Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Friday, March 18, 2016

PERANAN PENGURUSAN ISLAM YANG BOLEH DITERAPKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN KITA


PENGANTAR PENGURUSAN
DS 0308

TAJUK:
PERANAN PENGURUSAN ISLAM YANG BOLEH DITERAPKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN KITA

Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
No KP: 820102-02-5203

Semester 4

Pensyarah : Us. Bakri Hishamuddin

Tugasan untuk dicetak dan diemail kepada pensyarah


  1. Definisi Pengurusan Islam

Pengurusan dari segi Islam boleh ditakrifkan sebagai satu proses melakukan dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah – sifat semula jadi – melalui dan bersama orang lain dalam usaha untuk mencapai objektif kerja secara berkesan. Selain itu, sumber organisasi digunakan dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al-falah – kejayaan di dunia dan di akhirat1.

Ilmu pengurusan Islam yang lebih bertunjangkan paradigma tauhid, iaitu mempunyai beberapa prinsip asas yang utama – amanah, syura dan adil. Amanah adalah segala sesuatu yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya. Natijah daripada sifat amanah ini akan lahirlah pula sifat-sifat terpuji lain yang membawa kepada terlaksananya sifat ikhlas, jujur dan bekerja mencari keredaan Allah.

Hari ini menerapkan Islam dalam bidang pengurusan adalah satu keperluan dan ianya realistik.

  1. Kepentingan pengurusan menurut cara Islam

Pengurusan Islam merupakan sebahagian daripada sistem masyarakat bagi menentukan matlamat hidup dan hubungan masyarakat dan hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan Allah, manusia dengan masyarakat dan hubungan manusia dengan alam. Pentadbiran dan pengurusan dalam Islam termasuk dalam lingkungan ibadat sebagaimana dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan semesta alam”.
(Surah Al-An’am : 6:162)

Jelas dari ayat di atas, mengurus cara Islam adalah menacapkan ibadah kita kepada Allah dan menjadikan muamalah harian sebagai ibadah.

Apabilah kita berbicara persoalan pengurusan Islam dalam pengurusan harian pentadbiran, keluarga, institusi masyarakat, ianya bukanlah merupakan satu persoalan baru dalam kontek negara kita Malaysia. Sebagai contohnya, Wan Liz Ozman pada tahun 1996 telah membincangkan dengan terperinci berkenaan dengan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam agenda pembangunan negara.2 Kajian beliau menjadi lonjakan kepada negara untuk menerap Islam dalam pentadbiran walaupun masih belum mencukupi kehendak piawaian syariah. Namun usaha ini perlu diteruskan dan diperkembang luas.

  1. Realiti hidup kita hari ini
Masalah hari ini kita dibelenggu
  1. masalah keterhakisan rasa bertuhan dalam bekerja dan mengurus. Hal ini menjadikan masalah organisasi masyarakat menjadi kritikal.
  2. Misalnya hari ini masyarakat mengalami keterhakisan nilai amanah dan kejujuran dalam berurusan.
  3. Tidak telus dan menipu dalam muamalah harian.
  4. Masalah pengurusan masa yang meruncing di kalangan umat Islam juga menyebabkan islamisasi pengurusan diperlukan.
  5. Kualiti kesihatan umat Islam juga buruk akibat kesihatan tidak diurus berasas sunnah.
  6. Perniagaan umat Islam tidak menonjol lantaran budaya ranggi, boros dan pemendapan modal akibat salah urus berlaku.

  1. Konsep pengurusan Islam dalam kehidupan kita hari ini.

Semestinya masdar (sumber) utama untuk mengurus cara Islam adalah dengan merujuk kod-kod pengurusan daripada Al Quran sendiri. Malah hikmah hadis dan sunnah Rasulullah dan kepimpinan sahabat juga merupakan sibghah (acuan) utama pengurusan cara Islam.

