayat mereka sendiri. Di sinilah menguji sejauh mana kita berpegang dengan syariat Islam yang pastinya jauh lebih utama berbanding kecintaan kepada negara dan tamadun bangsa.

Kes pertama di Malaysia adalah pada tahun 2012 lalu. Pesakit kanser Lim Kian, 67, dan Low Siew Yeok, 47, telah berikrar mendermakan badan mereka untuk uji kaji sains bagi membantu doktor menyelamatkan pesakit lain. Pasangan ini kemudiannya telah diberi penghormatan oleh para doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)1.


Program ini dinamakan Silent Mentor kerana mayat seolah-olah menjadi guru kepada para sainstis dan doktor pelatih. Program "Silent Mentor" yang diumumkan oleh Universiti Malaya pada Mac tahun 2012 adalah berdasarkan program yang dijalankan di Universiti Tzu Chi di Taiwan di mana orang ramai boleh berikrar badan mereka digunakan untuk tujuan latihan dan penyelidikan perubatan selepas kematian.

Mayat akan digunakan untuk bengkel selama tiga hari, dan selepas itu akan dibakar dan kekal diletakkan di memorial peringatan.

Program ini merupakan kerjasama antara UM, Universiti Tzu Chi dan pembekal perkhidmatan pengebumian Kumpulan Xiao En. PPUM dan Kumpulan Xiao En juga menyediakan tapak memorial khas untuk "Mentor Senyap" di Nilai Memorial Park Penilaian untuk pengebumian abu mayat.

Sekitar isu bedah siasat mayat.

Ada satu persamaan antara menderma mayat untuk tujuan kajian sains dengan kes bedah siasat iaitu mayat akan dilukakan, dikeluar organ dan diperlakukan umpama melapah daging. Namun majlis fatwa Kebangsaan telah membezakan nya dengan ketetapan berikut2.:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan; Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Manakala dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan; Hukum asal pembedahan mayat adalah haramtetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan . ”

Jelas membedah mayat hanya dibenarkan daam kes-kes dharurat sahaja. Maksud dharurat perlu difahami berdasarkan lunas syara’ dan bukannya lunas fahaman Barat. Dharurat di sini adalah bermakna kes jenayah yang sedang disiasat bakal menghukum pihak yang tidak bersalah. Maka disinilah peranan bedah siasat.

Hukum menderma jasad orang Islam untuk tujuan kajian sains.

Berbeza dengan kes bedah mayat untuk kes jenayah dan dharurat, bagi kes derma mayat untuk kajian maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Hukum Pendermaan Jasad Si Mati Untuk Tujuan Penyelidikan. Muzakarah telah memutuskan:
Setelah meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Malaya dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
Muzakarah juga menegaskan bahawa hukum asal pendermaan jasad atau mayat manusia adalah HARAM kerana Islam amat menitikberatkan penghormatan ke atas jasad manusia sama ada sewaktu mereka masih hidup ataupun selepas mati. Terdapat banyak nas-nas syarak berhubung dengannya, antaranya suruhan tajhiz al-mayyit seperti mandi, kafan, solat dan pengkebumian, larangan mencincang jasad mayat dan sebagainya.
Muzakarah berpandangan bahawa dalam konteks Malaysia, pendermaan jasad atau mayat orang Islam dan keperluan penggunaan jasad si mati untuk tujuan penyelidikan masih belum berada pada tahap mendesak.

Keperluan terhadap penggunaan mayat untuk tujuan penyelidikan masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada. Selagi mana kaedah alternatif boleh dikemukakan sebagai jalan keluar, maka ia menjadi pilihan yang mesti diambil tanpa perlu mengharuskan pendermaan jasad atau mayat orang Islam.
Sehubungan itu, selaras dengan penegasan syarak tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pendermaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan adalah haram3

Perhatikan dalil dan hujah yang digunakan.

Pertamanya berasaskan Prinsip kemuliaan mayat dan kewajipan menghormatinya perlu diikuti sebagaimana kaedah:

الأَصْلُ فِي الَإ بْضَاعِ التَّحْرِيْمُ
Hukum asal pada masalah seks adalah haram

Maksudnya: Asal kepada perkara yang melibatkan maruah seks adalah diharamkan.

Kaedah ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: Darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu di antara sesama kamu haram seperti mana haramnya hari kamu ini, bulan kamu ini, di negeri kamu ini. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
(ii) Kehormatan mayat merupakan suatu tuntutan dan pendermaannya adalah menceroboh prinsip penghormatan tersebut.
(iii) Keperluan penggunaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan belum berada pada tahap mendesak atau dharurah kerana keperluan tersebut masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada.

Permasalahan

Ramai mahasiswa perubatan islam mengeluh apabila mereka ada yang diperlekeh atau dipandang serong apabila bertegas dalam isu sebegini. Seolah kelihatan Islam hanya memeting diri sendiri, menumpang guna mayat non muslim sedangkan jasad kaum sendiri tidak dibenar pula digunakan.

Hal ini tidak pelik. Setiap agama ada pantang larangnya dan Islam tidak pernah mengajar umatnya memperlekeh amalan agama lain seperti sikh yang mewajibkan janmbang dan rambut panjang bagi lelaki. Malah banyak lagi perkara yang kelihatan pelik di mata umat Islam namun tidak pula diperbesarkan oleh umat islam lantaran ajaran Rasulullah agar kita menghormati agama lain. Inilah keindahan Islam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...