Pembaca Setia

Monday, November 19, 2012

Bila Bermulanya Aktiviti Perbankan?


Bila Bermulanya Aktiviti Perbankan?
Muhammad Nuruddin bin Bashah

Apabila disebut istilah bank, terbayang di fikiran kita kad ATM yang memudahkan urusan kita mengambil wang gaji. Terbayang juga bagaimana bank amat berguna untuk pinjaman segera, bayaran sewa beli kenderaan serta simpanan tetap yang menguntungkan. Namun begitu, jarang benar kita kenali dari mana asalnya aktiviti perbankan dan siapakah yang memulakan aktiviti ini?
Sejarah perbankan bermula dengan prototaip bank pertama dalam dunia perdagangan purba, di mana bisnes terawal yang dijalankan adalah pinjaman bijirin kepada petani dan peniaga yang berlaku antara bandar-bandar. Aktiviti ini dikatakan bermula sekitar 2000 SM dalam kerajaan Assyria dan Babylon di Iraq.
Kemudian, di Greek purba dan dalam Empayar Rom, para penjaga kuil terlibat dengan aktiviti peminjaman dan penukaran wang. Bukti arkeologi di China purba dan India juga menunjukkan bukti wujudnya aktiviti pinjaman wang di sana.
Istilah bank telah dikenalpasti dipopularkan daripada istilah Itali iaitu benco. Dalam bahasa Itali benco merujuk istilah ‘bench’. Menurut buku ‘Practical Banking’ karangan Albert S. Bolles (1884), di Itali, Yahudi Lombard telah menggunakan kerusi panjang ‘bench’ di pasar-pasar awam untuk menjalankan aktiviti penukaran wang dan pembayaran bil tertentu. Apabila seorang banker gagal di Itali, kerusi panjangnya akan dipatahkan oleh orang awam dan digelar sebagai bangkrap.
Sistem perbankan moden boleh dikesan pada zaman pertengahan dan awal Renaissance di Itali.  Bandar-bandar yang kaya di utara seperti Florence, Venice dan Genoa menjadi tumpuan aktiviti perbankan Eropah awal. Bardi dan keluarga Peruzzi menguasai perbankan Florence di abad ke-14, serta mewujudkan cawangan di banyak bahagian lain Eropah. Dikatakan bank Itali yang paling terkenal adalah Bank Medici, yang ditubuhkan oleh Giovanni Medici pada 1397.
Sepanjang tempoh Jerman telah menguasai sebahagian besar Itali, perkataan Jerman,Banck’ digunapakai yang bersamaan istilah Itali iaitu Monte. Selepas itulah Itali mengubah Banck ke Banco, manakala istilah hutang telah dipanggil Monti atau Banchi.
Bukti penubuhan bank Itali yang pertama.
Oleh itu, seorang penulis Inggeris, Benbrigge, yang menulis pada tahun 1646, merujuk istilah "tiga bankes" di Venice ialah tiga pinjaman awam atau Monte. Banco dalam bahasa Itali juga bermakna dana yang dibentuk oleh sumbangan pemodal dan Bank of Venice adalah sistem pembiayaan pertama atau sistem hutang awam.
"Jurubank," kata Gilbart, adalah seorang peniaga di modal atau lebih tepat, peniaga di wang. Beliau adalah pihak perantaraan antara peminjam dan pemberi pinjamanPerbezaan antara kadar yang diterima oleh jurubank untuk penggunaan wang yang dipinjamkan olehnya adalah keuntungan beliau.
Sejarah perbankan sebenarnya bergantung kepada sejarah wang. Wang yang terawal adalah  bijirin dan makanan yang digunakan seawal sekurang-kurangnya 9000 SM dan digunakan sebagai alat sistem barter.  
Orang Islam juga pernah menjadi pencipta sistem perbankan malah mendapat anugerah Nobel! Bank Grameen merupakan sebuah pertubuhan mikrokewangan dan bank perkembangan komuniti bermula di Bangladesh yang membuat pinjaman kecil digelar mikrokredit atau "kredit grameen kepada orang miskin tanpa memerlukan jaminan. Nama Grameen berasal dari perkataan gram yang bermaksud "kampung" atau "luar bandar" dalam Bahasa Bengali.
