Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Friday, March 18, 2016

PENERAPAN PENGURUSAN ISLAM DI MASJID


PENGANTAR PENGURUSAN
DS 0308

TAJUK:
TUGASAN KEDUA
PENERAPAN PENGURUSAN ISLAM DI MASJID
Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
No KP: 820102-02-5203

Semester 4

Pensyarah : Us. Bakri Hishamuddin

Tugasan untuk dicetak dan diemail kepada pensyarah


Muqaddimah

Masjid adalah medan utama untuk dinilai penerapan pengurusan yang efektif dan efisyen. Hal ini kerana masjid menjadi medan utama segala aktiiti umat Islam sejak zaman pemerintahan Rasulullah SAW, Khilafah Ar Rasyidin sehinggalah kemunculan pemerintahan Islam secara mulukiyyah, Masjid memain peranan penting mengurus rakyat jelata dan menjadi hub penting istana -istana kekuasaan Islam.

Definisi

Pengurusan : Perkataan “pengurusan” dari segi etimologinya adalah berasal daripada perkataan “urus” yang bererti “menyelenggarakan sesuatu dengan baik atau secara teratur”. Apabila penggunaan imbuhan “peng” dan “an” digunakan pada perkataan “urus” ia bereti “perihal (kerja dan sebagainya) mengurus (syarikat, badan perniagaan dan lain-lain). (Kamus Dewan, 1997 : 1529).

Manakala perkataan “pengurusan” secara terminologinya sehingga kini tiada suatu pun definisi tentang “pengurusan” telah disepakati oleh ahli-ahli pengurusan. Oleh itu penyelidik telah mengambil inisiatif untuk memilih beberapa definisi tentang “pengurusan” yang dirasakan dapat membantu memahami kajian ini. Berikut adalah definisi-definisi tersebut :

1. Mary Parker Follet mendefinisikan “ pengurusan ” sebagai “seni melakukan perkara-perkara tertentu melalui orang lain”. (James A.F. Stoner dan Charles Wankel, 1994 : 4).
2. “Pengurusan” didefinisikan oleh Taji (sarjana India) sebagai “melaksanakan perintah dan menyelaraskan kegiatan bersama kelompok”. (Mustafa Hj Daud,1994 : 2).
3. Muhammad A. al-Buraey mendefinisikan “pengurusan” pula sebagai “menyelaraskan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai makhluk sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain”. (Ibid).
4. I.D. White pula menyatakan “pengurusan” ialah “menyelaraskan tenaga kerja untuk mencapai matlamat negara”. (Ibid).

Berdasarkan kepada definisi-definisi tersebut di atas bolehlah disimpulkan bahawa perkataan “pengurusan” bermaksud “ suatu usaha atau proses mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota-anggota organisasi, merancang dan menggunakan sumber-sumber lain organisasi (kewangan, masyarakat dan lain-lain) bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi yang ditetapkan.

Masjid : Secara etimologi perkataan “masjid” adalah berasal daripada bahasa Arab yang diambil dari kata pokoknya iaitu “sajada”, “yasjudu” dan “sujudan” bererti “hal atau keadaan meletakkan dahi ke bumi”. Apabila dimasukkan huruf “mim” pada permulaan perkataan tersebut ia berubah menjadi nama tempat. Oleh itu perkataan “masjid” bererti sebagai tempat untuk sujud ataupun sebagai tempat melakukan ibadah”. (Ibn Manzur, Tanpa tarikh : 204).

Menurut “Kamus Dewan” perkataan “masjid” amnya telah diistilahkan kepada “bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat jumaat dan ibadah-ibadah lain”. (Kamus Dewan, 1997 : 864).

Sidi Gazalba pula telah mendefinisikan perkataan ”masjid” secara terminologi sebagai “pusat ibadah dan kebudayaan Islam”. (Sidi Gazalba, 1975 : 116).

Berdasarkan kepada definisi-definisi tersebut di atas perkataan masjid boleh diertikan sebagai “bangunan khas tempat umat Islam melakukan ibadah-ibadah keagamaan serta menjalankan aktiviti-aktiviti kebudayaan Islam”.

Realiti hari ini

Jika dibandingkan dengan institusi-institusi lain, didapati institusi masjid seolah-olah agak ketinggalan. Amnya masjid hanyalah dijadikan tempat solat oleh segelintir jemaah yang terlalu rendah peratusan kehadirannya berbanding dengan jumlah anak-anak kariah. Fungsi masjid sebagai tempat solat perlu dihakis daripada tanggapan masyarakat umum. Oleh itu suatu sistem pentadbiran dan pengurusan masjid yang efektif dan efisyen perlu diwujudkan bagi mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kegiatan ilmu, dakwah, bimbingan, ukhuwah, penyatuan ummah dan sebagainya.

