Pembaca Setia

Sunday, March 20, 2016

TUGASAN AM - STATUS HADIS MURSAL DAN MENGAPA HADIS MURSAL SAID AL-MUSAYYIB DITERIMA


TUGASAN AM - STATUS HADIS MURSAL DAN MENGAPA HADIS MURSAL SAID AL-MUSAYYIB DITERIMA1?

Muhammad Nuruddin Bashah
Kolej Pengajian Tinggi Islam Al Insaniyah KPTI Caw Ipoh

Muqaddimah
Hadis mursal menurut ulama fiqh dan usul ialah hadis yang perawinya melepaskannya tanpa menjelaskan Sahabat yang diambil riwayatnya. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 304 )
Takrif hadis mursal yang masyhur ialah hadis-hadis yang tergugur seorang Sahabat daripada sanadnya. Sebagai contoh : “Sabda Rasulullah s.a.w begini dan begini, Rasulullah melakukan begitu dan begini”. “Dilakukan di hadapan Rasulullah s.a.w begitu dan begini” atau sebagainya. Ini bermakna hadis mursal ialah hadis marfu’ al-tabi’in (hadis yang disandarkan oleh al-tabi’in kepada Rasulullah s.a.w) sama ada al-tabi’in yang muda atau tua. ( Salih Subhi 1969 : 162 )


Oleh itu jelaslah bahawa hadis mursal ialah hadis yang digugurkan Sahabat (perawi pada peringkat Sahabat) daripada sanadnya. Hal ini bererti seorang tabi’in meriwayatkan hadis secara terus menerus daripada Nabi Muhammad s.a.w sama ada perawi tersebut terdiri daripada sighar al-tabi’in ataupun kibar al-tabi’in.

Berhubung dengan hadis mursal ini, kibar al-tabi’in ialah tabi’in yang banyak meriwayatkan hadis daripada para Sahabat walaupun umur mereka masih muda seperti Ibn al-Musayyib dan Qais bin Abi Hazim.

Manakala sighar al-tabi’in ialah tabi’in yang lebih banyak meriwayatkan hadis daripada perawi yang lain daripada Sahabat walaupun umur mereka lebih tua seperti Abu Hatim dan Yahya bin Sa’id. ( Ariffin Omar & Zaini Nasohah 2005 : 68 )

Hadis mursal dikatakan da’if kerana sanadnya tidak bersambung dan perawi berkenaan telah membebaskan hadis berkenaan dengan tidak menyatakan nama Sahabat yang menerima hadis berkenaan daripada Rasulullah s.a.w. Dalam erti kata lain, perawi Sahabat digugurkan atau tidak disebut dalam rangkaian sanad. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 222 )

Ahli hadis juga berpendapat bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Sahabat-sahabat muda seperti Ibn Abbas dan lain-lain yang mana mereka tidak mendengar ataupun melihat secara terus dari Nabi Muhammad s.a.w. Namun, mereka meriwayatkan dari Sahabat lain dari Rasulullah s.a.w. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 304 )

Pandangan 4 mazhab

  1. Imam Abu Hanifah dan Ima malik menerima Hadis Mursal

  1. Imam Ahmad hanya guna apabila tiada hujah hadis lain.

  1. Imam Syafie menolaknya

Pandangan Imam Al-Syafie
Menurut Imam Al-Syafie, hadis Mursal termasuk dalam kategori hadis Daif. Tidak boleh dijadikan hujah melainkan memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Hadis Mursal itu diriwayatkan oleh perawi yang terpercaya (Tsiqah).
  2. Hadis Mursal itu diriwayatkan oleh Tabiin Senior (Kibar al-Tabiin) seperti Said bin Al-Musayyib di Madinah dan Hasan Al-Basri di Irak.
  3. Hadis Mursal itu tidak bercanggah dengan periwayatan oleh para hafizh yang lain.