Asal-usul Bank Grameen dapat ditelusuri kembali hingga tahun 1976 ketika Profesor Muhammad Yunus, seorang ahli ekonomi Bangladesh, melancarkan kajian projek untuk meneliti kemungkinan menyediakan perkhidmatan perbankan yang disasarkan untuk golongan miskin luar bandar. Pada bulan Oktober 1983, Projek Bank Grameen berubah menjadi sebuah bank bebas oleh undang-undang kerajaan. Organisasi dan pendirinya, Muhammad Yunus, sama-sama dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2006.
Adakah hanya dunia Barat yang mengetahui asas perbankan? Bagaimana dengan tamadun Islam?
Menurut Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, aktiviti perbankan juga dipopularkan oleh para sahabat Rasulullah SAW.
Contohnya perkhidmatan Simpanan (wadi'ah) oleh Az-Zubair Al-'Awwam.
Ibn Sa'ad mengatakan bahawa ramai yang menemui Zubair dan meminta untuk disimpan wang mereka, sehingga Zubair menolak kerana merasa terbeban akan hilangnya wang tersebut sedangkan beliau sendiri langsung tidak boleh menggunakannya.
Lantas, Zubair meminta penyimpan untuk menyimpan atas dasar pinjaman dan bukan lagi wadi'ah.
Hasil dari tindakan Zubair ini, semakin ramai yang datang kepadanya sehingga jumlah yag dipegangnya mencecah 2,200,000 dirham, satu jumlah yang amat besar di zaman tersebut. Terdapat penulis yang menamakannya sebagai Bank Zubair dan boleh  dikatakan sebagai bank Islam yang pertama.
Melalui tindakan Zubair ini, beliau telah menukar asas konsep wadiah yang hanya menjaga amanah menyimpan tanpa boleh digunakan kepada pinjaman yang membolehkannya untuk melaburkannya dan pada masa yang sama menjamin keselamatan wang tersebut. Natijah keuntungan yang diperolehi oleh Zubair banyak digunakan untuk membeli aset. Menurut Az-Zahabi, semasa Zubair meninggal dibunuh, beliau tidak meninggalkan satu dinar atau dirham, kecuali beberapa keping tanah di Ghabat, sebuah rumah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Selain itu jugam beliau meninggalkan hutang yang agak besar sebanyak 2,200,000 dirham iaitu nilai simpanan orang ramai yang diubah kepada pinjaman.
Khidmat Perbankan oleh Ibn Abbas dan Abdullah Ibn Zubair pula diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a  bahawa beliau mengambil wang perak di Mekah bagi membawanya ke Kufah, dan Abdullah Ibn Zubair pula menulis dan mengambil wang perak dari daripada Kufah untuk dibawa ke Mekah dan seterusnya ke Iraq. Tindakan mereka ini merupakan salah satu dari khidmat-khidmat yang ditawarkan oleh perbankan moden seperti credit transfer.
Secara umumnya, terbukti bahawa khidmat-khidmat perbankan selagi mana menepati hukum Syariah adalah dibenarkan. Tambahan pula jika kewujudannya boleh memudahkan dan memberi manfaat yang banyak buat masyarakat.
Antara kemudahan yang dapat dihasilkan melalui sesebuah khidmat perbankan adalah seperti berikut :-
a) Menguruskan keperluan kewangan dua kelompok dalam masyarakat, iaitu :
* satu kelompok yang mempunyai lebihan wang dan ingin melabur, menyimpan dan mendapat manfaat dari lebihan wang yang dipunyainya. Mereka terdiri dari semua orang yang mampu membuat simpanan. Mereka digelar surplus unit.
* Satu kelompok adalah mereka yang memerlukan tunai dan wang samada untuk keperluan pernigaaan mereka atau asasi seperti pembelian kereta dan sebagainya. Mereka digelar deficit unit.
Hasil dari wujud dua kelompok ini dalam masyarakat, kewujudan bank Islam sebagai orang tengah yang dipercayai (kerana ia sebuah institusi yang dipantau dan diberi lesen oleh bank negara) boleh membantu kedua-dua kelompok bertemu dan memanfaatkan antara satu sama lain.