Unsur pengurusan Islam yang boleh dilibatkan dengan institusi masjid.

Sebuah masjid ditadbir dan diurus secara teratur oleh yang berkelayakkan berdasarkan kepada hadith Rasulullah (s.a.w) yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah seperti berikut : Seorang Arab Badwi telah bertanya kepada Rasulullah (s.a.w) berhubung dengan hari kiamat, dan Rasulullah (s.a.w) pun memberitahukan kepadanya : “Apabila amanah itu telah dikhianati maka tunggulah hari kiamat”Arab Badwi itu bertanya lagi : “Bagaimana amanah itu dikhianati?”Jawap baginda (s.a.w) : “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat”. (Hadith riwayat al-Bukhari).

Hadith ini menjelaskan bahawa segala urusan perlulah diserahkan kepada mereka yang benar-benar berkebolehan dalam urusan itu untuk mengelakkan bencana kemusnahan yang akan menimpa.

Ini kerana tugas seorang pengurus adalah bertanggung jawab untuk merancang, membentuk polisi, strategi, mengkoordinasi dan mengawal segala gerak kerja organisasi supaya objektif organisasi berkenaan tercapai (al-Habshi, 1989 : 65). Sekiranya tugas yang sebegini berat diserahkan kepada yang tidak berkebolehan sudah pasti objektif organisasi tersebut tidak tercapai. Jawatankuasa masjid dan organisasi masjid perlulah dikelola oleh individu yang layak, kompeten, berilmu dan adil.

Pada umumya tidak terdapat nas-nas al-Quran mahupun al-Hadith secara langsung menuntut supaya diwujudkan suatu sistem tertentu untuk mentadbir dan mengurus masjid. Walau pun begitu telah menjadi suatu tanggung jawab ke atas umat Islam untuk memperbaiki segala kelemahan yang wujud seterusnya memikirkan bagaimanakah institusi masjid ini boleh dimakmurkan semula.

Penulis ingin memaparkan contoh bagaimana sebuah negeri meletakkan sasaran pengurusan terbaik masjid-masjidnya.1 Misalnya negeri Selangor yang telah meletak kriteria yang diambil kira dalam Penganugerahan Pengurusan Masjid Terbaik Negeri Selangor Tahun 2009 antaranya adalah:

1. Menyedia dan mempamerkan carta organisasi pegawai dan jawatankuasa masjid yang lengkap.

2. Mengadakan mesyuarat pegawai, jawatankuasa masjid dan biro-biro secara berkala.

3. Menyediakan penyata kewangan yang lengkap

4. Pengurusan sistem fail yang cekap dan kemas.

5. Menyediakan prasarana dan kemudahan yang lengkap.

6. Mengadakan kelas/sistem pengajian yang teratur, lengkap dan meliputi segenap aspek.

7. Bekerjasama dengan anak-kariah dan pelbagai pihak dalam menganjurkan kerja-kerja amal.

Untuk menilai tahap keberkesanan pengurusan di sesebuah masjid antara aspek utamanya adalah2:

  1. Pengurusan Kepegawaian.

Hal ini merangkumi kaedah yang digunakan untuk memilih, melantik dan mengorganisasikan ahli jawatan kuasa bagi sesebuah masjid, di samping itu cuba mengenal pasti tugas-tugas dan tanggung jawab pegawai-pegawai masjid sebenarnya serta masalah-masalah yang berlaku dalam sistem pentadbiran sesebuah masjid.

  1. Pengurusan Kebersihan.

Hampir kebanyakkan masjid menghadapi masalah kebersihan terutamanya tandas yang kotor dan harta benda masjid tidak disusun dengan teratur. Ini realiti yang mejadi indikator keberkesanan tarbiah Islam dalam pengurursan sesebuah masjid.
  1. Pengurusan Waktu.

Dewasa ini kita dapati sebahagian daripada masjid gagal berfungsi sebagai pusat kebudayaan bagi masyarakat setempat hasil kegagalan pihak pengurusan masjid memanfaatkan waktu-waktu yang terluang.

  1. Pengurusan Kewangan.

Aspek ini menghendaki pihak pentadbiran sesebuah masjid menguruskan tabung kewangan mereka samada dari segi pengurusan sumber kewangan atau pun perbelanjaannya serta mengenal pasti masalah-masalah yang berlaku dalam hal ini.