3 syarat tersebut mesti disokong dengan salah satu dari empat perkara ini:

  1. Hadis Mursal itu disokong dengan Hadis Musnad yang bersambung sanadnya melalui jalan lain.
  2. Hadis Mursal itu disokong dengan Hadis Mursal yang lain yang telah diterima oleh para ulama.
  3. Hadis Mursal itu sesuai dengan pendapat sebahagian sahabat.
  4. Hadis Mursal itu sesuai dengan pendapat (fatwa) kebanyakan ahli ilmu.

Mengapa ramai ulama’ fiqh menerima hadis mursal Said Al Musayyib?

  1. Nama beliau adalah Said bin Al-Musayyib bin Hazn bin Abi Wahab bin Amru bin A’id bin Imran bin Makhzum Al-Qurasy Al-Mahzumi Al-Madani, panggilannya adalah abu muhammad al-madani beliau adalah salah satu pembesar para tabi’in2.
  2. Said bin Al-Musayyib merupakan salah seorang dari Tabiin Besar (kibar tabiin).
  3. Menurut Imam Dzahabi , beliau lahir pada 15 Hijriah.
  4. Termasuk ahli fiqh madrasah Madinah. Meninggal pada tahun 94 H. (pada masa pemerintahan khalifah Al-Walid bin Abdul Malik)
  5. Beliau adalah seorang yang mempunyai sifat keperibadian yang sangat baik, berpuasa pada waktu siang, berqiamullail pada waktu malam. Beliau pun telah mengerjakan ibadat Haji lebih dari empat puluh kali, tidak pernah ketinggalan dari takbir pertama (takbiratulihram) di dalam sembahyang selama empat puluh tahun, dan sentiasa berada di saf pertama. (tidak pernah lihat tengkuk saf pertama langsung)
  6. Said bin Al-Musayyib mengahwini anak perempuan Abu Hurairah r.a.
  7. Said sentiasa mengunjungi isteri-isteri Nabi s.a.w dan berjaya menimba pelbagai ilmu daripada mereka.
  8. Beliau juga pernah menimba ilmu daripada beberapa orang para sahabat di antaranya ialah Abdullah bin Abbas, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, Othman, Ali, dan Suhaib.

Pujian Tabiian terhadap Said

  1. Qotadah berkata: Saya tidak menemukan seseorang yang lebih pandai dalam masalah halal dan haram dari sa’id bin musayyib.

  1. Sulaiman bin Musa berkata: Said bin musayyib adalah salah satu tabi’in yang terfaqih.

  1. Ali bin Al-Madani berkata: “Aku tidak menemukan para tabi’in yang lebih luas wawasannya dari Said bin Al-Musayyib. Menurutku, dia adalah tabi’in yang paling terhormat dan mulia.

Punca utama mengapa mursalnya diterima
Ulama’ menerima hadis mursal (dihilangkan nama Sahabat) oleh Said Al Musayyib kerana diperkiranya beliau menerima mungkin daripada bapa mertuanya Abu Hurairah. Inilah bezanya hadis mursal Said berbanding tabiin lain.
1 Tajuk ini disediakan berdasarkan perbincangan dalam kelas diploma bersama Pensyarah Fiqh Muqorin Jinayah.

2 Dari Sa’id bin Musayyib bin Hazn, bahawa datuknya (Hazn) mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu Nabi bertanya kepadanya, “Siapa namamu?”, dia menjawab, “Hazn (sedih).” Nabi berkata, “Bagaimana jika namamu diubah dengan Sahl (mudah)?”. Hazn berkata, “Saya tidak mengganti nama yang telah diberikan oleh kedua orang tua saya, sehingga akupun dikenal di kalangan masyarakat dengan sebutan nama tersebut.” Sa’id bin Musayyib berkata, “Karenanya sampai masa kami, keluarga kami dikenal oleh Ahlul Bait dengan sebutan al-Hazunah (keturunan Hazn).” (Hadis Riwayat Ahmad)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...