b) Mampu menyediakan penjagaan wang tunai yang lebih selamat berbanding penjagaan oleh individu di rumah masing-masing.
c) Menyediakan khidmat pelaburan. Ini sudah tentu baik kerana tidak semua individu yang berduit mampu mencari dan memutuskan pelaburan apa yang terbaik dan selamat baginya. Justeru, kewujudan bank yang dipenuhi dengan para pekerja profesional yang berpengalaman dalam bidang ini mampu memberikan manfaat kepada orang ramai.
Ini hanyalah antara beberapa perkara yang menunjukkan kewujudaan bank dalam sistem kewangan Islam adalah diterima selagi mana semua manfaat yang disebutkan di atas dapat dikawal selia dalam lingkungan hukum Islam.
Amalan asal yang ditinggalkan oleh Rasulullah adalah amalan muamalah umum yang berteraskan perniagaan dan penjagaan harta. Namun begitu, sistem perbankan sekarang adalah sistem yang diasaskan berdasarkan rangka besar perniagaan kapitalisme. Akan tetapi perkembangan hukum mualamah adalah berasaskan senario semasa dan ia boleh diadaptasi di dalam perkembangan fiqh muamalah berdasarkan kaedah hukum asal setiap perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan haram.
Berasaskan prinsip ini jugalah sistem muamalah Islam sentiasa berkembang mengikut peredaran  zaman sehingga pelbagai bentuk inovasi (ibtikar) baru diperkenalkan dalam amalan ekonomi dan kewangan berdasarkan keanjalan hukum yang berkaitan muamalah ini sebagaimana disebut juga dalam kaedah fiqhiyyah yang lain-Tidak dapat dimungkari bahawa perubahan hukum disebabkan perubahan masa .
Menurut tulisan Prof. Madya Asyraf Wajdi Dusuki yang bertajuk Sistem Perbankan Islam di Malaysia, walaupun sistem muamalah Islam pada hakikatnya telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW, namun model perbankan yang kita fahami hari ini merupakan fenomena asing daripada urus niaga tradisional muamalah Islam. Berbanding entiti komersial lain, bank merupakan institusi perantara (financial intermediary) yang mengumpulkan dana-dana daripada orang awam atau dikenali sebagai deposit untuk disalurkan kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan pembiayaan sama ada untuk kegunaan peribadi (seperti membeli rumah, kenderaan dan apa sahaja keperluan hidup lain) atau untuk kegunaan syarikat (seperti modal awal untuk memulakan perniagaan, membeli bahan mentah, membayar gaji dan membeli aset-aset untuk mengembangkan syarikat).
Bagaimana sejarah bank di negara kita?
Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada 26 Januari 1959 di bawah Ordinan Bank Pusat Tanah Melayu, 1958. Tujuan Bank Negara ditubuhkan adalah untuk :
                    mengeluarkan mata wang, Ringgit Malaysia dan menyimpan rizab menjaga nilai mata wang;
                    bertindak sebagai jurubank dan penasihat kewangan kepada kerajaan;
                    menggalakkan operasi pembayaran negara dan sistem penyelesaian yang boleh dipercayai, cekap dan lancar dan untuk memastikan dasar pembayaran negara dan sistem penyelesaian untuk kelebihan Malaysia;
                    mempromosi kestabilan kewangan dan struktur kewangan;
                    Untuk mempengaruhi keadaan kredit supaya menguntungkan negara;
Oleh itu, dengan objektif berikut, bank dicipta untuk mengawal selamat ekonomi Malaysia. Matlamat lebih luas bank adalah mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Malaysia, tahap yang tinggi pekerjaan, memelihara kestabilan harga dan satu keseimbangan munasabah dalam kedudukan pembayaran antarabangsa negara, membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.