  1. Pengurusan Perkaderan.

Pengursan masjid juga perlu merancang untuk membimbing dan melatih bakal-bakal peneraju masjid pada masa akan datang, hal ini telah menyebabkan hampir keseluruhan masjid diterajui oleh golongan yang tidak berkebolehan.

  1. Pengurusan Kemudahan Asas.

Masjid peru diurus segala emudahan asas berhubung dengan beberapa masalah yang dihadapi oleh jemaah masjid iaitu dari segi tempat berwuduk, bilik mandi, tandas, bilik persalinan pakaian, bilik penginapan sementara untuk musafir, ruang sembahyang dan sebagainya sewajarnya dilakukan untuk mengenal pasti masalah-masalah yang berlaku dalam hal ini.
Justifikasi pemartabatan pengurusan masjid

Di Malaysia, masjid digunakan untuk menyalurkan polisi kerajaan yang bertujuan memperkukuhkan nilai Islam. Ini memberi satu keunikan kepada masjid yang dianggap sebagai sebuah institusi Islam yang menjalankan aktiviti ritual atau keagamaan tetapi pada masa yangsama menguruskan dana. Ini sekaligus menjadikan masjid seperti institusi Islam yang lain seperti waqaf, zakāh dan baitul māl yang terlibat dalam pengurusan dana bagi tujuan pembangunan ummah. Sehubungan itu, masjid seharusnya menjadi contoh kepada organisasi Islam yang lain dalam pelbagai aspek termasuklah pengurusan kewangan. Kedua, secara umumnya masjid negeri di Malaysia adalah sebahagian daripada sektor awam iaitu menerima peruntukan kerajaan untuk membiayai operasinya. Oleh yang demikian, masjid negeri sepatutnya mengamalkan pengurusan kewangan yang berkesan sebagai bukti kebertanggung jawaban mereka kepada umum. Ketiga, kajian ini juga dibuat bertujuan untuk memahamai dengan lebih mendalam amalan pengurusan kewangan di dalam organisasi berteraskan agama di Malaysia.

Masjid memerlukan pentadbiran yang bertanggungjawab kerana ia adaah rumah Allah. Sifat akauntabiliti adalah sifat utama para saf jawatankuasa masjid.
Konsep akauntabiliti adalah menjadi asas kepada kajian ini. Konsep ini mempunyai pengertian yang sangat luas dan boleh ditafsirkan mengikut keadaan dan konteks yang berkaitan. Secara tradisi, akauntabiliti boleh ditafsirkan sebagai suatu hubungan yang wujud diantara pihak yang memberi dan menerima sesuatu kendalian (conduct) (Roberts and Scapens, 1985). Dari perspektif organisasi, Shahul (2000) menegaskan, akauntabiliti sebuah organisasi bukan sekadar tanggungjawab menggunakan sumber organisasi secara
efektif, efisien dan ekonomi (3E) tetapi meliputi tanggungjawab menjauhi daripada segala penyalahgunaan sumber berkenaan.Beliau seterusnya menegaskan tanggungjawab melaporkan penggunaan sumber organisasi tidak terhad kepada pemberi dana sahaja tetapi meliputi semua lapisan di dalam komuniti berkaitan. Ini adalah selaras dengan tanggungjawab sektor awam yang diberi tanggungjawab (āmānah) untuk mengendalikan harta awam termasuklah wang. Jones dan Pendlebury (2000) mempunyai pandangan yang sama berkaitan dengan pengurusan harta awam yangsepatutnya dilaksanakan secara efektif, efisien dan ekonomik (3E)3.

Profesionalisme atau al itqan dalam pengurusan masjid mutakhir ini

Pengurusan juga dikaitkan dengan etika mengurus secara profesional. Walaupun tidak berlatar belakang pendidikan profesional, namun para pengurus masjid boleh menerapkan unsur profesional (itqan). Namun serus kerajaan agar melibatkan golongan profesional sebagai jawatankuasa masjid adalah suau seruan yang merapatkan saf sesama masyarakat.
Menyorot kembali pandangan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri yang menyarankan supaya golongan profesional dilantik menganggotai jawatan kuasa masjid, sememangnya ia adalah saranan yang amat bertepatan dalam konteks keperluan masa kini. Cadangan ini sejajar dengan rangka ke arah pembentukan masyarakat maju dan berwawasan menurut landasan agama sebenarnya. Persoalan sama ada golongan profesional perlu dilibatkan dalam pengurusan masjid dan dilantik menganggotai jawatan kuasa masjid atau pengurusan masjid yang sedia ada diprofesionalkan dalam urusan perancangan dan pengurusan adalah dua isu yang tidak jauh bezanya, ianya boleh diselesaikan dengan matlamat ke arah menjana dan memperkasa pengurusan profesional institusi masjid demi untuk mencapai matlamat dan objektif institusi tersebut.