Ahmad Ibrahim Abu Sin mengutarakan tiga ciri-ciri amanah yang diamalkan dalam pengurusan3:
1. Membuat kerja dengan jujur. Pengurus yang amanah ialah pengurus yang bersikap terbuka dalam menjalankan kerjanya. Menyiap atau menyempurnakan kerja semasa bekerja adalah lebih penting daripada ganjaran yang diterima. Oleh itu, pengurus yang beramanah akan menjadikan kerja sebagai satu kepuasan bagi dirinya.
2. Menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Pengurus seharusnya menjadi model yang baik kepada para pekerjanya. Mereka perlu hadir awal ke pejabat dan balik lewat ke rumah. Mereka juga mesti bijak menguruskan masa dan kerja yang diberikan dengan memberikan tarikh sesuatu kerja itu perlu disiapkan.
3. Tidak menggunakan jawatan bagi kepentingan peribadi. Dalam hal ini pengurus itu tidak boleh menjadikan jawatannya itu sebagai tempat untuk mencari keuntungan peribadi. Contohnya, mendapat komisen daripada pembekal dengan menyuruh pembekal membekalkan barangan pada harga yang tinggi, menawarkan bekalan barangan kepada saudara mara sendiri, dan yang paling berat, menerima rasuah daripada seseorang atau syarikat semasa meluluskan atau dalam usaha mendapatkan sesuatu projek.

Jika dilihat dalam pengurusan negara dengan ketirisan wang negara dan hutang negara yang bakal ditanggung setiap warganegara Malaysia menunjukkan betapa perlunya pengurusan negara juga diIslamisasikan dan berpaksi kepada tauhid. Memahami bahawa dalam mengurus ada ‘auditor’ terunggul iaitu raqib dan atid serta faham wujudnya Zat yang Maha Agung memantang 24 jam seharian apa yang kita uruskan.

Jika para pemimpin menerima konsep pengurusan Islam pastilah mereka dapat:
a) Menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Allah dengan adil dan memelihara perhubungan yang baik sesama insan.
b) Memakmurkan mukabumi ini dengan cara yang diredhai.
c) Melaksanakan syariah Islam iaitu ibadat, muamalat dan hukum-hukum Islam yang lain.
d) Mencari keredhaan Allah walaupun ketika berurusan dalam hal-hal duniawi.
e) Memastikan bahawa Islam itu sentiasa lebih tinggi darjatnya daripada hal-hal lain.


Islam itu sendiri pada dasarnya adalah diturunkan untuk memandu manusia mengurus perjalanan hidup mereka kearah kebaikan. Syariatnya menggariskan tatacara pengurusan setiap perkara yang diperlukan oleh manusia, sama ada dalam hal berkeluarga, bermasyarakat, berniaga dan yang lainnya adalah berlandaskan kepada konsep “berhimah dan berhikmah”. Oleh yang demikian, dalam pengurusan Islam, semua pIhak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti kehidupan (lebih-lebih lagi dalam persoalan yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi, politik, pendidikan dan ketua keluarga adalah dituntut melaksanakan tanggungjawah pengurusan secara berhimah berasas Islam.

  1. Penutup

Jawatan pengurusan atau masu’l (orang yang dipertanggungjawabkan) merupakan satu amanah daripada Allah S. W. T menurut Islam. Oleh itu hanya mereka yang benar-benar berkelayakan, mempunyai kecekapan, kemahiran dan kesungguhan sahaja yang seharusnya dilantik memegang jawatan tersebut. Mereka sebaliknya berhak untuk mendapat gaji yang setimpal dan kemudahan-kemudahan kebajikan yang ada.
Untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan hasil atau keluaran yang berkualiti tinggi, budaya kerja menuju ke arah itu perlu di wujudkan. Budaya kerja cemerlang dan berkualiti hanya dapat diabadikan setelah wujudnya nilai dan etika yang mendokong budaya itu. Nilai dan etika yang murni itu semestinya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini disebabkan pengurusan Islam itu dapat menyelesaikan masalah pengurusan bermula dari akar umbinya bukan dari pucuk atau rantingnya.

1 Azman Che Omar, Pengurusan di Malaysia: Dari Perspektif Islam, DBP,
2 Wan Liz Ozman, Pengurusan Islam Abad Ke-21, Utusan Publication, 1996.

3 Pengurusan dalam Islam / Ahmad Ibrahim Abu Sin ; penterjemah Abd Rashid Ngah, Jusoh Kadir
Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1935- : Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...