Menurut Zulkifli dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, sistem perbankan Islam telah mendapat tempat di Malaysia sejak 1983 lagi apabila tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad, sebuah bank Islam pertama di Malaysia. Berdasarkan hampir 24 tahun usia sistem perbankan Islam di Malaysia, kini terdapat 9 Bank Islam tempatan (7 SPI telah diberikan le sen untuk beroperasi di bawah ABI 1983) dan 3 Bank Islam asing diberi lesen untuk beroperasi iaitu Kuwait Finance House, Saudi Arabia’s Al Rajhi Banking and Investment Corporation dan Konsortium Qatar Islamic Bank Al Rajhi di samping bank konvensional yang juga menawarkan skim perbankan Islam. Dijangkakan bilangan ini akan bertambah dari masa ke semasa berdasarkan polisi keterbukaan Bank Negara Malaysia yang diamalkan ketika ini.
Jauh awal sebelum itu perkembangan perbankan Islam di Malaysia pada hakikatnya bermula seawal tahun 1962 dengan penubuhan Tabung Haji yang diberi mandat untuk menguruskan dana-dana masyarakat Islam yang menyimpan dengan tujuan untuk membolehkan mereka menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah Haji. Pada tahun 1980, peserta-peserta Kongres Ekonomi Bumiputera telah meluluskan usul meminta kerajaan membenarkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) menubuhkan sebuah bank Islam bagi tujuan mengumpul dan melaburkan wang milik umat Islam. Hasil desakan orang ramai, kerajaan pada 30 Julai 1981, telah membentuk Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam yang dipengerusikan oleh Tan Sri Raja Mohar bin Raja Badiozaman dan Tabung Haji sebagai pihak urus setia.
Menurut Abdullah Alwi Hj Hassan dlam bukunya  Teori dan Aplikasi Kontemporari Sistem Ekonomi Islam di Malaysia Institusi perbankan pertama sekali di Malaysia ialah ‘The Chartered Merchant Bank of India, London and China‘ yang telah ditubuhkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1859. Bank ini diwujudkan untuk membiayai aktiviti perlombongan dan perindustrian serta menawarkan beberapa kemudahan kewangan bagi perdagangan antarabangsa serta kemudahan lain pada masa itu.
Bank juga memiliki peranannya dalam membentuk polisi politik dan landskap sosioekonomi-politik dunia. Dalam tulisan akan datang penulis akan cuba mengupas bagaimana peranan bank di peringkat antarabangsa.

Muhammad Nuruddin bin Bashah

017 6291368


1 comment:

  1. Apakah Anda pikir untuk mendapatkan bantuan finansial, Apakah Anda serius yang memerlukan pinjaman langsung, di sana Anda berpikir untuk memulai Anda sendiri komersial, Anda berada di utang, ini adalah kesempatan Anda untuk Mencapai keinginan Anda Karena Kami menyediakan pinjaman pribadi, pinjaman komersial dan korporasi pinjaman, dan segala macam faedah pinjaman pada tingkat sebanyak 2%, kami menjamin semua pelanggan kami mengurus komersial transparan.
    Untuk informasi lebih lanjut, silahkan hubungi kami sekarang melalui e-mail: Theresaloancompany@gmail.com

    Isyarat peminjam:

    Nama lengkap: _______________
    Negara: __________________
    Jenis Kelamin: ______________________
    Umur: ______________________
    Jumlah Pinjaman Diperlukan: _______
    Periode pinjaman: ____________
    Tujuan pinjaman: _____________
    Nomor telepon Bimbit: ________

    Theresaloancompany@gmail.com
    Ibu Theresa

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...