Jika ditinjau dari perspektif keperluan institusi masjid, wajah profesional dalam pengurusan perlu melibatkan pelbagai aspek, antaranya4:

  1. Pengurus yang profesional atau sumber manusia professional
  2. Fizikal masjid yang professional
  3. Jemaah atau khalayak ramai yang professional
  4. Perancangan dan pengurusan yang profesional

Dalam konteks pengurus yang profesional, ianya melibatkan semua pihak yang mempunyai kaitan langsung dengan pengurusan institusi masjid.

Bidang pentadbiran masjid hari ini memerlukan pengurus yang profesional atau profesional yang menguruskan masjid, dan juga imam yang profesional atau profesional Islam yang menjadi imam. Persoalan ini bukanlah sesuatu yang bersifat retorik tetapi memerlukan tindakan segera dari semua pihak terutamanya pihak yang berwajib dalam urusan pentadbiran masjid. Dalam konteks fizikal masjid yang profesional, harus dilihat bahawa masjid masa kini perlu disiapkan dengan kelengkapan fizikal yang sewajarnya. Semua infrastruktur yang terdapat dalam masyarakat perlu dibawa ke dalam persekitaran masjid. Perlu disediakan kediaman yang selesa untuk para imam dan pegawai masjid yang lain, perlu dibina dewan orang ramai yang akan memungkinkan berlakunya jalinan kasih sayang antara sesama anggota masyarakat melalui program keramaian seperti kenduri kahwin dan sebagainya, binaan kelas pengajian yang selesa dan menarik, padang permainan yang boleh berfungsi sebagai medan kemasyarakatan setempat.

Pengurusan berkesan menjana ekonomi ummah
Para pengurus masjid harus melihat institusi ini sebagai sebuah institusi yang penting dalam organisasi masyarakat. Justeru itu pengurusan masjid harus kreatif dan inovatif dalam merubah dan menyelesaikan masalah umat. Institusi masjid bukan sahaja dilihat sebagai tempat rujukan atau penyelesai masalah masyarakat setempat, tetapi dilihat sebagai medium merungkai masalah moral dan menyelesaikan masalah kemiskinan umat. (Hasan Bahrom,2008)5
Walaupun pada masa ini masjid tidak lagi digunakan sebagai pusat pentadbiran, tetapi fungsinya sebagai penjana pembangunan insan perlu dikekalkan. Oleh itu, dorongan untuk mengembalikan peranan yang lebih banyak kepada institusi masjid perlu digerakkan dalam pelbagai bidang dan tidak terhad kepada bidang keagamaan semata-mata. Dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat kewangan atau penyedia dana khususnya kepada masyarakat setempat, langkah awal yang boleh diwujudkan ialah mengadakan kerjasama antara institusi-institusi masjid di bawah satu badan koperasi. Dengan wujudnya badan sebegini, pakar-pakar berkelayakan dapat mengesyorkan idea perniagaan dan sebagainya yang dapat dimajukan oleh usahawan Muslim. Dengan ini, impak atau kesan limpahan yang lebih melebar akan terlaksana melalui dana yang disediakan seperti peluang pekerjaan baru, tempat yang strategik, makanan dan keperluan masyarakat yang bertepatan dengan syarak dan sebagainya. Paling penting, melalui aliran dana masjid ini, manfaat yang diterima bukan sahaja terhad kepada masyarakat setempat, tetapi dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh seluruh umat Islam. (Mohd Yahya et al, 2014)
3 Pengurusan berkualiti memacu kecemerlangan pengurusan masjid / editorMohd. Ismail Mustari, Kamarul Azmi Jasmi. 2008 UTM
5 PENGURUSAN TABUNG MASJID KE ARAH PEMBANGUNAN EKONOMI MASYARAKAT SETEMPAT
Husnul Rita Binti Aris1, Nor Saadah Binti Musa2Proceeding of the International Conference on Masjid, Zakat and Waqf (IMAF 2014) (e-ISBN 978-967-13087-1-4). 1-2 December 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...